Ensiklopedia

sejenis bahan rujukan

Ensiklopedia (atau ensaiklopedia) ialah sejenis karya rujukan, sebuah kompendium mengandungi ringkasan maklumat daripada semua cabang ilmu atau secara khusus.[1] Ensiklopedia terbahagi kepada beberapa artikel atau entri, iaitu selalunya tersusun mengikut abjad melalui tajuk artikel. Kemasukan ensiklopedia lebih panjang dan terperinci berbanding kamus-kamus biasa.[2] Umumnya, tidak seperti kemasukan kamus yang hanya fokus kepada maklumat linguistik perkataan, artikel-artikel ensiklopedia bertumpu kepada fakta meliputi isi atau konsep tajuk artikel tersebut.[3]

Ensiklopedia Bahasa Parsi

Terdapat pelbagai jenis ensiklopedia. Ada yang bersifat umum, contohnya Encyclopædia Britannica dalam bahasa Inggeris dan Brockhaus Enzyklopädie dalam bahasa Jerman, dan ada juga yang bersifat khusus untuk sesuatu bidang, sama ada dalam bidang perubatan, falsafah, undang-undang dan lain-lain. Manakala sesetengah ensiklopedia lain pula mungkin condong pada sesuatu pandangan, contohnya Bolshaya Sovetskaya Entsiklopediya.

Etimologi

Perkataan ensiklopedia diambil daripada bahasa Greek εγκύκλιος παιδεία, egkyklios paideia; bererti sebuah lingkaran pengajaran (a circle of instruction) yang lengkap. Secara istilahnya, ia bermaksud ensiklopedia itu merupakan sebuah pendidikan sempurna yang merangkumi semua aspek ilmu pengetahuan.

Ensiklopedia seringkali disalah erti sebagai kamus. Mungkin ini kerana ensiklopedia-ensiklopedia awal sememangnya berkembang daripada kamus. Namun, perbezaan utama antara kamus dan ensiklopedia ialah kamus hanya memberikan definisi setiap perkataan dari sudut linguistik dan mungkin juga perkataan sinonim (kata seerti), manakala ensiklopedia memberi penjelasan yang lebih terperinci dan mendalam. Sebuah ensiklopedia cuba untuk menjelaskan setiap artikel sebagai sebuah fenomena atau perkara.

Sejarah awal ensiklopedia

Walaupun perkataan Ensiklopedia diambil daripada bahasa Yunani, namun ensiklopedia tertua bukan berasal dari Yunani tetapi dari zaman kerajaan Rom dan ditulis oleh Marcus Porcius Cato yang hidup pada abad ke-3 dan ke-2 sebelum Masihi. Manakala ensiklopedia tertua yang masih wujud sekarang ialah yang ditulis oleh Pliny Senior pada abad pertama Masihi. Ensiklopedia ini yang berjudul Naturalis Historia dan mempunyai 37 jilid.

Manakala Maharaja China Cheng-Zu daripada Dinasti Ming pula telah mengawasi pengumpulan Yongle Dadian (siap pada 1408), ensiklopedia terbesar dalam sejarah, dan mempunyai lebih 11,000 jilid yang ditulis menggunakan tulisan tangan. Namun kini, cuma ada 400 jilid sahaja yang masih tinggal. Kemudian, semasa Dinasti Qing, Maharaja Qianlong sendiri telah menulis 40,000 sajak, untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi perpustakaan berjumlah 4.7 juta halaman.

Manakala himpunan awal ilmu orang Islam di Zaman Pertengahan merangkumi pelbagai bidang, termasuklah apa yang kini dipanggil kaedah saintifik, kaedah sejarah dan petikan (citation atau isnad). Antara yang ketara ialah ensiklopedia sains ar-Razi, 270 buku-buku al-Kindi dan ensiklopedia perubatan Ibn Sina, yang merupakan rujukan utama buat beberapa abad. Terdapat juga karya sosiologi daripada Ibn Jarir at-Tabari, al-Masudi, Ibn Rustah, Ibn al-Athir, pengikut Ashari, dan Ibn Khaldun. Karya Ibn Khaldun, Muqaddimah mengandungi peringatan mengenai perjanjian bertulis yang masih relevan hingga ke hari ini. Mereka mempunyai pengaruh yang besar, disebabkan oleh penggunaan rangkaian petikan (isnad), yang memastikan kebenaran dan kejituan sumber mereka.

Walau bagaimanapun, boleh dikatakan karya-karya di atas ditulis lebih untuk pakar dalam setiap bidang dan bukannya untuk orang umum disebabkan spesifikasi kandungan yang terdapat dalam ensiklopedia-ensiklopedia tersebut.

Sejarah ensiklopedia ketika awal era kemodenan

Pada awal era kemodenan, istilah ensiklopedia buat pertama kalinya digunakan oleh Paul Scalich, seorang penulis Jerman pada tahun 1559. Kemudian ia dipopularkan oleh ahli falsafah Inggeris Francis Bacon pada awal abad ke-17.

Tetapi, makna ensiklopedia seperti yang difahami hari ini cuma wujud apabila Denis Diderot, seorang penulis dan ahli falsafah Perancis menggunakan perkataan ini untuk memberi nama projek yang sedang dikerjakannya. Projeknya yang juga dikatakan projek abad ke-18 ini berlangsung selama 30 tahun, dari tahun 1750 - 1780. Tujuan projeknya ini adalah untuk menulis secara sistematik semua pengetahuan yang diketahui oleh umat manusia.

Dalam bahasa Perancis ensiklopedia Diderot ini dikenali sebagai: Encyclopédie ou Dictionnaire raisonné des sciences, des arts et des métiers. Atau dalam bahasa Melayu "Ensiklopedia atau Kamus mengenai Ilmu Pengetahuan, Seni dan Pekerjaan". Ensiklopedia ini sebenarnya disadur dan ditambah daripada Cyclopaedia terbitan Ephraim Chambers pada tahun 1723.

Manakala Encyclopædia Britannica mula muncul di Scotland pada tahun 1768. Seterusnya pada kurun ke-19, muncullah beberapa lagi ensiklopedia umum di Britain, Eropah dan Amerika, dan kemudian di seluruh dunia.

Ensiklopedia berbahasa Melayu

Di Malaysia, terdapat satu ensiklopedia umum dalam bahasa Melayu, dan beberapa ensiklopedia khas seperti:

  • Ensiklopedia Malaysiana, 15 jilid (terbitan Anzagain) (sudah tidak dijual)
  • Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 5 jilid (terbitan DBP)
  • Ensiklopedia Islam (terbitan DBP) - diadaptasi daripada Ensiklopedi Islam Indonesia
  • Ensiklopedia Sains dan Teknologi, 12 jilid (terbitan bersama UTM-DBP)

Di Indonesia juga sudah terdapat beberapa ensiklopedia, antara yang popular ialah:

  • Ensiklopedi Indonesia, 7 jilid
  • Ensiklopedi Nasional Indonesia, 18 jilid - menggantikan Ensiklopedi Indonesia
  • Ensiklopedi Islam Indonesia, 3 jilid

Ensiklopedia pada masa hadapan

Dengan munculnya revolusi teknologi maklumat, maka muncullah pula ensiklopedia dalam bentuk perisian yang mana setiap perkataan atau hal dapat dicari dengan mudah. Sebuah contoh yang awal ialah Encarta, ensiklopedia keluaran Microsoft.

Pada tahun 2001 muncul pula sebuah ensiklopedia popular di internet yang sangat berjaya iaitu Wikipedia, sebuah ensiklopedia bebas yang boleh disunting sesiapa jua. Wikipedia berusaha menulis sebuah ensiklopedia yang terlengkap dalam hampir semua bahasa di dunia dan menyajikannya secara percuma di dunia maya. Ensiklopedia atas/dalam talian (on-line) ini telah tersaji dalam lebih 200 bahasa, termasuklah bahasa Melayu.

Senarai ensiklopedia

Ensiklopedia cetak terkenal

Ensiklopedia elektronik/internet

  • Komersial
    • Encarta

Rujukan

Lihat juga