Eye on Malaysia

Eye on Malaysia ialah gelaran kepada sebuah roda pemerhatian raksasa setinggi 60 meter dengan 42 buah buaian atau gondola yang boleh berputar 360 darjah di Kuala Lumpur.

Eye on Malaysia sehari sebelum hari pelancaran Tahun Melawat Malaysia.
Eye on Malaysia.

Berharga RM30 juta, buaian raksasa berhawa dingin yang didirikan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Januari 2007. Pada 8 November 2008, Eye on Malaysia telah dipindah ke negeri Melaka, iaitu di Kota Laksamana berdekatan Sungai Melaka.

Pada 30 September 2010, Eye on Malaysia akhirnya ditanggalkan untuk dijual kepada pembeli luar [1]

Daya tarikan

Antara yang menarik pada Eye on Malaysia ini ialah apabila berada di atas sekali, seseorang dapat melihat pemandangan ibu kota dalam lingkungan 20 km.

Eye on Malaysia merupakan roda pemerhatian yang terbesar di Asia Tenggara (sebelum diatasi Singapore Flyer) dan juga buaian roda mudah alih terbesar di dunia. Buaian ini setinggi 60 meter dan mampu menanggung beban seberat 25 tan. Buaian ini istimewa kerana ia didirikan khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

Pada tahun 2007, Eye on Malaysia menyajikan pelbagai acara menarik seperti teater air, pancaran laser diikuti dengan muzik yang menarik, pertunjukan bunga api (hingga 3 Februari) dan pertunjukan air (hingga bulan Mac 2007).

Harga tiket

Harga tiket bagi kanak-kanak ialah RM8, manakala dewasa RM15 untuk 6 kali pusingan yang mengambil masa lebih kurang 15 minit. Eye on Malaysia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Dengan pemilikan MyKad, harga akan dipotong sebanyak 50%.

Rujukan

Pautan luar