Jed

batu hiasan

Jed (Jawi: جيد, [jéd])[1] atau giok (Jawi: ݢيوق) ialah batu permata terdiri dari dua jenis galian silikat yang berlainan. Jed nefrit terdiri daripada galian aktinolit, sejenis amfibol yang kaya dengan kalsium dan magnesium (agregat yang juga membentuk satu bentuk asbestos). Batu yang dikenali sebagai jadeitit pula terdiri hampir sepenuhnya dari jadeit, sejenis piroksen yang kaya dengan natrium dan aluminium.

Batu jed

Peristilahan

Perkataan "jed" merupakan turunan bahasa Inggeris jade yang diambil dari istilah Sepanyol piedra de ijada "batu pinggang" kerana ia dipercayai kononnya berkesan merawat penyakit pinggang dan buah pinggang - istilah asal tersebut pertama kali direkod pada 1565.[2] Istilah ini dominan di Malaysia[1] dan Singapura.

"Giok" pula pinjaman bahasa Min Selatan gio̍k 玉,[3] istilah ini lebih dominan di Indonesia baik melalui bentuk bakunya ("batu giok")[4] mahupun dalam jenis bahasa Melayu lain dituturi di kawasan tertentu dalam negara tersebut seperti di Aceh.[5]

Sifat geologi dan kimia

Bongkah jed berwarna putih krim di Muzium Budaya Hotan, China.

Disebabkan kedua-dua jenis jed digunakan dalam budaya Zaman Batu dan Gangsa bagi tujuan yang serupa serta keserupaan rupa, kedua-dua mineral ini tidak dapat dibezakan sehingga tahun 1863 oleh ahli mineralogi Perancis, Alexis Damour.[6]

Nefrit terdiri daripada matriks gentian hablur mikro berselang-seli yang terdiri daripada siri mineral tremolit (kalsium dan magnesium) ke feroaktinolit (kalsium, magnesium dan besi) sementara mineral di tengah-tengah julat ialah aktinolit. Warna hijau pada jed bergantung kepada kandungan besi di dalam ketulan; peningkatan kepekatan zat besi membawa kepada hijau yang lebih pekat. Tremolit boleh dijumpai dalam batuan kapur metamorf, dan aktinolit pula dijumpai dalam batuan syis. Jadeit pula merupakan piroksen yang kaya dengan natrium dan aluminium, dan hanya dijumpai dalam batuan metamorf. Mineral nefrit mempunyia nilai kekerasan Mohs sebanyak 6.0 ke 7.0, sama kukuh dengan kuarza sementara jadeit pula sedikit lebih rapuh dengan nilai 6.0 ke 6.5.

Nefrit boleh didapati dalam warna putih krim serta pelbagai jenis hijau muda, tetapi jadeit memiliki lebih banyak variasi warna, termasuk biru, perang, merah, hitam, hijau tua, lavender dan putih.[7] Daripada kedua-duanya, jadeit lebih jarang dijumpai – didokumentasikan di kurang daripada 12 tempat di seluruh dunia. Jadeit berwarna zamrud ialah jenis yang paling berharga, baik daripada segi sejarah serta kontemporari. Burma dan Guatemala adalah sumber utama batu permata jadeit moden. Di daerah Mogaung di Daerah Myitkyina, Burma Atas, jadeit membentuk lapisan di atas lapisan serpentin hijau gelap, dan telah digali dan dieksport selama lebih dari seratus tahun.[8] Selain itu, Kanada menyediakan bahagian utama nefrit lapidari moden.

Dalam budaya

Batu jed banyak menghiasi barang kemas seperti cincin, rantai, gelang, serta alat perhiasan rumah. Lebih penting lagi, ia merupakan simbol kemuliaan, maruah, dan ketinggian taraf. Tukang-tukang yang membuat perhiasan jed adalah antara orang yang terkaya di China. Corak yang biasanya menjadi pilihan ialah corak pic, itik mandarin, rusa, kelawar, serta ikan. Setiap corak ada maksud tersendiri.

Asia Timur

Penerapan batu jed dalam kebudayaan Cina berlaku sejak zaman Neolitik dan seterusnya, dan merupakan batu utama dalam seni ukiran Cina. Walaupun jadeit hijau pekat dan terang lebih terkenal di Eropah, dalam sebahagian besar sejarah China, jed terdapat dalam pelbagai warna dan nefrit berwarna putih "lemak daging kambing" merupakan jenis yang paling dihargai. Sumber asli jed di Henan dan sepanjang Yangtze dieksploitasi sejak zaman prasejarah dan sebahagian besar sumber asal telah habis; kebanyakan batu jed Cina kini diekstrak dari wilayah barat laut Xinjiang. Secara khusus, warna dan kualiti pelindungnya yang halus[9] menyebabkan batu jed dikaitkan dengan konsep-konsep berkaitan jiwa dan keabadian.[10] Perihal berkaitan jed juga diterapkan dalam kebudayaan tak ketara seperti bidang keagamaan.

Penerapan budaya jed terawal Jepun dikesan di kawasan bandar moden Itoigawa, Niigata, dengan sejarah penerapan berlaku kira-kira 5,000 tahun lepas.[11][12] Dalam kebudayaan Jepun dan Korea, perhiasan jed lazim digunakan sebagai perhiasan dalam upacara pengebumian, dengan batuan jed lazim dibentuk kepada bentuk koma (magatama), dan dalam budaya Jepun, batuan jed dikaitkan dengan kekuasaan dan kekuasaan. Di samping itu, magatama turut muncul dalam kebudayaan Korea kuno, seawal Zaman Tembikar Mumun (s. 850–550 SM) dan berterusan ke zaman Silla serta Tiga Kerajaan Korea.[13] Walau bagaimanapun, penerapan jed dalam budaya Jepun terhenti kira-kira selepas zaman Nara.[14] Di Korea pula, pembudayaan jed hilang pengaruh tatkala adat-adat pengebumian Buddhisme menjadi semakin lazim.

Peradaban India

Antara binaan jed tertua di India ialah patung Mahavira di kuil Jainisme, Kolanpak di Telangana dengan usia sekitar 2,000 tahun, dan dipercayai diukir daripada sebongkah jed tunggal.[15] Kegunaan jed dalam peradaban India memuncak pada zaman Empayar Mughal, dan dipercayai diwarisi daripada Wangsa Timuriyah. Para raja Negara Hyderabad (1724–1948) lazim memiliki pedang-pedang dengan hulu diperbuat daripada jed.

Asia Tenggara

Tiga butir azimat jed, lingling-o yang digali dari Vietnam.

Batuan permata jed di kawasan utara Burma disifatkan sebagai berharga dalam rujukan-rujukan Cina sejak abad ke-10, dan kini masih memainkan peranan sebagai negara pengeluar jed utama dunia. Bermula dari 1930-an, penggalian arkeologi di Filipina menemui bukti penerapan perhiasan jed yang merangkumi masyarakat Austronesia kuno di Asia Tenggara, dan bermula kira-kira pada 2000 SM hingga 1000 Masihi.[16] Jed-jed yang digunakan dikesan berasal dari sebuah deposit berdekatan bandar Hualien moden di Taiwan, dan diproses di pelbagai tempat di Asia Tenggara. Pembudayaan ini mewujudkan sebuah jaringan perdagangan laut purba yang merangumi seluruh Asia Tenggara, malah lebih awal dari Laluan Sutera di tanah besar Eurasia.[17]

Māori

Mata kail jed Māori, hei matau

Jed jenis nefrit di New Zealand dikenali sebagai pounamu dalam bahasa Māori, dan memainkan peranan penting dalam kebudayaan Māori. Batuan ini dianggap sebagai taonga, atau harta karun, dan oleh itu, dilindungi di bawah Perjanjian Waitangi, dengan eksploitasi jed itu dihalang dan diawasi dengan ketat. Namun begitu, pounamu hanya dijumpai di Pulau Selatan New Zealand. Pounamu dikatakan bertambah kuasa prestijnya (mana) setiap kali diwarisi kepada generasi seterusnya, menjadikan pounamu dengan sejarah paling turun-temurun sebagai pounamu yang paling berharga. Penggunaan jed dalam budaya Māori adalah meluas, merangkumi penggunaan upacara serta praktikal; sebarang pounamu yang tidak lagi digunakan sebagai barangan utiliti kekal digunakan sebarang barang perhiasan.[18]

Lain-lain

Eropah

Bilah-bilah kapak daripada jed bertarikh asal seawal milenium ke-4/5 SM telah ditemui di beberapa kawasan di Eropah Utara dan Tengah, terutamanya di Kepulauan British dan Switzerland.[19][20][21][22] Walau bagaimanapun, penggunaan jed dalam hal ini paling kemungkinan hanya sebagai mata wang atau pertukaran hadiah.[23] Di samping itu, tiada budaya jed ditemui di kawasan timur dan selatan Eropah.

Mesoamerika

Penggunaan jed di Mesoamerika dalam upacara-upacara simbolik dan kepercayaan sangat dipengaruhi oleh kelangkaan jed di situ serta nilainya dalam budaya pra-Columbus, seperti masyarakat Olmek dan Maya. Walaupun artifak jed telah dibuat dan dihargai oleh banyak masyarakat Mesoamerika, lembah Sungai Motagua di Guatemala dianggap sebagai sumber tunggal batu jadeit yang diekstrak di wilayah ini.[24] Dalam budaya-budaya berkenaan, jed lazimnya dikaitkan dengan konsep serta dewa berkaitan alam semula jadi, nyawa dan kesuburan.[25]

Zaman moden

Kini, jed masih dilombong sebagai bautan permata utama dunia, dan menjadi batuan permata lazim dalam barangan-barangan kemas kontemporari. Sumber batuan jed ditemui di Siberia pada abad ke-19, dan kini, Rusia dianggarkan memiliki khazanah batuan jed sebanyak 336 tan.[26] Di Kanada pula, pelombongan komersial bermula pada 70-an oleh Loex James Ltd. yang ditubuhkan oleh dua orang warga California (Amerika).[27]

Industri

Peta negara-negara pengeluar jed utama dunia.

70% bekalan jadeitit bermutu tinggi dunia datang dari negara Myanmar.[28][29] Sebilangan besar jadeit Myanmar dieksport ke negara lain, terutama di kawasan Asia untuk digunakan dalam perhiasan serta bahan kesenian. Sebilangan besar pengeluaran dilakukan oleh Myanmar Gem Enterprise (MGE), sebuah syarikat milik negara yang memiliki aset yang cukup untuk menampung syarikat selama 172 tahun.[30] Deposit jadeit yang terdapat di wilayah utara Myanmar merupakan sumber jadeit berkualiti tinggi di dunia, dan dicatat oleh bahan rujukan China sejak abad ke-10. Budaya Cina banyak meningkatkan nilai kebudayaan terhadap batu jed; dengan pengaruh mereka yang mengukuh di Myanmar, begitu juga industri jed dan amalan mengeksport mineral tersebut.

Walau bagaimanapun, pelombongan jed di Myanmar sarat dengan kontroversi, termasuk masalah korupsi dan monopoli oleh golongan atasan serta junta tentera Myanmar,[31] konflik yang terbit daripada perebutan pemilikan industri jed serta insiden-insiden kemalangan di kawasan lombong. Sebagai contoh, insiden tanah runtuh di lombong Hpakant pada 2020 mengorbankan kira-kira 175 ke 200 orang buruh.[32][33]

Selain Myanmar, jed juga diekstrak di kawasan seperti selatan Australia,[34] pesisir barat laut Amerika Utara[35] dan Taiwan.[36]

Rujukan

Sumber utama
  • Bale, Martin T. and Ko, Min-jung. Craft Production and Social Change in Mumun Pottery Period Korea. Asian Perspectives 45(2):159-187, 2006.

Bacaan lanjut

Pautan luar