PlayStation 3

PlayStation 3 (Jepun: プレイステーション 3,, Hepburn: Pureisutēshon Surī) (singkatan: PS3) ialah sebuah konsol permainan video yang dibangunkan dan dipasarkan oleh Sony Interactive Entertainment. Konsol ini merupakan pengganti kepada konsol PlayStation 2, mula diumumkan secara rasmi menerusi acara E3 2005 dan telah dilancarkan pada 11 November 2006 di Jepun[2], 17 November 2006 di kawasan Amerika Utara[3] dan pada 23 Mac 2007 di Eropah[4] dan Australia. Konsol PS3 merupakan salah satu daripada konsol permainan video generasi ke-7, di samping konsol Xbox 360 yang dibangunkan oleh Microsoft dan konsol Nintendo Wii yang dibangunkan oleh Nintendo.

PlayStation 3
PlayStation 3 logo
PlayStation 3 logo

Model asal, Alat pengawal DualShock dan model Slim
Atas: Versi asal dan logo PlayStation baru
Kiri:
Model pertama PlayStation 3 (2006)
Kanan:
Model slim PlayStation 3 (2009)
PembangunSony Computer Entertainment
PengilangSony, Foxconn, ASUSTeK[1]
Keluarga produkPlayStation
JenisKonsol permainan video
GenerasiGenerasi ketujuh
Ketersediaan runcit
  • Amerika Syarikat 17 November 2006
  • Kesatuan Eropah 23 Mac 2007
  • Jepun 11 November 2006
Ditamatkan
  • NZ: 29 September 2015
  • EU: Mac 2016
  • AU: Mac 2016
  • NA: Oktober 2016
  • JP: 29 Mei 2017
MediaCakera Blu-Ray, DVD, Cakera padat, Cakera Permainan PS2
CPUCell Broadband Engine 3.2 GHz dengan 1 PPE & 7 SPEs
Muatan storanCakera keras tetap SATA 2.5 inci (20 GB, 40 GB, 60 GB, 80 GB, 120 GB, 160 GB, 250 GB, 320 GB atau 500 GB)
Ingatan256 MB (memori sistem) dan 256 MB (memori video)
Perkhidmatan
dalam talian
PlayStation Network
Permainan terlarisGrand Theft Auto V, 34 juta
PendahuluPlayStation 2
PenggantiPlayStation 4
Laman sesawanghttp://www.playstation.com/ps3/

Konsol PS3 merupakan konsol pertama yang menggunakan pemain cakera optik terbina Blu-ray sebagai media storan[5]. Ianya juga merupakan konsol PlayStation pertama yang mengintegrasikan perkhidmatan permainan sosial, termasuklah PlayStation Network[6] serta konsol pertama yang boleh dikawal menggunakan konsol mudah alih, melalui sambungan kawalan jauh pada PlayStation Portable dan PlayStation Vita[7]. Pada bulan September 2009, model Slim bagi konsol PS3 ini telah dikeluarkan dan model ini tidak lagi menyokong keupayaan untuk mengendalikan permainan video yang dikeluarkan untuk konsol PlayStation 2[8]. Model ini lebih ringan dan nipis berbanding model asal serta menggunakan logo dan pemasaran yang telah direka bentuk semula, selain memaparkan animasi but yang sedikit berbeza[8]. Variasi Super Slim kemudian telah dikeluarkan lewat tahun 2012, dengan reka bentuk yang dikemaskini.

Di waktu awal pelancaran, rata-rata memberikan reaksi pelbagai terhadap konsol PS3 ini, kerana harga jualan yang tinggi, penggunaan seni bina pemproses yang kompleks dan kurang permainan video yang berkualiti namun pujian diberikan kepada penggunaan teknologi Blu-ray serta "potensi yang belum diterokai". Pasaran konsol PlayStation 3 ini pada mulanya tidak begitu memberangsangkan[9] namun begitu ianya mula mendapat sambutan, terutamanya setelah pengenalan kepada model Slim dan telah terjual sebanyak 87.4 juta unit, lebih banyak berbanding Xbox 360, menjadikan konsol PS3 ini konsol kelapan paling laris dalam sejarah konsol permainan video. Pengganti konsol ini, PlayStation 4 dikeluarkan pada bulan November 2013. Pada 29 September 2015, Sony mengesahkan pasaran PlayStation 3 akan ditamatkan di New Zealand, namun konsol ini masih lagi dikeluarkan untuk pasaran lain[10]. Pada bulan Mac 2016, tiada lagi pengeluaran unit baru bagi pasaran Eropah dan Australia serta di kawasan Amerika Utara pada bulan Oktober 2016[11][12]. Menjelang tahun 2017, Jepun merupakan kawasan terakhir di mana unit baru konsol PS3 masih lagi dikeluarkan sehinggalah 29 Mei 2017, apabila Sony mengesahkan bahawa pasaran PlayStation 3 ditamatkan di sana[11][12][13][14].

Sejarah

Pembangunan

Pembangunan konsol PlayStation 3 bermula seawal 9 Mac 2001 apabila Ken Kutaragi, Presiden Sony Interactive Entertainment pada ketika itu mengumumkan kerjasama di antara Sony, Toshiba, dan IBM untuk membangunkan reka bentuk mikropemproses Cell[15]. Pada masa itu, Shuhei Yoshida merupakan Presiden Pembangunan Perisian PlayStation Global yang bertanggungjawab dalam aspek pembangunan permainan video yang akan dikeluarkan untuk konsol-konsol di bawah jenama PlayStation[16]. Pada bulan September 2004, Sony mengatakan bahawa konsol PlayStation 3 akan menggunakan pemain Blu-ray, di samping berupaya memainkan cakera DVD dan CD[17], kemudian pada bulan Disember berikutnya, NVIDIA telah diumumkan sebagai rakan reka bentuk bagi membangunkan cip pemproses grafik konsol ini[18]. Di awal tahun 2005 pula, Sony kini memfokuskan dalam membangunkan permainan video yang akan dilancarkan di samping PS3[15].

Konsol PlayStation 3 diperlihatkan kepada umum secara rasmi pada 16 Mei 2005 semasa dalam acara E3 2005[19], di samping reka bentuk prototaip alat pengawal Sixaxis yang berbentuk seakan bumerang[20]. Namun begitu, konsol sebenar yang berfungsi tidak dipertunjukkan dalam acara itu[21], atau semasa dalam acara Pertunjukkan Permainan Tokyo yang diadakan pada bulan September 2005[22] walaupun demonstrasi permainan video (seperti permainan video Metal Gear Solid 4: Guns of the Patriots[21]) yang dijalankan menerusi kit pembangunan perisian dan perkakasan komputer yang memiliki spesifikasi yang lebih kurang sama diperlihatkan dalam kedua-dua acara itu. Video pendek yang berdasarkan kepada ramalan spesifikasi konsol PlayStation 3 juga dipaparkan (terutamanya dalam paparan demonstrasi teknologi Final Fantasy VII)[23].

Prototaip awal yang dipertunjukkan pada bulan Mei 2005 itu mengandungi dua sambungan HDMI, tiga sambungan Ethernet dan enam sambungan USB[24]. Namun begitu, dalam acara E3 2006 pula, bilangan sambungan pada konsol yang dipertunjukkan kini berkurangan kepada satu sambungan HDMI, satu sambungan Ethernet dan empat sambungan USB, berkemungkinan bagi mengurangkan kos[25][26]. Dua varian perkakasan diumumkan bagi konsol PS3 ini; varian 20 GB ditawarkan pada harga US$499 (€499) dan varian 60 GB ditawarkan pada harga US$599 (€599)[25]. Hanya varian 60 GB sahaja yang memiliki sambungan HDMI, sambungan Internet tanpa wayar, pembaca kad kilat dan kemasan berwarna krom dengan logo yang berwarna perak[25]. Tarikh untuk pasaran global bagi kedua-dua varian ini juga diumumkan, iaitu pada 11 November 2006 untuk pasaran di Jepun dan 17 November 2006 untuk pasaran Amerika Utara dan Eropah[27].

Pelancaran

Beberapa orang pelanggan bermalam di sekitar kedai permainan 24 jam sebelum pasaran konsol PS3 di kawasan Amerika Utara bermula.

PlayStation 3 mula dipasarkan di Jepun pada 11 November 2006, tepat pukul 7 pagi[2]. Menurut pengamal media Jepun Media Create, sebanyak 81,639 unit konsol PS3 telah terjual dalam masa 24 jam selepas ianya mula dipasarkan[28]. Terdapat laporan yang mengatakan bahawa segelintir ahli perniagaan Jepun mengupah sekumpulan warga China beratur di kedai-kedai permainan video bagi mendapatkan konsol PS3 ini tanpa pembelian permainan video tambahan pada hari pertama jualan konsol PS3 dilancarkan di sana[29].

Selepas pasaran Jepun, konsol PS3 mula dipasarkan di kawasan Amerika Utara pada 17 November 2006[3]. Ada beberapa insiden buruk dilaporkan semasa hari itu. Terdapat laporan mengenai seorang pelanggan yang ditembak, perompak yang bersenjata api merompak pelanggan-pelanggan yang berkhemah di sekitar kedai[30] dan insiden tembakan rambang yang melibatkan beberapa orang pelanggan yang sedang beratur bagi mendapatkan konsol PS3 ini[31]. Terdapat juga laporan mengenai kekecohan yang berlaku pada hari pertama konsol PS3 dipasarkan di kedai-kedai permainan sekitar Amerika Syarikat yang memaksa polis bertindak meleraikan keadaan[32]. Selain kawasan Amerika Utara, konsol PS3 juga mula dipasarkan di Hong Kong dan Taiwan pada hari yang sama[33].

Sony pada awalnya merancang untuk memulakan pasaran konsol PlayStation 3 di seluruh dunia bermula November 2006, namun begitu pada September 2006, pasaran di Eropah dan kawasan lain (terutamanya yang menggunakan format video PAL) ditangguhkan sehingga Mac tahun berikutnya[34][35]. Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Sony, mereka menyatakan bahawa penangguhan ini adalah disebabkan oleh kelewatan pembuatan komponen diod laser biru secara besar-besaran yang tidak mengikut jadual[35]. Diod ini merupakan komponen utama dalam pembuatan pemain cakera optik Blu-ray[36]. Khabar angin mengenai kekurangan bekalan komponen ini mula tersebar apabila terdapat laporan yang menyatakan bahawa Sony menggantung penghantaran bekalan komponen ini untuk pembuatan pemain cakera optik Blu-ray kendiri buat sementara waktu[34]. Pada 24 Januari 2007, Sony mengumumkan konsol PlayStation 3 akan mula dipasarkan bermula 23 Mac 2007 di kawasan Eropah, Australasia, Timur Tengah, Afrika dan Rusia dan hanya varian 60 GB yang ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi sahaja dipasarkan buat masa ini.[37][4].

Pada 7 Mac 2007, konsol PS3 dengan varian 60 GB mula dipasarkan di Singapura dengan harga SGD 799 menerusi majlis pengenalan yang telah diadakan di pusat beli belah Clarke Quay[38]. Di Emiriah Arab Bersatu, varian 60 GB ini dipasarkan dengan harga 2499 Dirham menerusi acara majlis pelancaran yang dibuat secara besar-besaran yang dianjurkan Sony dengan persembahan penyanyi Shakira bertempat di litar Dubai Autodrome[39][40]. Pada 27 April 2007, konsol PS3 mula dipasarkan di India dengan harga Rs 39,990 untuk varian 60 GB[41]. Di Mexico pula, konsol PS3 dipasarkan menerusi varian 20 GB yang dijual dengan harga MXN 10,495[42]. Manakala di Korea Selatan, konsol PlayStation 3 mula dipasarkan pada 16 Julai 2007 versi tunggal yang dilengkapi dengan storan bersaiz 80 GB dan IPTV dengan harga 518,000 KRW[43]. Varian 80 GB ini juga mula dipasarkan untuk pasaran di Malaysia bermula pada 20 September 2008 menerusi acara majlis pengenalan yang diadakan di pusat beli belah 1 Utama, di mana Sony menawarkan sebanyak 150 pakej yang mengandungi konsol PS3, permainan video Soul Calibur IV dan beberapa cenderamata yang lain kepada pembeli terawal[44][45].

Model Slim

Sony mengumumkan model terbaru bagi konsol PlayStation 3 (nombor model CECH-2000) pada 18 Ogos 2009 menerusi sidang akhbar dalam acara Sony Gamescom[46]. Secara tak rasmi dikenali sebagai Slim, model ini memiliki saiz dan ketebalan kerangka badan konsol yang lebih nipis berbanding model asal, kurangnya penggunaan kuasa dan menawarkan sistem penyejukkan yang lebih senyap[47]. Pada masa yang sama, logo baru bagi konsol PS3 ini juga diperkenalkan yang menggantikan logo sedia ada yang menggunakan tema seakan Spider-Man, serta penggunaan perkataan "PS3" yang menggunakan reka bentuk seakan konsol PS2[48].

Model Slim mula dipasarkan di kawasan Amerika Utara bermula pada 1 September 2009 dengan harga $299, di Eropah dengan harga €299 dan di United Kingdom dengan harga £249.99[49]. Harga yang ditawarkan ini adalah lebih rendah berbanding dengan harga bagi model asas konsol PS3, dan menurut Sony, mereka kini berdepan dengan kerugian atas setiap konsol yang dijual[46]. Di Hong Kong, model baru ini dijual dengan harga HK$2,399 menerusi acara majlis pengenalan yang diadakan bermula pada pukul 6 petang waktu Hong Kong dan bertempat di kawasan beli belah Causeway Bay[50]. Hong Kong merupakan kawasan pertama di dunia yang menerima model Slim ini[51] kerana perbezaan zon masa serta pasaran model ini di Jepun yang ditangguhkan kepada 3 September 2009[49].

Di Malaysia, model Slim mula dipasarkan bermula 31 Oktober 2009 dengan varian tunggal 120 GB berwarna hitam yang dijual dengan harga RM 1,299[52]. Di Singapura pula, model ini dipasarkan pada bulan yang sama dengan harga SGD 512[53].


Perkakasan

Cip mikropemproses NVIDIA RSX Reality Synthesizer pada papan induk PlayStation 3

Konsol PlayStation 3 memproses data menggunakan cip mikropemproses berteraskan kepada set suruhan PowerPC yang dikenali sebagai Cell berjenis 64-bit yang dibangunkan dengan kerjasama Sony, Toshiba dan IBM[54]. Cip mikropemproses ini terdiri daripada pemproses tunggal Power Processing Element (PPE) (Elemen Pemprosesan Kuasa) berkelajuan 3.2 GHz dan lapan pemproses Synergistic Processing Elements (SPE) (Elemen Pemprosesan Sinergi)[55]. Hanya enam daripada tujuh pemprosesan SPE sahaja yang boleh diakses oleh pembangun manakala SPE ketujuh diperuntukkan bagi kegunaan dalaman sistem operasi konsol ini[56]. SPE kelapan pula walaupun termasuk dalam cip mikropemproses Cell, namun ianya tidak digunakan[56][57]. Secara keseluruhannya, prestasi cip mikropemproses ini mampu memuncak sehingga 153.6 GFLOP bagi titik apung nombor kepersisan tunggal atau sehingga 15 GFLOP bagi titik apung nombor kepersisan berganda.

Grafik untuk konsol PS3 ini diproses menerusi cip mikropemproses grafik Nvidia RSX Reality Synthesizer, yang berupaya mengeluarkan paparan resolusi bermula daripada paparan standard 480i/576i sehingga paparan berdefinisi tinggi 1080p[58]. Prestasi yang ditonjolkan cip ini dikatakan menyamai cip mikropemproses NVIDIA G70 yang bakal dikeluarkan untuk pasaran komputer[59] dan mampu memproses grafik sehingga 500 MHz dan memiliki memori ingatan capaian rawak berkapasiti 256 MB dari jenis GDDR3[60]. Cip RSX ini juga berupaya mengeluarkan paparan pada 2 skrin serentak[60]. Kerjasama Nvidia dalam menghasilkan cip mikropemproses untuk konsol PS3 mula kedengaran seawal tahun 2003 apabila terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Sony sedang mencari bentuk kerjasama bagi membangunkan cip mikropemproses grafik untuk konsol akan datang, walaupun pada ketika itu Sony menafikan khabar angin tersebut[61]. Konsol PS3 memiliki memori capaian rawak yang bersaiz 256MB menggunakan senibina XDR DRAM yang dilesenkan oleh pemegang hak cipta intelek Rambus Inc.[62] di mana kadar pemindahan data dianggarkan sebanyak 3.2 Gbps[55].

Selain itu, konsol PS3 mempunyai komponen Bluetooth versi 2.0, yang menyokong sehingga tujuh sambungan alatan yang menggunakan Bluetooth serentak dan juga sambungan Internet tanpa wayar yang tersedia bagi kesemua varian kecuali varian 20 GB. Terdapat juga pembaca kad imbas (yang menyokong penggunaan kad imbas berjenis Memory Stick, SD/MMC dan CompactFlash/Microdrive pada varian 60 GB dan varian 80 GB untuk nombor model bermula dengan CECHExx. Konsol PS3 juga memiliki sambungan Ethernet, HDMI 1.4 dan USB 2.0.

Alat pengawal

Sixaxis

Alat pengawal tanpa wayar Sixaxis (jenama rasmi "SIXAXIS") merupakan alat pengawal tanpa wayar rasmi untuk PlayStation 3 sehingga digantikan dengan alat pengawal DualShock 3. Kesemua alat pengawal Sixaxis yang dijual tidak termasuk dengan kabel USB ke mini USB, tidak termasuk dengan alat pengawal Sixaxis yang dijual bersama konsol. Nama Sixaxis juga merujuk kepada teknologi pengesanan gerakan yang digunakan dalam alat pengawal ini serta DualShock 3.

Alat pengawal ini direka berdasarkan kepada alat pengawal DualShock 2 yang mengekalkan ciri-ciri seperti butang yang sensitif kepada tekanan, susun atur butang serta reka bentuk. Namun begitu, alat pengawal ini mempunyai ciri-ciri tambahan seperti penggunaan teknologi Bluetooth untuk kawalan tanpa wayar serta memiliki teknologi pengesanan gerakan. Alat pengawal ini tidak disertakan motor gegaran. Sixaxis mengubah butang "Analog" yang terdapat dalam DualShock 2 kepada butang berlogo PlayStation yang digunakan untuk mengakses menu pada konsol.

DualShock 3

Alat pengawal DualShock 3

DualShock 3 menggantikan alat pengawal Sixaxis sebagai alat pengawal utama untuk konsol PlayStation 3. Ia memiliki ciri-ciri yang sama seperti Sixaxis tetapi dengan keupayaan gegaran. DualShock 3 juga mempunyai reka bentuk serupa dengan Sixaxis dengan perbezaan hanyalah pada cetakan "DUALSHOCK 3" yang terdapat pada bahagian atas alat pengawal. Fungsi gegaran yang terdapat pada alat pengawal ini tidak mengganggu fungsi pengesanan gerakan, malah ianya boleh digunakan bersama-sama[63]. DualShock 3 juga merupakan alat pengawal tanpa wayar yang mempunyai input USB mini yang digunakan untuk pengecasan bateri.

DualShock 3 dilancarkan bersama-sama dengan konsol PlayStation di Jepun pada 11 Januari 2008, pada mulanya terdapat dalam dua warna iaitu hitam dan putih ceramik, yang berpadanan dengan model konsol baru yang dilancarkan[64]. Pada 6 Mac 2008, DualShock 3 versi perak satin telah dikeluarkan di Jepun, juga bersama-sama dengan model konsol berwarna yang sama[65]. Pada 30 Oktober 2008, Sony telah memulakan pengeluaran konsol PlayStation 3 bersama alat pengawal DualShock 3[66].

Perisian sistem

Sistem operasi yang digunakan dalam konsol PlayStation diberi nama CellOS, sistem operasi yang berteraskan kepada FreeBSD berdasarkan kepada rekod pengenalan TCP/IP, PlayStation 3 dikenalpasti sebagai FreeBSD[67]. Sistem pengaturcaraan untuk enjin 3D pula menggunakan LibGCM dan PSGL[68], namun begitu kebanyakkan pembangun menggunakan LibGCM yang menawarkan prestasi yang tinggi[69].

PlayStation 3 menggunakan XrossMediaBar (XMB) sebagai antaramuka grafik yang juga digunakan dalam konsol PlayStation Portable, kebanyakkan television Sony BRAVIA serta beberapa produk Sony yang lain. XMB memaparkan ikon yang mendatar di paparan skrin yang dilihat sebagai menu utama. Pengguna boleh memilih menu dengan menggerakkan ke kiri atau ke kanan menggunakan alat pengawal. Apabila sesuatu menu utama dipilih, beberapa menu kecil biasanya akan keluar sama ada dari atas atau ke bawah.

Sokongan OtherOS

Sistem operasi Ubuntu yang dijalankan menggunakan konsol PlayStation 3.

Konsol PlayStation 3 pada awalnya dipasarkan dengan keupayaan untuk memasang sistem operasi lain (sama ada sistem operasi yang berteraskan Linux atau Unix) yang boleh dijalankan bersama sistem operasi utama konsol[70][71]. Untuk menjalankan sistem operasi yang lain ini, hanya enam daripada tujuh pemproses Elemen Pemprosesan Sinergi (SPE) di dalam mikropemproses Cell sahaja yang boleh digunakan, manakala cip grafik RSX Reality Synthesizer tidak boleh digunakan. Sistem operasi ini boleh diakses sama ada daripada pemasangan di dalam storan cakera keras atau daripada CD melalui menu yang dipaparkan pada paparan antara muka XMB konsol PS3[72].

Keupayaan menjalankan sistem operasi lain atau dikenali juga dengan nama "OtherOS" ini tidak disediakan pada model Slim atau terbaharu[73], dan ciri ini juga kemudiannya dikeluarkan dari model asal sebagai sebahagian daripada kemaskini sistem versi 3.21 yang dikeluarkan pada 1 April 2010[74][70]. Sony menyatakan bahawa faktor keselamatan merupakan sebab kenapa ciri ini dikeluarkan[71][75]. Kemaskini versi 3.21 juga diwajibkan jika pemain ingin menggunakan perkhidmatan PlayStation Network[76] .

Langkah yang dikenakan ini telah menyebabkan kontroversi kerana ramai berpendapat ciri ini telah dipromosikan secara rasmi bagi konsol yang telah terjual. Oleh kerana itu, beberapa notis tuntutan telah difailkan kepada Sony untuk mengembalikan ciri ini atau memberikan pampasan yang setimpal.[77][78]. Pada 8 Disember 2011, hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, Richard Seeborg menolak kes tuntutan terakhir berkaitan isu ini (tuntutan yang lain juga turut ditolak), menyatakan bahawa "Dari segi undang-undang, ....plaintif gagal mengemukakan fakta atau menghuraikan teori di mana Sony boleh dikenakan pertuduhan"[79].

Pada tahun 2016, Sony bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak USD3.75 juta setelah pihak mahkamah di Amerika Syarikat meluluskan penyelesaian melalui tuntutan yang telah dibuat oleh beberapa plaintif[80][81]. Walaupun begitu, pampasan ini hanya dibayar kepada pemilik konsol PS3 model asal yang dijual di antara 1 November 2006 sehingga 1 April 2010 untuk varian 20 GB, 40 GB, 60 GB dan 80 GB sahaja[82].

Pepijat tahun lompat

Pada 1 Mac 2010, model asas konsol PlayStation 3 versi awal di seluruh dunia mengalami kegagalan berkaitan dengan sistem waktu dalaman konsol, apabila sistem tersalah dalam mengenalpasti tarikh 1 Mac sebagai 29 Februari yang menyebabkan konsol PS3 gagal berfungsi dengan baik[83]. Terdapat pelbagai simptom yang dialami sebelum Sony mengenalpasti punca atas kejadian ini. Pada mulanya, masalah dikatakan berpunca daripada kegagalan sistem untuk berhubung kepada perkhidmatan atas talian PlayStation Network. Namun begitu, terdapat pemain yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan atas talian juga mengalami masalah untuk memasang permainan video luar talian (di mana sebahagian daripada permulaan proses pemasangan ini adalah berhubung dengan waktu sistem) dan menggunakan tema asas sistem.

Pada masa yang sama juga, kebanyakkan pemain mendapati bahawa waktu yang dipaparkan dalam konsol kini menunjukkan tarikh 1 Januari 2000[84]. Kegagalan yang berpunca daripada sistem waktu konsol ini digelar sebagai "ApocalyPS3", gabungan di antara perkataan apocalypse (malapetaka) dan PS3 yang merupakan singkatan kepada nama PlayStation 3. Kod kegagalan yang berkaitan dengan masalah ini biasanya akan dipaparkan sebagai 8001050F[85] dan ianya memberi kesan kepada pemain untuk log masuk ke konsol, bermain permainan video, menggunakan tema antara muka dinamik dan melihat atau menyelaras trofi[86]. Masalah berkaitan dengan sistem waktu konsol ini hanya berlaku kepada model asas konsol PS3, dan tidak terkesan kepada model Slim atau model baharu[86] kerana model-model ini menggunakan perkakasan dalaman yang berbeza untuk sistem waktu. Model yang dikeluarkan untuk pembangun dan media yang berasaskan kepada versi awal juga terkesan dengan masalah kegagalan ini[84].

Sony mengesahkan mengenai kegagalan ini dan menyatakan bahawa mereka sedang mencari punca dan berusaha untuk memulihkan keadaan itu[87]. Pada 2 Mac 2010, pemain yang memiliki versi asas PS3 ini dilaporkan berjaya berhubung dengan perkhidmatan PlayStation Network[88] dan waktu yang dipaparkan tidak lagi menunjukkan tarikh 1 Januari 2000[83]. Keadaan ini berlaku dengan sendirinya tanpa kemaskini segera atau tindakan sementara[88]. Sony menyatakan bahawa model yang terkesan ini tersilap dalam menentukan tahun 2010 sebagai tahun lompat, kerana terdapat pepijat dalam memori penyimpanan tarikh yang berdasarkan kepada penentuan perpuluhan berkod perduaan (BCD)[85][89]. Walaupun begitu, bagi kebanyakkan pemain yang mengemaskini sistem waktu untuk sistem operasi konsol berdasarkan kepada kemaskini atas talian, mereka perlu menyelaras kembali secara manual atau menggunakan Internet[87][89].

Pada 29 Jun 2010, Sony mengeluarkan kemaskini sistem perisian PS3 versi 3.40, yang menambah baik kefungsian sistem waktu dalaman bagi penentuan tahun lompat yang dikurangkan kepada 2 tahun, berbanding empat tahun sekali sebelum ini[90].


Penggunaan lain

Superkomputer

Spesifikasi yang terdapat dalam konsol PlayStation 3 ini digunakan untuk mencipta superkomputer[91]. Pada 3 Januari 2007, Dr. Frank Mueller, Profesor Madya dalam Sains Komputer di NCSU menggabungkan 8 kelompok PlayStation 3[92]. Mueller mengatakan bahawa memori sistem yang terdapat dalam konsol ini tidak mampu menjalankan beberapa aplikasi yang memaksa beliau untuk menggabungkan konsol ini bersama[93]. Perisian yang dijalankan beliau termasuklah Fedora Core 5 Linux ppc64, MPICH2, OpenMP v 2.5, GNU Compiler Collection dan CellSDK 1.1[94]. Sebagai jalan alternatif kepada penjimatan kos untuk membeli superkomputer yang biasa, pihak tentera Amerika Syarikat juga membeli beberapa konsol PlayStation 3 dan digabungkan sebagai superkomputer bertujuan untuk melakukan kajian[95].

Pada November 2010, Makmal Penyelidikan Air Force (AFRL) membina superkomputer yang berprestasi sangat tinggi dengan menggabungkan 1,760 konsol PlayStation 3 termasuklah 168 cip mikropemproses untuk grafik dan 84 pelayan yang menyelaras kesemua proses yang mampu melaksanakan sebanyak 500 TFLOPS[96]. Superkomputer ini merupakan superkomputer ke-33 terbesar di dunia dan digunakan untuk menganalisis imej berdefinisi tinggi yang dihantar dari satelit[97].

Pada Disember 2008, sekumpulan penggodam menggabungkan 200 konsol PlayStation 3 untuk menggodam sekuriti SSL[98].

Perubatan

Pada 22 Mac 2007, Sony Computer Entertainment dan Universiti Stanford melebarkan projek Folding@home kepada konsol PlayStation 3[99]. Pengguna PlayStation 3 akan bersama-sama dengan beribu-ribu komputer lain membantu dari segi kuasa dan prestasi komputer bertujuan untuk mengkaji ketidakseimbangan protin dalam badan dan penyakit yang berkaitan seperti Alzheimer, Parkinson, Huntington dan beberapa jenis kanser[100]. Perisian yang berkaitan dengan kajian ini merupakan sebahagian daripada kemaskini perisian sistem operasi PlayStation versi 1.6 (22 Mac 2007) dan pengguna boleh memilih sama ada ingin dijalankan secara manual atau automatik apabila PS3 tidak digunakan menerusi antara muka XrossMediaBar. Kuasa pemproses dari kesemua konsol PlayStation 3 banyak menyumbang kepada projek ini dan PlayStation 3 menduduki tangga ketiga di belakang pemproses NVIDIA dan AMD dari segi sumbangan FLOPS[101]. Pada November 2012, Sony mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan servis ini kepada pengguna PlayStation 3 menerusi kemaskini sistem versi 4.30[100].

eHiTS Lightning merupakan perisian untuk saringan perubatan maya pertama dikeluarkan untuk PlayStation 3, dan dikeluarkan oleh pembangun SimBioSys[102][103]. Aplikasi ini mampu dijalankan 30 kali lebih pantas pada konsol PlayStation berbanding dengan komputer biasa.


Rujukan