Provinsi

Provinsi ialah nama untuk sebuah entiti subnegara lazimnya dalam sesebuah negara (ataupun negeri). Ia datang daripada pembahagian yang digunakan semasa zaman Empayar Rom yang disebut sebagai provincia.

Peristilahan

Perkataan "provinsi" merupakan serapan daripada bahasa Perancis Lama province turunan perkataan bahasa Latin provincia yang disebutkan tadi, ia kata majmuk yang berasal daripada pro- ("bagi pihak") dan vincere ("menguasai") — dengan kata yang lain, sebuah provinsi ialah sebuah wilayah atau fungsi yang dikuasai oleh seorang pegawai bergelar magistratus bagi pihak kerajaannya. Dari banyak segi, provinsi-provinsi ini lebih serupa dengan tanah-tanah jajahan moden yang dieksploitasikan tanpa hak-hak yang sama. Secara ironi, hak-hak yang sama telah diberikan sejak mula-mulanya kepada coloniae yang merupakan petempatan-petempatan tempatan yang lebih kecil, dan yang sering diasaskan oleh para bekas perajurit.

Penamaan tempat ini turut diturunkan kepada bahasa-bahasa Romawi seperti berikut:

  • Itali: provincia
  • Sepanyol: provincia
  • Portugis: província
  • Perancis: province - digunakan di Kanada
    • Belanda: provincie - di Belanda dan Belgium
    • bahasa Inggeris: province - juga di Kanada

Bagaimanapun, kesemua istilah turunan ini diberikan takrifan pentadbiran sepadan yang berbeza-beza. Di Perancis, Sepanyol, dan Itali, provincia merupakan bentuk kerajaan yang tertier, iaitu seakan-akan kaunti di dalam sebuah kawasan. ia turut diterapkan dalam kawasan dipenagruhi kuasa-kuasa ini (contoh Perancis, ungkapan en province masih cenderung bererti "di luar kawasan Paris", en provincias di Perubermaksud "di pinggir kota Lima").

Berbagai-bagai kawasan di seberang laut Empayar British mempunyai gelaran jajahan Provinsi yang mempunyai maksud yang lebih serupa dengan maksud Rom, seperti Provinsi Kanada dan Provinsi Australia Selatan (untuk membezakannya daripada 'tanah-tanah jajahan' untuk hukuman di bahagian-bahagian Australia yang lain).

Kelaziman mengikut negara

Indonesia

Indonesia terdiri daripada 37 provinsi yang setiap satunya dipimpin seorang "gubernur" atau gabenor. Provinsi-provinsi ini pula dibahagikan kepada kabupaten dan kota. Banyak kawasan provinsi pada zaman reformasi yang dimekarkan menjadi dua bahagian yang rata-rata provinsi dengan luas daerah yang cukup besar agar cekap dalam penerapan pembangunan yang sama rata.

Kedudukan provinsi di Indonesia secara hukum diatur dalam Undang-Undang Dasar 1945 Bab VI tentang Pemerintah Daerah; Pasal 18 disebutkan bahawa negara Indonesia "terbagi atas daerah-daerah provinsi yang tiap-tiap provinsi mempunyai pemerintahan daerah untuk mengatur dan mengurus sendiri urusan pemerintahan menurut asas otonomi dan tugas pembantuan yang diatur dengan undang-undang".

China

Provinsi (dalam Bahasa Cina: ; pinyin: shěng) iaitu bahagian pentadbiran peringkat pertama negara Republik Rakyat China;[1] sebanyak 23 buah provinsi yang dalam kawalan termasuk pulau Taiwan secara bersejarahnya, status Taiwan sangat dipertikaikan antara pihak Komunis dan Nasionalis sejak berakhirnya Perang Saudara China.

Kanada

Provinsi (bahasa Inggeris: province) merupakan bahagian peringkat pertama pentadbiran setaraf wilayah (bahasa Inggeris: territory; territoire) di Kanada, namun dibezakan mengikut kekuasaan yang diamanahkan: wewenang sesebua provinsi diberikan mengikut Perkara 91, 92 dan 93 Perlembagaan Kanada 1897 manakala wilayah diberikan wewenang secara terus dari Parlimen Kanada.

Aspek sejarah dan budaya

Di Perancis, ungkapan en province masih cenderung bermaksud "di luar kawasan Paris". (Ungkapan yang sama ini juga digunakan di Peru, di mana en provincias bermaksud "di luar bandar raya Lima"). Sebelum Revolusi Perancis, Perancis terdiri daripada beberapa kerajaan (seperti Ile-de-France yang dibina di demesne Dinasti Capet yang awal), dengan sesetengah kerajaan ini dianggap sebagai 'provinsi', walaupun istilah itu telah dipergunakan dalam bahasa basahan untuk memerihalkan kawasan-kawasan yang kecil serupa manor (châtellenie). Bagaimanapun, Grands Gouvernements yang secara amnya merupakan bekas wilayah-wilayah feudal Zaman Pertengahan (atau aglomeratnya), paling biasa dirujuk sebagai 'provinsi'. Pada hari ini, Grands Gouvernements ini kekadang digantikan dengan en région disebabkan istilah itu kini dipergunakan sebagai satu peringkat sekunder kerajaan yang rasmi.

Dari segi sejarah, Fernand Braudel telah menggambarkan provinsi-provinsi Eropah — terdiri daripada banyak kawasan kecil yang digelarkan oleh orang-orang Perancis sebagai pay, dan oleh orang-orang Switzerland sebagai kanton, dengan setiap kawasan mempunyai identiti budaya tempatan dan menumpukan kepada sebuah pekan pasar — sebagai sebuah unit politik yang mempunyai saiz optimum pada zaman praindustri Eropah Moden Awal dan bertanya: "Bukankah provinsi merupakan 'tanah air' penduduk yang benar?" (The Perspective of the World (Sudut Pandangan Dunia) 1984, m.s. 284). Perancis, sebuah negara bangsa awal yang diatur secara pusat, juga akan berkecai menjadi provinsi-provinsi autonomi di bawah tekanan seperti krisis Perang-perang Agama (1562 - 1598) yang berterusan.

Bagi ahli-ahli sejarah abad ke-19 dan ke-20, "kerajaan terpusat" telah dianggap sebagai suatu gejala kemodenan dan kematangan politik dalam kebangkitan Eropah. Kemudian pada akhir abad ke-20, ketika Kesatuan Eropah merapatkan negara-negara bangsa, daya-daya memusat kelihatan bergerak menujui sebuah sistem yang lebih fleksibel dan yang terdiri daripada entiti-entiti yang bersifat kerajaan provinsi setempat di bawah payung Eropah. Sepanyol, selepas Francisco Franco, ialah sebuah negara kesatuan secara rasmi tetapi sebenarnya, berfungsi sebagai sebuah persekutuan yang terdiri daripada Komuniti-komuniti Autonomi, dengan setiap komuniti mempunyai kuasa yang berbeza (sila lihat Politik Sepanyol). Ketika Serbia, "punggung" bekas Yugoslavia, bertempur dengan pengikut-pengikut faham pemisahan di provinsi Kosovo, United Kingdom pada waktu itu sedang mengasaskan parlimen-parlimen tempatan di Scotland, Wales, dan Ireland Utara )1988) di bawah prinsip politik, "penurunan kuasa".

Lihat juga

Sumber dan rujukan

Pautan luaran