Daerah Kota Kinabalu

daerah di Sabah, Malaysia

Daerah Kota Kinabalu merupakan sebuah daerah di Bahagian Pantai Barat, barat negeri Sabah, Malaysia. Pusat pentadbiran bagi daerah ini terletak di Bandaraya Kota Kinabalu, yang juga merupakan ibu negeri Sabah. Daerah Kota Kinabalu merupakan daerah kedua terkecil dan mempunyai paling ramai penduduk di negeri Sabah.

Daerah Kota Kinabalu
Peta daerah Kota Kinabalu
Peta daerah Kota Kinabalu
Lokasi Daerah Kota Kinabalu
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPantai Barat
Pusat pentadbiranKota Kinabalu
Pentadbiran
 • Pihak berkuasa tempatanDewan Bandaraya Kota Kinabalu
Keluasan
 • Jumlah352 km2 (136 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[1]
 • Jumlah500,425
 • Kepadatan1,400/km2 (3,700/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (WPM)
Poskod
88xxx; 89xxx
Nombor platSJ
Laman sesawangdbkk.sabah.gov.my/index.php/en/

Sejarah

Antara penempatan awal yang telah dibina oleh Syarikat Borneo Utara British di daerah ini adalah di Pulau Gaya. Namun penempatan awal ini telah dimusnahkan oleh pejuang tempatan iaitu Mat Salleh. Setelah pemberontakan ini, British mula memindahkan penempatan mereka ke tanah besar iaitu di sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Api-Api. Perkampungan ini juga telah dijadikan pelabuhan utama dan berkembang sehingga namanya ditukar kepada Jesselton.

Semasa Perang Dunia Kedua, Jesselton telah dibakar oleh tentera British agar bandar itu tidak jatuh ke tangan tentera Jepun. Beberapa siri pemberontakan telah berlaku semasa pemerintahan Jepun termasuklah Gerila Kinabalu yang dipimpin Albert Kwok. Semasa akhir peperangan, Jesselton telah dibom oleh tentera Pihak Bersekutu sehingga menyebabkan kemusnahan yang besar.

Selepas perang tamat, Syarikat Borneo Utara British telah menyerahkan Jesselton kepada Mahkota British kerana ketidakmampuan mereka dalam membangun semula Jesselton.[2]

Geografi

Daerah Kota Kinabalu terletak di pesisir pantai barat negeri Sabah. Daerah Kota Kinabalu bersempadan dengan daerah Putatan dan Penampang di selatan, daerah Tuaran di timur dan Laut China Selatan di barat. Daerah ini juga merupakan satu daratan sempit antara Banjaran Crocker dan kawasan pesisir pantai. Terdapat beberapa buah pulau di perairan daerah ini termasuklah Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Sulug, Pulau Mamutik dan Pulau Sepanggar.

Pentadbiran

Daerah Kota Kinabalu berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang berpusat di Kota Kinabalu. Pentadbiran daerah ini merangkumi kawasan dengan keluasan 352 kilometer persegi.

Demografi

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
2000372,047—    
2010462,963+24.4%
2020500,425+8.1%
Sumber: [3]

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Kota Kinabalu ialah seramai 500,425 orang dengan kepadatan penduduk 1,400 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat padat.[4] Majoriti penduduk di daerah Kota Kinabalu merupakan Bumiputera termasuklah etnik Rungus, Murut, Kadazandusun, Melayu Brunei dan Bajau.[1]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[4]
StatusBangsaJumlah
WarganegaraMelayu68,121
Bumiputera lain262,253
Cina77,306
India2,022
Lain-lain4,097
Bukan warganegara-86,626
Jumlah500,425

Agama

Di daerah Kota Kinabalu, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan lebih 60 peratus diikuti agama Kristian sebanyak 29 peratus dan agama Buddha sebanyak lapan peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[1]

Kemudahan

Daerah Kota Kinabalu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam di sekitar daerah. Terdapat 58 buah sekolah rendah, 24 buah sekolah menengah, 19 buah balai polis, dua buah balai bomba, lima buah hospital kerajaan, lapan buah klinik kesihatan, lapan klinik komuniti dan lima klinik desa di sekitar daerah.

Rujukan