Gobek api
Gobek api (Jawi: ݢوبيق اڤي ) ialah sejenis alat yang digunakan untuk menyalakan api dengan memampatkan udara yang terperangkap secara mendadak memanaskan rabuk.[1]
Teknologi ini amat meluas digunakan orang-orang Austronesia termasuk di rantau Nusantara dan Filipina sehingga sejauh Madagaskar; malah ia turut didapati di Indochina dan kawasan jauh timur seperti Yunnan dan Jepun.[2][3][4][5]
Rupa bentuk
Ia diperbuat daripada buluh, kayu atau tanduk terdiri daripada suatu tabung berukuran sekitar 8.3 sm panjang; pangkalnya berdiameter sekitar 1.3 sm yang ditebuk lubang sekitar 0.95 sm[6] untuk menempatkan rabuk yang ingin dinyalakan.[7] Sebatang kayu yang muat-muat dalam lubang ini ditujah untuk memampatkan kandungan dalam tabung serupa suatu omboh.
Prinsip
Pemampatan suatu jisim berbentuk gas lazim meningkatkan tekanan dan suhu gas tersebut sekaligus. Kenaikan suhu ini boleh menyusut jika pemampatan dilakukan secara perlahan-lahan. Haba akan agih-rata ke persekitaran. Udara yang dimampatkan segera mampu mencapai suhu mutlak cukup panas untuk memanas serta mengoksidakan rabuk sehingga mampu terbakar. Ruang yang ditekan padat ini mampu mengecil pada kadar 25:1 untuk mencapai kemampatan udara yang diinginkan.
Bahan yang digunakan untuk membina dan melincirkan gobek api ini dipastikan agar mamou bertahan pada perbezaan suhu yang mendadak. Rabuk yang ingin dinyalakan juga dipilih dari bahan mudah terbakar pada suhu agak rendah.
Penerapan dalam teknologi moden
Rudolf Diesel dipercayai terilham mereka enjin pembakaran beliau pada sekitar tahun 1892 daripada suatu syarahan dihadirinya di Sekolah Politeknik München di mana pengajarnya Carl von Linde menunjukkan suatu gobek api yang diperolehi Linde dari suatu jelajahnya di Pulau Pinang serta digunakan untuk menyalakan rokoknya.[8][4][9][10]
Rujukan
Pautan luar
- "Gobek Api : Teknologi Pemetik Api Orang Melayu Zaman Dahulu". Iluminasi.
- "Gobek Api", Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya
- "Fire Syringe", demonstrasi asas gobek api dari saluran Veritasium di YouTube
- The Firepiston: Ancient Firemaking Machine
- University of Bristol, School of Chemistry: The Fire Piston
- The Naked Scientists - How a fire piston works