Holokus di Romania

Holokus di Romania ialah peristiwa Holokus yang berlaku di Kerajaan Beraja Romania. 380,000 – 400,000 orang Yahudi mati di wilayah jajahan Romania, antaranya Bessarabia, Bukovina dan Transnistria.[1] Romania salah satu negara utama yang bertanggungjawab atas Holokus selain Jerman Nazi.[2][3][4]

Mayat dibuang dari kereta api yang membawa orang Yahudi yang diusir dari Iaşi

Pengenalan

Pada awal abad ke-20, Romania mula menyokong idea-idea anti-Yahudi terutamanya dalam penerbitan dan tulisan tokoh-tokoh terkemuka Romania, seperti AC Cuza, Nichifor Crainic, Nicolae Iorga, Nicolae Paulescu dan Ion Găvănescu, menulis tentang memisahkan orang Yahudi daripada orang Eropah.[5] Sebuah kumpulan yang dipanggil Pengawal Besi merupakan sebuah organisasi besar yang secara terbuka menyerang masyarakat Yahudi di Romania. Dahulunya sebuah kumpulan politik kecil di bawah nama Pengawal Nurani Kebangsaan, gerakan mereka berkembang pada tahun 1920 dengan penyertaan Corneliu Zelea Codreanu. Perpecahan dan perselisihan faham menyebabkan Corneliu dan yang lain meninggalkan gerakan itu dan membentuk Bala Tentera Malaikat Mikael pada tahun 1927, dan kemudian pada tahun 1930 mereka membentuk Pengawal Besi untuk bersatu dengan kumpulan nasionalis yang lain. Walaupun sudah menukar nama beberapa kali, kumpulan itu dikenali di media dan orang ramai sebagai organisasi "Legionari dan Pengawal Besi", yang memperjuangkan kepercayaan anti-komunis, anti-Yahudi dan fasis.[6]

Dasar dan perundangan kerajaan sebelum perang

Orang Yahudi dibunuh berhampiran Podilsk (Romania: Bârzula), semasa itu dijajah oleh Romania

Di Romania, undang-undang anti-Yahudi tidak dipengaruhi oleh Jerman tetapi sebenarnya dicipta oleh negara itu sendiri sebelum Jerman Nazi berkuasa. Apabila Jerman menjadi lebih berkuasa, Romania mengabaikan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat untuk melindungi golongan minoriti di negara itu selepas Perang Dunia Pertama. Undang-undang anti-Yahudi di Romania biasanya tertumpu kepada mempergunakan mereka daripada cuba merendahkan mereka seperti di Jerman.[7]

Pada akhir tahun 1937, kerajaan Octavian Goga berkuasa, menjadikan Romania negara yang bersifat anti-Yahudi dengan terbuka yang kedua di Eropah.[8][9] Romania menjadi negara Eropah yang kedua selepas Jerman yang meluluskan undang-undang anti-Yahudi, dan satu-satunya selain Jerman yang berbuat demikian sebelum Anschluss 1938.[10][11] Selain Jerman, Romania adalah satu-satunya negara yang melengkapi semua langkah dalam proses memusnahkan orang Yahudi, daripada mentakrifkan mereka hingga membunuh.[12][13]

Keganasan anti-Yahudi dan pengusiran

Biat di Bucharest dibakar semasa sebuah pogrom, Januari 1941
Romania mengeluarkan IC khas untuk orang Yahudi semasa perang. Dokumen sedemikian menghalang pemegangnya daripada dihantarkan ke kem buruh paksa.

Holokus Romania berlaku tanpa kawalan Nazi. Romania, satu-satunya sekutu Nazi, melakukan kempen genosid terhadap orang Yahudi dengan sendiri tanpa bantuan SS Heinrich Himmler.[14] Pembunuhan orang Yahudi di wilayah Soviet yang diduduki Romania adalah "pembasmian kaum yang dilakukan secara berasingan daripada pelan Penyelesaian Akhir Nazi". Ia merupakan pembasmian Yahudi yang terbesar oleh tentera bukan Jerman.[15] Romania juga menolak arahan Nazi untuk mengusir orang Yahudi Romania ke kem tahanan Belzec.[16] Romania bahkan lebih giat dalam Holokus semasa minggu pertama Operasi Barbarossa. Ini dipuji oleh Adolf Hitler pada 19 Ogos 1941: "Adapun Isu Yahudi, kini memang pasti lelaki seperti Antonescu jauh lebih radikal dalam hal ini daripada kita setakat ini." Rejim Ion Antonescu membunuh wanita dan kanak-kanak Yahudi, membasmi seluruh komuniti Yahudi, sedangkan Nazi Jerman masih membunuh lelaki Yahudi sahaja.[17]

Rujukan