In-Team ‘04 merupakan sebuah album yang dihasilkan oleh kumpulan In-Team pada tahun 2004. Album ini amat unik kerana ia tidak lagi menggunakan perkataan "kasih" sepertimana judul tiga album mereka terdahulu selain menampilkan susunan muzik yang lebih agresif. Sepertimana ketiga-tiga album studio In-Team sebelum ini, album In-Team '04 juga diterbitkan oleh Hijjaz Records, tetapi diedarkan oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa iaitu EMI setelah kontrak edaran bersama NAR Records tamat selepas album Damba Kasih dikeluarkan.
Album ini terdiri daripada 10 buah lagu, dan lagu pertama yang dimuatkan di dalam album ini ialah "Setanggi Syurga". Album ini juga merupakan album terakhir In-Team bersama Hijjaz Records dan juga terakhir bersama Suhaimi.