Penawanan Babylonia

Penawanan Babylonia atau pembuanganan ke Babylon dalam sejarah Yahudi adalah zaman yang mana ramai orang Yudea dari Kerajaan Yehuda purba dipaksa berpindah ke Babylonia oleh Empayar Babylon Baru.[1] Pengusiran berlaku dalam pelbagai gelombang: Selepas pengepungan Baitulmuqaddis pada 597 SM, lebih kurang 7000 individu telah diusir ke Mesopotamia. Lebih ramai lagi diusir selepas kemusnahan Baitulmuqaddis dan Kuil Sulaiman pada 587 SM.[1]

Pelarian Banduan (1896) oleh James Tissot; pembuangan orang Yahudi dari Kanaan ke Babylon

Dalam riwayat Alkitab, selepas Pertempuran Karkemis pada 605 SM, raja Babylonia Nebukadnezar II mengepung Baitulmuqaddis, yang kemudian menyebabkan raja Yudea Yoyakim perlu membayar ufti.[2] Pada tahun keempat pemerintahan Nebukadnezar II, Yoyakim enggan membayar lagi ufti, mencetuskan lagi pengepungan kota itu pada tahun ketujuh pemerintahan Nebukadnezar II (598/597 SM) yang memuncak dengan kematian Yoyakim dan pembuangan pengganti baginda Yekonia, seisi istana dan ramai orang ke Babylonia; Pengganti Yekonia, Zedekia dan lain-lain dibuang negeri apabila Nebukadnezar II memusnahkan Baitulmuqaddis pada tahun ke-18 (587 SM), dan pengusiran berlaku lagi pada tahun ke-23 pemerintahan Nebukadnezar II (582 SM). Walau bagaimanapun, tarikh, bilangan pengusiran, dan bilangan orang yang diusir berbeza-beza mengikut riwayat Alkitab.[3][4]

Alkitab menceritakan selepas Empayar Babylon Baru jatuh ke kuasa Empayar Hakhamaniyah dalam Pertempuran Opis pada 539 SM, orang Yudea dibenarkan oleh Parsi untuk kembali ke Yehuda.[5][6] Menurut Kitab Uzair dalam Alkitab, pembinaan Bait Kedua di Baitulmuqaddis bermula s. 537 SM di Yehud Medinata, wilayah baru Parsi. Seluruh peristiwa ini penting dalam sejarah dan budaya bangsa Yahudi dan telah banyak memberi kesan terhadap agama Yahudi.[1]

Kajian arkeologi mendedahkan walaupun kota Baitulmuqaddis telah musnah, bahagian-bahagian lain Yehuda terus didiami semasa zaman pembuangan. Rekod sejarah dari Mesopotamia dan sumber Yahudi menunjukkan sebahagian besar penduduk Yahudi pilih untuk terus tinggal di Mesopotamia. Ini akhirnya menyebabkan pemapanan komuniti Yahudi yang agak besar di Mesopotamia, yang dinamakan <i id="mwQw">golah</i> (penyebaran), yang berterusan sehingga zaman moden.[1] Masyarakat Yahudi Iraq, Yahudi Parsi, Yahudi Georgia, Yahudi Bukhara, dan Yahudi Gunung dipercayai datang daripada keturunan golongan yang dibuang negeri ini; banyak komuniti ini kini telah berhijrah ke Israel.[7][8]

Periwayatan Alkitab

Papan batu tanah liat. Tulisan pepaku Akadia menyenaraikan jumlah makanan yang diberikan dan menyebut Raja Yekonia (Yoyakhin) dari Yehuda, yang telah ditawan oleh orang Babylon. Dari sekitar 580 SM semasa pemerintahan Nebukadnezar II. Artifak ini kini berada di Muzium Vorderasiatisches di Berlin.

Pada akhir abad ke-7 SM, Kerajaan Yehuda merupakan negeri naungan empayar Assyria. Dalam dekad-dekad terakhir abad ke-7 SM, Assyria dijatuhkan oleh Babylon, salah satu wilayah Assyria. Mesir, yang bimbang dengan kebangkitan mendadak empayar Babylon Baru, mengambil alih wilayah Asyur sehingga ke Sungai Furat di Syam, tetapi Babylon menyerang balik. Pada masa yang sama Yosia, raja Yehuda, terbunuh semasa bertempur dengan orang Mesir dalam Pertempuran Megido (609 SM) .

Selepas tentera Firaun Nekho dikalahkan Babylon di Karkemis pada tahun 605 SM, Yoyakim mula membayar ufti kepada Raja Babylon Nebukadnezar II. Beberapa golongan bangsawan muda Yehuda dibawa ke Babylon.

Pada tahun-tahun berikutnya, golongan istana Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua pihak, satu menyokong Mesir, satu lagi Babylon. Selepas Nebukadnezar ditewaskan oleh Mesir dalam pertempuran pada tahun 601 SM, Yehuda memberontak terhadap Babylon, menyebabkan pengepungan selama tiga bulan ke atas Baitulmuqaddis pada hujung tahun 598 SM.[9] Yoyakim, raja Yehuda, mangkat semasa pengepungan[10] dan digantikan oleh putera baginda Yoyakhin (juga dipanggil Yekhonya) pada usia lapan belas tahun.[11] Kota itu jatuh pada 2 Adar (16 Mac) 597 SM,[12] dan Nebukadnezar menjarah Baitulmuqaddis dan Kuilnya dan membawa Yekhonya, seisi istana dan golongan pembesar lain (termasuk nabi Yehezkiel) ke Babylon.[13] Zedekia bapa saudara Yoyakim dilantik menjadi raja pengganti, tetapi orang Yahudi yang dibuang ke Babylon tetap menganggap Yekhonya sebagai raja mereka dalam pembuangan, atau pemerintah sebenar yang sah.

Walaupun diberi amaran oleh Nabi Yeremia dan penyokong-penyokong Babylonia lain, Zedekia memberontak terhadap Babylon dan berpakat dengan Firaun Hofra. Nebukadnezar kembali, mengalahkan Mesir, dan sekali lagi mengepung Baitulmuqaddis, mengakibatkan kota itu musnah pada tahun 587 SM. Nebukadnezar memusnahkan tembok kota dan Bait Suci mereka, serta rumah-rumah golongan pembesar. Zedekia dan putera-putera baginda ditangkap dan putera-puteranya dihukum mati di hadapan Zedekia, lalu mata baginda dicungkil dan baginda dibawa ke Babylon bersama ramai yang lain (Yer 52:10–11). Yehuda menjadi wilayah Babylonia, dipanggil Yehud, menamatkan Kerajaan Yehuda yang merdeka (disebabkan tahun-tahun yang hilang dalam kalendar Yahudi, sumber oleh rabai-rabai meletakkan tarikh kemusnahan Kuil Pertama pada 3338 AM (423 SM)[14] atau 3358 AM (403 SM)).[15]

Ilustrasi dalam Tawarikh Nuremberg tentang kemusnahan Baitulmuqaddis di bawah pemerintahan Babylon

Gabenor pertama yang dilantik oleh Babylon ialah Gedalya, seorang penduduk asli Yehuda; dia menggalakkan ramai orang Yahudi yang melarikan diri ke negeri-negeri sekitar seperti Moab, Amon dan Edom untuk kembali, dan berusaha untuk memakmurkan semula negeri itu. Beberapa ketika kemudian, seorang ahli kerabat diraja yang masih hidup membunuh Gedalya dan penasihat-penasihat dari Babylonnya, menyebabkan ramai yang lari ke Mesir. Pada penghujung dekad kedua abad ke-6 SM, selain yang tinggal di Yehuda, terdapat komuniti Yahudi yang besar di Babylon dan di Mesir; ini merupakan permulaan masyarakat-masyarakat Yahudi yang kemudiannya tinggal secara kekal di luar Yehuda sebagai diaspora Yahudi.

Menurut Kitab Uzair, Cyrus Agung dari Parsi menamatkan pembuangan mereka pada 538 SM,[16] tahun selepas baginda menawan Babylon.[17] Pembuangan itu berakhir dengan kepulangan Putera Zerubabel (kerana baginda keturunan raja Daud) dan Imam Besar Yosua (keturunan bekas Imam-imam Besar Bait Suci) dan pembinaan semula Kuil Kedua dari 521 hingga 516 SM.[16]

Garis masa

Jadual berikut berdasarkan buku Rainer Albertz, Israel in exile, yang itu pula berdasarkan teks-teks alkitabiah.[18] (Garis masa lain juga boleh dipertimbangkan.)

TahunPeristiwa
609 SMKematian Yosia.
609–598 SMPemerintahan Yoyakim (menggantikan Yoahas, yang menggantikan Yosia tetapi memerintah 3 bulan sahaja). Mula memberi ufti kepada Nebukadnezar pada 605 SM. Pengusiran pertama, kononnya termasuk Nabi Daniel.
598/7 SMPemerintahan Yoyakhin (memerintah 3 bulan). Pengepungan dan kejatuhan Baitulmuqaddis.
Pengusiran kedua, 16 Mac 597.
597 SMZedekia dijadikan raja Yehuda oleh Nebukadnezar II dari Babylon.
594 SMKomplot anti-Babylon.
587 SMPengepungan dan kejatuhan Baitulmuqaddis. Kuil Sulaiman musnah.
Pengusiran ketiga Julai/Ogos 587.
583 SMGedalya, gabenor Wilayah Yehud yang dilantik oleh Babylonia, dibunuh.
Ramai orang Yahudi melarikan diri ke Mesir dan pengusiran keempat ke Babylon mungkin juga berlaku.
562 SMPembebasan Yoyakhin selepas 37 tahun dalam penjara Babylon.[19] Terus tinggal di Babylon.
539 SMParsi menakluki Babylon (Oktober).
538 SMDekri Cyrus membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitulmuqaddis.
520–515 SMKepulangan ramai orang Yahudi ke Yehud di bawah pemerintahan Zerubabel dan Imam Besar Yosua.
Batu-batu dasar Kuil Kedua mula diletakkan.

Rujukan

Pautan luar