7 Perhentian

Filem seram misteri Malaysia 2004 arahan Prof. Madya Dr A. Razak Mohaideen
(Dilencongkan dari Tujuh Perhentian)

7 Perhentian (juga disebut Tujuh Perhentian) ialah filem seram misteri Malaysia 2004 arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen, lakonan Farid Kamil dan Erra Fazira sebagai watak utama.[1] Skrip filem ini terpaksa dirombak semula setelah mendapat bantahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana dikatakan mengandungi unsur tahyul apabila menunjukkan perhubungan roh dengan manusia.[2] Filem ini ditayangkan di pawagam pada 14 November 2004. Filem ini ditayangkan serentak dengan filem I Know What You Did Last Raya (2004) pada Hari Raya Aidilfitri.[3][4]

7 Perhentian
Poster keluaran tayangan
PengarahProf. Madya A. Razak Mohaideen
Penulis
  • Saniboey Ismail (skrip)
  • A. Razak Mohaideen (konsep)
Lakon layarAzhari Zain
Dihasilkan oleh
  • Abdul Latiff Mohaideen
  • David Teo (eksekutif)
  • Ahmad Puad Onah (eksekutif)
Dibintangi
Disunting olehMariam Ibrahim
Muzik olehHattan
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
  • 14 November 2004 (2004-11-14) (Malaysia)
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Pecah panggungRM1.1 juta

Sinopsis

Amirul ialah seorang CEO di sebuah syarikat kurier. Dia mengalami masalah besar apabila barang kurier berharga RM150,000 didapati hilang. Ini menyebabkan Amirul mengalami kerugian dan menyebabkan syarikat yang dibukanya bersama isterinya itu jatuh ke tangan rakan kongsi mereka. Lebih mengecewakan, isterinya Mira tidak pernah memberi kata semangat sebaliknya memperkecil-kecilkan Amirul dan sering saja mencari punca bertikam lidah.

Pada suatu hari Amirul bertekad untuk meninggalkan rumah bagi mencari ketenangan. Amirul memandu seorang diri dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru melalui tujuh perhentian lebuh raya iaitu Nilai, Seremban, Ayer Keroh, Machap, Pulai, Yong Peng dan Skudai. Sewaktu di perhentian pertama dia berkenalan dengan seorang gadis jelita bernama Sue. Dalam masa yang singkat Amirul telah jatuh cinta pada Sue, kerana Sue memiliki kualiti yang tidak pernah dimiliki isterinya. Namun, ketika mereka hampir sampai ke perhentian ke tujuh, suatu halangan datang menduga. Amirul akhirnya mengetahui bahawa Sue, gadis yang dicintainya itu sudah meninggal dunia, dua hari lalu!

Pelakon

Penerbitan

7 Perhentian diarahkan oleh Profesor Madya Abdul Razak Mohaideen, dengan lakonlayar ditulis bersama Azhari Zain dan skrip oleh Saniboey Mohd Ismail. Tenaga kerja termasuk Erman Maharam sebagai Penolong Pengarah, Hashim Rejab sebagai Penerbit Penyelaras dan Zainal Abidin Othman sebagai Pengarah Fotografi. Penggambaran dijalankan selama 23 hari, bermula 20 Disember 2003 hingga 11 Januari 2004. Lokasi penggambaran terdiri daripada Restoran Jejantas Sungai Buloh, kawasan rehat dan rawat Nilai dan Seremban, Janda Baik (Pahang), Shah Alam (Selangor) dan Kuala Lumpur. Skrip filem ini terpaksa dirombak selepas menerima bantahan daripada JAKIM kerana didapati mengandungi unsur tahyul apabila menunjukkan perhubungan roh dengan manusia.

Keluaran

7 Perhentian ditayangkan pada 14 November 2004 di pawagam seluruh Malaysia, serentak dengan tayangan filem I Know What You Did Last Raya pada Hari Raya Aidilfitri.[5] Ia meraih kutipan sebanyak RM1.1 juta.[6]

Rujukan

Pautan luar