Anjing besar Denmark

baka anjing dari Jerman
(Dilencongkan dari Anjing Denmark besar)

Anjing besar Denmark, great dane,[a] dogge Jerman, atau mastif Jerman[b] ialah satu baka anjing pemburu penglihatan-mastif besar Jerman, yang diturunkan daripada anjing pemburu Zaman Pertengahan yang digunakan untuk memburu beruang, babi hutan, dan rusa. Ia juga digunakan sebagai anjing penjaga bagi kebangsawanan Jerman. Ia merupakan salah satu daripada dua baka anjing terbesar di dunia, sekali dengan anjing pemburu serigala Ireland.[1][2][3]

Anjing besar Denmark
Nama lain
  • Great dane
  • Dogge Jerman
  • Mastif Jerman
  • Anjing pemburu babi hutan Jerman
Negara asalJerman
Trait
Berat50–82 kg (110–180 lb)
TinggiJantan76–90 sentimeter (30–35 in)
Betina71–84 sentimeter (28–33 in)
Jangka hayat10.6 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah

Pada pertengahan abad keenam belas, kebangsawanan di banyak negara di Eropah mengimport anjing kuat dan bertungkai panjang daripada saiz dan fenotip berlainan, sesetengahnya daripada jenis mastif atau grehaun, dari England dan Ireland.[4] Anjing-anjing ini dipanggil Englische Docke atau Englische Tocke – kemudiannya ditulis dan dieja: Dogge – atau Englischer Hund di Jerman. Nama itu hanya memaksudkan "anjing Inggeris". Sejak itu, perkataan bahasa Inggeris "dog" telah dikaitkan dengan anjing molossoid di Jerman[5] dan di Perancis.[6] Anjing-anjing ini dibiakbakakan di pekarangan kebangsawanan Jerman, bebas daripada kaedah Inggeris, sejak permulaan abad ke-17.[7][8]

Anjing-anjing ini digunakan untuk memburu beruang, babi hutan, dan rusa di istana putera, dengan anjing kegemaran yang tinggal di kamar tidur tuan masing-masing pada waktu malam. Kammerhunde (anjing kamar) ini dilengkapi dengan kolar berhias dan membantu untuk melindungi para putera raja yang sedang tidur daripada pembunuh upahan.[9][10]

Semasa memburu babi hutan atau beruang, Englische Dogge ialah anjing tangkap yang digunakan selepas anjing pemburu lain untuk menahan beruang atau babi hutan berkenaan di tempatnya sehingga pemburu dapat membunuhnya. Apabila adat perburuan berubah, khususnya oleh sebab penggunaan senjata api, banyak jenis anjing terlibat lenyap. Englische Dogge menjadi jarang dan hanya dibela sebagai anjing hobi atau kemewahan.

Perubahan nama

Pada tahun 1878, sebuah jawatankuasa dibentuk di Berlin yang mengubah nama "Englische Dogge" (terbitan mastif Inggeris) kepada "Deutsche Dogge" ("dogge Jerman", "mastif Jerman"), iaitu great dane. Ini meletakkan asas untuk permulaan perkembangan baka ini.[11][12] Semasa abad ke-19, anjing ini dikenali sebagai "German boarhound" ("anjing pemburu babi hutan Jerman") di negara-negara berbahasa Inggeris.[13] Sesetengah pembiak baka Jerman mencuba untuk memperkenalkan nama "German Dogge" ("dogge Jerman") dan "German Mastiff" ("mastif Jerman") di pasaran Inggeris, kerana mereka percaya bahawa baka ini patut dipasarkan sebagai anjing kemewahan dan bukan sebagai anjing pekerja.[7] Walau bagaimanapun, oleh sebab ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara Jerman dengan Perancis dan Britain, anjing ini kemudian dirujuk sebagai "Great Dane" ("[anjing] besar Denmark"), terjemahan harfiah daripada nama baharu yang diberikan kepadanya oleh pihak Perancis, Grand Danois ("[anjing] besar Denmark"),[14] walaupun baka ini tidak mempunyai hubungan yang diketahui dengan Denmark. Di Jerman, ia kekal dikenali sebagai "Deutsche Dogge" ("dogge Jerman").[15] Dalam bahasa-bahasa Skandinavia, nama dan sebutan Perancis, iaitu granddanois, digunakan.

Perihal

Anjing besar Denmark perang kekuning-kuningan (betina)
Anjing besar Denmark brindle (jantan)

Anjing besar Denmark ialah anjing bela jinak amat besar daripada jenis mastif-pemburu penglihatan yang terkenal kerana saiz besarnya. Ia kerap digelar "Apollo segala anjing".[16][17]

Seperti yang diperihalkan oleh American Kennel Club:

Great dane menggabungkan, dalam penampilan agungnya, kekuatan dan keanggunan dengan saiz besar dan tubuh berkuasa, cukup terbentuk, dan sehalusnya berotot. Ia merupakan salah satu baka pekerja gergasi, tetapi unik kerana pengakuran umumnya mestilah seimbang dengan sangat baik sehingga tidak langsung kelihatan cemerkap, dan akan bergerak dengan jangkauan jauh dan dorongan berkuasa.[16] Great dane ialah baka berbulu pendek dengan sosok kuat dan menderap.[18]

Dari segi nisbah antara panjang dengan tinggi, anjing besar Denmark patut berbentuk segi empat sama. Anjing jantan patut setinggi tidak kurang daripada 30 in (76 cm) pada paras bahu, betina pula setinggi 28 in (71 cm). Anjing besar Denmark di bawah ketinggian minimum hilang kelayakan.[16] Selama bertahun-tahun, anjing hidup tertinggi biasanya ialah great dane. Pemegang rekod terdahulu termasuk Gibson, Titan, dan George; walau bagaimanapun, pemegang rekod semasa ialah seekor anjing besar Denmark hitam bernama Zeus yang berdiri setinggi 111.8 cm (44.0 in) pada paras bahu sebelum kematiannya pada September 2014.[19] Ia juga merupakan anjing tertinggi dalam rekod (menurut Guinness World Records),[19] yang mengalahkan pemegang sebelumnya, George yang tersebut di atas yang berdiri setinggi 109.2 cm (43.0 in) pada paras bahu.[20]

Berat minimum untuk anjing besar Denmark berumur lebih daripada 18 bulan ialah 120 lb (54 kg) untuk jantan dan 100 lb (45 kg) untuk betina.[18][21] Yang menariknya, American Kennel Club menggugurkan syarat berat minimum daripada piawaiannya.[22] Jantan patut kelihatan lebih besar secara keseluruhan daripada betina dengan bingkai lebih besar dan tulang lebih berat.[16]

Anjing besar Denmark mempunyai telinga berbentuk segi tiga yang terkelepai secara semula jadi. Pada masa lalu, semasa anjing besar Denmark umumnya digunakan untuk memburu babi hutan, pemotongan telinga dilakukan untuk mengurangkan kemungkinan kecederaan pada telinga anjing semasa perburuan. Memandangkan anjing besar Denmark kebanyakannya haiwan pendamping, pemotongan telinga kadang-kadang masih dilakukan atas sebab tradisional dan kosmetik. Pada tahun 1930-an, semasa anjing besar Denmark mempunyai telinga terpotong, selepas pembedahan, dua peranti yang dipanggil bonet Paskah dipasang pada telinganya untuk menaikkan telinga.[23] Kini, amalan ini masih umum di Amerika Syarikat, tetapi jauh lebih jarang di Eropah. Di sesetengah negara Eropah seperti United Kingdom, Ireland, Denmark, dan Jerman, dan di sebahagian Australia dan di New Zealand, amalan ini diharamkan atau dikawal untuk hanya dilakukan oleh pakar bedah veterinar.

Lapis bulu

Anjing besar Denmark biru
Anak anjing besar Denmark hitam dengan telinga terpotong
Anjing besar Denmark harlekuin dengan telinga terpotong
Anjing besar Denmark merle kelabu

Mengikut piawaian baka, Great Danes mempunyai enam hingga tujuh (bergantung pada piawaian) warna bulu yang boleh diterima untuk pertunjukan:[16][11][12]

  • Perang kekuning-kuningan dan brindle
    • Perang kekuning-kuningan: Warnanya ialah kuning-emas dengan topeng hitam. Hitam patut muncul di pinggir mata dan di kening dan mungkin muncul pada telinga.
    • Brindle: Warnanya ialah perang kekuning-kuningan dan hitam dalam corak berjalur sevron. Ia kerap juga dirujuk sebagai anjing bercorak berjalur.
  • Hitam, harlekuin, dan mantel
    • Hitam: Warnanya ialah hitam berkilat. Tanda-tanda putih pada dada dan jari kaki tidak diingini dan dianggap sebagai kecacatan.
    • Harlekuin: Warna asasnya ialah putih metah dengan tompok-tompok hitam koyak yang tertabur secara tidak teratur di serata tubuh; leher putih metah lebih diutamakan. Tompok-tompok hitam tidak patut langsung cukup besar untuk memberikan penampilan liputan, mahupun sangat kecil sehingga memberikan kesan percikan atau bertelau. Yang layak, namun kurang diingini, ialah beberapa tompok kelabu kecil yang tekal dengan penandaan merle, atau dasar putih dengan helaian bulu hitam tunggal yang terserlah, yang cenderung untuk memberikan kesan garam-dan-lada atau kotor. Merlequin (lihat di bawah), lapis bulu putih dengan tompok-tompok kelabu dan bukan pula hitam, merupakan syarat penyingkiran.[24]
      • Anjing besar Denmark merle kelabu (Grautiger) boleh diterima dalam pertunjukan pengakuran di bawah FCI. Warna ini sebelum ini merupakan kecacatan yang membatalkan kelayakan, tetapi kecacatan ini dihapuskan dalam piawaian baka baharu pada tahun 2012 untuk menyediakan takungan gen lebih luas dan kerana gen merle kelabu dapat menghasilkan lapis bulu harlekuin betul.[25] Statusnya ialah bahawa ia "tidak diingini dan tidak disingkirkan".[11][12] Akibatnya, warna ini tidak boleh mendapat penggredan tertinggi pada pertunjukan anjing.[11][12]
    • Mantel (di sesetengah negara dirujuk sebagai Boston kerana pewarnaan dan corak serupa dengan terier Boston): Warnanya hitam dan putih dengan liputan hitam legam yang memanjang ke seluruh tubuh; tengkorak hitam dengan muncung putih; takik putih ialah pilihan; kolar putih menyeluruh lebih diutamakan; dada putih; putih pada sebahagian atau keseluruhan tungkai depan dan tungkai belakang; ekor hitam berhujung putih. Penandaan putih kecil pada liputan hitam boleh diterima, begitu juga pecahan pada kolar putih.
  • Biru: Warnanya ialah biru keluli tulen. Tanda-tanda putih pada dada dan kaki diizinkan - tidak sekali-kali dengan sentuhan perang kekuning-kuningan atau warna biru kehitam-hitaman.[11][12]
  • Brindle biru: Ini ialah lapis bulu brindle dengan latar belakang kelabu biru dan jalur-jalur brindle lebih gelap.[26]

Anjing ini pada umumnya tidak terlalu agresif terhadap orang dan haiwan lain.[27]

Kesihatan

Anjing besar Denmark, seperti kebanyakan anjing gergasi, mempunyai metabolisme cepat. Ini menghasilkan lebih banyak tenaga dan pengambilan makanan bagi setiap paun anjing berbanding dengan yang pada baka kecil. Ia mempunyai sesetengah masalah kesihatan yang umum kepada baka besar, termasuk kembung (volvulus pendilatan gastrik).[2]

Pemakanan memainkan peranan dalam kesihatan baka ini. Kembung, atau volvulus pendilatan gastrik (GDV), ialah pembunuh terbesar bagi anjing besar Denmark.[2] Untuk mengelakkan kembung, tempoh rehat selama 40 minit hingga satu jam selepas makan disyorkan sebelum senaman.[28]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati bahawa purata jangka hayat baka ini ialah 10.6 tahun berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[29]

Kardiomiopati terdilat dan banyak penyakit jantung kongenital juga umum ditemukan pada anjing besar Denmark bersempena dengan jangka hayat lebih pendeknya. Anjing besar Denmark juga mungkin membawa gen merle yang merupakan sebahagian daripada kandungan genetik yang menghasilkan pewarnaan harlekuin.[30] Gen merle adalah dominan tidak lengkap, bermakna bahawa hanya satu salinan gen diperlukan untuk menunjukkan pewarnaan merle; dua gen merle menghasilkan tanda-tanda putih berlebihan dan banyak isu kesihatan seperti kepekakan, kebutaan, atau isu mata lain yang melemahkan. Anjing besar Denmark juga dapat menghidap penyakit Wobbler, iaitu keadaan yang menjejaskan turus vertebra. Memandangkan anjing ini membesar dengan kadar cepat, tulang di dalam vertebra-vertebranya dapat menolak ke atas saraf tunjang dan menyebabkan kelemahan pada tungkai. Ini dapat dirawat dengan pembedahan atau mungkin sembuh dengan sendiri seiring dengan masa berlalu.[31]

Seperti kebanyakan baka yang lebih besar, anjing besar Denmark mempunyai risiko khusus terhadap displasia pinggul.[perlu rujukan]

Kepentingan kebudayaan

Anjing besar Denmark harlekuin (jantan)
Animasi
  • Pereka bentuk animasi Iwao Takamoto mendasarkan watak Scooby-Doo pada seekor great dane. Beliau memperoleh reka bentuk beliau daripada lakaran yang diberikan kepada beliau oleh seorang pekerja Hanna-Barbera yang membiakbakakan anjing besar Denmark dan kemudian berusaha untuk menjadikan Scooby bertentangan dengan pedigri sempurna dengan ekor lebih panjang, tungkai melengkung, dagu kecil, dan belakang menyerong.[32][33]
Jenayah
  • Pada 24 Oktober 1975, Rinka, seekor great dane milik Norman Scott, ditembak dalam percubaan lemah untuk membunuh Scott, dalam peristiwa yang kemudian dikenali sebagai peristiwa Thorpe. Pada tahun 1996, Scott Freeman dan Barrie Penrose menerbitkan Rinkagate: Rise and Fall of Jeremy Thorpe.[34]
Maskot
  • Great dane dinamakan anjing negeri Pennsylvania pada tahun 1965[35] dan Universiti Iowa mempunyai great dane, Rex I dan Rex II, sebagai maskot sebelum Hawkeye dipilih.[36]
  • "Great Danes" ialah nama gelaran bagi Universiti di Albany. Maskot mereka ialah great dane.[37]
Ketenteraan
  • Just Nuisance ialah satu-satunya anjing yang didaftarkan secara rasmi dalam Tentera Laut Diraja. Dalam hal yang dilakukan terutamanya sebagai penguat semangat untuk tentera yang dikerah untuk Perang Dunia Kedua, Nuisance terbukti menjadi legasi berkekalan bagi pinggir bandar kecil Simon's Town di Cape Town.
Falsafah
  • Seekor anjing besar Denmark tidak bernama menumbangkan Jean-Jacques Rousseau ke tanah dalam Reveries of a Solitary Walker; beliau menggambarkan perasaan tunggal kedamaian dan identiti yang tergantung yang ditimbulkan oleh kejutan pertembungan dalam dirinya.[38]

Lihat juga

  • Senarai baka anjing
  • Reichshund, istilah yang digunakan di Jerman untuk dogge Jerman milik Bismarck dan, buat sementara, untuk seluruh baka

Catatan

Rujukan

Pautan luar