Jala mas

kuih tradisional

Jala mas (Jawi: جالا مس)[1] ialah kuih tradisional asal Portugis yang dihasilkan menggunakan kuning telur, yang diolah menjadi lembaran tipis dan direbus dalam sirap gula. Ia boleh ditemukan dalam banyak pembasuh mulut Thai, di mana hidangan unik ini telah dibawa masuk ke Thailand pada abad ke-17. Ia unsur tradisi dalam masakan Portugis dan Brazil, dalam kedua-dua pembasuh mulut dan sebagai hidangan sampingan (hanya di Brazil).[2]

Jala mas
Foi thong di Thailand
Nama alternatiffios de ovos
JenisPembasuh mulut
Tempat asalPortugal
Bahan utamaTelur (terutamanya kuning telur), sirap gula
Keragaman/variasiEncharcada; Doces de ovos
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Nama

Nama "jala mas" kemungkinan diambil daripada warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala. Secara tradisi, warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja-raja. Ia dikenali sebagai fios de ovos ("benang telur") dalam bahasa Portugis dan angel hair ("rambut bidadari") dalam bahasa Inggeris. Hidangan ini dipanggil letria di Goa,[3] jangan dikelirukan dengan pembasuh mulut ala laksa yang dibuat di Portugal.

Sajian ini turut dikenali di Sepanyol sebagai huevo hilado ("telur putar"), di Jepun sebagai keiran somen (鶏卵素麺, "mi telur ayam"),[4] di Kemboja sebagai vawee,[5] di Thailand sebagai foi thong (ฝอยทอง; "lembar emas"),[6] dan di wilayah Malabar Utara di Kerala, India sebagai muttamala (മുട്ടമാല; "renda telur").[7]

Huraian

Jala mas disediakan dengan menggunakan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudian ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja di dalam bekas.

Jala mas mempunyai bentuk yang berjurai seperti mi halus. Ia biasanya disediakan untuk perayaan istimewa seperti peminangan, perkahwinan dan sebagainya. Ini disebabkan cara membuatnya yang rumit dan hanya menggunakan kuning telur menyebabkan kos yang tinggi. Pada kebiasaannya telur itik digunakan kerana ia mempunyai saiz kuning telur yang lebih besar. Selain itu, ia biasanya dihasilkan bersama kuih tahi itik untuk memanfaatkan putih telur yang berbaki.

Sejarah

Keiran somen di Fukuoka, Jepun
Fios de ovos dibeli dari konfeksioneri di Brazil

Seperti manisan Portugis berasaskan telur yang lain, jala mas dipercayai telah dicipta oleh biarawati Portugis sekitar abad ke-14 atau ke-15. Dobi merupakan layanan biasa yang dilakukan oleh biara dan konven, dan penggunaan putih telur untuk "menganji" pakaian menciptakan lebihan besar kuning telur.[8] Resipinya telah dibawa ke Jepun, Thailand dan sebahagian India oleh pengembara Portugis antara abad ke-16 dan ke-18.

Dalam masakan Brazil, jala mas digunakan untuk membuat "kek Marta Rocha" (yang dinamakan sempena Miss Brazil 1954, Martha Rocha), sejenis kek lapis yang dibuat dengan lapisan kek span dan vanila berselang-seli, berintikan krim putar, jala mas, dan kadangkala inti-inti lain seperti ceri maraskino dan kekeras.[9][sumber lebih baik diperlukan] Ia digunakan dengan cara yang serupa sebagai hiasan untuk torta de nozes, sejenis kek lapis yang dibuat menggunakan kek span badam dengan doce de ovos (kastard telur), yang disudahi dengan inti meringue dan jala mas.[perlu rujukan]

Jala mas dipanggil foi thong di Thailand. Nama pembasuh mulut ini datang daripada pemerhatian bahawa ia mempunyai jalur panjang yang halus dan bersinar bak sutera. Jala mas diperkenalkan dari Portugal ke Thailand oleh Maria Guyomar de Pinha, separuh Portugis dan Jepun yang lahir dan dibesarkan di Thailand. Ia dianggap sebagai pembasuh mulut yang molek. Kata thong (emas) mempunyai konotasi yang baik bagi orang Thai. Jalur panjangnya dilihat melambangkan hidup yang panjang dan kasih yang tak kunjung padam.[10] Ia kadangkala dianggap sebagai "ratu pembasuh mulut Thai".[11]

Keiran somen pula nama bagi jala mas di Jepun. Pembasuh mulut ini satu daripada nanbangashi, iaitu pembasuh mulut yang diperkenalkan dari Portugal semasa perdagangan Nanban.[perlu rujukan]

Di Malaysia, jala mas lebih popular di sebelah Pantai Timur, terutama di Kelantan dan Terengganu yang mempunyai banyak hidangan kuih yang manis-manis belaka. Pada masa dahulu,[bila?] kuih ini dikhaskan bagi hidangan raja dan kaum bangsawan. Oleh kerana kos pembuatan yang tinggi, ia tidak banyak dijual begitu sahaja dan biasanya ditempah bagi acara istimewa. Ia lebih popular sebagai hidangan pengantin kerana kandungan kuning telur dan gula yang tinggi dikatakan sebagai pemberi tenaga yang baik.

Galeri

Lihat juga

Rujukan

Jala Mas Diarkibkan 2017-12-09 di Wayback Machine

Pautan luar