Masjid al-Aqsa

(Dilencongkan dari Masjid Al Aqsa)

Al-Aqsa (Arab: الأقصى, rumi: Al-Aqṣā) atau Masjid al-Aqsa (Arab: المسجد الأقصى, rumi: al-Masjid al-Aqṣā)[2] ialah sebuah kawasan bangunan-bangunan keagamaan Islam yang terletak di atas Bukit Kuil, juga dikenali sebagai Al-Haram al-Syarif (Arab: الحرم القدسي الشريف, lit.'Perkarangan mulia yang suci'), dalam Kota Lama Baitulmaqdis, yang turut merangkumi Kubah al-Sakhrah, banyak masjid dan ruang sembahyang, madrasah, zawiyah, khalwah dan struktur keagamaan dan kubah yang lain, juga empat menara mengelilinginya. Masjid jamek atau ruang solat utama kawasan ini ialah Masjid al-Aqsa, yang turut dikenali sebagai Masjid al-Qibli atau al-Jāmiʿ al-Aqṣā. Sesetengah sumber menyebut ia dikenali sebagai Masjid al-Aqsa, manakala kawasan yang lebih luas kadang kala disebut sebagai kompleks Masjid al-Aqsa atau kawasan Masjid al-Aqsa bagi mengelakkan kekeliruan.[3]

Al-Aqsa
Al-Haram al-Qudsi al-Syarif
المسجد الأقصى
الحرم القدسي الشريف
Pandangan atas kawasan masjid al-Aqsa
Info asas
LokasiKota Lama Baitulmaqdis
Koordinat geografi31°46′41″N 35°14′10″E / 31.778°N 35.236°E / 31.778; 35.236 35°14′10″E / 31.778°N 35.236°E / 31.778; 35.236
AgamaIslam
Negara Negara Palestin
Pentadbiran Jordan
Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis
PemimpinImam Muhammad Ahmad Hussein
Penerangan seni bina
Jenis seni binaMasjid
Gaya seni binaAwal Islam, Mamluk
Arah muka bangunanutara-barat laut
Spesifikasi
Arah bahagian hadapan bangunanutara-barat laut
Kapasitic. 400,000 (anggaran)
Bil. kubahdua buah besar + puluhan kecil
Bil. menara masjidempat
Tinggi menara masjid37 meter (121 ka) (tertinggi)
Bahan binaanBatu kapur (dinding luar, menara, gerbang) stalaktit (menara), emas, plumbum dan batu (kubah), marmar putih (ruang dalam) dan mozek[1]

Semasa pemerintahan khalifah al-Rasyid, Umar bin Al-Khatab (634-644M) atau khalifah Umaiyah, Muawiyah (661-680M), sebuah dewan solat kecil dalam kawasan ini didirikan berhampiran tapak masjid. Masjid pada waktu kini, terletak di dinding selatan kawasan ini, pada asalnya dibina oleh khalifah Umaiyah ke-5, Abdul Malik (685-705M) atau penggantinya al-Walid I (705-715M) (atau kedua-duanya) sebagai sebuah masjid jamek selari dengan Kubah al-Sakhrah, sebuah binaan peringatan Islam. Selepas musnah akibat gempa bumi pada 746, masjid ini dibina semula pada 758 oleh khalifah Abbasiyah, al-Mansur. Ia kemudiannya dibesarkan pada 780 oleh khalifah Abbasiyah, al-Mahdi, yang kemudiannya mempunyai lima belas buah ruang sayap dan kubah utama. Walau bagaimanapun, ia sekali lagi musnah semasa gempa bumi Lembah Jordan 1033. Masjid ini dibina semula pada khalifah Fatimiyah, al-Zahir (1021–1036), yang mengurangkan kepada tujuh ruang sayap aisles tetapi menghiasi bahagian dalamannya dengan gerbang tengah yang rumit dilitupi mozek tumbuh-tumbuhan; struktur binaan yang dikekalkan kini.

Semasa zaman pengubahsuaiannya, pemerintah Islam yang mentadbir telah membina bahagian tambahan masjid ini, seperti kubah, menara, muka bangunan, mimbar dan binaan dalaman. Semasa penaklukan Tentera Salib pada 1099, masjid ini digunakan sebagai istana; juga sebagai pejabat utama pentadbir agama Kesateria Templar. Selepas kawasan ini dikuasai semula oleh Islam melalui Salahuddin Al-Ayubi pada 1187, fungsi bangunan ini sebagai masjid dikembalikan. Lebih banyak projek pengubahsuaian, pembaikan dan perluasan dilakukan pada abad seterusnya di bawah pemerintahan kesultanan Ayubiyah, kesultanan Mamluk, kesultanan Usmaniyah, Majlis Tertinggi Islam Palestin Bermandat, dan semasa pendudukan Jordan ke atas Tebing Barat. Sejak permulaan penjajahan Israel ke atas Tebing Barat, masjid ini kekal diletakkan di bawah pentadbiran bebas oleh Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis, di bawah Kementerian Wakaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat Suci Kerajaan Jordan.[4]

Al-Aqsa memegang kepentingan geopolitik yang tinggi disebabkan lokasinya di atas Bukit Kuil, berdekatan tempat suci dan bersejarah lain bagi Islam, Kristian dan Yahudi, dan menjadi titik ledakan utama konflik Israel–Palestin kini.[5]

Pentakrifan

Extract of an 1841 British map showing both "Mesjid el-Aksa" and "Jami el-Aksa"

Penggunaan istilah bahasa Melayu "Masjid al-Aqsa" ialah terjemahan bagi kedua-dua perkataan Arab al-Masjid al-Aqṣā (ٱلْمَسْجِد ٱلْأَقْصَىٰ) dan Jāmiʿ al-Aqṣā (جَامِع ٱلْأَقْصَىٰ), yang mempunyai pengertian tersendiri dalam bahasa Arab.[6][7][8] Al-Masjid al-Aqṣā merujuk kepada Surah ke-17 (Al-Israk) dalam al-Quran – "masjid yang jauh" – secara tradisinya merujuk kepada keseluruhan Bukit Kuil, sementara Jāmiʿ al-Aqṣā digunakan secara khusus bagi bangunan masjid jamik yang berkubah perak.[6][7][8] Penulis Arab dan Parsi seperti ahli geografi abad ke-10 al-Muqaddasi,[9] sarjana abad ke-11 Nasir Khusraw,[9] ahli geografi abad ke-12 al-Idrisi[10] dan ulama abad ke-15 Mujir al-Din,[11][12] begitu juga orientalis Amerika dan British abad ke-19 Edward Robinson,[6] Guy Le Strange dan Edward Henry Palmer menerangkan istilah Masjid al-Aqsa merujuk kepada keseluruhan dataran yang dikenali sebagai Bukit Kuil (Temple Mount) atau Kawasan Mulia (Haram al-Syarif) – termasuklah keseluruhan kawasan Kubah al-Sakhrah, pancuran, gerbang, dan empat menara – kerana tiada mana-mana bangunan ini wujud semasa al-Quran diturunkan.[7][13][14] Al-Muqaddasi merujuk kepada bangunan selatan sebagai Al Mughattâ ("kawasan dilitup") dan Nasir Khusraw merujuknya dalam perkataan Parsi sebagai Pushish (juga bermaksud "kawasan dilitup," sama seperti "Al Mughatta") atau Maqsurah (kawasan sebahagian).[9]

Semasa pemerintahan Mamluk[15] (1260–1517) dan Usmaniyah (1517–1917), kawasan yang lebih luas mula dikenali dengan Haram al-Syarif, atau al-Ḥaram ash-Sharīf (Arab: اَلْـحَـرَم الـشَّـرِيْـف), yang diterjemah sebagai "Kawasan Mulia". Ia mencerminkan istilah Masjid al-Haram di Mekah;[16][17][18][19] Istilah ini menaikkan taraf kawasan ini sebagai Haram, yang mana sebelum ini hanya diperuntukkan kepada Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.[20] Penggunaan nama Haram al-Syarif oleh warga Palestin tempatan berkurangan dalam dekad terkini, tetapi lebih menggunakan nama lama Masjid al-Aqsa.[20]

Sejarah

Keindahan dan kecantikan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis menarik ribuan pelancong daripada pelbagai agama mengunjunginya setiap tahun. Kebanyakan orang bukan Islam percaya ia merupakan bekas tapak Kuil Sulaiman yang dimusnahkan oleh Nebuchadnezzar dari Babylon pada tahun 586 SM, atau tapak Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh Empayar Rom pada tahun 70 masihi.

Bagi orang Muslim di seluruh dunia, kawasan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ia adalah kawasan berlakunya Israk Mikraj yang mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima perintah solat lima waktu sehari semalam dan juga sebagai kiblat pertama umat Islam.

Israk Mikraj

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dalam sekelip mata.

Pemandangan udara Masjid al-Aqsa, dengan Kubah Al-Sakhrah di tengah, Tembok Barat dan Musala al-Qibli di bawah.

Apabila tiba di Baitulmaqdis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Penaklukan Baitulmaqdis

Pelan Al Haram Al Sharif pada tahun 1890.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmaqdis. Ketua Gereja Baitulmaqdis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmaqdis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmaqdis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmaqdis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke Gereja Makam Suci yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmaqdis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjidil Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan Al Haram Al Sharif.

Bangunan dan seni bina

Kepentingan Masjdil Aqsa di dalam Islam dapat ditunjukkan melalui struktur-struktur lain yang mengelilingi Kubah Al-Sakhrah dan Masjid al-Aqsa.

Muzium Islam

Laman Muzium Islam Baitulmaqdis.

Koleksi Al Quran yang lengkap dan seramik Islam. Di samping itu koleksi duit syiling dan tembikar bersama-sama senapang, pedang dan pisau di muzium tertua di Baitulmaqdis ini.

Pintu-pintu

  1. Bab al-Maghribah- Pintu ini menuju ke penempatan orang Maghribi. Kawasan ini dimusnahkan oleh Israel pada tahun 1967 dan penduduknya menjadi pelarian. Kawasan ini sekarang hanya boleh diakses oleh orang Yahudi yang mana sekarang mereka membina sebuah plaza.
  2. Bab al-Silsilah.
  3. Bab as-Salaam
  4. Bab al-Matarah
  5. Bab al-Qattanin
  6. Bab al-Hadid
  7. Bab al-Nazer- Pintu majlis. Pihak Awqaf yang menguruskan Al Haram Al Sharif mempunyai sebuah pejabat di luar pintu ini.
  8. Bab al-Atim
  9. Bab al-Hittah
  10. Bab al-Asbat
  11. Bab al-Zahabi- Imam al Ghazali dikatakan mengajar di perkarangan pintu ini. Masyarakat Kristian percaya bahawa Nabi Isa a.s. akan kembali ke dunia melalui pintu ini.
  12. Bab al-Rahman
  13. Bab at-Taubat

(*Nota: Bab ialah pintu atau pagar dalam Bahasa Arab.)

Musala al Marwani

Hanya di sebelah bawah di sebelah tenggara Al Haram Al Sharif terdapatnya sebuah kawasan yang disangka sebagai Solomon's Stables (kandang kuda Nabi Sulaiman a.s.). Ia sebenarnya ialah sebuah bangunan Umayyah pada kurun ke 8M.

Musala al-Qibli

Sebuah masjid kayu pada asalnya dibina di sini oleh Saidina Umar Al-Khatab, kahlifah kedua Islam pada tahun 638M. Selepas pembinaan Kubah Al-Sakhrah, Khalifah Abdul Malik ibni Marwan mengarahkan supaya dibina sebuah masjid bagi mengantikan masjid yang sedia ada. Anaknya Al Walid ibni Abdul Malik menyiapkan pembinaan masjid ini semasa pemerintahannya pada 705M. Masjid ini harus tidak dikelirukan dengan keseluruhan kawasan ini yang juga dikenali sebagai Masjid al-Aqsa Al Haram Al Sharif. Setiap inci kawasan ini amat suci dan tidak boleh dirundingkan.

Kubah al-Silsilah

Di sebelah timur Kubah Al-Sakhrah, Kubah al-Silsilah dibina oleh Abdul Malik ibni Marwan dan menandakan tengah Al Haram Al Sharif.

Kubah al-Nabawi

Kubah yang dibina untuk memuji Nabi Muhammad s.a.w.. Dibaiki pada tahun 1620 oleh Farruk Bey, Gabenor Baitulmaqdis.

Kubah al-Mikraj

Kubah Mikraj dibina untuk mengingati peristiwa Nabi Muhammad s.a.w. naik ke langit untuk menerima perintah solat.

Kubah al-Khalili

Sebuah bangunan kurun ke-18 khas untuk Sheikh Muhammad al Khalili.

Kubah al-Nahawiah

Dibina pada tahun 1207 masihi oleh Amir Hassan ad-Din sebagai sebuah sekolah kesusasteraan.

Mimbar Burhan ad-Din

Pada asalnya dibina pada kurun ke-7. Dinamakan sempena nama Qadi Baitulmaqdis.

Dalam budaya rakyat

Istilah "al-Aqsa" sebagai simbol atau jenama menjadi terkenal dan tersebar luas di kawasan Palestin.[21] Sebagai contoh, Intifadah al-Aqsa (sebuah kebangkitan yang berlaku pada September 2000), Briged Syuhada al-Aqsa (sebuah gabungan pertahanan orang Palestin di Tebing Barat), al-Aqsa TV (saluran televsiyen rasmi yang digerakkan Hamas), Universiti al-Aqsa (universiti Palestin yang ditubuhkan pada 1991 di Genting Gaza), Jund al-Aqsa (sebuah pertubuhan jihad Salafi yang giat semasa Perang Saudara Syria), makalah berkala ketenteraan Jordan yang diterbitkan sejak awal 1970-an, dan pertubuhan cawangan utara dan selatan Gerakan Islam di Israel semuanya dinamakan sebagai Al-Aqsa bersempena nama tempat ini.[21]

Slogan politik terkenal Al-Aqsa dalam bahaya digunakan untuk menentang usaha Pengabdi Bukit Kuil untuk mengawal kawasan ini, juga untuk menentang usaha penyiasatan arkeologi yang dianggap akan menjejaskan struktur asas kawasan atau cubaan untuk membuktikan kewujudan kuil yahudi purba di tempat tersebut.[22][23][24]

Galeri

Lihat juga

Pautan luar