Daqmie

Penyanyi, penulis lagu, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit rakaman dan guru vokal kelahiran Malaysia
(Dilencongkan dari Azmee Abdul Manap)

Azmee bin Abdul Manap (Jawi: عزمي بن عبدالمنڤ; lahir 20 Januari 1971) atau lebih dikenali sebagai Daqmie, merupakan seorang penyanyi, pemuzik, penulis lagu, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit rakaman, penata bunyi dan guru vokal yang terkenal di Malaysia.

Daqmie
Kelahiran
Azmee bin Abdul Manap

(1971-01-20) 20 Januari 1971 (umur 53)
Nama lainAzmee / Amey (ketika bersama kumpulan East),
D'Mee / D'Miee (ketika bersama kumpulan Barongan),
Dakmie (ketika memulakan kerjaya seni secara solo)
PendidikanSK Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka;
SM Simpang Empat (kini SMK Naning), Alor Gajah, Melaka;
SM Dato' Dol Said, Alor Gajah, Melaka
Pusat pendidikanInstitut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) (kini Universiti Tun Abdul Razak) (1995-1997)
Universiti Utara Malaysia (UUM) (2019-kini)
PekerjaanPenyanyi, pemuzik, penulis lagu, penggubah lagu, penulis lirik, penerbit rakaman, penata bunyi, guru vokal
Tahun aktif1989–kini
Terkenal keranaLagu Yang Terindah (lagu runut bunyi filem I'm Not Single dan drama bersiri AdaMaya), lagu-lagu daripada filem 7 Petala Cinta dan lagu Tangis Sebatang Tamar daripada album solo sulung beliau, Maulaya
PasanganSyarifah Durrah Uzma Syed Jaffar Mohiuddin (k. 2017)
Anak-anakSayyida Nur Khadija
(7 April 2021)
Kerjaya muzik
GenreRock, metal, pop, balada, nasyid
InstrumenVokal, piano, papan nada, gitar, gitar bes, dram
Syarikat rakaman
Noize Music Sdn. Bhd., NSR (New Southern Records), Loonaq Records, NC Records, Inteam Records
Pengkarya berkait
East, Barongan, Dendang Anak, Metrowealth Pictures, Farihin Abdul Fatah, ITO Lara, Raihan, Nazrey Johani, Hijjaz, Rabbani, Brothers, Saujana, NowSeeHeart, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Saleem, Redang, Dato' Aishah, A to Z, Belantara, Mu'adz Dzulkefly, As-Saufee, Diwani, Durrani, Haikal, Ideal, Inteam, Mestica, Sabda, Wildan, Varians, Demascus, AlarmMe, Algebra, Destiny, FINE
Ahli Lembaga Pengarah Nasyeed Edutainment Sdn. Bhd. (NESB), atau lebih dikenali sebagai Nasyeed.com
Memegang jawatan
2008

Latar belakang

Kehidupan awal

Daqmie merupakan anak yang ketujuh daripada lapan orang adik-beradik. Keluarga beliau menetap di Kampung Paya, Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, tetapi di antara kesemua adik-beradik, hanya beliau seorang yang dilahirkan di Hospital Tampin, Tampin, Negeri Sembilan kerana terdapat sedikit komplikasi sebelum beliau dilahirkan dan Hospital Tampin merupakan hospital yang terdekat dengan rumah beliau.[1]

Beliau dibesarkan dengan Adat Perpatih, kerana Allahyarham ibu beliau berasal daripada suku Anak Melaka dan Allahyarham bapa beliau pula berasal daripada suku Biduanda Naning. Bahasa percakapan seharian mereka menggunakan loghat Nogori.[2] Bapa beliau, Allahyarham Ustaz Haji Abdul Manap Hassan, merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Alor Gajah 1, sebuah sekolah rendah aliran Melayu di Alor Gajah pada ketika itu.[3]

Latar belakang pendidikan

Daqmie memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Simpang Ampat (kini Sekolah Kebangsaan Simpang Empat), Alor Gajah pada tahun 1978.[4]

Beliau kemudiannya menyambung pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Simpang Ampat (Sekolah Menengah Simpang Empat - kini Sekolah Menengah Kebangsaan Naning), Alor Gajah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.

Selepas itu, beliau berpindah pula ke Sekolah Menengah Dato' Dol Said yang merupakan sebuah sekolah menengah berasrama yang juga terletak di Alor Gajah, dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6.[5]

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam jurusan Perakaunan Kewangan (Accounting Finance) di Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) (kini Universiti Tun Abdul Razak) dari tahun 1995 hingga 1997.

Seterusnya, pada tahun 2019, beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif (Bachelor in Creative Industry Management) di Universiti Utara Malaysia (UUM). Antara rakan sekelas beliau daripada kalangan anak seni yang dikenali ialah Afad (bekas penyanyi kumpulan Raihan), Altimet, Dina Nadzir, Sharifah Shahora dan Saiful Azmi Jamsari (pengacara rancangan Detik 12 Malam dan adik kepada pengacara terkenal TV3, Nurfarahin Jamsari).

Bakat

Pengaruh

Pada awalnya, Daqmie tidak pernah didedahkan kepada muzik kerana kawasan tempat tinggal beliau pada masa itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan keluarga beliau pula tidak mempunyai radio atau pun televisyen sehinggalah beliau berumur 7 atau 8 tahun. Beliau hanya menerima pendedahan kepada bidang seni suara ketika beliau berumur 5 atau 6 tahun, apabila bapa beliau mula mengajar beliau dan anak-anak kampung yang lain untuk mengaji Al-Quran dan berqasidah. Setiap malam, tidak kurang dari 100 orang anak-anak kampung datang untuk belajar mengaji Al-Quran bersama bapa beliau. Mereka belajar beramai-ramai, dengan sekurang-kurangnya empat atau lima orang pelajar mengaji Al-Quran pada satu masa yang sama.[6]

Ketika Daqmie masih di sekolah rendah, beliau telah menonton sebuah rancangan pertandingan nyanyian terkenal tanah air iaitu Bintang RTM buat kali yang pertama. Kejayaan M. Rizal bergelar juara Bintang RTM 1978 telah menyemarakkan impian Daqmie untuk menyanyi.[7][8]

Pada tahun berikutnya pula, kejayaan Dato' Jamal Abdillah menjadi juara Bintang RTM 1979 melalui lagu nyanyian asal kumpulan Alleycats, Senandung Semalam, telah memberi impak kepada kehidupan Daqmie. Beliau menyifatkan bahawa suara emas dan cara Jamal menyampaikan lagu tersebut di pentas akhir Bintang RTM 1979 telah memberikan beliau suatu kuasa seni yang tiada tolok bandingnya.[9][10][11][12]

Pengalaman menjadi qari

Pada tahun 1981, ketika Daqmie masih dalam Darjah Empat, bakat beliau telah mula dikesan oleh Allahyarham Ustaz Baharuddin iaitu rakan sejawat kepada bapa Daqmie, setelah beliau mendengar Daqmie menyanyi dari kelas ke kelas di sekolah. Allahyarham mengatakan bahawa Daqmie memiliki kualiti suara. Allahyarham juga mula menyiasat latar belakang Daqmie melalui bapa Daqmie sendiri. Sejak dari itu, Allahyarham mula melorongkan bakat Daqmie kepada perkara yang lebih bermanfaat iaitu musabaqah Al-Quran.[13]

Bakat dan kebolehan Daqmie juga telah dikesan oleh Ustazah Syarifah, salah seorang guru beliau di Sekolah Agama Majlis Agama Islam Negeri Melaka pada waktu petang. Daqmie mula menjadi qari dan mewakili sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Dari Darjah Empat sehingga Darjah Enam, beliau berjaya menjadi johan musabaqah Al-Quran di kedua-dua peringkat - sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Beliau berjaya menjadi juara peringkat kawasan tetapi beliau kalah dalam pertandingan di peringkat daerah.

Semasa Daqmie di sekolah menengah, beliau mengorak langkah untuk menjadi salah seorang pencabar terkuat dalam musabaqah. Dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga, beliau berjaya menjadi juara peringkat kawasan dan juga daerah Alor Gajah. Walau bagaimanapun, beliau kalah di peringkat negeri Melaka kepada peserta-peserta yang sama setiap tahun iaitu saudara Mirmunir dan Abdullah. Pada masa itu, negeri Melaka mempunyai 3 buah daerah sahaja iaitu Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

Setelah Daqmie berpindah ke Sekolah Menengah Dato' Dol Said, Alor Gajah, barulah beliau dapat mengalahkan Mirmunir dan Abdullah. Mereka berdua terpaksa bertanding antara satu sama lain untuk layak ke peringkat kawasan kerana mereka berdua mewakili sekolah yang sama, iaitu Sekolah Menengah Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam. Daqmie pernah terpilih untuk memasuki sekolah tersebut tetapi beliau menolak tawaran berkenaan. Akhirnya, beliau berjaya menjadi juara qari peringkat negeri Melaka bagi kategori sekolah menengah pada tahun 1988. Beliau telah dibimbing oleh guru Al-Quran beliau, Ustaz Mohd Yusof. Bermula dari saat itu, Daqmie sudah mula dikenali kerana bakat yang dimiliki beliau. Beliau mula terdedah dengan seni muzik setelah selesai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Sahabat beliau iaitu saudara Ikhwan Zahari banyak bercerita kepada beliau mengenai dunia muzik rock pada masa itu.[14]

Kerjaya seni

1989: Langkah pertama

Daqmie memulakan langkah beliau dalam dunia seni sebagai seorang jurutera bunyi untuk Produksi Rakam Zalikamari, syarikat milik Zalikamari atau Tengku Shaifful Bahri Zalikamari, yang terkenal kerana menaikkan karier artis-artis tahun 1980-an, terutamanya Sheila Majid. Zalikamari juga terkenal melalui penerbitan lagu tema untuk rancangan animasi Usop Sontorian dan Keluang Man.

Melalui kerjaya sebagai jurutera bunyi untuk studio Zalikamari, peluang Daqmie dan rakan-rakan beliau untuk bergelar artis rakaman naungan Produksi Rakam Zalikamari terbuka luas.

Sepanjang kerjaya beliau sebagai jurutera bunyi, Daqmie pernah berkhidmat bersama syarikat rakaman berikut;

• Produksi Rakam Zalikamari / Zalikamari Studio (1991 hingga 1993)
• Purnama Booty Studio / Booty Boys Studio / Booty Studio (1991 hingga 1996)[15][16][17]
• Nearfield Studio - kini Wake The Baby Studio milik Ajai (1996 hingga 1998)
• Flare Studios (1999 hingga 2003)[18]

1991-1998: EAST

Pengaruh muzik rock dan metal mula meresapi jiwa Daqmie semasa beliau masih di bangku sekolah menengah. Atas minat yang mendalam terhadap muzik, beliau dan rakan-rakan menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali dengan nama EAST ketika mereka masih di Tingkatan Enam pada tahun 1989. EAST pernah hadir dengan dua buah album iaitu EAST (1992) dan Generasi Metal (1998).

“Ketika itu, rasa taksub terhadap muzik metal memang menggunung. Malah, bapa saya sendiri tidak tahu yang saya mempunyai sebuah kumpulan rock ketika itu.”

“Hingga saat ini, saya tidak pernah bercerita dengannya tentang masa silam saya ketika saya taksub dengan metal. Sedikit pun tidak dikongsikan.”

“Cuma dia ada pesan yang saya ini berasal daripada keluarga yang baik-baik. Jadi kena jaga peribadi. Rupa-rupanya dia pesan itu selepas dia mengetahui daripada rakan-rakannya yang saya terlibat dengan muzik metal.”[19] - Daqmie

”Ketika saya aktif dengan muzik rock, ayah banyak membimbing saya supaya tidak terjebak dengan perkara-perkara yang negatif. Dia tidak halang kerana tahu saya memang minat muzik.””Dengan peluang yang diberi saya gunakan sebaik-baiknya. Pembabitan saya itu semata-mata disebabkan minat, sebab itu saya masih lagi meneruskan kerjaya dalam bidang ini, meskipun lebih banyak melakukan kerja di sebalik tabir.”[20] - Daqmie

Permulaan kerjaya sebagai pemuzik, penyanyi dan penggubah lagu profesional

Daqmie mula belajar bermain piano secara profesional bersama Belle Fatah, seorang pemuzik profesional dan penggubah lagu, yang juga merupakan adik kepada penggubah lagu terkemuka, S. Atan. Daqmie kemudiannya memasuki kelas vokal di bawah kendalian Puan Siti Hajar, guru vokal terkenal tanah air.[21][22]

1997-kini: Pengalaman di Nearfield Studio dan transisi peribadi

Daqmie kemudiannya menjadi penggubah lagu dan mencari lagi muzik yang bagus untuk beliau terokai. Dalam pencarian tersebut, beliau bertemu dengan muzik nasyid yang memberikan beliau satu nuansa yang sangat berbeza.

Segalanya bermula pada tahun 1997 di Nearfield Studio apabila beliau diberikan peluang oleh ketua jurutera studio tersebut pada ketika itu iaitu Ramlan Marzuki untuk melibatkan diri dalam proses penerbitan album kedua kumpulan Raihan, Syukur. Sebelum itu, Daqmie terlibat dalam proses penerbitan album ketiga kumpulan A to Z, A To Z 3.

Ramlan memuji kemahiran Daqmie mengendalikan sendiri peralatan rakaman semasa proses penerbitan album keempat kumpulan Hijjaz, Rindu. Jurutera rakaman yang bertugas pada waktu itu iaitu Che Mad menawarkan peluang kepada Daqmie untuk terus membantu beliau di studio tersebut. Melalui kerjasama tersebut, Daqmie mula mengenali komposer dan penerbit album, Farihin Abdul Fatah yang terkenal kerana menaikkan nama kumpulan Raihan.

Pada tahun 1998, Daqmie terlibat dalam penerbitan album sulung kumpulan NowSeeHeart sebagai komposer untuk lagu Wahyu Pertama bersama Farouk Ahyar dan Idzhar Jumali, salah seorang ahli kumpulan tersebut. Lirik lagu tersebut pula hasil karya penulis lirik nasyid prolifik, ITO Lara.[23][24]

Setahun kemudian, pada tahun 1999, Daqmie terlibat dalam proses penghasilan album istimewa sempena bulan Ramadan dan Syawal, Maafkan, yang menampilkan kumpulan Raihan bersama beberapa artis lain naungan Warner Music Malaysia yang terkenal pada ketika itu seperti kumpulan NowSeeHeart, Man Bai, Ajai, Rem dan Amir (penyanyi kumpulan Pearl). Untuk album tersebut, Daqmie terlibat sebagai jururakam album, penggubah vokal, komposer untuk lagu Iktibar Ramadan nyanyian Amir Pearl dan penulis lirik bersama Farihin Abdul Fattah untuk lagu Hari Raya Untuk Semua nyanyian Raihan dan NowSeeHeart. Beliau juga menyumbangkan suara qasidah untuk lagu Lailatul Qadar nyanyian kumpulan Raihan dan lagu Ke Desa nyanyian kumpulan Nowseeheart.[25][26][27]

Setahun selepas itu, Daqmie telah ditawarkan peluang untuk bekerjasama dengan kumpulan Rabbani, Rabbani Productions dan KRU Records untuk penerbitan album breakthrough Intifada. Kerjasama tersebut membawa dimensi baru dalam industri nasyid Malaysia, di mana rentak lagu-lagu baru Rabbani lebih segar dan mudah diterima pendengar yang meminati irama pop kontemporari.

Pada tahun 2003, kumpulan Rabbani telah menawarkan peluang kepada Daqmie untuk menjadi penerbit album, penggubah lagu dan penyusun muzik yang tetap untuk Rabbani Productions.

Daqmie juga pernah bekerjasama dengan penyanyi solo dan kumpulan nasyid tempatan yang lain antaranya Nazrey Johani (bekas penyanyi utama kumpulan Raihan), Brothers, Saujana, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Saleem, kumpulan Redang, Mu'adz Dzulkefly, As-Saufee, Diwani, Durrani, Haikal, Ideal, In-Team, Mestica, Sabda, Wildan, Varians, Demascus, AlarmMe, kumpulan FINE dan kumpulan Swara.[28]

Selain itu, Daqmie merupakan penerbit album kerohanian pertama penyanyi bersuara lantang, Aishah, yang berjudul Anak yang diterbitkan pada tahun 2010.[29]

1998: Penglibatan dalam penerbitan album sulung kumpulan Redang

Pada tahun 1998, kumpulan Redang telah muncul dengan album sulung mereka yang berjudul Qasidah Nuraisha. Kumpulan tersebut merupakan sebahagian daripada artis naungan Ambang Klasik, sebuah syarikat rakaman dan penerbitan yang merupakan anak syarikat di bawah Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau TV3.

Daqmie yang berkerja di Booty Studio pada waktu itu tidak terlibat langsung dalam penerbitan album tersebut pada awalnya. Ketika itu, beliau terlibat dengan kerja-kerja rakaman di studio C dan D, manakala kerja rakaman album kumpulan Redang dilakukan di studio B yang merupakan studio yang terbesar di sana.

Pada suatu hari, secara tidak sengaja, beliau termasuk ke dalam studio B semasa Kemat, salah seorang anggota kumpulan Redang, sedang menata susunan muzik untuk lagu Qasidah Nuraisha. Daqmie pada asalnya hendak mengambil kabel untuk beliau membuat rakaman lagu panduan di studio C tetapi beliau terus terpaku di studio B. Beliau mendengar satu persatu rakaman alat muzik yang dimasukkan dalam susunan lagu Qasidah Nuraisha oleh Yew Tuck Seng, jurutera bunyi di studio tersebut.

Sedar tidak sedar, Daqmie berada dalam studio B sehingga waktu malam. Kebiasaannya orang luar tidak dibenarkan masuk ke dalam studio semasa proses rakaman lagu dan album sedang dijalankan, tetapi mungkin kerana Daqmie hanya diam dan memerhati sahaja sepanjang proses rakaman tersebut berlangsung, beliau tidak dimarahi oleh sesiapa pun. Pada malam tersebut juga, beliau pertama kali berjumpa dengan Zalee, seorang lagi anggota kumpulan Redang. Setelah Zalee menyatakan sesuatu kepada beliau, secara tiba-tiba Daqmie terlibat dalam proses rakaman lagu panduan untuk lagu tersebut.

Menurut Azman Yusoff, seorang lagi ahli kumpulan Redang, apabila mereka mendengar suara qasidah Daqmie yang unik, mereka terus mempelawa Daqmie untuk menyumbangkan suara qasidah beliau untuk lagu Qasidah Nuraisha dan juga lagu-lagu lain dalam album tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak syarikat rakaman kemudiannya memilih penyanyi dan pelakon, Razak Ahmad sebagai penyanyi utama untuk lagu Qasidah Nuraisha dalam album tersebut dan bukan dinyanyikan sendiri oleh kumpulan Redang. Secara peribadi, Daqmie kurang meminati versi tersebut, sebaliknya lebih menyukai cara nyanyian Zalee kerana Daqmie merasakan bahawa karektor Zalee lebih terserlah ketika menyanyikan lagu tersebut.[30]

Semasa album tersebut diperdengarkan kepada pihak media, ramai wartawan yang menyangka bahawa suara qasidah tersebut adalah suara milik Sheqal, seorang penyanyi yang terkenal pada masa itu dengan lagu-lagu berentak pop tradisional dan nusantara. Apabila kumpulan Redang menyatakan bahawa suara qasidah tersebut sebenarnya adalah milik Daqmie atau Mie (gelaran beliau pada masa itu), para wartawan sangat terkejut kerana tidak menyangka bahawa ada insan lain yang mempunyai suara yang bukan sahaja unik seperti Sheqal, bahkan mempunyai kelainan yang tersendiri.[31]

2000-2003: Barongan

Daqmie kembali ke dunia seni suara dengan menyertai kumpulan Barongan yang memperjuangkan muzik rock dan metal tetapi mempunyai pendekatan yang menuju ke arah kerohanian, keimanan dan ketakwaan. Kumpulan tersebut popular dengan lagu-lagu seperti Kalimat Ke-7, Siapa Yang Kena, Titik Musafir, Liya Juwita, Tinggal Satu Tangki, Harung, Mereka, Aku Kaya dan Nasuha.[32][33]

Daqmie yang pada masa itu lebih dikenali dengan nama panggilan D'Miee, disifatkan sebagai seorang penyanyi yang cukup berkuasa kerana mempunyai kekuatan vokal yang lantang dan keras. Beliau juga mempunyai kebolehan berqasidah dan mengaji Al-Quran dengan baik. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya menarik diri daripada kumpulan tersebut untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penerbitan filem dan album runut bunyi untuk filem animasi versi alih bahasa Muhammad Utusan Terakhir.

2002: Lagu Separa Disana bersama kumpulan Belantara

Pada tahun 2002, kumpulan Belantara, sebuah kumpulan muzik rock yang ditubuhkan oleh tiga orang pelajar Malaysia ketika mereka sedang melanjutkan pengajian mereka di Amerika Syarikat dan pernah mewarnai dunia muzik rock Malaysia dengan lagu-lagu popular mereka seperti Srikandi Di Sisi, Dewi, Sutra dan Airmata, telah berkerjasama dengan Daqmie untuk sebuah lagu yang berjudul Separa Disana. Lagu tersebut yang lebih bernuansa pop dan fusion (seperti lagu-lagu nyanyian kumpulan padu suara lelaki yang popular pada ketika itu seperti kumpulan Backstreet Boys dan NSYNC) merupakan satu cubaan kumpulan Belantara untuk 'lari' seketika daripada genre kebiasaan mereka. Mereka memilih Daqmie untuk menyampaikan lagu berkenaan kerana mereka kagum dengan kehebatan dan keupayaan vokal beliau.[34]

2004-kini: Pendita (Dendang Anak)

Pada tahun 2004, Daqmie menyertai Persatuan Kebudayaan Dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia, yang lebih dikenali sebagai kumpulan Dendang Anak, sebagai salah seorang penyanyi, pemain papan nada dan penerbit. Beliau kekal menganggotai kumpulan muzik tersebut dari tahun 2004 sehingga kini.

2008: Lagu runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta

Daqmie telah diminta oleh Brian Ng Kang Wei (kini Elman Wafi Ng Abdullah) yang berkerja di studio muzik milik Metrowealth International Group (MiG) (kini Metrowealth Pictures) pada ketika itu untuk mencipta sebuah lagu runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta. Lagu tersebut yang juga berjudul Selamat Pagi Cinta mempunyai dua versi; versi yang pertama merupakan lagu asal nyanyian Daqmie sendiri, sementara versi yang kedua merupakan lagu versi instrumental yang digunakan dalam filem tersebut.[35][36][37][38]

2013-kini: Sebagai artis solo

Album solo pertama: Maulaya

Tidak lama selepas Daqmie selesai menerbitkan album kumpulan In-Team yang berjudul Iman & Aman, Pengarah Urusan Inteam Records ketika itu, Izham Shah Mat Anuar, telah menghubungi beliau dan menawarkan peluang untuk menghasilkan album solo.

Pada mulanya, Daqmie menyangka bahawa Izham hanya bergurau dengan beliau tentang tawaran tersebut. Beliau merasa bahawa beliau sudah tua untuk mengeluarkan album solo dan mungkin tiada sesiapa pun yang mahu mendengar lagu-lagu beliau. Izham kemudiannya meyakinkan Daqmie bahawa sebenarnya ramai peminat lagu-lagu ciptaan beliau yang menantikan album solo daripada beliau.

Dengan berbekalkan pengalaman selama 15 tahun (sejak tahun 1998) dalam penerbitan lagu dan album untuk artis-artis nasyid terkenal, serta barisan krew penerbitan yang sangat berpengalaman antaranya Alfa dan Rumie Booty (anak-anak kepada Kesuma Booty) serta Along Exists, hasilnya Daqmie tampil dengan album solo beliau yang pertama di bawah label Inteam Records berjudul Maulaya yang turut memuatkan lagu hit beliau, Tangis Sebatang Tamar.

Selain daripada lagu Tangis Sebatang Tamar, album tersebut juga menampilkan lagu-lagu runut bunyi daripada filem 7 Petala Cinta yang telah diberikan nafas baru.[39]

Alam Musiq

Azmee kini bernaung di bawah syarikat rakaman beliau sendiri iaitu Alam Musiq, yang telah ditubuhkan pada tahun 2013, di mana ITO Lara bertindak selaku pengurus kerjaya beliau.

Selain itu, beliau telah membuka sebuah akademi pembelajaran vokal dan muzik secara silibus yang juga dikenali dengan nama Alam Musiq pada tahun yang sama. Alam Musiq membuka pengambilan pelajar dalam bilangan yang kecil dan mereka diberikan pengajian secara percuma.

Selain belajar bermain muzik dan menyanyi, pelajar yang menuntut di akademi tersebut turut diajar tentang aspek penulisan lirik dan penghasilan lagu serta aspek teknikal sebagai persediaan sebelum menjadi jurutera muzik dan anak seni yang serba boleh.[40]

Selepas mereka menamatkan pengajian dan memperoleh diploma, mereka akan disalurkan sebagai tenaga pengajar dan akademi tersebut akan mengenakan yuran pembelajaran secara berperingkat.

Azmee yang merupakan salah seorang panel NOSS (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kelayakan dan kelebihan untuk mengurus tadbir akademi berkaitan kemahiran tempatan dan ia termasuklah kemahiran muzik dan vokal.[41]

2016: Lagu Langkah Pendekar

Azmee telah merakamkan sebuah lagu yang berjudul Langkah Pendekar khas untuk rancangan realiti Akademi Silat Pendekar Muda yang disiarkan di saluran televisyen TV AlHijrah. Lagu dan lirik lagu tersebut dicipta oleh Muhammad Nurazmi.[42][43]

Oktober 2018: Lagu Kitakan Sekampung

Azmee telah mencipta sebuah lagu tema untuk kempen Kitakan Sekampung, sebuah inisiatif di bawah program 3K iaitu Karnival Kampungku Kesayanganku anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Lagu yang juga berjudul Kitakan Sekampung itu dinyanyikan sendiri oleh Azmee bersama Tisya.[44][45][46]

Kempen Kitakan Sekampung bertujuan memupuk semangat kekitaan dan mengelakkan pergaduhan dalam masyarakat. Selain itu, kempen tersebut juga menerapkan sifat jati diri agar rakyat tidak lupa asal usul mereka.

Kredit

Penyanyi: Daqmie dan Tisya
Penulis lirik: Allahyarham Waie Ramly dan Dr. Mir Hazil
Penerbit lagu: Daqmie
Penulis lagu: Daqmie
Susunan muzik: Alfa Booty dan Daqmie
Programming dan muzik: Alfa Booty dan Rumie Booty
Penata bunyi: Rumie Booty dan Ratno Junaidi
Studio mixing & mastering: RML Studio

2019: Lagu Remuk

Azmee telah tampil dengan sebuah lagu terbaru bersama Daqmie Band (yang dianggotai oleh beliau sendiri bersama dua pemuzik terkenal yang juga adik beradik iaitu Alfa dan Rumie Booty) yang berjudul Remuk ciptaan beliau sendiri, manakala lirik lagu tersebut pula dicipta oleh Alfa Booty. Lagu tersebut merupakan lagu runut bunyi untuk telefilem Remuk terbitan P & D Pictures Sdn. Bhd. yang pertama kali disiarkan di TV3 pada 4 Jun 2019 sempena Hari Raya Aidilfitri.[47] Selain lagu Remuk, dua buah lagu daripada album solo Azmee yang pertama, Maulaya, iaitu lagu La Ilaha Illa Allah dan lagu Kasih Abadi (menampilkan pemain gitar terkenal, Aznan Alias) turut menjadi lagu runut bunyi untuk telefilem tersebut.[48]

Mei 2020: Lagu Munajat

Sempena bulan Ramadan dan Syawal 1441 Hijrah, Azmee telah tampil dengan sebuah lagi lagu istimewa bersama adik beradik Alfa dan Rumie Booty yang berjudul Munajat. Lagu tersebut merupakan lagu ciptaan Azmee sendiri, manakala lirik lagu tersebut pula dicipta oleh Alfa Booty dan Ad Samad.[49][50]

Lagu tersebut telah menjadi lagu runut bunyi untuk telefilem Luluh lakonan Aeril Zafrel, Izzue Islam, Ummi Nazeera, Nad Zainal, Datin Fadilah Mansor dan Haeriyanto Hassan yang pertama kali disiarkan di TV3 pada Ogos 2020 sempena Maal Hijrah.[51]

Kredit

Lagu: Daqmie dan Alfa Booty
Lirik: Ad Samad
Penerbit bersama: Alfa Booty, Daqmie dan Rumie Booty
Susunan muzik: Alfa Booty
Dram dan perkusi: Rumie Booty
Papan nada, gitar bes dan gitar: Alfa Booty
Rakaman muzik: J Ratno dan Rumie Booty
Rakaman vokal: Daqmie
Adunan muzik: Rumie Booty
Studio rakaman: Rumie Music Lab

Julai 2020: Lagu Sabda Kekasih

Azmee sekali lagi berkerjasama dengan Alfa dan Rumie Booty untuk sebuah lagu terbaru berjudul Sabda Kekasih. Lagu tersebut dinyanyikan sendiri oleh Azmee dan digubah bersama Alfa. Liriknya pula hasil ciptaan pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel bersama sahabat beliau, Shahriman Wahab, yang lebih dikenali dengan nama pena Abban Namus.

Lagu Sabda Kekasih dicipta atas permintaan Aeril dan isteri beliau yang juga pelakon serta pengasas jenama Wawa Cosmetics, Wawa Zainal, untuk tujuan pengiklanan produk terbaru mereka sempena Hari Raya Aidiladha. Klip video untuk lagu tersebut diterbitkan oleh Alfa dan Rumie Booty, dengan penampilan oleh Aeril dan Wawa sendiri serta seniman Sabri Yunus dan warga kerja Wawa Cosmetics.[52]

Selain lagu Sabda Kekasih, Azmee dan Alfa juga telah menggubah lagu Lantera Cinta untuk tujuan yang sama. Liriknya pula digarap oleh penulis lirik nasyid terkenal, Ito Lara bersama Wawa sendiri.[53]

Klip video lagu Sabda Kekasih merupakan sebahagian dari babak sebuah telefilem terbitan Respected Citizen Production dengan tajuk yang sama yang juga menampilkan Aeril dan Wawa sebagai pelakon utama dan ditayangkan di saluran Astro First. Majlis pra-tonton telefilem tersebut telah diadakan di studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 25 Ogos 2020.

Kredit

SABDA KEKASIH

Daqmie menampilkan Alfa dan Rumie Booty
Suara latar: Tisya

Seni lagu: Daqmie dan Alfa Booty (Indah Karya Publishing Sdn. Bhd.)
Seni kata: Aeril Zafrel dan Shahriman Wahab a.k.a Abban Namus (Respected Citizen Sdn. Bhd.)
Penerbit: Daqmie, Alfa dan Rumie Booty
Susunan muzik: Alfa Booty
Gitar & gitar bes: Alfa Booty
Dram: Rumie Booty
Seruling: Mohar (Mohram)
Jururakam: Daqmie, Ratno Junaidi
Juruadun: Rumie Booty
Mastering: Rumie Booty
Studio: Rumie Music Lab


LANTERA CINTA

Wawa Zainal

Seni lagu: Daqmie dan Alfa Booty (Indah Karya Publishing Sdn. Bhd.)
Seni kata: Ito Lara dan Wawa Zainal
Penerbit: Daqmie, Alfa dan Rumie Booty
Susunan muzik: Alfa Booty
Jururakam: Alfa Booty

Mac 2022: Penglibatan dalam Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 - Tribute Untuk Ali

Setelah sekian lama tidak mengadakan konsert berskala besar, kumpulan XPDC Militia yang dianggotai oleh Ali, Izo, Eddie dan Lola dijadualkan mengadakan Konsert Jualan Hitam XPDC pada 12 Mac 2022 yang lalu. Konsert tersebut adalah anjuran bersama Sinio.com (sebuah saluran pay-per-view milik maestro muzik Datuk Ramli MS bersama dua orang rakan kongsi beliau, Dr. Ariffin Yahaya dan Har Kok Kit) dan Warisan Hall Studio, Sijangkang, Banting, Selangor. Walau bagaimanapun, konsert tersebut terpaksa ditangguhkan pada awalnya kerana keadaan kesihatan Ali yang tidak mengizinkan.

Pada 4 Mac 2022, Ali diserang angin ahmar selepas selesai menjalani latihan untuk konsert tersebut. Memetik kenyataan Izo kepada Harian Metro, kejadian berlaku ketika mereka mahu makan malam selepas selesai berlatih di studio milik Eddie di Pandan Indah. Ketika itu, Ali nampak sihat dan tidak ada masalah semasa latihan. Setelah selesai dan hujan lebat reda, mereka bergerak restoran berdekatan sekitar jam 9.30 malam. Setelah mereka sampai di sana, secara tiba-tiba Ali diam sahaja dan tidak bercakap. Beliau tidak sempat makan kerana apabila makanan sampai, beliau nampak seperti mamai dan tidak bermaya. Beliau juga tidak memberi apa-apa respon apabila kawan-kawan beliau bertanya.

Anak lelaki Izo iaitu Arif yang berada bersama mereka pada waktu itu terus menghubungi ambulans, manakala Izo pula segera menghubungi isteri Ali bagi menjelaskan apa yang berlaku. Isteri dan anak-anak Ali yang sedang menunggu dalam kereta di sekitar kawasan yang sama terus datang ke restoran tersebut. Arif yang telah menghubungi ambulans banyak berkomunikasi dengan doktor dan melakukan apa sahaja yang disuruh sementara menunggu ambulans sampai. Keadaan Ali ketika itu sangat lemah. Setelah ambulans tiba, Ali terus dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.[54]

Pada 10 Mac 2022, semasa Ali masih dirawat di Hospital Ampang, beliau tiba-tiba sesak nafas. Pihak hospital terpaksa menidurkan beliau kerana bimbang paras oksigen beliau akan semakin menurun jika beliau kerap berjaga.[55] Dengan izin Allah, keadaan beliau kembali seperti biasa keesokan harinya. Tidak lama kemudian, beliau dibenarkan keluar wad dan proses pemulihan beliau bersambung di Hospital Rehabilitasi Cheras.[56][57][58]

Lantaran keadaan kesihatan Ali yang masih belum mengizinkan, pada tarikh yang sama (10 Mac 2022), Sinio.com telah mengeluarkan sebuah kenyataan media di akaun Facebook rasmi mereka bahawa konsert tersebut ditunda ke tarikh baru iaitu 25 Mac 2022 dan mereka menjenamakan semula konsert berkenaan kepada Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 - Tribute Untuk Ali. Tempat Ali digantikan oleh barisan sahabat-sahabat artis seperti Muss, Yabang, Aweera dan juga Chi daripada kumpulan Dr. Kronik yang tampil sebagai tanda sokongan dan penghormatan kepada Ali.[59][60][61][62]

Melalui sebuah video yang dimuatnaik ke saluran YouTube rasmi Izo pada 23 Mac 2022, kumpulan XPDC dilihat sedang menjalani latihan rutin untuk konsert tersebut. Dalam video berkenaan, kelihatan Azmee masuk ke dalam studio tempat mereka sedang berlatih. Rupa-rupanya Azmee juga terlibat untuk konsert tersebut, cuma beliau tidak menghebahkannya secara meluas.[63][64] Semasa sesi latihan berkenaan, Azmee menyampaikan lagu Doa yang dipetik dari album terkini XPDC dan lagu Kaca yang dipetik dari album V6.[65] Pada 25 Mac 2022, konsert tersebut berlangsung dengan meriah walaupun Ali tidak dapat hadir.[66] Dengan izin Allah, Ali dibenarkan keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras pada hari Jumaat, 8 April 2022 yang lalu dan kini sedang berehat di rumah yang disewa sementara waktu berhampiran hospital tersebut.[67]

April 2022: Penyanyi terbaru kumpulan XPDC menggantikan Ali buat sementara waktu

Dalam satu temuramah bersama rancangan Melodi yang disiarkan di saluran YouTube rasmi TV3 dan TV9 pada 27 Mac 2022, apabila ditanya sama ada beliau bakal bergelar penyanyi terbaru yang akan menggantikan Ali dalam kumpulan XPDC buat sementara waktu, Azmee menjelaskan bahawa beliau hanya berkerjasama bersama kumpulan XPDC untuk Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 - Tribute Untuk Ali. Walau bagaimanapun, jika beliau diberikan peluang berkerjasama bersama kumpulan XPDC lagi untuk sebarang projek lain, beliau tidak ada masalah untuk memenuhi kehendak mereka.[68][69]

Terbaru, pada 12 April 2022, dalam satu temuramah bersama wartawan hiburan terkenal, Nas Ahmad, Azmee mendedahkan bahawa kumpulan XPDC telah memilih beliau sebagai pengganti Ali buat sementara waktu. Pemilihan beliau sebagai penyanyi pengganti diuruskan oleh Eddie, pemain gitar bes kumpulan tersebut.[70]

Anugerah dan penghargaan

Azmee telah memenangi anugerah Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (2008) menerusi album Maulana yang diterbitkan beliau bersama kumpulan Rabbani.

Selain itu, beliau juga telah muncul sebagai Juara Nasyid Terbaik di Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 (ANI2014) yang telah berlangsung pada Januari 2015 melalui lagu ciptaan beliau bersama ITO Lara, seorang penulis lirik lagu nasyid terkenal tanah air, iaitu lagu Tangis Sebatang Tamar. Beliau juga telah memenangi kategori Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta dan Vokal Terbaik. ITO Lara pula telah memenangi kategori Lirik Terbaik menerusi lagu tersebut.

Tiga tahun selepas itu, beliau telah memenangi tempat ketiga dalam anugerah yang sama (kini dikenali sebagai Anugerah Nasyid) edisi 2017 (AN17) yang telah berlangsung pada Januari 2018 melalui lagu ciptaan beliau juga iaitu lagu Jalan Syahadah.

Karya di media arus perdana

Selain bergiat aktif dalam pembikinan lagu dan album, Azmee juga banyak menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem dan drama terkenal tanah air.

Antara karya seni beliau yang paling terkenal adalah lagu Yang Terindah, yang merupakan lagu runut bunyi untuk filem I'm Not Single lakonan Farid Kamil, Datin Lisa Surihani, Awal Ashaari dan Intan Ladyana, terbitan Metrowealth International Group (kini dikenali sebagai Metrowealth Pictures) pada tahun 2008. Azmee mengambil inspirasi daripada cerita cinta ibu bapa beliau sendiri untuk menghasilkan lagu tersebut.[71]

Lagu tersebut turut terkenal melalui drama bersiri AdaMaya yang merupakan kesinambungan kisah daripada filem I'm Not Single. Drama bersiri lakonan Syed Hussein atau Sein Ruffedge, Datin Lisa Surihani dan Allahyarham Faizal Yusof tersebut telah disiarkan di Slot Akasia TV3 pada tahun 2010.

Cabang lain - Nasyeed.Com

Azmee telah menubuhkan sebuah syarikat penerbitan dan pengurusan acara iaitu Nasyeed Edutainment Sdn. Bhd. (NESB), yang lebih dikenali dengan jenama Nasyeed.Com pada tahun 2008 bersama 10 orang rakan kongsi. Beliau juga bertindak sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

Nasyeed.Com terbahagi kepada 5 anak syarikat iaitu pengurusan serta penyewaan sistem audio visual dan penataan cahaya (NC Sound & Light); studio rakaman dan penerbitan album (Nasyeed Edutainment Publishing Sdn. Bhd. (NEPSB)); pengedaran album (NC Records); bidang kreatif, terutamanya kerja-kerja grafik dan penerbitan laman web serta pengurusan acara (NC Event Management dan NC Space).

Antara pencapaian terbesar Nasyeed.Com dalam industri seni tanah air ialah penganjuran Anugerah Nasyeed.Com (ANC) yang telah berlangsung pada 13 April 2012 di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur dan disiarkan melalui stesen TV AlHijrah. Nasyeed.Com juga telah terlibat dalam penganjuran konsert Maher Zain Live in Malaysia pada tahun yang sama.[72]

Kehidupan peribadi

Pada hari Jumaat, 15 Disember 2017, Azmee yang ketika itu berusia 46 tahun akhirnya menamatkan zaman bujang beliau dengan gadis pilihan keluarga, Syarifah Durrah Uzma Syed Jaffar Mohiuddin (yang berusia 25 tahun pada ketika itu) dengan sekali lafaz pada pukul 5.45 petang.

Mereka dinikahkan oleh Ustaz Yusof, Imam Besar Masjid Al-Muhtadin, Sungai Seluang, Kulim, Kedah dengan disaksikan kaum keluarga serta sahabat handai kedua-dua pengantin.

Menariknya, majlis akad nikah pasangan itu diadakan serentak bersama tiga lagi pasangan lain di lokasi yang sama.

Azmee menyerahkan mas kahwin RM1,000, seutas gelang emas dan wang hantaran berjumlah RM10,000 serba satu.

Pasangan itu mengenali antara satu sama lain selepas diperkenalkan bapa Azmee sendiri, Haji Abdul Manap Hassan dan mereka mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos 2017.[73]

Pada hari Rabu, 7 April 2021 bersamaan 24 Syaaban 1442 yang lalu, Azmee dan isteri beliau akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Sayyida Nur Khadija selepas hampir empat tahun berkahwin.[74][75]

Diskografi

Album studio (berkumpulan)

  • 2003: A.S.A.L

Album studio (solo)

  • 2013: Maulaya
  • 2016: Budi
  • 2023: Doa & Selawat Terapi
  • 2024: Ramadan 1445
  • 2024: Khazanah Cinta, Vol. 1

Single

  • 26 April 2020: Munajat (bersama Daqmie Band)
  • 13 April 2021: Ramadan Ini (bersama kumpulan Swara)
  • 28 Oktober 2020: Madinah
  • 9 Disember 2022: Masih Terlihat Senyummu
  • 24 Mac 2023: Ramadan Ini (versi solo)

Lagu korporat

  • Disember 2018: lagu Kitakan Sekampung bersama Tisya
    - lagu rasmi untuk kempen Kitakan Sekampung, sebuah inisiatif di bawah program 3K iaitu Karnival Kampungku Kesayanganku anjuran Kerajaan Negeri Selangor.
  • Mac 2019: lagu KL Bersih
    - lagu rasmi untuk kempen kesedaran KL Bersih, sebuah inisiatif kesedaran kebersihan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Creative Dakwah Club (CDC), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan usaha dakwah melalui pendekatan yang kreatif seperti muzik, seni dan grafiti.
  • Oktober 2021: lagu Kasih Yang Dirindu
    - salah satu lagu daripada 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album digital khas untuk set produk Kasih Rindu keluaran syarikat pengeluar produk kecantikan dan kesihatan, Aura Rezeki, sempena Maulidur Rasul 1442 Hijrah.

Album kompilasi

TahunLaguAlbumTerbitan
2013Persada Cinta
(lagu runut bunyi filem Salam Cinta)
Terbaik Nasyeed.Com
(bersama Rabbani, Mestica, Aishah, Mu'adz, Wildan dan Lamda (artis Indonesia))
NC Records
Syuhada Di Bumi GazaProjek Palestin - Satu.Misi.Kemenangan
(bersama Dendang Anak, Mestica, Alfarabiband dan Dr. Ibrahim Ghaffar)
2019Kitakan SekampungNasyid Fresh
(bersama In-Team, Rabbani, Azadan Rabbani, Ustaz Maliq Suhaimi, Fadzli Far East, Ustaz Fathi Naim, kumpulan FINE, kumpulan Al Manna, UNIC, Hafiz Hamidun, Fitri Haris, Fadzli Aziz, Mestica dan kumpulan Marhaen)
Inteam Records

Lagu runut bunyi untuk filem

Kunci
Menunjukkan filem yang belum dikeluarkan
TahunLaguFilemTerbitan
2002Separa Disana
bersama kumpulan Belantara
Cinta 200 ElaJAS Production
2008Dua JiwaI'm Not SingleMetrowealth Pictures
Yang Terindah
Selamat Pagi Cinta
(versi instrumental)
Selamat Pagi Cinta
2009Syurga Cinta
2011Cinta Itu Milik Kita
(Azri Abdul Aziz, Ary Basri)
Sekali Lagi
2012Meroket Ke BintangSeram Sejuk
Maulaya7 Petala Cinta
7 Petala Cinta
Ilahi Lastu Lil Firdaus
Kasih Abadi
Qasidah Maulaya
Salam CintaSalam Cinta
Persada Cinta
2013Kau Yang Satu99 Kali Rindu
Kasih Ku MendengarDua Kalimah (juga disebut 2 Kalimah)
2020Bersama Tak Selamanya
bersama Daqmie Band
Jodoh SyaitanDA Motion Media
Sabda Kekasih
bersama Alfa dan Rumie Booty
Sabda KekasihRespected Citizen Production

Lagu runut bunyi untuk drama dan telefilem

TahunLaguDrama/TelefilemTerbitan

Untuk siaran

2010Yang Terindah
(Brian Ng (Kang)/Dakmie)
AdaMayaMIG Production
(kini Metrowealth Pictures)
TV3
Angin Rindu SarajevoAngin Rindu SarajevoLayar Consult Sdn. Bhd.TV1 RTM
2019Remuk
bersama Daqmie Band
(Daqmie/Alfa Booty)
RemukP & D Pictures Sdn. Bhd.TV3
(4 Jun 2019, sempena Hari Raya Aidilfitri)
La Ilaha Illa Allah
Kasih Abadi (menampilkan Aznan Alias)
2020Munajat bersama Alfa dan Rumie BootyLuluhSlot Cerekarama TV3
(22 Ogos 2020 sempena Maal Hijrah, diulang tayang pada 1 Mei 2021)

Lagu tema untuk rancangan realiti televisyen

TahunLaguRancanganTerbitan

Untuk siaran

2016Langkah Pendekar
(Muhammad Nurazmi)
Akademi Silat Pendekar MudaTV AlHijrah

Lagu rasmi untuk acara peringkat antarabangsa

TahunLaguAcaraTerbitan
2014كانت إشارة
(Kaanat Ishaara)
bersama Mu'adz Dzulkefly (Malaysia), Mehmet Ali Aslan (Turki), Mais Shalash dan Abdelfattah Owainat (Palestin), Mousa Mustafa dan Yahya Hawwa (Syria), Rachid Gholam (Maghribi), Islam Shokry (Sepanyol), Abdulrahman Bouhbila (Algeria), Ahmad Alhajeri (Kuwait), Abdullah Alzoubi (Lubnan), Native Deen (Amerika Syarikat), Abdulqader Qawza (Yemen), Hamed Mousa dan Wajdy Alaraby (Mesir) serta Ibrahim Aldardasawi dan Khaled Alsharif (Jordan)
Konsert mega BiR R4bia VAR,
Arenamega Show Center, Küçükçekmece, Istanbul, Turki
Vatan Media Productions

Penerbitan lagu dan album

Selama lebih 30 tahun bergiat aktif dalam dunia seni tanah air, Azmee telah banyak terbabit dalam kerja-kerja penerbitan lagu dan album, terutamanya lagu-lagu dan album yang berunsurkan kerohanian.

Lagu/Single dan album

TahunLagu/SingleAlbumPenyanyi
1997A To Z 3A to Z
RinduHijjaz
SyukurRaihan
MaafkanRaihan bersama NowSeeHeart, Man Bai, Ajai, Rem dan Amir (penyanyi kumpulan Pearl)
Semula - SelamanyaSaujana
2000IntifadaRabbani
2007MaulanaRabbani
Badar 313Tigasatutiga (313)Mestica
Nur TasbihatNazrey Johani menampilkan Dakmie
2008Yang Benar Tetap BenarAlgebra
HawaMuadz
2009Mahabbah
(Mohd Asri Ubaidullah, Dakmie)
Rabbani
Kejora Sinar Zaman
(Dakmie, B.Nury)
Mahabbah
(Dakmie, B.Nury)
Syahadah
(Dakmie, B.Nury, Hj. Abu Hassan Morad)
Nurul Iman
(Dakmie, Ummuhani Abu Hassan)
Stand UpMuadz
2010AnakAishah
2011Munajat Kasih
(Dakmie, ITO Lara)
Azwan Ibrahim
(Azwan Far East)
2013Iman & AmanIn-Team
2018Ittihad
(Daqmie, ITO Lara)
Rabbani
Bahasa Rindu
(Daqmie, Atie (Zuryati Isa))
Kumpulan FINE
Marhaban
(Daqmie, ITO Lara)
Rabbani menampilkan Daqmie
2019Sifat Mulia Rasulullah
(Daqmie, Zalikamari)
Mestica menampilkan Daqmie
2020Sunyi
(Penyanyi/melodi/lirik: Farred Zane,
penerbit: Daqmie dan Alfa Booty)
Farred Zane
Lantera Cinta
(Daqmie, Alfa Booty / ITO Lara, Wawa Zainal)
Wawa Zainal
Adil
(Daqmie, Alfa Booty / Siso Kopratasa)
Kumpulan FINE
2021Mencintaimu
(Daqmie / Ustaz Neezam Al-Banjari, Jart Hassan)
Rabbani menampilkan Ustaz Ridhwan (Pondok Al-Bari')
Ibu
(Daqmie dan Alfa Booty / Daqmie)
Encik Ahmad
(Allahyarham Ahmad Zuwairi Che Ramly)
Khadijah Cinta Dari Syurga
(Daqmie dan Alfa Booty / Zuryati Isa)
Kumpulan FINE menampilkan Munif Hijjaz
Langit Wahyu
(Daqmie / Hairul Anuar Harun)
Fitri Haris
2022Casablanca
(Daqmie dan Wan Saleh / Daqmie dan Abdulkarim Al Ali)
Naufal Azrin dan Nuha Bahrin
Sahabat SelamanyaDaqmie, Rabbani, Hijjaz, In-Team dan Mestica
Manik-Manik Sejahtera
(Lagu/Lirik: Tam Spider/Keon,
penerbit: Daqmie)
Rabbani
Sandiwara
(Lagu/Lirik: Isman/Baiduri,
penerbit: Daqmie)
Hijjaz
Tiada Tarikh Tamat
(Daqmie/Ad Samad, Jeff Samad)
In-Team
Apa Khabar Apa Cerita
(Lagu/Lirik: Halim Ahmad/ITO Lara,
penerbit: Daqmie)
Mestica

Lagu/Album runut bunyi untuk filem

TahunLagu/AlbumFilemTerbitanEdaran
2003Utusan Allah - Saujana
(Azmee Abdul Manap, Saujana)
Muhammad Utusan TerakhirFlare Studios Music Sdn. Bhd.[76]Inteam Records Sdn. Bhd.
(cetakan 2017)[77]
Muhammad Utusan Terakhir (album)

Lagu tema untuk drama dan telefilem

TahunLaguDrama/TelefilemTerbitan

Untuk siaran

2010Nurul Iman - Rabbani
(Dakmie, Ummuhani Abu Hassan)
Nurul ImanAnugerah Media Network dan Layar Consult Sdn. Bhd.TV2 RTM
Assalamualaikum Cinta
Mertua vs. Menantu

Lagu tema untuk rancangan televisyen berbentuk majalah/dokumentari dan berunsurkan keagamaan

TahunLaguRancanganTerbitan

Untuk siaran

Syahadah - Rabbani
(Dakmie, B.Nury, Hj. Abu Hassan Morad)
Rancangan dokumentari SyahadahUnit Pembangunan dan Pertanian (TV) RTMRTM
Al-FurqanRTM
An-NurRTM

Lagu korporat

Lagu tema

Anugerah dan pencalonan

Tahun yang menandakan tahun majlis itu, menganugerahkan hasil kerja pada tahun sebelumnya.

TahunKarya tercalon/PenerimaKategoriKeputusan
2008
(Anugerah Industri Muzik ke-15)
Album: Maulana
Penerbit: Rabbani & Dakmie
Album Nasyid TerbaikMenang
2010
(Anugerah Industri Muzik ke-17)
Album: Mahabbah – Rabbani
(Mohd Asri Ubaidullah, Dakmie)
Album Nasyid TerbaikTercalon
Lagu: Kejora Sinar Zaman – Rabbani
(Dakmie, B. Nury)
Lagu Nasyid Terbaik
Lagu: Mahabbah – Rabbani
(Dakmie, B. Nury)
Lagu: Syahadah – Rabbani
(Dakmie, B. Nury, Haji Abu Hassan Morad)
2016
(Anugerah Industri Muzik ke-22)
Lagu: Tangis Sebatang Tamar - Daqmie
(Daqmie/ITO Lara)
Lagu Nasyid TerbaikTercalon

Anugerah Nasyid IKIMfm (kini Anugerah Nasyid)

TahunKarya tercalon/PenerimaKategoriKeputusan
2014
(Anugerah Nasyid IKIMfm (ANI))
Lagu: Tangis Sebatang Tamar
(Daqmie/ITO Lara)
Juara Nasyid TerbaikMenang
Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta
Vokal Terbaik
Lirik Terbaik (ITO Lara)
2017
(Anugerah Nasyid (AN17))
Lagu: Jalan Syahadah (Daqmie)Juara Nasyid Terbaik
- Tempat ke-3
Menang

Pencapaian serta konsert jelajah dan persembahan di luar negara

2014: Konsert mega BiR R4bia VAR

  • Bersama Mu'adz Dzulkefly mewakili negara ke konsert mega BiR R4bia VAR sempena ulang tahun solidariti Mesir yang ketiga anjuran R4bia dan Kesatuan Solidariti Mesir Turki dengan kerjasama Vatan Media Productions bertempat di Arenamega Show Center, Halkali Central Neighborhood, Fatih Street, Küçükçekmece, Istanbul, Turki pada 24 Januari 2014.

Pada konsert mega tersebut, Azmee telah menyampaikan sebuah lagu daripada album solo beliau yang pertama (Maulaya) iaitu Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW. Selepas itu, Mu'adz pula menyanyikan lagu beliau yang berjudul Stand Up. Kemudian, mereka berdua menyampaikan lagu berjudul Hijrah yang menggabungkan lirik dalam bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sempena konsert mega tersebut, semua artis yang terlibat[nota 1] telah merakamkan sebuah lagu khas yang berjudul Kaanat Ishaara (Arab: كانت إشارة) (Inggeris: It's Been A Sign) yang menggabungkan lirik dalam bahasa Arab, bahasa Turki, bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Video muzik lagu tersebut juga telah disiarkan buat kali pertama pada konsert mega tersebut.[78][79]

Sebagai pengarah muzik

Sepanjang penglibatan Azmee dalam dunia seni, beliau pernah menjadi pengarah muzik untuk persembahan anjuran Nasyeed.com dan Majlis Usrah Penasyid Malaysia (yang lebih dikenali sebagai MUNSYID Malaysia). Antara persembahan yang pernah dikendalikan beliau adalah:

  • Konsert Malam Sinar Maulidurrasul, Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor (2005)
  • Showcase Amal Syuhada At-Taqwa anjuran MUNSYID Malaysia (Majlis Usrah Penasyid Malaysia), Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor (11 Jun 2011)[80]

Selain itu, beliau juga sering menjadi pengarah muzik untuk konsert jelajah kumpulan Raihan dan Rabbani ke luar negara. Selepas menyertai kumpulan Dendang Anak, beliau bersama kumpulan tersebut juga sering dijemput untuk persembahan di luar negara, terutamanya di Indonesia.

Bersama kumpulan Raihan

Pengarah muzik untuk

  • Raihan South Africa Road Tour (2001)
  • Konser Ukhuwah Raihan, Sabuga Hall, Bandung, Indonesia (2002)[nota 2]

Bersama kumpulan Rabbani

Pengarah muzik untuk Konsert Jelajah

Bersama kumpulan Dendang Anak

Malaysia

2008

  • Pesta Gendang Nusantara (World Drum Festival) ke-11, Melaka.
  • Penang World Music Festival, Pulau Pinang.

2013

  • 7 Disember 2013:

Majlis Malam Puisi Riong ITBM-BH-IB-PENA 2013 anjuran Berita Harian (BH), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Istana Budaya (IB), Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur.[81][82]

2015

  • 5 dan 6 Disember 2015:

PORT Fest 2015, Dataran Bandaraya Ipoh, Perak.

2016

  • 30 Ogos 2016:

Citra Merdeka 2016 sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-59, Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.

2018

  • Jumaat, 16 November 2018

- 5:00 petang:
Karnival Cinta Rasul 1440H / 2018 Hulu Terengganu, Dataran Kuala Berang, Terengganu.

- 8:45 - 11:00 malam:
Karnival Mahabbah UniSZA 2018, Tapak Karnival, UniSZA Kampus Gong Badak, Terengganu - sempena Majlis IDUL ILMI KONVOKESYEN ke-10.

  • Isnin, 19 November 2018:

Persembahan solo di Karnival Mahabbah UniSZA 2018, Tapak Karnival, UniSZA Kampus Gong Badak, Terengganu - sempena Majlis IDUL ILMI KONVOKESYEN ke-10.

2019

  • 16 Februari 2019:

Persembahan undangan untuk program Solidariti Demi Kemanusiaan - Kembara Rohani (Solidarity For Humanity - Journey of Nur), Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Indonesia
  • Festival Siak Bermadah, Siak Seri Indrapura, Provinsi Riau.

- ke-6 (2008)
- ke-7 (2009)
- ke-8 (2010)
- ke-11 (2013)

2009

  • Hitam Putih Riau World Music Festival, Pekanbaru, Provinsi Riau.

2010

  • Gelar Muhibah Seni Serumpun, Pengkalan Kerinchi, Pelalawan, Provinsi Riau.
  • Pesta Musik Inderagiri.

2018

  • 4 - 7 November 2018:

Aceh International Rapa'i Festival (ACIRAF) 2018, Banda Lhokseumawe (Samudra Pasai), Aceh Darussalam.

Mesir
  • 19 - 25 April 2016:

4th round of The International Festival For Drums And Traditional Arts, Kaherah, Mesir.[83]

Rujukan

Pautan luar