Sheila Majid

Penyanyi wanita Malaysia

Dato' Sheila Majid[a] (lahir Shaheila Abdul Majid; 3 Januari 1965) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia.[1][2] Dilahirkan di Kuala Lumpur, bakatnya dikesan oleh penerbit muzik yang tertarik dengan kelunakan suaranya, lantas mempelawa beliau menghadiri ujibakat, kemudian menerima kontrak rakaman pada 1982. Sheila menandatangani kontrak bersama Titra Industries dan muncul bersama album pertama, Dimensi Baru pada 1985 dengan lagu "Pengemis Muda" dikeluarkan sebagai single pertama.[3][4][5]


Sheila Majid

DIMP (Pahang)
Sheila pada Ogos 2015.
Kelahiran
Shaheila binti Abdul Majid

(1965-01-03) 3 Januari 1965 (umur 59)
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Pekerjaan
Tahun aktif1984–kini
Pasangan
Anak-anak4 (termasuk Kayda Aziz)
Kerjaya muzik
GenreJazz, R&B
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Titra Industries
Roslan Aziz Productions (RAP)
EMI Music Malaysia
Warner Music Malaysia
Pengkarya berkait
Zainal Abidin, Afdlin Shauki, Zubir Ali, Johan Nawawi, Amir Yussof, Nora, Azlina Aziz, Liza Aziz, KRU, Poetic Ammo, Harvey Malaiholo, Chandra, Karen Kong, Jaclyn Victor
Laman web rasmiwww.sheilamajid.com

Selepas menandatangani kontrak rakaman bersama EMI Music Malaysia, beliau muncul dengan album kedua, Emosi (1986) yang mana ia berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia. Lagu-lagu seperti "Sinaran"[6] dan "Antara Anyer dan Jakarta"[7] dikeluarkan sebagai single utama dan berjaya menjulang nama Sheila sekaligus menjadi antara singlenya paling berjaya pada 1980-an serta melayakkan beliau memenangi Anugerah BASF sebagai Artis R&B Wanita Terbaik pada 1987. Sheila kemudian menyertai Roslan Aziz Productions (RAP) sebagai salah seorang artis rakamannya dan pada 1992, beliau bersama teman-teman seperjuangan Zainal Abidin, Afdlin Shauki, Zubir Ali, Azman Warren dan Amir Yussof membuat persembahan di konsert paling berjaya, Konsert Ikhlas 1992 di bawah pimpinan penerbit rakaman, Roslan Aziz.[8][9]

Antara pencapaian peribadi dalam kerjaya beliau ialah menjadi artis Malaysia pertama yang berjaya di Jepun,[10] dan mengadakan konsert yang telah habis dijual di Royal Theater di West End London pada 1996. Beliau juga menjadi penyanyi Malaysia pertama yang merakamkan sebuah kaset single,[11] serta merupakan artis tempatan pertama yang membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Sheila turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan membintangi filem-filem seperti Ali Setan (1985) dan Sinaran (2015). Dikenali oleh media sebagai Ratu Jazz Malaysia,[12][13] Sheila telah memukau jutaan peminat di rantau Asia dengan "suaranya yang lunak dan memiliki repertoir irama pop, jaz dan R&B kontemporari yang lebih besar".[14] Selain itu, beliau juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.[b]

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 3 Januari 1965 di Kuala Lumpur,[13] Selangor (ketika itu) dan merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik dalam sebuah keluarga yang menitikberatkan soal agama.[15][16] Ibu bapanya ialah Abdul Majid Shahid (1918–1996) dan Saadiah Adam (1924–2020). Adik-beradiknya termasuk abangnya, Shahrin Majid dan kakaknya, Shahnaz dan Shahidah Majid. Bapanya, yang berketurunan Jawa, bekerja di jabatan perhutanan di mana keluarga Sheila menetap di rumah kerajaan yang terletak berdekatan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), berhampiran Jalan Swettenham. Beliau bersekolah di Convent Goodshepherd Kindergarten, Methodist Girls Primary School dan Methodist Secondary School.[17][18]

Kerjaya

1980-an: Penglibatan awal, Dimensi Baru, Emosi dan Warna

Muzik merupakan sebahagian daripada kehidupan beliau dan keluarganya semasa membesar. Menyanyi bermula sebagai satu hobi oleh beliau. Beliau mula belajar bermain piano ketika berusia empat tahun. Beliau menyinar bersama bakatnya secara kebetulan iaitu ketika menyanyi di majlis salah seorang rakan di Raintree Club Kuala Lumpur ketika berusia 17 tahun. Pada ketika itu, bakatnya disedari oleh seorang penerbit muzik yang tertarik dengan suaranya lantas menjemput beliau untuk satu uji bakat. Beliau telah diuji bakat oleh Roslan Aziz dan telah diberikan satu kontrak rakaman pada 1982.[19]

Setelah menandatangani kontrak, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk menyerlah pada tahun 1985 dengan kemunculan albumnya yang bertajuk Dimensi Baru, yang kemudiannya menerima pengiktirafan emas. Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Pengemis Muda".[4][13] Pada tahun yang sama, Sheila dipelawa oleh Jins Shamsuddin untuk membintangi filem Ali Setan lakonan Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Tipah, sepupu Ali lakonan Azmil.[20] Seterusnya, menerusi album Emosi yang dikeluarkan setahun berikutnya, menjadi suatu kelainan yang lebih ketara khususnya pada genre muzik yang diperkenalkan olehnya. Sentuhan muzik Jazz dan R&B yang ketara telah membuka minda masyarakat ketika itu untuk meneroka genre muzik, khususnya muzik Jazz yang dipelopor olehnya. Menerusi album Emosi juga, Beliau telah mendapat kepakaran dari negara jiran, termasuk susunan dan ciptaan lagu. Justeru, beliau cuba untuk menguji pasaran di Indonesia. Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Sinaran", diikuti oleh single kedua, "Antara Anyer dan Jakarta".[21][22] "Sinaran" menjadi lagu Melayu pertama yang menduduki tangga teratas di stesen Radio Sapporo, Tokyo. Ia juga tersenarai di tangga ke-38 di Carta Top 40, Radio Osaka.[13]

Ternyata usaha keras beliau bersama rakan-rakan yang menjadi tulang belakang kerjayanya menjadi tidak sia-sia kerana sambutannya sungguh di luar jangkaan. Nama beliau begitu megah di Indonesia dan menjadi idola masyarakat di negara tersebut. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga mendapat kritikan hebat di kalangan pengamal media di Indonesia yang mempersoalkan kejayaannya. Namun, kuasa peminat adalah melebihi segala-galanya kerana beliau dapat menawan bandar-bandar utama di negara tersebut seperti Bandung, Jogjakarta, dan banyak lagi. Hasilnya, beliau telah memenangi Anugerah BASF (kini Anugerah Musik Indonesia) sebagai Artis R&B Wanita Terbaik pada tahun 1987 yang tidak pernah sebelumnya dimenangi oleh artis bukan dari Indonesia.[23][24][22] Pada 29 Februari 1988, Sheila berangkat ke Singapura dan dipelawa untuk membuat persembahan khas dalam rancangan Hiburan Minggu Ini di mana beliau menyanyikan dua lagu, diikuti oleh rakaman persembahan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa persembahan luar.[25][16] Album ketiga Sheila menyusul pada April 1988 dengan tajuk Warna. Lagu-lagu seperti "Memori", "Panorama" dan "Hasrat Cinta" dikeluarkan sebagai single.[26] Album ini menjadi kejayaan komersial apabila jualannya mencecah sebanyak 40,000 unit sejak dikeluarkan.[27] Pada masa yang sama, beliau telah melakar sejarah apabila albumnya mendapat anugerah multi-platinum.[28]

Kejayaannya di Indonesia telah diperkukuhkan lagi dengan konsert jelajah di 10 bandar di Indonesia pada Julai 1988, diikuti oleh konsert jelajah di Malaysia yang dibahagikan kepada 3 peringkat — Pantai Barat, Malaysia Timur dan Pantai Timur. Siri konsert ini diadakan bagi mempromosikan album Warna.[29] Kejayaan beliau tidak hanya di negara jiran tersebut. Sekali lagi, nama beliau telah mencatat rekod muzik di Malaysia apabila kejayaannya merakamkan lagu di negara Jepun.[30][31] Pada awal September 1989, Sheila mengadakan persembahan di konsert solonya yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM). Meskipun mendapat bantahan daripada mahasiswa universiti itu yang mendakwa "tidak berunsur Islam", konsertnya tetap diteruskan dan berjalan dengan lancar.[32][33]

Pada 27 September, album Sinaran dikeluarkan untuk edaran Jepun. Album kompilasi itu menampilkan beberapa lagu Melayu dan empat dari album Legenda yang akan menyusul serta dua lagu Inggeris.[34][35] Beliau juga dijemput untuk membuat persembahan di Festival Muzik Tokyo pada tahun itu.[22] Pada November, beliau telah diundi sebagai Penyanyi Wanita Terbaik di pertandingan Star Search yang berlangsung di Los Angeles, California, A.S.[36][37][38] Melalui undian yang telah dibuat di dalam akhbar New Straits Times, para pembaca telah memilih beliau sebagai bintang pilihan pembaca selama empat tahun berturut-turut antara 1987 sehingga 1990.

1990-an: Legenda, Konsert Ikhlas, Ratu dan Ku Mohon

Beliau telah memulakan sebuah lagi projek pada tahun 1990 menerusi album keempatnya, Legenda yang dikeluarkan pada Januari tahun itu untuk pasaran Malaysia dan Jepun.[10][39][22] Album ini menampilkan lagu-lagu klasik yang diilhamkan daripada idolanya, P. Ramlee. Menerusi album ini, selain daripada lagu "Lagenda", terdapat lagu-lagu P. Ramlee yang kembali mencapai status lagu hit hasil daripada sentuhannya. Walaupun ada yang mengkritik, namun lagu "Bila Larut Malam", "Tiru Macam Saya", "Manusia" dan "Bunyi Gitar" telah mencipta gaya baru dalam generasi muda ketika itu. Ini menjadikan Sheila sebagai artis Malaysia pertama yang merakamkan kaset single.[11] Pada Februari 1990, Sheila mengambil bahagian dalam pertandingan Asian Music Pageant ke-2 yang berlangsung di Okinawa, Jepun,[22] seterusnya dipelawa untuk mengadakan persembahan dalam satu konsert anjuran Toshiba-EMI yang berlangsung di Tokyo.[11] Tidak lama selepas Legenda dikeluarkan, pada Oktober 1990, dua daripada lagu dalam album ini, "Bila Malam" dan "Engkau Laksana Bulan" diharamkan daripada siaran radio oleh RTM, namun pengharaman itu tidak menjejaskan jualan album Legenda.[40][41] Beliau telah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dalam satu penghormatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX. Sehingga kini, album Legenda kekal sebagai album terlaris beliau dan disokong oleh seluruh negara yang merangkumi lebih daripada dua tahun. Selepas perkahwinannya dengan Roslan Aziz, Sheila menyertai syarikat rakaman suaminya, Roslan Aziz Productions (RAP) sebagai salah seorang artis rakamannya. Bersama-sama dengan rakan selabel termasuk Zainalabidin, Zubir Ali dan Afdlin Shauki, beliau muncul dengan album kompilasi Ikhlas yang dikeluarkan pada 22 November 1991, di mana beliau menyumbangkan dua lagu, iaitu "Wanita" dan sebuah lagu duet bersama Afdlin, iaitu "Pagi".[42] Selepas itu, pada 27 November, beliau mengadakan konsert solonya yang dinamakan Legenda: The Concert yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur yang menarik perhatian penonton yang lebih daripada 10,000 penonton. Ia menjadi persembahan utama terakhirnya untuk tempoh yang lama.[43][44][45] Sebuah album secara langsung dan video yang diambil dari rakaman konsert ini dikeluarkan setahun kemudian.[46]

Sheila kemudian menjadi salah seorang artis RAP yang membuat persembahan di Konsert Ikhlas yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 25 Disember 1992, bersempena dengan sambutan Hari Krismas. Turut beraksi ialah Afdlin Shauki, Azman Warren, Amir Yussof, Zainalabidin dan Zubir Ali. Konsert Ikhlas mencipta sejarah dalam industri muzik tanahair apabila ia menjadi persembahan penghibur tempatan yang paling ramai ditonton, dengan kehadiran seramai 40,000 penonton.[47][48] Berlangsung pada 10 hingga 20 Julai 1993 di Isetan Kuala Lumpur, Ratu - A Day in the Life of Sheila Majid ialah pameran seni yang menghimpunkan koleksi 103 gambar Sheila Majid yang mana sebahagian besarnya dirakamkan oleh jurugambar Jepun, Sumio Uchiyama.[49][50][51][52] Pada September, beliau sekali lagi terpilih sebagai Bintang Lux apabila mengikat kontrak selama dua tahun untuk menjadi model iklannya bersama seorang lagi artis, Angela Chun.[53] Sheila kemudian muncul dalam rancangan In Person Sheila Majid yang bersiaran di TV3 pada 14 Oktober.[54][55]

Pada Jun 1994, beliau menyumbangkan suaranya untuk album kompilasi 5 Years - One Rhythm. Menerusi album ini, Sheila menyumbangkan satu lagu, iaitu "Rintihan Harimau".[56] Beliau seterusnya terpilih sebagai model barangan elektronik Arena VCR keluaran Toshiba.[57] Pada tahun 1995, beliau berduet bersama Nora menerusi lagu "Jentayu" hasil nukilan Johan. Lagu ini dimuatkan dalam album koleksi Sentuhan Ilham Rasa Johan Nawawi.[58][59] Pada Oktober tahun yang sama, Sheila membuat penampilan semula di khalayak umum apabila membuat persembahan bersama Asian Fantasy Orchestra di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).[60]

Album studio kelima beliau, Ratu dikeluarkan pada Januari 1996.[61][62][63] Untuk album ini, beliau telah bekerjasama dengan beberapa pemuzik antarabangsa seperti Nathan East dari Amerika Syarikat, kumpulan Fourplay dan Rex Goh, serta Aska Kaneko dari Jepun. Album ini mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan.[64] Ia mendapat sambutan yang menggalakan di pasaran apabila jualannya mencapai 50,000 unit.[65] Beliau telah mengadakan konsert sehingga melewati kota London di West End di Royalty Theatre pada Mac 1996.[22][66][67][68] Kejayaan konsert tersebut menjadi kebanggaan pencinta muzik Malaysia, khususnya dalam kalangan peminat tegar beliau. Pada 13 September 1996, bagi mempromosikan album Ratu, Sheila mengadakan persembahannya di Konsert Ratu Sheila Majid yang berlangsung di Stadium Negara.[69][70] Persembahan beliau turut diiringi oleh 15 penari kanak-kanak dari Pusat Budaya Suasana, termasuk anaknya, Wan Nur Khaleda Aziz.[71] Pada Disember, iaitu tahun yang sama, beliau telah menerima jemputan oleh Ronnie Scott untuk tampil ke pentas.[22]

Pada tahun 1997, beliau menyumbangkan suaranya untuk album kompilasi Gerenti Hit 3 yang mana beliau menyumbangkan sebuah lagu baru yang bertajuk "Cinta Jangan Kau Pergi".[72] Sheila pada November 1998 mengumumkan akan menguruskan sendiri kerjayanya selepas keluar dari Roslan Aziz Productions (RAP) setelah kontrak tidak diperbaharui, sambil mendakwa tidak mempunyai sebarang ikatan dengan syarikat itu. Beliau dipetik sebagai berkata: "RAP kini tiada hak ke atas keseluruhan kerjaya saya".[73][74]

Sheila muncul dengan album kompilasi Ratu Selamanya terbitan EMI Music Malaysia yang menggandingkan beliau bersama penyanyi Indonesia, Ruth Sahanaya dan dikeluarkan pada Mac 1999.[75][76] Album studio keenam beliau, Ku Mohon telah dikeluarkan pada November 1999 di bawah Warner Music Malaysia. Untuk album ini, beliau menggalas peranan sebagai pembantu penerbit.[77][78][79] Beliau telah merangkul empat anugerah, termasuk Album Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-7. "Ku Mohon" juga merupakan salah sebuah lagu yang terdapat di dalam album beliau dan liriknya ialah hasil ciptaan pertamanya telah menjadi Song of the Year.

2000-an: Sheila Majid 15, Cinta Kita dan pasca-kejayaan

Sheila tampil sebagai artis undangan untuk album kedua kumpulan hip hop Poetic Ammo, The World Is Yours yang mana beliau menyumbangkan korus dan bridge untuk lagu "Tiada Tandingan".[80] Pada 30 Jun 2000, beliau telah menjadi artis tempatan pertama yang pernah mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).[81] Pada malam kedua (1 Julai), tiket untuk konsert tersebut telah habis dijual. Konsert itu juga adalah sempena ulang tahun kelima belas beliau dalam industri muzik.[82][83] Sheila bersama beberapa bintang terkenal tempatan dan Asia seperti Siti Nurhaliza, Krisdayanti, Anggun, Anita Sarawak, Faye Wong dan bintang Bollywood Shah Rukh Khan, beraksi dalam Konsert Asia sempena festival hiburan terbesar rantau Asia, E-Fest Asia 2000 yang berlangsung dari 27 sehingga 29 Oktober 2000.[84]

Pada tahun 2001, Sheila meraikan ulang tahun ke-15 penglibatannya dalam industri muzik. Bagi meraikan 15 tahun kerjaya muziknya, beliau melancarkan album kompilasi Sheila Majid 15. Dikeluarkan pada 22 Mac,[85] album ini memuatkan sebanyak 17 lagu-lagu popular beliau termasuk satu lagu baru, "Inikah Cinta".[86][87] Beliau kemudian membuat persembahan di Festival Jazz Antarabangsa Philips 2001 yang berlangsung pada 5 Mei. Untuk persembahannya, beliau memilih banyak lagu-lagu Melayu lama yang pernah popular suatu masa dulu antaranya "Aduh Sayang" sebagai pembuka tirai.[88][89] Pada 8 November, beliau telah dijemput untuk mewakili Malaysia di konsert Diva S.E.A. yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.[90]

Beliau kemudian membuat persembahan di Genting Highlands menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-45 pada 30 Ogos 2002.[91][92] Pada Oktober 2003, beliau telah dijemput untuk mengadakan konsert secara langsung oleh Trans TV. Rancangan yang bertempoh selama dua jam, bertajuk Konsert Perjalanan Seni Sheila Majid. Pada 6 Disember, Sheila bersama-sama dengan Ning Baizura dan Camelia mengadakan persembahan di Festival Jazz Antarabangsa Philips 2003 yang berlangsung di Padang Polo, Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Kuala Lumpur. Selain Sheila, Ning dan Camelia yang mewakili Malaysia, turut membuat persembahan ialah Anggun dan Krakatau yang mewakili Indonesia dan The Idea Of North dari Australia.[93]

Album studionya yang ketujuh, Cinta Kita dikeluarkan pada April 2004. Menerusi album terbitan Warner Music Malaysia ini, beliau bekerjasama dengan beberapa pemuzik Indonesia seperti Andi Rianto, Tohpati dan Indra Lesmana yang secara kolektifnya telah menyumbang sebanyak 80% dari segi penerbitan album. Sehingga kini, kedua-dua album serta single pertama, "Kerinduan" telah mencapai nombor satu di Malaysia.[94][95][96] Pada Mei 2005, beliau berangkat ke Brunei untuk membuat persembahan di konsert Sheila Majid Live in Concert yang berlangsung di The Empire Theatre, Bandar Seri Begawan.[97][98]

Bagi meraikan dua dekad kerjaya muziknya, Sheila muncul dengan album kompilasi Legenda XV XX yang memuatkan lagu-lagu popular Seniman Agung, P. Ramlee dan Saloma seperti "Malam Ku Bermimpi", "Legenda, "Engkau Laksana Bulan" dan banyak lagi. Album ini dikeluarkan pada 22 Mac 2006, bersempena dengan ulang tahun kelahiran P. Ramlee yang ke-77.[13] Pada Julai 2006, beliau telah mengadakan konsert mini di Planet Hollywood Kuala Lumpur. Konsert ini ialah konsert khas bagi meraikan ulang tahun ke-20 beliau di dalam industri muzik.[99][100]

Pada 1 dan 2 Februari 2008, Sheila dipelawa oleh Institut Jantung Negara (IJN) untuk mengadakan persembahannya di konsert amal beliau, Sheila Majid In Concert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Konsert ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh pesakit-pesakit kronik. "Memang sudah lama saya tidak beraksi dalam sebuah konsert dan alhamdulillah, apabila IJN datang kepada saya untuk menganjurkan sebuah konsert amal, tanpa berfikir panjang, saya terus menerimanya", katanya kepada Utusan Malaysia. Dalam konsert ini, beliau mempersembahkan hampir 40 lagu bermula dari album Dimensi Baru sehingga Legenda XV XX.[101][102][103]

2010-an: Cabaran kerjaya, projek lain dan Boneka

Sheila ditemuramah oleh MeleTOP di sidang media filem Sinaran pada 3 November 2015.

Sheila melengkapkan portfolio kerjayanya pada 2010 dengan meraikan ulang tahun ke-25 penglibatannya dalam bidang muzik.[104] Memetik dari Utusan Malaysia, beliau berkata: "Secara peribadi, saya harus katakan kejayaan bertahan selama 25 tahun bukan satu usaha yang mudah. Barangkali, kekuatan yang ada pada saya ialah saya sentiasa memikirkan setiap yang saya lakukan adalah untuk industri dan peminat saya [...] Saya harus sedar bahawa Sheila Majid adalah sebuah produk. Jadi untuk memastikan sesebuah produk itu disenangi ramai dan sentiasa menjadi pilihan utama, saya harus pastikan kualitinya terpelihara".[104]

Beliau membuat persembahan di Festival Jazz Jawa yang berlangsung dari 5 hingga 7 Mac 2010 di Jakarta, Indonesia yang mana konsert ini ditonton oleh hampir 7,000 penonton. Beliau mendendangkan kesemua lagu-lagu popularnya termasuk lagu terbaharu, "Dengarkanlah". Kemudian, Sheila menjayakan rakaman televisyen Zona Memori 80an di sana bersama penyanyi veteran Indonesia yang juga idolanya, Vina Panduwinata. Bekerjasama dengan MUZIKON, beliau berpeluang merakamkan suara bersama penyanyi wanita Filipina, Regine Velasquez di mana beliau merakamkan sebuah lagu Filipina yang telah dialih bahasa kepada bahasa Melayu berjudul "Bukan Salah Cinta" yang liriknya ditulis oleh Trisno Aysraf Zainol Abidin atau Tris.[105]

Pada 11 April 2010, beliau membuat persembahan bersempena Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sewaktu membuat persembahan, beliau memperagakan kebaya rekaan pereka fesyen, Putra Aziz dari butik Cosry yang bertatahkan ratusan permata dan berlian jenama Mouawad yang bernilai RM250 juta dan dikatakan ialah paling termahal di dunia.[106][107][108] Pada 1 Oktober, Sheila membuat persembahan solo pentas di konsert MPO Celebrates 25 Years of Sheila Majid di bawah siri DFP Showcase yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) selama dua malam berturut-turut. Persembahannya diiringi oleh pemuzik orkestra dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan dihadiri oleh isteri bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Noorainee Abdul Rahman; Sasterawan Negara, A. Samad Said serta artis-artis popular seperti S.M. Salim, Syafinaz Selamat, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.[109]

Bertempat di Pusat Konvensyen Jakarta, Jakarta, Indonesia, Sheila menghiburkan ribuan para peminatnya di sana menerusi Konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta. Konsert itu pada asalnya dijadualkan akan berlangsung pada 23 September 2010 namun terpaksa ditunda kepada 15 Februari 2011 berikutan masalah yang berlaku melibatkan penduduk Indonesia. Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam, beliau telah mempersembahkan sebanyak lebih daripada 20 lagu-lagu popular beliau.[110] Pada 25 April 2012, Sheila mengadakan persembahannya di konsert A Day with Living Legend - Sheila Majid yang berlangsung di restoran Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur. Beliau mempersembahkan sebanyak 7 lagu termasuk "Sinaran" dan "Antara Anyir dan Jakarta".[111] Beliau membuat penampilan istimewa dalam filem Sinaran arahan Osman Ali yang dibintangi oleh Lisa Surihani, Izara Aishah, Syarif (bekas ahli kumpulan Sleeq) dan Evan Sanders. Menerusi filem ini, yang ditayangkan pada 26 November 2015, beliau membuat kemunculan khas yang mana beliau menyanyikan lagu baharu "Sinaran Cinta" yang merupakan runut bunyi filem ini.[112][113][114]

Pada 11 April 2017, Sheila melancarkan album kelapannya, Boneka yang merupakan album studio pertamanya dalam tempoh 13 tahun sejak album Cinta Kita (2004). Album yang mengandungi 10 lagu ini turut mendapatkan khidmat komposer terkenal termasuk Azman Abu Hassan, Omar K, Pacai, Kevin Chin dan Irwan Simantunjak. Boneka turut memuatkan sebuah lagu Inggeris ciptaan Najwa Mahiaddin berjudul "My All", sebagai memenuhi sebahagian impiannya untuk menerbitkan sebuah album Inggeris yang belum disempurnakan.[115][116][117]

Sheila mengumumkan dalam dua sidang akhbar berasingan yang diadakan pada 11 April dan 24 Mei bahawa beliau akan membuat persembahan di konsert solo berskala besar yang mana ia memperkenalkan barisan penaja yang terlibat menaja persembahan beliau.[118][119] Diberi nama Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017, konsert yang berdurasi selama dua jam ini berlangsung pada 5 Ogos 2017 di Stadium Negara dan mendapat sambutan apabila ia dihadiri seramai 4,000 penonton. Dalam konsert ini, beliau menyampaikan 25 lagu-lagu terkenal beliau termasuk medley.[120][121][122]

Beliau mengumumkan pada Disember 2017 akan membuat persembahan di Sheila Majid The Concert Jakarta 2018 yang berlangsung di Jakarta.[123] Konsert itu pada mulanya dijaudalkan akan berlangsung pada 20 Januari 2018, namun ditunda kepada satu tarikh yang akan ditentukan akibat masalah teknilal yang tidak dijangkakan.[124][125] Pada tahun 2019, Sheila meraikan ulang tahun ke-35 kerjayanya dalam bidang muzik.[126]

Dari 26 sehingga 28 April tahun yang sama, Sheila tampil bersama Afdlin Shauki dan Zainalabidin membuat persembahan di Konsert Re-Jamm sempena Festival Muzik anjuran Music Unlimited International yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).[127][128]

2020-an: Kesinambungan kejayaan dan perkembangan terkini

Pada 6 Februari 2021, beliau diundang membuat persembahan dalam rancangan muzikal Konsert Minggu Ini (KMI) In Person With Sheila Majid. Ini menjadi persembahan TV pertama Sheila bersama RTM dalam tempoh 15 tahun.[129]

Pada April 2021, Sheila melancarkan single terbaharunya, "Ketika Cinta Ingin Dimengerti",[130][131] hasil ciptaan Yanti Isfandiary. Majlis pelancaran single dan muzik videonya diadakan di The Darmawangsa, Jakarta Selatan.[132]

Beliau telah dipilih mendendangkan lagu tema bagi filem Juang hasil kerjasama Matt Lai dari Asia Tropical Films Sdn Bhd, Rosyam Nor (Suhan Movies) dan Jack Lim (The Film Engine) selaku Penerbit Eksekutif menerusi lagu berjudul "Wira Hatiku". Dikeluarkan pada 26 Julai 2022, lagu ini ditujukan khas bagi menghargai petugas barisan hadapan negara yang bekerja keras menentang penularan COVID-19.[133][134][135]

Pada Disember 2022, Sheila mengumumkan akan mengadakan konsert meganya, Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 yang membabitkan 23 pemuzik dengan penyusunan lagu-lagunya yang lebih segar. Dalam sidang media konsert ini, beliau berkata penganjuran konsertnya hanya berlangsung selama satu malam sahaja berbanding dibuat secara lanjutan untuk malam kedua atau ketiga.[136][137][138] Berlangsung pada 18 Mac 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), konsert ini menjadi kejayaan komersial apabila ia dihadiri seramai 3,000 penonton. Antara rakan artis yang hadir ialah Ziana Zain, Anuar Zain, Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Nur Fazura.[139][140][141]

Beliau muncul bersama kumpulan Kugiran Masdo dalam iklan Hari Raya Aidilfitri yang bertajuk "Sinaran Syawal" yang dikeluarkan di saluran YouTube Mamee Malaysia pada 31 Mac 2023.[142][143][144]

Sheila mengumumkan pada Jun 2023 bahawa beliau akan kembali menghiburkan peminatnya di Sabah dengan mengadakan konsert Sheila Majid Big Band Live in Kota Kinabalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 Ogos. Beliau mempersembahkan sebanyak 20 lagunya dalam konsertnya itu.[145][146][147][148]

Pada 8 hingga 10 Disember 2023, Sheila ialah antara penyanyi dan pemuzik yang mengadakan persembahan di Sentosa Music Fest di Singapura.[149]

Bakat

Gaya muzik

Gaya muzik Sheila Majid lebih terarah kepada nuansa R&B dengan pengaruh muzik jaz sambil berkata: "Orang telah memanggil saya ratu jaz, tetapi saya tidak menyanyi lagu-lagu jaz". Sheila juga membesar dengan lagu-lagu nyanyian artis-artis antarabangsa seperti Temptation, The Supremes, Michael Jackson, Anita Baker dan Angela Bofill. Beliau menjadikan muzik bernuansa gelap sebagai pengaruhnya dalam kerjaya nyanyian.[150] Selain itu, lagu-lagunya juga banyak dipersembahkan dalam bahasa Melayu. Menurut Sheila, bahasa Melayu ialah "bahasa yang indah" dan kekal menjadi bahasa ibundanya sambil percaya bahawa "bahasa kebangsaan kita ialah contoh terbaik identiti Malaysia sebagai sebuah negara".[151]

Cabang lain

Selain bidang muzik, Sheila turut berkecimpung dalam bidang perniagaan. Beliau dan suaminya, Acis telah bekerjasama dan memulakan studio latihan mereka sendiri yang dikenali sebagai Studio Akarkarya yang ditubuhkan pada 2004 dan beroperasi di Damansara Uptown, Petaling Jaya, Selangor.[152] Beliau bersama-sama dengan kakaknya, Shahidah Majid telah membuka spa kecantikan sendiri di Damansara Heights, Kuala Lumpur, Jentayu Spa pada 2006.[153][154] Setelah mencuba dan berusaha sendiri selama 10 tahun, beliau telah berjaya menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu Jerneh, yang juga mendapat sambutan baik di pasaran.[155]

Kehidupan peribadi

Pada 14 Februari 1989, beliau telah berkahwin dengan pemuzik dan penerbit rakaman, Roslan Aziz.[156][157][158] Beliau dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Nur Khaleda Aziz (lahir 5 April 1991)[159] dan Megat Abdul Majid Aziz (lahir 29 Oktober 1994).[160] Pada 4 April 2000, pasangan ini melafazkan perceraian secara talak khuluq.[161][162] Selain itu, beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Dato' Hashridz Murshim Hassim atau Acis, bekas pemain keyboard untuk kumpulan Gersang selepas dua tahun menjalin hubungan cinta. Mereka dinikahkan di hadapan Imam Masjid Damansara iaitu Wahid Amini pada 3 Jun 2003 pada pukul 11.47 pagi. Beliau telah menerima mas kahwin sebanyak RM 80, wang hantaran RM 20,000 tunai, dua bentuk cincin masing-masing yang bernilai RM 1,000 dan RM 5,000 serta kalung berharga RM 1,000.[163][164][165][166] Mereka juga telah dikurniakan dua anak iaitu Khadeja Zaireen Murshim (lahir 28 September 2004)[167][168] dan Khalefa Laila Murshim (lahir 28 April 2007).[169]

Bapa Sheila, Abdul Majid Shahid meninggal dunia pada 16 Mei 1996 pada usia 78 tahun selepas beberapa hari tidak sedarkan diri selepas menjalani satu pembedahan di hospital Ampang Puteri.[170] Ini kemudian diikuti oleh ibunya, Saadiah Adam yang meninggal dunia pada 1 Ogos 2020 akibat sakit tua pada usia 96 tahun.[171][172]

Anak keduanya, Megat Abdul Majid Aziz berkahwin dengan Nik Nuralia Nik Fauzi pada 13 Februari 2022. Ini menjadikan Nik Nuralia sebagai menantu sulungnya.[173][174][175]

Diskografi

Album studio

Filemografi

Filem

TahunTajukPerananCatatan
1985Ali SetanTipah
1988Bayi TabungDirinya sendiriFilem usahasama Malaysia-Indonesia
2015Sinaran

Televisyen

TahunTajukPerananSaluran TVCatatan
1986Pesta Filem Malaysia ke-6Dirinya sendiri/Tetamu undanganRTMBeliau menyanyikan lagu Wajah Rahsia Hati sebagai runut bunyi bagi filem Ali Setan (1985)
1993In Person Sheila MajidTV3
2005Zoom-InTV2
2021Konsert Minggu Ini (KMI) In Person With Sheila Majid

Konsert

Malaysia
  • Legenda: The Concert (1991)
  • Sheila Majid In Concert (2008)
  • MPO Celebrates 25 Years of Sheila Majid (2010)
  • Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur (2017)
  • Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur (2023)
  • Sheila Majid Big Band Live in Kota Kinabalu (2023)

Indonesia
  • Konsert Perjalanan Seni Sheila Majid (2003)
  • Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta (2011)
  • Sheila Majid The Concert Jakarta (2018)
Brunei
  • Sheila Majid Live in Concert (2005)
Penglibatan dalam konsert

Pameran seni

  • 1993: Ratu - A Day in the Life of Sheila Majid

Anugerah dan pencalonan

TahunAnugerahKategoriPenerima/Karya tercalonKeputusanRuj.
1987Anugerah BASF 1987Artis R&B Wanita TerbaikDirinya sendiriMenang[23]
1990Malam Seri Angkasa RTM 1990Penghibur Televisyen TerbaikMenang[176]
1996Anugerah Industri Muzik ke-3Anugerah Kembara (Tempatan)Menang[177]
Lagu Terbaik"Jentayu" (bersama Nora Ariffin)Menang
1997Anugerah Industri Muzik ke-4Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita)Dirinya sendiriMenang[178][179][180]
Kulit Album TerbaikRatuTercalon
Rakaman Album TerbaikTercalon
Album Pop TerbaikMenang
Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album"Bersatu Hati" (bersama Liza & Azlina Aziz)Menang
Muzik Video TerbaikMenang
Lagu TerbaikTercalon
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu"Embun"Tercalon
1998Anugerah Industri Muzik ke-5Video Muzik Terbaik"Cinta Jangan Kau Pergi"Tercalon[181]
2000Anugerah Industri Muzik ke-7Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita)Ku MohonTercalon[182][183]
Kulit Album TerbaikTercalon
Album Pop TerbaikMenang
Album TerbaikMenang
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu"Ku Mohon"Menang
Lagu TerbaikMenang
2001Anugerah Planet Muzik 2001Artis Wanita Serantau Paling PopularDirinya sendiriTercalon[184]
2012Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25Anugerah Pencapaian Sepanjang HayatMenang[185]
Anugerah Planet Muzik 2012Anugerah Khas APMMenang[186][187]
2016Anugerah Industri Muzik ke-22Anugerah Sri WiramaMenang[188]

Penghargaan

Pada 24 Oktober 2008, Sheila menjadi artis tempatan tunggal menerima darjah kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa kepada gelaran Dato' sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-78 di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.[189][190]

Penghargaan Malaysia

Catatan

Rujukan

Petikan

Sumber cetakan

Pautan luar