Konsonan malaran tak geser, malaran tak bergeser atau aproksiman ialah bunyi sebutan yang boleh disifatkan sebagai perantara bunyi vokal dan konsonan "biasa". Ketika menyebut malaran tak geser, organ-organ penyebutan menyempitkan saluran suara, tetapi membuka ruang secukupnya untuk udara mengalir tanpa banyak gelora yang boleh didengar. Justeru, malaran tak geser lebib terbuka berbanding geseran. Golongan bunyi ini merangkumi malaran sisian seperti [l] (l dalam lama) dan malaran separuh vokal seperti [j] (y dalam ya) dan [w] (w dalam wau).
Terdapat sebilangan malaran tak geser yang serupa dengan vokal, maka diberi istilah separuh vokal. (Separuh vokal ialah bunyi seakan-akan vokal bukan sukuan. Sesetengah ahli fonetik mengehadkan istilah tersebut untuk vokal bukan sukuan sejati yang membentuk diftong, manakala yang lain menyertakan subset malaran tak geser yang menyerupai vokal. Perbezaan dari segi fonetiknya ialah malaran tak geser ini lebih menghampiri berbanding vokal bukan sukuan yang sepadannya.)