Daerah

jenis pembahagian pentadbiran, di beberapa negara

Daerah (serapan Arab: دَائِرَة, rumi: dā'irah "lingkaran; bulatan" terbitan kata kerja دَارَdāra "berputar; berpusing"[1]) ialah kawasan pentabiran sesuatu tempat. Beberapa kampung membentuk sebuah mukim. Beberapa mukim membentuk sebuah daerah. Beberapa daerah membentuk sebuah negeri/bahagian. Beberapa negeri membentuk sebuah negara. Di Malaysia, hanya Kelantan sahaja yang tidak menggunakan Daerah tetapi menggunakan Jajahan.

Malaysia

Semua Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya di Malaysia dianggap sebagai kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia ditadbir di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia mengikut peruntukan Akta Kerajaan tempatan 1976, dan kerajaan negeri masing-masing.

Majlis Daerah

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi: Majlis Daerah (Malaysia)

Setiap daerah di Malaysia ditadbir oleh sebuah badan berkanun dikenali sebagai Majlis Daerah. Contohnya daerah Marang ditadbir oleh Majlis Daerah Marang. Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah menjadi ketua pentadbir bagi sesebuah daerah.

Majlis Perbandaran

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi: Majlis Perbandaran (Malaysia)

Apabila sesebuah bandar terlalu besar, maka urusan pentadbiran sesuatu daerah akan diagihkan kepada 2 atau 3 pejabat pentadbiran badan berkanun yang dikenali sebagai Majlis Perbandaran. Contohnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibentuk bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran. Manakala bagi Majlis Perbandaran, Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran menjadi ketua pentadbir.[2][3]

Dewan Bandaraya

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi: Dewan Bandaraya (Malaysia)

Sesuatu daerah yang pesat membangun dan mendapat taraf metropolitan yang besar, biasanya untuk ibu negeri dan Wilayah Persekutuan ditadbir oleh sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Dewan Bandaraya. Misalnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Ketua pentadbiran bagi sesebuah Dewan Bandaraya pula adalah Datuk Bandar.[4]

Indonesia

Provinsi Papua dan provinsi Papua Barat di Indonesia secara rasmi menukar penyebutan kecamatan menjadi distrik (daerah). Sesetengah bahagian Indonesia menyebut kecamatan sebagai daerah kecil - subdistrict.

Lihat juga

  • Jajahan, istilah setaraf yang khusus di Kelantan, Malaysia

Rujukan