KM Teratai Prima

KM Teratai Prima ialah sebuah feri Indonesia yang karam pada 11 Januari 2009 pada pukul 04:00 waktu tempatan (10 Januari 21:00 UTC) di Selat Makassar berhampiran Kabupaten Majene, Sulawesi Barat disebabkan cuaca ribut. Mereka yang terselamat menyatakan feri itu telah dilanda ombak setinggi 4 m.[1]

Kapal itu dipercayai membawa 250 penumpang dan 17 anak kapal ketika karam, selain kargo seberat 18 tan.[2] Setakat 12 Januari, 23 orang (termasuk kapten kapal) berjaya diselamatkan oleh nelayan.[3] Setakat 13 Januari pula, 34 orang berjaya diselamatkan.[4] Kapten kapal tersebut sedang disiasat kerana dikatakan tidak mengendahkan amaran dari agensi cuaca Indonesia mengenai keadaan perairan Majene yang dilaporkan terlalu bahaya.[1] Feri itu sedang dalam perjalanan malam dari Pare-Pare, Sulawesi Selatan ke Samarinda, Kalimantan Timur.[5][6]

Usaha mencari dan menyelamat cuma mula dijalankan pada siang 11 Januari. Bagaimanapun, angin kencang dan laut bergelora menjejaskan usaha tersebut.[4][7]

Rujukan