Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022

Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022 merujuk kepada isu-isu pengurusan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terhadap banjir Malaysia 2021–2022, suatu bencana banjir yang melanda Semenanjung Malaysia yang dianggap luar biasa oleh kerana banjir mengenai Lembah Klang yang tidak lazim menerima bencana banjir. Secara khusus, kritikan-kritikan yang diutarakan termasuk ketiadaan amaran prabanjir yang betul, kelewatan pemberian bantuan oleh kerajaan, sikap sambilewa kerajaan dalam menguruskan bencana, dan tindakan kerajaan yang mempergunakan bencana banjir demi kepentingan politik peribadi.

Banjir pada Disember 2021 di Klang, Selangor.

Secara am, pembinaan kritikan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan digandakan melalui media sosial, di mana para rakyat meluahkan perasaan marah terhadap kerajaan serta mendedahkan-mendedahkan kontroversi yang diterbitkan mereka.[1] Susulan itu, ramai pihak menuntuk perkara-perkara seperti peningkatan kesiapsiagaan bencana negara serta reformasi struktur pemerintahan negara yang dianggap terlalu besar dan korup.[2]

Kritikan terhadap pengurusan prabanjir

Sejurus selepas banjir melanda, ramai pihak mempersoal tindakan kerajaan yang tidak mengendahkan amaran-amaran banjir serta bencana berkaitan yang dikeluarkan pihak meteorologi negara dan antarabangsa. Secara ringkas, banjir ini berlaku akibat sebuah taufan kecil - Lekukan Tropika 29W yang mengenai Semenanjung Malaysia pada 14 Disember 2021. Taufan itu kemudian merentasi semenanjung hingga mereda pada 17 haribulan, seterusnya membawa hujan lebat berterusan dalam kira-kira dua hari di kawasan Pantai Timur dan Lembah Klang lalu menerbitkan bencana banjir ini, di samping faktor-faktor lain seperti monsun dan kejadian air pasang.

Kutukan dihumban terhadap Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) kerana tidak mengguna pakai sistem mesej pukal negara untuk mengutarakan maklumat-maklumat berkenaan banjir tersebut.[3] Banyak pihak mempersoalkan tindakan kerajaan yang sebaliknya menggunakan sistem itu bagi perkara-perkara yang dianggap remeh seperti mempromosikan aktiviti-aktiviti berkaitan projek Keluarga Malaysia yang banyak disifatkan sebagai propaganda prokerajaan. Susulan itu, pihak pengkritik menyeru agar sistem amaran prabanjir dikukuhkan, termasuk agensi meteorologi negara.[4] Di samping itu, sebuah hujah Parlimen oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah pada 26 Julai yang memberi peringatan awal untuk bersiap sedia menghadapi banjir turut tular.[5]

Kritikan terhadap pengurusan pascabanjir

Pelbagai kritikan telah diberikan terhadap kerajaan berkenaan pengurusan pascabanjir yang dilihat sambalewa dan lewat. Beberapa laporan daripada para mangsa meluahkan kekecewaan bahawa pihak berkuasa gagal memberikan bantuan yang sepantutnya, dan terpaksa berharap kepada warga asing serta pihak sukarelawan.[6] Satu tulisan di Sinar Harian berpendapat bahawa koordinasi bantuan kemanusiaan sesama rakyat menerusi media sosial adalah jauh lebih baik berbanding pengurusan oleh kerajaan.[7] Seorang presiden kumpulan pemuliharaan, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, menghujah bahawa kelewatan pemberian bantuan pascabanjir berlaku akibat isu birokrasi yang tidak baik.[8]

Perdana Menteri

Dalam satu kenyataan, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib menyelar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas kelewatan bantuan banjir terhadap rakyat Selangor, malah mendakwa bahawa kelewatan itu adalah berniat jahat sehingga menyeru mangsa-mangsa banjir agar menyaman Ismail atas isu tersebut.[9] Kenyataan ini kemudiannya dibantah sekutu Ismail, Shahril Sufian Hamdan yang berkata bahawa Ismail telah bekerjasama di sebalik tabir dalam pengurusan bencana banjir.[10] Sementara itu, Ismail mengaku bahawa memang ada beberapa "kelemahan" yang ada dalam pengurusan pascabanjir pemerintahannya.[11]

Agensi Pengurusan Bencana Negara

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diselar pelbagai pihak kerana dilihat mendiamkan diri dalam pengurusan pascabanjir serta mengetepikan amaran-amaran banjir.[12] Selain itu, NADMA dikritik kerana dikatakan gagal mengarahkan pihak tentera bagi tujuan bantuan pascabanjir sehingga pihak tentera bertindak mula mengerahkan bantuan secara sendiri.[13] Untuk menjawab kritikan tersebut, pihak NADMA menafikan bahawa mereka telah menghalang pihak tentera daripada membantu mangsa banjir atau ada selisih faham antara mereka dengan pihak tentera.[14]

Dewan Rakyat

Pada 20 Disember, tindakan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menghalang permohonan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk berbincang tentang banjir mendapat kritikan orang ramai.[15] Tindakannya dibantah kedua-dua pihak pemerintah serta pembangkang dengan sesetengah pihak menyeru agar Azhar diletak jawatan.[16][15] Dalam hal ini, Azhar menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan berlandaskan protokol Dewan Rakyat, di mana para ahli dewan perlu mengusulkan seruan untuk membincangkan suatu perkara kepadanya sekurang-kurangnya sehari sebelum usul dibincangkan.[17]

Pertelingkahan Amirudin Shari-Noh Omar

Di peringkat kerajaan negeri Selangor, satu kontroversi terbit berkenaan jawatan pengerusi MKN peringkat negeri antara Menteri Besar Amirudin Shari dan Noh bin Omar. Isu ini berlaku susulan berlaku persoalan tentang siapa yang memegang jawatan itu ketika kritikan diutarakan terhadap MKN atas masalah-masalah pengurusan pascabanjir. Pada November, Amirudin telah menyerahkan jawatannya sebagai pengerusi MKN Selangor kepada Noh Omar. Akan tetapi, susulan bencana banjir, jawatan itu dikembalikan kepada Amirudin bermula 25 Disember.[18] Walau bagaimanapun, isu ini dikritik pelbagai pihak kerana dilihat tidak penting.[19]

Eksploitasi bencana banjir

Sikap kerajaan serta ahli-ahli politik yang dilihat mempergunakan bencana itu untuk mempromosikan diri dan kerajaan mereka turut dikecam.[20] Satu isu yang terbit ialah penganjuran majlis-majlis pelancaran bantuan banjir yang dikatakan sebagai suatu pembaziran dan tidak perlu seperti yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz.[21] Di samping itu, sikap golongan ahli politik yang bersikap tidak sensitif terhadap bencana banjir juga dikutuk. Antara kontrovers-kontroversi dalam hal ini ialah penganjuran majlis yang dikaitkan dengan parti baharu, Parti Bangsa Malaysia tatkala sekitar 50 ribu orang daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara menyertai parti itu.[22][23] Gambar-gambar para ahli politik yang dilihat tak sensitif ketika menolong mangsa banjir juga tular dan memperoleh kutukan ramai, dengan ahli-ahli yang diselar termasuk Tengku Zafrul dan Rina Mohd Harun.[24][25]

Reaksi

Persepsi masyarakat terhadap pengurusan oleh kerajaan juga dilihat negatif dengan muncul tagar-tagar antikerajaan di media sosial.[1] Slogan "rakyat jaga rakyat" yang pada awalnya terbit dalam peningkatan kemarahan terhadap pengurusan kerajaan terhadap pandemik COVID-19 negara juga kembali menular.[26] Kemarahan antikerajaan juga menghambat usaha-usaha kerajaan seperti pemboikotan tabung bantuan banjir kerajaan oleh kerana kebimbangan eksploitasi wang bantuan demi kepentingan politik peribadi, dan sebaliknya berpaling tadah kepada pihak-pihak NGO yang dilihat lebih telus dalam memberikan bantuan.[1]

Dengan persepsi negatif terhadap kerajaan yang memuncak, para penganalisis politik menjangka bahawa penerusan persepsi ini akan menjadi faktor utama penentu undian rakyat pilihan raya umum Malaysia ke-15.[27] Di samping itu, para peguam pendukung alam sekitar pula ingin menyaman kerajaan Selangor atas persepsi pengabaian terhadap alam sekitar serta pembangunan melampau.[28]

Rujukan