Nobat

Nobat (Jawi: نوبة atau نوبت‎) adalah barisan alat muzik yang digunakan untuk menyambut raja dan sultan kerajaan-kerajaan Melayu serata Asia Tenggara diterapkan dalam pelbagai jenis adat istiadat termasuk pertabalan, sambutan ketibaan orang ternama serta majlis-majlis perkahwinan, kelahiran dan kematian dalam kerabat diraja. Seni yang dibawa dalam pemainan lagu-lagu beralat ini merupakan kesinambungan daripada budaya muzik Islam yang ada di seberapa rantau dunia lain termasuk kerajaan-kerajaan Umaiyah, Andalusia dan Mughal.[1]

Nobat dipercayai melambangkan kedaulatan seseorang sultan seterusnya meninggikan kedudukan sultan dalam masyarakat Melayu[1] tidak sahaja dari cara alat-alat ini dimainkan mendatangkan rasa gerun rakyat - semakin gah muzik nobat dimainkan, semakin besarlah daulat sultan - malah bagaimana alat-alat tersebut dikendali dan dijaga.[2]

Sejarah

Barisan alat nobat baru Riau Lingga yang tinggal.

Peristilahan

"Nobat" berkait dengan perkataan Arab: نَوْبَة nawbah[1] terbitan kata kerja نَابَnāba bermaksud "gilir" (turn)[3][4] merujuk kepada "giliran" para pemain muzik mempersembahkan lagu mereka.[4] Ada juga yang mengusulkan perkataan "nobat" meminjam dari kata Parsi: نه no "sembilan" yakni merujuk kepada sembilan alat yang dikira utama dalam barisan nobat.

Pewujudan dan penyebaran

Kesultanan Kedah merupakan kerajaan Melayu pertama memiliki barisan nobat sendiri sepertimana yang dicatatkan dalam Sulalatus Salatin; pertemuan Sultan kerajaan tersebut dengan Sultan Mahmud Shah yang memerintah Kesultanan Melaka sekitar 1435 Masihi memperkenalkan alatan nobat di sana.[5] Apabila seorang putera Sultan Mahmud iaitu Muzaffar Shah diundang menjadi sultan kerajaan Perak yang baharu, baginda turut dikurniakan nobatnya sendiri yang menabalkan baginda semasa diangkat.[5]

Kesultanan Riau-Lingga pernah mempunyai alatan nobat mengikut cara Kedah dan Perak terdiri dari sepasang gendang kayu berbeza corak, sebatang serunai kayu dan sebatang nafiri perak; gendang-gendang tersebut digantikan dengan tiga buah gendang perak bersepuh emas ditukang dari Jawa dan dihadiahkan Gubernur Hindia Timur Belanda kepada Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah di Batavia (kini Jakarta) pada tahun 1885.[6] Gendang-gendang kayu lama baginda ditinggalkan di Pulau Penyengat sambil alatan lain dibawa bersama baginda ketika baginda dibuang negeri ke Singapura tahun 1912. Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu yang merupakan cucunda seorang puteri Lingga meminjam alat-alat nobat dari Sultan Abdul Rahman beberapa kali tahun 1912, tiga gendang perak akhirnya diserahkan milik kepada Sultan Zainal Abidin sementara nafiri dan serunai perak baharu ditukangkan, penyerahan ini dirasmikan tahun 1918.[6]

Selain daripada Kesultanan Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu, Negara Brunei Darussalam juga mempunyai peralatan nobat tersendiri. Di dalam Salasilah Raja-Raja Brunei, Sultan-Sultan Brunei telah mewarisi Naubat Diraja Brunei dari negeri "Johor Kamal-ul-Maqam" dan negeri Minangkabau. Terdapat perselisihan mengenai negeri Johor yang disebutkan itu, kerana Kesultanan Johor Lama hanya diasaskan pada tahun 1528. Mengikut pendapat sejarawan Brunei, Allahyarham Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, negeri Johor Kamal-ul-Maqam itu sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua, manakala Cesar Adib Majul, sejarawan Filipina mengemukakan pendapat bahawa Sultan Brunei yang pertama, iaitu Sultan Muhammad Shah (Awang Alak Betatar) telah sebenarnya berkahwin dengan puteri dari Kesultanan Melaka, dan mewarisi peralatan kebesaran diraja, termasuk nobat dari Sultan-Sultan Melaka.

Peralatan

Barisan alat nobat berbeza dari kerajaan ke kerajaan menerus ke zaman moden dari negeri ke negeri dalam negara moden. Kerajaan Pattani yang wujud dari zaman abad ke-15 hingga abad ke-19 diceritakan dalam Hikayat Patani mempunyai sebanyak 33 jenis alat nobat atau ragam digunakan dalam adat-istiadat kerajaan tersebut.[7] Tetapi secara umumnya, kelengkapan asas nobat dapat diperhatikan semuanya menurut kelaziman nobat dimainkan pada zaman Kesultanan Melaka terdiri dari tiga jenis alat asas: gendang, nafiri dan serunai.

Gendang

Gendang yang ada dalam barisan nobat terbahagi kepada beberapa jenis:

  • gendang nengkara (Perak dan Selangor) / nakara (Brunei) / negara (Terengganu) / nahara (Kedah), gendang bermuka satu.
  • gendang ibu (Kedah dan Terengganu) / gendang nyenyalu (Perak dan Selangor), gendang bermuka dua, bersaiz besar.
  • gendang anak (Kedah dan Terengganu) / gendang peningkah (Perak dan Selangor), gendang bermuka dua, bersaiz kecil.
  • gendang labik (Brunei)

Kedudukan gendang negara adalah yang tertinggi berbanding alat nobat lain kerana dipercayai ada kesaktian yang tinggi dek dihuni jin-jin yang dikatakan mampu memberi kuasa dan daulat kepada sultan.[2] Misalnya, gendang negara bagi Nobat Diraja Brunei bernama Nakara akan diusung oleh Ketua Jurulaki (Ketua Nobat Diraja Brunei) di atas kepalanya.[8] Nakara ini juga akan diletakkan di atas kaban (peti) Mahkota Diraja Brunei jika tidak digunakan.

Nobat Riau-Lingga mempunyai dua buah gendang penganak dan dua buah gendang panjang.[9]:5

Nobat Indragiri mempunyai sepasang gendang dua muka diperbuat dari "kayu pulut" dan kulit rusa diregangkan pada rangka rotan, setiap muka gendang dimainkan seorang penghulu gendang yang memalu gendang secara duduk sila memainkan irama penengkah sambil gendang anak dimainkan beriringan sebagai irama penyelalu.[9]:8-9 Terdapat suatu juga suku yang wujud bertumpu di kawasan hutan Riau mengamalkan adat nenek moyang serta taat setia kepada kerabat diraja Indragiri iaitu suku Mamak di mana mereka mempunyai "gendang nobat" sendiri iaitu ketabung (atau ketebung) yang digunakan untuk tujuan penyembuhan, gedombah yang lagi rendah serta gendang yang terbawah untuk tujuan pekerjaan seharian.[9]:8

Alat tiup

Alat-alat tiup utama terdiri dari serunai dan nafiri. Serunai akan memainkan irama sesebuah lagu itu, manakala Nafiri berperanan memainkan irama yang panjang berterusan sebagai asas lagu istiadat yang dimainkan secara beriring oleh alat-alat gendang dan gong lain. Nafiri adalah sebahagian daripada kesemua negeri-negeri yang mempunyai peralatan nobat, kecuali Negara Brunei Darussalam.

Perkusi

Nobat Terengganu mempunyai sepasang alat kecil berupa simbal iaitu kopak-kopak, manakala Nobat Kedah menggunakan gong.[6]

Cara mengikut negeri

Brunei

Sila lihat: Naubat Diraja Brunei

Malaysia

Nobat Diraja di Istana Negara Malaysia memainkan tiga lagu utama semasa Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong:[10]

  • Raja Berangkat semasa kedua-dua Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri, dan ketika baginda berdua berangkat keluar dari Balairung Seri.
  • Menjunjung Duli semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairung Seri,
  • Raja Bertabal selepas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja.

Negeri Kedah Daru'l Aman[11]

Lagu-lagu Nobat Diraja Kedah

Nobat Diraja Kedah mempunyai 19 buah lagu kesemuanya - 7 daripadanya dikategorikan sebagai "Lagu Istiadat", dan selebihnya iaitu "Lagu Ragam". "Lagu Istiadat" merupakan lagu-lagu yang hanya boleh dimainkan pada waktu atau istiadat tertentu sahaja, manakala "Lagu Ragam" boleh dipalu pada bila-bila masa Nobat itu diperlukan, seperti Istiadat Bersiram atau Istiadat Berendoi. Notasi muzik bagi lagu-lagu Nobat Diraja Kedah dipanggil "dai" - yang ditulis dengan huruf Jawi.

LaguWaktu dimainkanNota tambahan
PerangLagu ini dimainkan semasa istiadat-istiadat penting, seperti: pemasyhuran, pertabalan, kemangkatan dan pemakaman. Selain dari itu, ia juga dipalu antaranya ketika Raja berangkat ke luar negeri, ataupun untuk menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan, menyambut kedatangan pembesar-pembesar dari luar negara, dan untuk mengumumkan tarikh Hari Raya.Dikenali dengan nama Raja Bertabal untuk Istiadat Pertabalan.

Juga dikenali dengan nama Raja Beradu untuk Istiadat Pemakaman[12].

BelayarPada zaman dahulu, apabila raja hendak turun belayar, maka lagu ini akan dipalu oleh pemain Nobat. Memandangkan zaman sudah berubah, dan perjalanan dilakukan di atas darat, fungsi lagu ini diubah agar ia dimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat masuk atau keluar dari Balai Penghadapan semasa istiadat rasmi.

Semasa Istiadat Pemakaman, jenazah yang mangkat itu akan diusung keluar dari Balai Penghadapan diiringi dengan paluan lagu ini.

Juga masyhur dengan nama Raja Berangkat.
PaluSebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Maghrib dan Sembahyang Fardhu Isha, pemain Nobat akan memainkan lagu ini di Balai Nobat.Jika Nobat Diraja Kedah digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, lagu ini akan dikenali sebagai Menjunjung Duli.
TempoyakLagu ini hanya dipalu pada hari Jumaat sahaja, iaitu setiap satu jam selepas waktu Sembahyang Fardhu Subuh sehinggalah jam 12 tengah hari, untuk mengingatkan rakyat dan penduduk tentang kewajipan menunaikan Sembahyang Fardhu Juma'at.Tidak lagi dimainkan pada zaman sekarang.
Raja BurungLagu ini dikatakan sebagai raja di antara semua lagu Nobat Diraja Kedah. Ia termasuk dalam 9 buah lagu yang akan dimainkan pada hari ketiga selepas Hari Raya Aidil'adha, sebagai persembahan tahunan kepada Sultan di istana.
BerlimauLagu ini dipalu semasa Istiadat Berlimau sempena Istiadat Perkahwinan Diraja.
Mambang BerkayuhLagu ini akan dimainkan apabila Raja turun berkayuh di sungai pada zaman dahulu.
LumatKesemuanya adalah "Lagu Ragam."Masih dimainkan pada zaman sekarang.
Gendang Anak
SadarunaTidak lagi dimainkan pada zaman sekarang.
Sepindin
Seratan
Arak-Arak
Bayat
Bayok
Dewa Raja (Hayat)
Malawala
Mambang Cina

Waktu-waktu Nobat Diraja Kedah dipalu

Menurut tradisi, Nobat Diraja Kedah juga akan dipalu pada waktu-waktu berikut:

  • 2 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Subuh.
  • 1 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Maghrib.
  • 1 kali sebelum masuknya waktu Sembahyang Fardhu Isha'.
  • Pada hari ke-3 selepas Hari Raya Aidil'adha di istana. Para pemain akan mempersembahkan 9 buah lagu, namun pada masa kini, hanya 5 buah lagu sahaja diperdengarkan.
  • Semasa Istiadat Perkahwinan Diraja.
  • Semasa peristiwa gerhana matahari atau gerhana bulan (tidak lagi dilakukan)

Pantang-larang Nobat Diraja Kedah

  • Peralatan tidak boleh disentuh oleh orang luar.
  • Kedudukan peralatan nobat tidak boleh diubah sesuka hati.
  • Jawatan pemain hanya boleh diperturunkan kepada waris lelaki sahaja.
  • Seorang pemain itu tidak boleh mengajar semua lagu yang dia tahu kepada penggantinya.
  • Apabila membawa peralatan nobat turun dari Balai Nobat, ia hendaklah dilakukan dengan mengikut susunan tertentu, dengan didahului oleh Mahaguru (rotan Semambu).
  • Tidak ada sesiapapun yang dibenarkan untuk melihat apa yang ada di bawah permukaan gendang Nahara.
  • Nobat tidak boleh dipalu kecuali semasa istiadat-istiadat yang melibatkan Sultan Kedah.
  • Peralatan nobat tidak boleh dipersendakan (bercakap sembarangan atau tidak menentu mengenainya).

Nobat Diraja Perak Daru'l Ridzuan dan Selangor Daru'l Ehsan

Lagu-Lagu Nobat Diraja Perak dan Selangor[13][14]

Dalam jadual di bawah ini, 8 buah lagu yang disenaraikan, iaitu Gendang Berangkat sehingga Aleh-Aleh Pendek merupakan lagu asli yang telah "keluar dari laut", manakala selebihnya telah ditambah mengikut peredaran zaman[15].

LaguNota Tambahan
Gendang BerangkatDikenali dengan nama "Iskandar" di negeri Selangor. Dimainkan semasa Sultan dan Permaisuri baginda berangkat masuk atau keluar dari Balai Penghadapan semasa istiadat rasmi.
Puteri Mandi MayangAntara waktu lagu ini dimainkan adalah ketika Istiadat Bersiram, dan pada petang 27, 28 dan 29 Syaaban sempena bulan Ramadhan. Di negeri Selangor, lagu ini dikenali dengan nama "Puteri Lenggang Mayang".
Rama-Rama Terbang Tinggi-
Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
Dang Gendang
Arak-Arak Antelas
Aleh-Aleh Panjang
Aleh-Aleh Pendek
Gendang Perang
Jong Beraleh
Lenggang Che KobatDikenali dengan nama: "Ibrahim Khalilullah" di negeri Selangor.
Anak Raja Basuh Kaki-
Nobat TabalDimainkan semasa Istiadat Pertabalan.
Nobat SubuhDimainkan pada sebelah pagi dan petang sahaja.
Nobat Khamis
Nobat Raja

Nobat Diraja Terengganu Daru'l Iman

Lagu-lagu Nobat Diraja Terengganu

LaguNota tambahan
Iskandar ShahDimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat masuk ke Balairong Seri, begitu juga halnya jika Nobat Diraja Terengganu digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan dikenali dengan nama "Raja Berangkat".
Ibrahim KhalilDikenali dengan nama "Raja Bertabal" untuk Istiadat Pertabalan.
Palu-Palu MelayuJika Nobat Diraja Terengganu digunakan semasa Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, lagu ini dikenali sebagai "Menjunjung Duli".
Palu-Palu Nyiri-
Arak-Arak
Anak Kuda Ragam (Raja Beradu)
Seri IstanaDimainkan apabila Sultan dan Sultanah berangkat keluar dari Balairong Seri, begitu juga halnya jika Nobat Diraja Terengganu digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, dan juga dikenali dengan nama "Raja Berangkat".
Seri Istana (Semang)-
Lapan
Perang
Petang Khamis
Petang Khamis Perak
Petang Juma'at

Waktu-waktu Nobat Diraja Terengganu dipalu

Pada zaman dahulu, nobat akan dipalu setiap hari termasuk waktu-waktu berikut:

  • Istiadat Perkahwinan Diraja - setiap pagi dan petang.
  • Istiadat Menjunjung Duli
  • Istiadat Pertabalan
  • Istiadat Bersiram
  • Setiap petang Khamis di Istana Persemayaman.
  • Setiap petang semasa bulan Ramadhan.

Adat-tradisi Nobat Diraja Terengganu pada zaman dahulu

  • Nobat hanya boleh dimainkan untuk Sultan, Yang Di-Pertuan Muda, Bendahara dan Temenggong.
  • Tempoh paluan nobat itu adalah berdasarkan tiupan nafiri: untuk Sultan dan Yang Di-Pertuan Muda, tidah lebih dari 11 kali tiupan, untuk Bendahara, tidak lebih 9 kali tiupan dan untuk Temenggong, tidak boleh melebihi 7 kali tiupan nafiri.
  • Ketua nobat diberi gelaran "Laila Perkasa", dan akan meniup nafiri. Ketua pemain gendang diberi gelaran "Laila Sangguna".
  • Sesiapa yang mendengar bunyi nafiri hendaklah memberhentikan apa jua pekerjaan yang dilakukannya, sehinggalah nafiri itu ditiup tiga kali.
  • Sesiapa yang melintas di hadapan peralatan nafiri apabila nobat bermain di luar istana, dia akan dihukum / didenda.
  • Jikalau nobat bermain di dalam istana, dan ada yang mendengar bunyi nafiri, dia hendaklah berhenti, duduk dan menyembah dengan serta-merta sebagai tanda hormat. Dia boleh menyambung pekerjaannya selepas mendengar bunyi "guruh" dari gendang Negara sebanyak 3 kali. Apabila peraturan ini dilanggar, denda sebanyak enam suku akan dikenakan.

Rujukan

Pautan luar

Diambil daripada "https:https://www.search.com.vn/wiki/index.php?lang=ms&q=Nobat&oldid=6094961"
🔥 Top keywords: Khunsa (siri TV)Wanita SyurgaLelaki ItuLaman UtamaTakdir Itu Milik AkuKelawarKhas:CariAngeline TanDe FamPeribahasa MelayuSenarai peribahasa (A–M)Joseph KurupSheriffTelaga BarhutGayatri Su-Lin PillaiSarimah IbrahimBadarawuhi Di Desa PenariShahrulezad MohameddinYasmin AhmadMelitha SidabutarNabi Muhammad SAWPasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 MalaysiaZul AriffinAzira ShafinazPenjodoh bilangan bahasa MelayuInna lillahi wa inna ilaihi raji'unSophia AlbarakbahSiti Khadijah HalimSharisa HarisMandi wajibFarah AhmadProjek: High CouncilCik ManggisKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup MalaysiaPerempuan Itu (drama)Yang di-Pertuan AgongMalaysiaPolis Diraja MalaysiaAisha Retno