Orang Kanaq

Kumpulan etnik peribumi Malaysia

Orang Kanaq merupakan salah satu dari suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia. Mereka tergolong di dalam kumpulan Melayu Proto iaitu salah satu dari tiga kumpulan utama kaum Orang Asli.

Orang Kanaq
Jumlah penduduk
238 (banci 2010)[1]
Kawasan ramai penduduk
 Malaysia:
Johor139 (2010, JHEOA)[2]
Bahasa
Bahasa Orang Kanaq, bahasa Melayu
Agama
Tiada sistem agama (utama),[3] Kristian, Islam
Kumpulan etnik berkaitan
Jakun, Orang Kuala, Orang Seletar, Temuan, Orang Laut

Orang Kanaq merupakan suku kaum Orang Asli Di Malaysia yang paling sedikit jumlahnya. Bahasa pertuturan mereka seakan bahasa Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar.

Sejarah

Suatu ketika dahulu, Orang Kanaq adalah sebahagian dari kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang serta hidup secara nomad di permukaan laut, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai. Walau bagaimanapun, kini mereka sudah tinggal di kawasan darat Semenanjung Malaysia serta memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri.

Meskipun Orang Kanaq pada asalnya adalah sebahagian dari kaum Orang Laut, namun kini kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku mereka sebagai sebahagian dari kaum Orang Asli.

Kawasan penempatan, cara hidup

Orang Kanaq kini menetap di Kampung Sungai Selangi, Mawai, daerah Kota Tinggi, Johor. Kampung berkenaan telah menerima bekalan elektrik selama 24 jam. Selain itu kemudahan air paip, jalan tar, surau dan tadika turut disediakan.

Punca pendapatan tetap Orang Kanaq adalah melalui hasil kelapa sawit yang dilaksanakan oleh FELCRA. Kini, ada di antara mereka yang telah memiliki motorsikal dan peralatan elektrik di rumah masing-masing.

Atas kesedaran mengenai betapa pentingnya ilmu pengetahuan, golongan ibubapa dari suku Orang Kanaq telah mula menghantar anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Mawai.

Kini, kesemua ahli suku Orang Kanaq telah menganut agama Islam. Malahan, perkahwinan campur di antara Orang Kanaq dengan masyarakat luar juga sudah menjadi satu kebiasaan.

Orang Kanaq Dan Orang Sengkanak

Orang Kanaq berkemungkinan besar mempunyai hubungan sebudaya dengan suku Sengkanak yang tinggal di Pulau Daik, sebuah pulau kecil yang terletak di Kepulauan Riau, Indonesia.

Rujukan