Pendidikan jarak jauh

Pendidikan/pembelajaran jarak jauh ialah kaedah pendidikan yang tidak melibatkan kehadiran para pelajar di sekolah atau institut-institut pengajian.[1] Secara tradisi, pendidikan jarak jauh melibatkan perkhidmatan pos sebagai perantara antara pihak sekolah dengan pelajar. Kini, pendidikan jarak jauh lazimnya melibatkan penggunaan Internet. Kaedah pendidikan jarak jauh boleh berlaku secara sepenuhnya atau secara gabungan antara pendidikan bilik darjah lazim dengan pendidikan jarak jauh, lazimnya dipanggil sebagai pembelajaran hibrid.[2] Selain itu, istilah-istilah seperti "pendidikan atas talian" dan "bilik darjah maya" juga digunakan bagi hal ini.

Proses pendidikan jarak jauh melalui radio di Senegal pada 1971.

Sejarah

Usul-usul terawal pendidikan jarak jauh muncul sejak abad ke-18 apabila golongan pendidik mula menggunakan perkhidmatan pos dengan tujuan pendidikan jarak jauh.[3] Pada awal abad ke-20, perkembangan radio dan televisyen pada masa itu membawa kepada perkembangan pendidikan jarak jauh melalui medium-medium tersebut.[4] Meskipun begitu, penggunaan radio dalam pendidikan jarak jauh di dunia Barat merudum pada 1950-an, dan penggunaan televisyen juga kurang memberangsangkan.[5][6]

Penggunaan komputer dan Internet secara meluas telah merancakkan kaedah pendidikan jarak jauh, dan sekolah-sekolah serta universiti kini mampu memberikan kurikulum secara menyeluruh di atas talian.[7] Kemampuan Internet dalam menerapkan kaedah pembelajaran melalui suara, video dan teks telah mengalahkan kaedah pendidikan jarak jauh awal seperti kaedah radio dan televisyen. Meskipun begitu, perkembangan pendidikan jarak jauh melalui Internet banyak berdasarkan pembangunan dalam kaedah pembelajaran jarak jauh sebelumnya. Pada 2000-an, pendidikan jarak jauh telah berkembang pesat di seluruh dunia sama ada di negara maju ataupun negara membangun.[8] Kemunculan forum-forum Internet dan laman perbincangan atas talian sedikit sebanyak membantu dalam pendidikan jarak jauh melalui penerapan bersosial.[9]

Seorang guru melakukan uji kaji kimia melalui kaedah pendidikan jarak jauh di Itali ketika pandemik COVID-19.

Pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 pada 2020 menyebabkan kebanyakan sekolah serta instiut pengajian lain di seluruh dunia terpaksa ditutup.[10] Hal ini menyebabkan warga pendidik beralih kepada kaedah pendidikan jarak jauh secara atas talian melalui perisian-perisian penstriman berkumpulan seperti Zoom dan Google Classroom.[11] Perkembangan ini membangkitkan kerisauan tentang nasib para pelajar yang tidak mempunyai perkakasan dengan akses Internet serta sambungan Internet yang stabil.[12]

Ciri-ciri

Ciri-ciri lazim dalam pendidikan jarak jauh ialah:[13]

  • pengajar dan para pelajar tidak berada di dalam ruang ketika pembelajaran berlangsung;
  • penyampaian pembelajaran dilakukan dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi;
  • penekanan terhadap pembelajaran mandiri dengan pengaturan;
  • batasan pada pertemuan bersemuka, dengan pertemuan bersemuka dilakukan secara berkala antara pengajar dengan pelajar;
  • keanjalan dalam proses pembelajaran; iaitu pelajar dapat mengatur waktu belajar secara sendiri sesuai dengan persediaan diri.

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar