Perbezaan jantina dan gender

Perkataan Jantina dan Gender sering menjadi konteks perdebatan para cendekiawan sains dan sains sosial, ahli-ahli politik serta masyarakat umum. Debat berkenaan Jantina dan Gender ini sering dikategorikan dalam konteks sosial dan politik, yang kini menjadi salah satu topik utama di negara-negara barat [1]. Kekeliruan terhadap kedua-dua konsep tersebut muncul kerana ahli-ahli politik ataupun aktivis yang bersifat progresif sering berhujah dengan menggunakan konsep gender, manakala di pihak konservatif lebih menekankan hujah mereka dengan menggunakan bukti-bukti saintifik yang terdapat pada perbezaan biologi antara dua jantina.

Konsep Jantina

"Jantina" sering dirujuk kepada ciri-ciri biologi dan fisiologi yang menentukan jika seseorang itu adalah lelaki ataupun perempuan[2]. Oleh itu, konsep jantina sering dikatikan dengan genetik yang terdapat pada kromosom secara amnya iaitu 44+xy bagi lelaki manakala 44+xx bagi perempuan, hormon seperti hormon testosterone yang terdapat dalam diri lelaki manakala progesterone dan estrogen dalam diri seseorang perempuan[3] serta organ seks dan organ pembiakan lelaki dan perempuan. Ciri-ciri perbezaan jantina adalah:

  1. Perempuan mengalami kitaran haid setiap bulan, manakala lelaki tidak mempunyai kitaran haid.
  2. Lelaki mempunyai testikel manakala perempuan tidak.
  3. Perempuan mempunyai payudara untuk menyusukan bayi, manakala lelaki tidak.

Secara ringkasnya, konsep jantina lebih berhubung-kait dengan sel-sel serta keupayaan reproduktif yang terdapat secara semula jadi dalam diri seseorang lelaki dan perempuan.

Konsep Gender

Gender merujuk kepada peranan, tingkah laku, sifat dan aktiviti-aktiviti yang dibentuk secara sosial. Konsep ini lebih berkait-rapat dengan ekspektasi yang terbentuk daripada masyarakat dalam memenuhi peranan-peranan bagi seseorang lelaki ataupun perempuan. Keutamaan dalam gender adalah persepsi masyarakat yang membentuk peranan, sifat, tingkah-laku dan aktiviti-aktiviti yang dilihat "sesuai" bagi lelaki dan wanita. Oleh itu, budaya masyarakat sekitar memainkan peranan yang besar dalam menentukan "gender roles" bagi lelaki ataupun wanita[2].

Oakley (1972), mendefinisikan gender sebagai perbedaan atau jenis kelamin yang bukan biologis dan bukan kudrat Tuhan. Caplan (1987) mentafsirkan bahawa gender merupakan perbedaan perilaku antara lelaki dan perempuan yang tidak dikaitkan dengan struktur biologi, tetapi terbentuk akibat proses budaya dan sosial .

Sifat merupakan salah satu contoh yang ketara dalam konsep gender, seperti:

  1. Sifat feminin - dikaitkan dengan sifat lemah-lembut yang perlu ada dalam setiap wanita
  2. Sifat maskulin - perilaku dominan ataupun agresif yang sering dikaitkan pada sifat lelaki

Keadaan ini membawa kepada stereotaip terhadap sifat ataupun ciri-ciri yang patut ada terhadap seseorang individu mengikut jantina [4]. Namun, sifat-sifat ini juga tidak bersifat tetap kerana perbezaan didikan dan personaliti. Oleh itu, terdapat juga lelaki yang bersifat feminin dan terdapat juga wanita yang bersifat maskulin. Namun, keadaan tersebut membawa kepada diskriminasi bagi individu-individu yang tidak memenuhi ekspektasi masyarakat terhadap gender roles.

Isu-isu berkaitan Jantina dan Gender

Feminisme

Terdapat debat dalam kalangan ahli-ahli teori feminist yang bercanggah antara kelompok mereka berkenaan jantina dan gender [5]. Ada yang berpendapat bahawa jantina dikategorikan dalam biologi, manakala gender dibentuk secara sosial. Terdapat juga golongan yang percaya bahawa perbezaan yang didebatkan antara mereka adalah tidak relevan dalam memahami subjektiviti perilaku dan menyokong pemahaman yang lebih lancar tentang jantina dan gender.

Identiti Gender dan Hak Transgender

Perdebatan mengenai pembaharuan pengiktirafan "gender identity" telah mencetuskan perbincangan yang hangat dan juga telah menimbulkan perbalahan. Menurut Conaghan (2018), isu ini telah membawa kepada perpecahan antara aktivis transgender dan Gender Critical Feminists [6]. Individu transgender menyokong proses undang-undang pengiktirafan gender identity untuk lebih mudah diakses bagi menghormati identiti mereka. Aktivis Transgender berusaha untuk memudahkan prosedur penerimaan identiti mereka agar ianya tidak rumit. Sebaliknya, Gender Critical Feminists menyatakan kebimbangan bahawa pengiktirafan tersebut boleh menjejaskan hasil usaha yang telah diperjuangkan oleh golongan wanita. Sebagai contoh, gender neutral toilet. Tempat ini dilihat membawa ancaman kepada wanita. Oleh itu, pengasingan jantina di tempat awam seperti tandas awam amat dititikberatkan. Oleh itu, Golongan Gender Critical Feminists bimbang akan perubahan yang dibawa oleh aktivis transgender kerana ianya dilihat meggugat keutamaan hak-hak wanita yang telah diperjuangkan.

Rujukan

ACE Reproductive and Social Education. (n.d.). Gender dan Jantina. ACE Accurate | Comprehensive | Effective. http://modulace.lppkn.gov.my/gender-dan-jantina.html

Caplan, P. (1987). Cultural Construction Of Sexuality. Routledge.

Conaghan, J. (2018, December). Sex, Gender and the Trans Debate – University of Bristol Law School Blog. Legalresearch.blogs.bris.ac.uk. https://legalresearch.blogs.bris.ac.uk/2018/12/sex-gender-and-the-trans-debate/

Lauretta, R., Sansone, M., Sansone, A., Romanelli, F., & Appetecchia, M. (2018). Gender in Endocrine Diseases: Role of Sex Gonadal Hormones. International Journal of Endocrinology, 2018, 1–11. https://doi.org/10.1155/2018/4847376

Mikkola, M. (2008, May 12). Feminist Perspectives on Sex and Gender (Stanford Encyclopedia of Philosophy). Stanford.edu. https://plato.stanford.edu/entries/feminism-gender/

Oakley, A. (1972). Sex, Gender and Society. Routledge, Taylor & Francis Group.

Office of the High Commissioner for Human Rights. (2022). Gender stereotyping. OHCHR. https://www.ohchr.org/en/women/gender-stereotyping

Rippon, G. (2020, February 28). The Sex/Gender Debate. IAI TV - Changing How the World Thinks. https://iai.tv/articles/the-sex-gender-debate-binary-science-society-auid-1341