Politik Kemboja

Politik negara Kemboja dilangsungkan dalam kerangka perlembagaan negara 1993. Kerajaan Kemboja merupakan sisten raja berperlembagaan yang dikendalikan sebagai demokrasi berparlimen. Ketua kerajaan adalah jawatan Perdana Menteri Kemboja yang dipegang oleh Hun Sen sejak 1985, sedangkan ketua negara adalah Raja Kemboja (kini Norodom Sihamoni). Perdana Menteri dilantik oleh raja atas nasihat dan kelulusan Perhimpunan Negara. Kuasa eksekutif dilaksanakn oleh perdana menteri dan para lantikan kementerian.

Kuasa perundangan dikongsi oleh eksekutif dan Parlimen dwidewan yang terdiri daripada Perhimpunan Negara (រដ្ឋសភាកម្ពុជា, Rotsaphea) dan Senat (ព្រឹទ្ធសភានៃព្រះរាជាណាចក្រកម្ពុជា, Protsaphea). Perhimpunan Negara terdiri daripada 123 ahli yang dipilih melalui sistem perwakilan berkadar dan berkhidmat untuk sehingga lima tahun sepenggal. Senat pula ada 61 ahli, dua daripadanya dilantik oleh raja dan dua lagi oleh Perhimpunan Negara, dan yang selebihnya dipilih oleh ahli-ahli majlis komun daripada 24 wilayah Kemboja. Senator berkhidmat selama enam tahun sepenggal.[1]

Pada 14 Oktober 2004, Raja Norodom Sihamoni dipilih oleh majlis takhta sembilan ahli dalam tatacara pemilihan yang segera dilaksanakan selepas turunnya Raja Norodom Sihanouk dari takhta seminggu sebelum itu. Pemilihan Sihamoni direstui oleh Perdana Menteri Hun Sen dan Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Negara Putera Norodom Ranariddh (saudara tiri baginda) yang kedua-duanya ahli majlis takhta. Beliau dinobatkan di Phnom Penh pada 29 Oktober 2004.

Biarpun secara rasminya sebuah demokrasi berbilang parti, namun pada hakikatnya Kemboja "kekal sebagai negara satu parti yang didominasi oleh Parti Rakyat Kemboja dan Perdana Menteri Hun Sen, seorang bekas pegawai Khmer Rouge sejak tahun 1985. Pembukaan negara kepada pelaburan baru ketika pentadbiran Hun Sen telah mendapatkan capaian terbaik kepada kelompok kroni-kroni beliau bersama isterinya Bun Rany.[2] Kerajaan Kemboja disifatkan oleh Pengarah Asia Tenggara Human Rights Watch, David Roberts, sebagai "negeri pasaran bebas sedikit komunis dengan kerajaan campuran agak autoritarian yang memerintah negara demokrasi superfisial."[3]

Hun Sen berikrar untuk memerintah hingga umur 74 tahun.[4][5] Beliau merupakan bekas ahli Khmer Rouge yang berpaling tadah. Pentadbiran beliau sering dituduh mengabaikan hak asasi manusia serta menindas tentangan politik. Setelah keputusan pilihanraya umum 2013 yang dicabar oleh pembangkang Hun Sen, berlakunya sebuah bantahan beramai-ramai seramai 20,000 orang yang berhimpun di Phnom Penh yang berkesudahan dengan kecederaan dan kehilangan nyawa akibat bertelingkah dengan polis.[6] Hun Sen selaku anak petani hanya berumur 33 tahun ketika mengambil tampuk pemerintahan pada 1985, dan kini seangkatan dengan para diktator yang lama memerintah seperti Robert Mugabe dari Zimbabwe dan Nursultan Nazarbayev dari Kazakhstan.[7]

Rujukan