Temasek

Temasek (juga dieja Temasik; Hanacaraka: ꧋ꦡꦸꦩꦯꦶꦑ꧀꧈; Jawi: تماسيق; Hanzi: 單馬錫; Pinyin: Dānmǎxí; Pe̍h-ōe-jī: Tan-má-sek) merupakan nama awal tercatat bagi sebuah petempatan yang terdapat di kawasan moden Singapura. Nama ini muncul dalam sumber sastera awal Melayu dan Jawa, dan juga terjumpa dalam sumber Cina dinasti Yuan dan Ming sebagai Danmaxi (Cina: 單馬錫 atau 淡馬錫). Dua petempatan berlainan yang telah direkodkan di Temasek ialah Batu Berlayar (Cina: 龍牙門; pinyin: lóngyámén) dan Pancur (Cina: 班卒; pinyin: Bānzú). Kini, nama Temasek digunakan di Singapura dalam penamaan penghormatan-penghormatan kebangsaan dan juga institusi-institusi dan perbadanan-perbadanan tertentu.

Sebahagian peta Mao Kun dari buku Wubei Zhi yang dibuat berdasarkan peta-peta pelayaran abad ke-15 Cheng Ho, menunjukkan Temasek (淡馬錫) pada bahagian kiri atas.

Nama

Asal usul nama Temasek tidak diketahui dengan pasti. Terdapat usulan bahawa ia berasal dari perkataan 'tasik' (dengan imbuhan sisipan -em-) dengan memaksudkan "tempat dikelilingi laut", atau Bandar Laut.[1] Satu lagi usulan ialah nama tersebut mungkin berkaitan dengan raja Srivijaya, Maharaja Tan ma sa na ho.[2] Nama Temasek muncul sebagai Tumasik dalam puisi epik Jawa Kuno, Nagarakretagama yang ditulis pada 1356. Ia juga disebut sebanyak dua kali dalam Sejarah Melayu dan juga dalam karya Jawa, Pararaton. Temasek digambarkan dalam kisah pengembara Cina, Wang Dayuan yang datang ke pulau tersebut pada 1330 dan menulis tentang petempatan yang dipanggil Danmaxi, sebuah transkripsi nama Temasek. Dalam satu versi penceritaan Marco Polo tentang pengembaraannya, sebuah tempat bernama Chiamassie yang mungkin merupakan Temasek disebut dengan hubung kait dengan kerajaan Malayur.[2] Temasek juga berkemungkinan disebut dalam catatan Vietnam seperti Sach Ma Tich pada abad ke-14.[3]

Pada suatu masa pada abad ke-14, nama Temasek telah digantikan dengan Singapura, nama Melayu yang berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud "Bandar Singa". Menurut legenda, nama itu diberikan oleh Sang Nila Utama apabila beliau melawat pulau itu pada 1299 dan ternampak seekor binatang tidak diketahuinya dan diberitahu bahawa binatang itu merupakan singa. Walaupun nama Temasek tetap digunakan dalam catatan Cina untuk masa tertentu (contohnya dalam peta Mao Kun), dan juga dalam Sejarah Melayu, nama tersebut telah menjadi usang dan tidak muncul pada peta-peta dan dokumen-dokumen Eropah dari 1500 ke 1800.[4] Nama itu digunakan semula di zaman penjajahan dan zaman moden, dan kini diguna sebagai nama bagi institusi-institusi, perbadanan-perbadanan dan penghormatan-penghormatan kebangsaan di Singapura.

Sejarah

Walaupun sejarah awal Singapura dikaburkan oleh mitos dan legenda, beberapa kesimpulan boleh dibuat daripada bukti arkeologi dan daripada rujukan-rujukan kepadanya yang ditulis oleh pengembara. Ilmu arkeologi menunjukkan kewujudan petempatan perbandaran pada abad ke-14. Pada masa majunya, bandar itu mempunyai benteng dan parit yang besar; banyak bangunannya dibina dengan asas batu dan batu bata. Ketinggalan pasuan, duit syiling, permata dan artifak-artifak lain lama telah dijumpai, dengan banyak daripada artifak-artifak ini dipercayai telah diimport dari pelbagai kawasan Cina, India, Sri Lanka dan Indonesia. Perkara ini kadang-kala dipandang sebagai bukti kedudukan bandar itu sebagai sebuah pusat perdagangan. Sebuah laluan kelautan, sebahagian daripada Jalan Sutera, melalui Temasek.

Dari abad ke-7 hingga abad ke-13, pulau Singapura dikuasai oleh empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera. Hubungan diplomatik antara Temasek dan Vietnam berkemungkinan bermula pada abad ke-13.[3] Temasek merupakan bandar yang dikubui dan pusat perdagangan pada abad ke-14. Pada masa dinasti Yuan, dicatatkan bahawa duta-duta telah dihantarkan ke Batu Berlayar pada 1320 untuk memperoleh gajah jinak. Penduduk Batu Berlayar kemudian pulang pada 1325 dengan ufti dan perutusan perdagangan ke Cina.[5] Pada anggaran 1330, pengembara Cina Wang Dayuan melawat pulau tersebut dan menyebut dua petempatan berlainan di Temasek: Long Ya Men dan Ban Zu (sebuah transkripsi nama Melayunya "Pancur").[6] Dalam karyanya, Daoyi Zhilüe, Wang menggambarkan Long Ya Men sebagai dua bukit Temasek yang kelihatan seperti "gigi naga" yang di antaranya selat berlalu, dan menulis:

The fields are barren and there is little padi  ...  In ancient times, when digging in the ground, a chief came upon a jewelled head-dress. The beginning of the year is calculated from the [first] rising of the moon, when the chief put on this head-gear and wore his [ceremonial] dress to receive the congratulations [of the people]. Nowadays this custom is still continued. The natives and Chinese dwell side by side. Most [of the natives] gather their hair into a chignon, and wear short cotton bajus girded about with black cotton sarongs.
—Wang Dayuan, terjemahan Inggeris oleh Paul Wheatley.[7][8]
Padang-padangnya tandus dan terdapat sedikit padi  ...  Pada zaman purba, apabila menggali di tanah, seorang penghulu terjumpa sebuah hiasan kepala berpermata. Permulaan tahun dikira dari terbitan bulan [pertama], apabila penghulu memakai peralatan kepala ini dan memakai pakaian [istiadatnya] untuk menerima ucapan taniah [rakyat]. Kini, adat ini masih disambungkan. Orang tempatan dan orang Cina tinggal bersebelahan. Kebanyakan [orang tempatan] mengikat rambut masing-masing dalam gaya sanggul, dan memakai baju pendek kapas yang diikat dengan sarung hitam kapas.
—Wang Dayuan, terjemahan Melayu tidak rasmi oleh penyunting Wikipedia.

Wang selanjutnya sebut bahawa kayu laka dan timah merupakan barang keluaran di situ dan orang tempatan berdagang dengan orang Cina dari Quanzhou namun jong Cina yang sedang pulang berkemungkinan bertemu dengan lanun di situ yang serang dengan hingga dua ke tiga ratus perahu. Gambaran ini mungkin catatan pertama dikenal pasti tentang Orang Laut yang menduduki kawasan itu.

Pancur digambarkan bertapak di sebuah bukit yang difikirkan merupakan Bukit Larangan, kini terletak di belakang Batu Berlayar. Berbeza daripada mereka yang berada di Batu Berlayar yang terdedah kepada perlakuan pelanunan, penduduk Pancur digambarkan sebagai jujur. Mereka juga "memakaikan pendek rambut mereka, turut dengan serban satin dibrokedkan emas", dan pakaian kemerahan.[9][10] Puing kepada petempatan ini di bukit masih kelihatan pada awal abad ke-19 dan digambarkan oleh Residen John Crawfurd. Pada 1928, pelbagai serpihan ornamen yang ditentukan umurnya dari abad ke-14 ditemui di Bukit Larangan.[11] Wang juga melaporkan Siam menyerang parit perbandaran Temasek dengan lebih kurang 70 kapal beberapa tahun sebelum dia melawat tempat itu, dan bahawa bandar itu berjaya menahan serangan itu untuk sebulan.[12][13]

Sebaik abad ke-14, empayar Srivijaya merosot, dan Majapahit dan Kerajaan Ayutthaya menjadi dominan di kawasan itu dan sepanjang masa ini menuntut Temasek. Kakawin Nagarakretagama, dikarang pada 1365, menyenaraikan Tumasik sebagai negeri lindungan kepada Majapahit.[5] Sumber Portugis menandakan bahawa pada lewat abad ke-14, Temasek merupakan negeri lindungan Siam yang pemerintahnya dibunuh oleh Parameswara dari Palembang.[14] Parameswara diusir dari Palembang oleh Jawa selepas beliau mencabar Majapahit dengan mendirikan takhta singa yang melambangkan tuntutannya terhadap empayar Srivijaya.[15] Menurut sebuah kisah Portugis, Parameswara lari ke Temasek, dan lapan hari kemudian membunuh penghulu tempatan bergelaran Sang Aji yang bernama Sangesinga dalam versi kisah kemudian.[16] Telah diusulkan bahawa Temasek menukar namanya ke "Singapura" pada zaman ini dan bukan pada 1299 sepertimana ditandakan oleh legenda Sang Nila Utama yang dicerita dalam Sejarah Melayu.

Sumber Portugis menandakan bahawa Parameswara memerintah Singapura untuk lima tahun, dan kemudian diserang oleh Majapahit ataupun Siam, memaksakannya untuk beralih ke Melaka di mana beliau menubuhkan Kesultanan Melaka.[17] Singapura berada di bawah pengaruh Melaka pada abad ke-15 dan, selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis, berada di bawah pengaruh pengaruh Kesultanan Johor pula pada abad ke-16. Sebuah petempatan di situ akhirnya dibakar oleh Portugis pada 1613 dan pulau itu berada dalam kekaburan untuk dua ratus tahun kemudian sehingga abad ke-19 dengan kedatangan Sir Stamford Raffles.[18]

Penghormatan kebangsaan Singapura

Dua penghormatan kebangsaan terpenting bagi republik itu dijudulkan Bintang Temasek dan Darjah Utama Temasek.

Institusi-institusi yang mengandungi "Temasek" di dalam nama institusi masing-masing termasuk:

  • Temasek Holdings
  • Maktab Rendah Temasek
  • Temasek Life Sciences Laboratory
  • Temasek Laboratories
  • Politeknik Temasek
  • Sekolah Rendah Temasek
  • Sekolah Menengah Temasek
  • Temasek Tower

Rujukan