Air permukaan

Air permukaan ialah air yang terletak di atas permukaan bumi. Dalam penggunaan biasa, ia biasanya digunakan khas untuk jasad air daratan (dalaman), yang sebahagian besarnya dihasilkan oleh kerpasan dan limpahan air dari kawasan lebih tinggi yang berdekatan. Apabila iklim semakin panas pada musim bunga, salji yang cair akan mengalir ke arah saliran dan sungai berdekatan yang menyumbang kepada sebahagian besar air minuman manusia. Paras air permukaan berkurang akibat daripada proses penyejatan serta air yang bergerak ke dalam tanah menjadi air tanah. Selain digunakan untuk air minuman, air permukaan juga digunakan untuk pengairan, rawatan air sisa, ternakan, kegunaan industri, tenaga air (hidro), serta rekreasi.[1]

Contoh air permukaan iaitu sungai.

Jenis

Air permukaan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:[2]

  • Kekal — terdapat sepanjang tahun seperti sungai, tasik, dan tanah lembap.
  • Separuh kekal — jasad air yang hanya terdapat pada masa-masa tertentu dalam setahun termasuk saluran kering bermusim seperti anak sungai, lagun dan kolam.
  • Buatan manusia — air permukaan buatan manusia adalah air yang boleh dibina dengan menggunakan infrastruktur yang telah dipasang oleh manusia. Contohnya seperti, tasik buatan, terusan dan kolam buatan (seperti kolam taman) atau paya tiruan.

Penggunaan

Air permukaan yang bertakung di empangan boleh digunakan untuk tenaga yang boleh diperbaharui dalam bentuk kuasa hidro.[3] Di Amerika Syarikat, kira-kira 68 peratus air yang disediakan kepada pengguna ialah daripada air permukaan.[4] Di Malaysia, hampir 95 peratus sumber bekalan air berasal daripada air permukaan.[5]

Rujukan

Pautan luar