Anjing Taiwan

baka anjing dari Taiwan

Anjing Taiwan,[a] anjing gunung Formosa,[b][1] anjing Formosa[c] ialah satu baka anjing kecil atau sederhana yang asli di Taiwan. Ia cukup teradaptasi terhadap rupa bumi tidak sekata dan berhutan tebal di Taiwan, setelah menjadi baka separa liar sebelum kedatangan beberapa pemerintahan kolonial dan kuasa asing. Walaupun apa pun adaptasi-adaptasi ini, anjing Formosa mengekalkan potensi untuk dilatih dan kini digunakan sebagai anjing pemburu, anjing pengawal, anjing lagak ngeri, anjing penyelamat, atau hanya sebagai teman.[2][3] Anjing Formosa dikelaskan ke dalam satu jenis sederhana dan dua jenis kecil.[4]

Anjing Taiwan
A Taiwan Dog standing near rapeseed
Nama lainAnjing gunung Formasa
Anjing Formosa
Negara asalTaiwan
Trait
BeratJantan14–18 kg (31–40 lb)
Betina12–16 kg (26–35 lb)
TinggiJantan48–52 cm (19–20 in)
Betina43–47 cm (17–19 in)
WarnaHitam, kuning tanah, perang kekuning-kuningan
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan

Tangkapan dekat bagi muka anjing Taiwan yang menunjukkan telinga tegak, mata badam, muka segi tiga, hidung hitam, dan salutan hitam pada lidah
Anjing Taiwan muda di Seattle, Washington, Amerika Syarikat

Terdapat dua jenis kecil bagi anjing gunung Formosa; satu jenis adalah kira-kira setinggi 40 sentimeter (16 in) pada paras bahu dan jenis lagi satu adalah sertinggi sekitar 30 sentimeter (12 in). Walau bagaimanapun, jenis kedua ini tidak ditemukan semasa penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Sung Yung-yi (宋永義) pada tahun 1976. Jenis sederhana bagi anjing gunung Formosa mempunyai ketinggian bahu di bawah 50 sentimeter (20 in), dengan tubuh pejal dan tegap, pinggang ramping, dada besar, dan telinga separa tertutup. Jenis paling umum antara ketiga-tiga ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah anjing bersaiz sederhana. Warnanya dapat berbeza-beza daripada hitam hingga kuning tanah atau perang kekuning-kuningan dan hidungnya hitam. Salutan hitam pada lidah ialah salah satu trait yang paling ketara bagi anjing gunung Formosa.[4]

Dr. Sung dari Universiti Kebangsaan Taiwan dan En. Ming Jie, Xu dari Pusat Pembiakbakaan Anjing Taiwan dan Anjing Pengawal (台灣犬護衛犬繁殖中心) menyifatkan anjing Formosa tipikal sebagai anjing dengan mata badam, kekuatan rahang kukuh, salutan hitam pada lidah, muka segi tiga, telinga tajam nipis, dan ekor sabit. Ekornya tegak atau melengkung dengan lapis bulu tebal, tetapi perutnya botak; ekornya digunakan untuk menghangatkan perut malah mungkin cukup panjang untuk melindungi muncung daripada serangga. Anjing ini juga cukup terkenal sebagai anjing cukup seimbang.[5][6]

Pergerakan

Anjing Formosa khususnya sangat tangkas; ia terkenal kerana kemahiran lompatnya, terutamanya apabila ia memburu haiwan kecil, seperti tikus. Apabila ia terperanjat atau mencuba untuk menakutkan sasarannya, ia akan melompat ke sisi ke sana ke mari. Tidak seperti anjing Rottweil dan anjing gembala Jerman, anjing Formosa tidak menahan gigitannya pada sasarannya. Tabiat ini terpakai dan mungkin dikesan kembali kepada pemburuan babi hutan awal. Orang asli Taiwan menggunakan antara lima dengan enam ekor anjing Formosa untuk mengepung babi hutan dan setiap anjing berusaha untuk melukakan babi hutan itu. Anjing-anjing ini kemudian melepaskan gigitan sebaik sahaja dapat menyerang babi hutan itu dan menantikan serangan seterusnya berkali-kali sehingga babi hutan itu cukup letih untuk didekati oleh pemilik anjing yang kemudian melakukan pembunuhan ke atas babi hutan itu.[7]

Piawaian FCI

Diambil oleh jurugambar British John Thomson di Taiwan, pada tahun 1871
  • Perkadaran
    • Kedalaman dada:ketinggian pada paras kelasa = 4.5:10 hingga 4.7:10
    • Ketinggian pada paras kelasa:panjang tubuh = 10:10.5, betina mungkin lebih panjang sedikit
    • Panjang muncung:panjang tengkorak = 4.5:5.5
  • Saiz dan berat
    • Tinggi:
      • Jantan: 48–52 cm (19–20 in)
      • Betina: 43–47 cm (17–19 in)
    • Berat:
      • Jantan: 14 hingga 18 kg (31 hingga 40 lb)
      • Betina: 12 hingga 16 kg (26 hingga 35 lb)
  • Kepala
    • Kawasan tengkorak:
      • Dahi: Lebar dan seakan-akan bulat tanpa kedutan.
      • Tengkorak: Tengkorak lebih panjang sedikit daripada muncung
      • Stop: Cukup jelas dengan sedikit alur
    • Kawasan muka:
      • Hidung: Saiz sederhana, lubang hidung lebar, berwarna hitam, tetapi mungkin lebih cerah sedikit untuk semua warna kecuali yang berbulu hitam
      • Muncung: Batang hidung rata, bibir ketat, tanpa bibir atas menonjol; muncung menirus sedikit dari pangkal ke hidung, tetapi tidak menajam di hujung
      • Rahang/gigi: Rahang kuat, gigitan gunting, gigi bersudut tegak dengan rahang
      • Pipi: Cukup terbentuk dan sedikit menonjol
      • Mata: Berbentuk badam, berwarna perang gelap, perang juga boleh diterima, tetapi mata kuning atau cerah patut dielakkan
      • Telinga: Tajam, terletak di sisi tengkorak pada sudut 45 darjah. Bahagian dalaman bagi garis luar adalah lurus, manakala bahagian luaran bagi garis luar adalah sedikit membulat
  • Leher: Berotot, kuat, panjang baik, sedikit melengkung, tanpa gelambir
  • Tubuh:
    • Umum: Berurat dan berotot, hampir berbentuk segi empat sama
    • Belakang: Lurus dan pendek, kelasa cukup terbentuk
    • Loin: Berotot setegapnya
    • Krup: Lebar, rata atau sangat sedikit condong dan pendek
    • Dada: Agak dalam namun tidak mencapai paras siku, dada hadapan sedikit menonjol, rusuk cukup melengkung
    • Perut: Cukup berlipatan
  • Ekor: Berbentuk sabit, terletak tinggi-tinggi, terangkat menegak, aktif, dengan hujung melengkung ke hadapan
  • Anggota:
    • Sukuan hadapan:
      • Bahu: Cukup berotot, tulang belikat terletak ke belakng dan patut menemui lengan atas pada sudut 105–110 darjah
      • Siku: Dekat dengan tubuh
      • Lengan bawah: Lurus dan selari antara satu sama lain
      • Metakarpus (pastern): Teguh
    • Sukuan belakang: Tungkai belakang patut langsing, dengan tulang baik, cukup berotot dan selari antara satu sama lain, sudut belakang patut seimbang ke yang di hadapan
      • Paha atas: Lebar, condong, dan cukup bengkok pada stifel
      • Paha bawah: Patut seimbang dengan paha atas
      • Metatarsus (pastern belakang): Serenjang dengan tanah
  • Kaki tidak berpusing ke dalam mahupun keluar, tapak kukuh dan tebal, kuku berwarna hitam, namun warna lebih cerah boleh diterima pada anjing semua warna kecuali anjing berbulu hitam
  • Gaya jalan/pergerakan: Gaya jalan berkuasa dengan langkah jauh, cukup tangkas untuk semudahnya membelok 180 darjah dengan cepat
  • Lapis bulu/helaian bulu: Pendek dan keras, terletak rapat pada tubuh, panjang 1.5–3 cm (0.59–1.18 in)
  • Warna: Hitam, brindle, perang kekuning-kuningan, putih, putih dan hitam, putih dan perang kekuning-kuningan, putih dan brindle.[8]

Perangai dan tingkah laku

Anjing Formosa ialah baka bertenaga tinggi, setia, penyayang, dan cerdas yang belajar dengan sangat cepat. Dalam situasi bilamana anjing tersebut kurang terbiasa, ia cenderung berwaspada terhadap orang asing dan bunyi-bunyian dan ia dapat menjadi agresif ketakutan. Dalam situasi baharu bilamana anjing ini agresif ketakutan, anjing ini mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum bertenang.

Jika selesa dan cukup terlatih, anjing Formosa bermesra dengan manusia dan haiwan lain, walaupun ia cenderung menjauhi atau mencurigai orang asing setelah terikat dengan pemiliknya. Apabila dibela sebagai anjing peliharaan keluarga, ia kerap menjalin ikatan kuat dengan salah seorang ahli keluarga dan mungkin bertindak tegas terhadap ahli keluarga lain, menyebabkan sesetengah orang menggambarkannya sebagai anjing perseorangan. Setelah terikat, ia amat setia dan sayang kepada pemiliknya.

Oleh sebab kewaspadaan baka, anjing ini dapat menjadi anjing pengawal baik; jika tidak terlatih dengan baik, anjing Formosa dapat menjadi terlalu bersikap pelindung dan agresif terhadap orang asing.

Sejarah

Empat bencana

Terdapat empat peristiwa benca yang disebut oleh Dr. Sung Yung-yi yang telah menjadi kritikal dalam perkembangan anjing gunung Formosa: penjajahan Belanda di Formosa, pemerintahan Jepun, Perang Dunia Kedua, dan Era Kuomintang.[6]

Penjajahan Belanda

Kolonisasi Belanda, Sepanyol, dan Han pada abad ke-17 dengan lakaran "Anjing Terbang". Ramai orang Belanda membela anjing untuk membantu dalam peruburuan. Perincian daripada "Upacara Landdag di Taiwan", lukisan oleh Caspar Schmalkalden pada tahun 1652.
"Memburu Rusa": Sebelum lukisan ini dihasilkan, orang asli tempatan memburu makanan dengan menyebut perbuatan ini sebagai "menjejaki rumput". Apabila rumbut tumbuh dengan lebat pada musim bunga, suku-suku di situ menyambut seruan perburuan, dengan membawa semua peralatan dan anjing pemburu, seperti anjing gunung Formosa. Dilukis pada tahun 1746.

Pada tahun 1624, pihak Belanda mengasaskan pangkalan dagang di Tayoan, ibu kota kolonial (kini Anping di Tainan). Selepas Belanda menjadikan Taiwan sebagai tanah jajahan, mereka mula mengimport pekerja dari Fujian dan Penghu (nelayan) sebagai buruh, yang kebanyakannya menetap di sana.

Kehadiran tentera Belanda tertumpu di kubu kuat bernama Fort Zeelandia.[9] Kolonis Belanda mengimport seekor anjing pemburu (dikenali sebagai "Anjing Terbang" (Cina Tradisional: 飛狗)) ke Taiwan dan mula memburu rusa sika Formosa asli (Cervus nippon taioanus) yang menghuni Taiwan. Syarikat Hindia Timur Belanda menubuhkan pos perdagangan yang perniagaan utamanya ialah eksport kulit sika ke Eropah. Semasa enam dekad kegiatan Belanda, 2,000,000 hingga 4,000,000 kulit sika telah dieksport ke Jepun dan ke China,[10][11] lalu menyumbang kepada kepupusan ikutan bagi subspesies itu di pulau itu.[12] "Anjing Terbang" dianggap sebagai grehaun atau anjing penuding Inggeris.[13]

Pengeksportan berkurang apabila pihak Belanda diusir dari Taiwan pada tahun 1684, namun berterusan sepanjang tempoh Qing dengan peralihan ke Jepun sebagai pasaran eksport utama.[14]

Semasa penjajahan itu, anjing pemburu Belanda mula mengacuk dengan anjing gunung Formosa; ini merupakan kali pertama bahawa baka asing mempengaruhi anjing gunung Formosa. Tambahan pula, pihak Belanda melarang puak asli untuk memiliki anjing, dengan menyembelih sejumlah besar anjing peribumi.[15]

Pemerintahan Jepun

Empayar Qing dikalahkan dalam Perang China–Jepun Pertama pada tahun 1894–1895. Apabila Perjanjian Shimonoseki ditandatangani pada 17 April 1895, Taiwan diserahkan kepada Jepun, yang berusaha untuk mengubah Taiwan menjadi penamat bekalan bagi aliran aset sangat tidak sama rata.[16] Pihak Jepun berusaha untuk sepenuhnya mengawal orang asli pada kali pertama ini dilakukan. Cara-cara untuk mencapai matlamat ini menjelma dalam tiga bentuk utama: kajian antropologi terhadap orang asli Taiwan, percubaan untuk membentuk orang asli semula dalam acuan Jepun, dan penindasan ketenteraan. Semasa pendudukan Jepun, orang asli Taiwan berada di bawah pemerintahan penindasan dan anjing gunung Formosa secara intensif dibiakbakakan secara bersilang dengan anjing-anjing Jepun, oleh sebab kerajaan Jepun yang menempatkan banyak perkampungan gunung tinggi terpencil semula dekat lebih dengan kawalan pentadbiran (Takekoshi 1907:210–219). Tambahan pula, pendatang Jepun secara besar-besaran menerokai pinggir laut timur, yang kini dipanggil Kaunti Hualien dan Kaunti Taitung. Ekspedisi-ekspedisi pinggir laut timur selanjutnya memberikan peluang untuk membiakbakakan anjing-anjing Jepun dengan anjing-anjing Formosa.

Kumpulan perburuan orang asli di Ba̍k-sa, anjing Formosa di sudut bawah kanan. Foto oleh John Thomson, 1871: "A Native Hunting Party Baksa Formosa 1871".
Daripada koleksi foto National Geographic pada sekitar tahun 1939, diambil oleh jurugambar Jepun Katsuyama (幽芳勝山) dengan orang Saisiyat.

Perang Dunia Kedua

Pada penghujung Perang Dunia Kedua, untuk tujuan ketenteraan dan menghalang Tentera Darat Amerika Syarikat daripada mendarat di pinggir laut timur Taiwan, Jepun mula membina Lebuh Raya Rentas Pulau Tengah dan Selatan. Semasa pembinaan, terdapat anjing ketenteraan yang berjalan-jalan bersama para pekerja lebuh raya, iaitu anjing gembala Jerman. Ini membawa kepada pembiakbakaan silang antara anjing Formosa dengan anjing ketenteraan itu. Jika bukan kerana pembinaan-pembinaan strategik ini, anjing Formosa mungkin mempunyai peluang untuk memulihara susur galurnya tinggi-tinggi di pergunungan. Tambahan pula, semasa tempoh ini, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pihak tentera Jepun melancarkan pembunuhan besar-besaran untuk mengurangkan populasi anjing gunung Formosa. Walau bagaimanapun, sebab sebenar ini mungkin tidak akan diketahui.

Dr. Sung Yung-yi (宋永義) memberitahu wartawan New Taiwan: "Anjing Formosa sangat pintar dan tangkas, tetapi ia adalah haiwan lebih primitif dan tidak ingin dikurung. Contohnya, semasa tempoh kelahiran, ia mencari gua dan biasanya tidak pulang sehingga beberapa bulan kemudian dengan anak-anak anjingnya. Lagi satu contoh ialah bahawa tuannya tidak perlu menyediakan banyak makanan untuknya kerana ia mempunyai tabiat untuk mencari makanan sendiri. Inilah sebabnya anjing Formosa dipanggil "anjing barbar", oleh pihak Jepun. Dengan menggunakan sanitasi sebagai alasan, pihak tentera Jepun melancarkan pembunuhan besar-besaran berskala besar terhadap anjing Formosa untuk mengurangkan populasi anjing tempatan."

Semasa pihak tentera Jepun membina Lebuh Raya Rentas Pulau Tengah dan Selatan, mereka sentiasa bersemuka dengan orang asli. Orang asli melancarkan banyak serangan terhadap pangkalan-pangkalan tentera Jepun. Semasa serangan-serangan itu, anjing Formosa juga mengumpulkan dan memburu anjing-anjing ketenteraan Jepun, lalu meninggalkan adegan berdarah pagi-pagi. Oleh sebab dendam, pihak tentera Jepun membunuh setiap anjing Formosa yang terlihat untuk mengurangkan populasi.[17]

Era Kuomintang

Dr. Sung Yung-yi percaya bahawa sebab sebenar yang menyebabkan anjing gunung Formosa hampir pupus ialah budaya makan anjing. Budaya ini dibawa masuk bersama-sama dengan pengunduran Parti Kebangsaan China pada tahun 1945, oleh sebab kekalahan kepada Parti Komunis China yang disokong oleh pihak Soviet (yang dipimpin oleh Mao Zedong) pada penghujung Perang China–Jepun Kedua pada tahun 1945.[18]

Tambahan pula, selepas Taiwan diserahkan kepada Kuomintang, anak kepada Chiang Kai-shek, Chiang Ching-kuo, berjaya membentuk Taiwan semula sebagai naga kecil ekonomi (Empat Harimau Asia); beliau telah disebut sebagai penyumbang kepada keajaiban ekonomi Taiwan dan telah berkhidmat sebagai teladan untuk banyak negara membangun.[19][20][21] Walau apa pun, perekonomian hebat hadir dengan harga tinggi; dengan pembangunan ekonomi dan masyarakat terbuka, para ahli perniagaan dari seluruh dunia mula memperkenalkan anjing asing dan anjing Jepun berharga tinggi ke dalam Taiwan. Dengan kekurangan pengetahuan pemuliharaan dan penjagaan haiwan peliharaan, banyak anjing asing ditinggalkan dan mula membiak baka secara bersilang dengan anjing-anjing Formosa. Dr. Sung percaya bahawa hal-hal ini merupakan dua sebab sebenar yang menjejeaskan ruang hidup anjing gunung Formosa dan ruang untuk kewujudan.[6]

Ancaman

Pembiakbakaan silang

Pengenalan pelbagai jenis anjing asing ke Taiwan pada masa lalu juga merupakan ancaman besar untuk memulihara susur galur anjing Formosa. Banyak anjing bukan asli di Taiwan dibawa semasa Era Kuomintang dan banyak anjing dilepaskan ke alam liar. Anjing-anjing ini mula mengawan dengan anjing asli Formosa, lalu menjadikan anjing Formosa baka tulen semakin sukar ditemukan di alam liar.[perlu rujukan]

Masalah pembiakbakaan

Anjing gunung Formosa pada asalnya dibela oleh orang asli Taiwan sebagai anjing pemburu, tetapi kini anjing Formosa baka tulen adalah amat jarang dan berharga. Memandangkan anjing Formosa tulen amat jarang, terdapat risiko tinggi bagi kecelaruan genetik dan tingkah laku tidak stabil oleh sebab takungan gen cetek. Atas sebab ini, penyilangan anjing Formosan dengan baka-baka lain kerap berlaku oleh sebab kekurangan betina tulen dengan trait-trait mantap. Ini merupakan salah satu sebab utama bahawa anjing Formosa moden kelihatan berbeza, berbanding dengan foto-foto atau dokumen-dokumen lama dari zaman awal. Sesetengah pihak bertegas bahawa ini merupakan perubahan semula jadi yang tidak menjejaskan seluruh baka, sementara yang lain pula secara giat berjuang untuk mengekalkan susur galur "tulen". Walau apa pun, baka ini kini popular di serata pulau sebagai anjing penjaga dan anjing pendamping.[perlu rujukan]

Kajian

Anjing Taiwan pada asalnya merupakan anjing asli Taiwan, iaitu keturunan kepada anjing pemburu Asia Selatan yang dipanggil "anjing paria" yang dengannya penghuni purba tempatan pernah tinggal di daerah-daerah pergunungan tengah. Baka ini merupakan teman setia bagi pemburu purba di hutan liar. Pada tahun 1980, sebuah satu kajian kerjasama dijalankan oleh pasukan penyelidik Dr. Sung Yung-yi (宋永義) (Universiti Kebangsaan Taiwan), Universiti Gifu di Jepun, dan pasukan penyelidik Ota Keming (太田克明) dari Universiti Nagoya. Para sarjana menyasarkan anjing asli Taiwan sebagai subjek mereka, dengan melawati 29 puak penduduk tempatan. Hasilnya, ada pengesahan bahawa anjing Taiwan kini merupakan keturunan kepada anjing pemburu Asia Selatan. Projek ini pada asalnya ialah idea Ota Keming, kerana beliau sedang menjejaki asal usul anjing peribumi Jepun. Oleh itu, beliau meminta bantuan Dr. Sung Yung-yi dalam menyelesaikan projek penyelidikan beliau.

Daripada 46 anjing darah tulen yang ditemukan oleh Sung Yung-yi semasa tempoh tahun 1976–1980, ujian darah menunjukkan bahawa anjing-anjing mempunyai kaitan dengan anjing=anjing yang ditemukan di Jepun selatan dan bahawa anjing-anjing ini merupakan keturunan bagi anjing pemburu Asia Selatan[perlu rujukan]. Sebagai anjing kurang terkenal di luar Taiwan, hanya anjing Formosan "baka tulen" diiktiraf dengan pedigri daripada Kennel Club of Taiwan (KCT), Taiwan Kennel Club, dan pertubuhan anjing antarabangsa yang dikenali sebagai FCI.[22]

Sekarang

Status pemuliharaan

Sejak tahun 1976, ramai ahli ekologi Taiwan telah mencuba untuk meyakinkan pemerintah Taiwan untuk mengambil tindakan untuk membentuk pasukan penyelidik anjing Formosa untuk membantu dan memulihara anjing Formosa peribumi tulen dengan secara potensi meniru model dingo dari Australia. Tindakan paling ketara yang diambil adalah oleh Dr. Sung Yung-yi. Pada tahun 1983, beliau bercakap pada persidangan tentang rusa sika Formosa dan meminta agar pemerinath Taiwan mengambil tindakan segera untuk melindungi anjing gunung Formosa. Permintaan Dr. Sung dibuat kerana beliau dan rakan-rakan menghadapi kesukaran untuk mencari populasi anjing gunung Formosa berdarah tulen semasa pengajian lima tahun beliau dari tahun 1976 hingga tahun 1980. Untuk mencari populasi cukup untuk kajian beliau, beliau meneukan 29 buah perkampungan orang asli Taiwan di banjaran gunung dan memulakan pencarian besar-besaran. Walau apa pun, hanya 46 ekor daripada 160 ekor anjing gunung Formosa yang ditemukan oleh beliau mempunyai ketulenan peringkat A. Daripada 46 anjing Formosa ini, 25 ekor jantan dan 21 ekor betina. Bilangan ini menyampaikan amaran kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerana haiwan ini hampir dengan kepupusan.

Dr. Sung memberitahu New Taiwan News pada 26 Jan 2006, bahawa, sehingga hari ini, orang di Taiwan tidak mempunyai rasa hormat kuat terhadap biodiversiti. Dr. Sung percaya bahawa program pemulihan anjing gunung Formosa patut digalakkan oleh usaha kerajaan dan dilaksanakan dengan perancangan teliti. Buat masa ini, pembiakan ialah tugas paling mustahak. Beliau percaya bahawa setiap anjing Formosa patut didaftarkan kepada rumah tangga, yang menyebut pengawanan. Pada tahun-tahun terkini, pemerintah Taiwan belum mengambil sebarang tindakan dalam melindungi anjing asli Formosa ini. Dr. Sung juga berkata selepas mempelajari cara yang digunakan oleh pemerintah Taiwan untuk mengendalikan Projek Pemulihan Rusa Sika Formosa, beliau berasa tawar hati dan tidak berani mempunyai sebarang fikiran tentang pelancaran projek pemuliharaan untuk anjing Formosa. Beliau berkata, "Untuk sebuah negara maju, Taiwan pada masa ini belum menjadi negara maju."[6]

Anjing keselamatan/anjing pengawal

Buat masa ini, Tentera Udara Republik China sedang mempertimbangkan anjing Formosa untuk tujuan ketenteraan. Pada masa ini, Tentera Udara Republik China sedang menggunakan anjing gembala Jerman untuk keselamatan, tetapi anjing gembala Jerman mempunyai beberapa kelemahan. Sebagai contoh, anjing gembala Jerman yang menjalankan tugas-tugas keselamatan intensif secara harian kerap didapati mengalami lebam parah pada kakinya. Tambahan pula, mereka mendapati bahawa mekanisme pengawalan banyak anjing gembala Jerman terhadap orang asing tidak berada pada sensitiviti yang diingini. Dalam banyak kes, orang asing perlu datang dekat agar anjing itu bertindak balas. Faktor-faktor ini menyebabkan Tentera Udara Republik China mencari pengganti anjing gembala Jerman.

Selepas setengah bulan pengujian, Tentera Udara Republik China membuat kesimpulan bahawa deria bau dan pendengaran, ketangkasan, dan kewaspadaan anjing gunung Formosa terhadap orang asing kesemuanya lebih sesuai untuk tujuan penjagaan jet pejuang mereka. Yang lebih penting lagi, anjing gunung Formosa tidak mengalami lebam pada kaki sebagaimana yang dialami oleh anjing gembala Jerman. Atas sebab ini, Tentera Udara Republik China kemungkinan akan menggantikan anjing gembala Jerman dengan anjing gunung Formosa. Satu-satunya kebimbangan untuk Tentera Udara Republik China ialah bahawa anjing gunung Formosa secara fizikal kurang menakutkan berbanding dengan anjing gembala Jerman. Baru-baru ini, kebolehlayakan penggantian anjing gembala Jerman dengan anjing gunung Formosa telah diuji.[23]

Pembiak baka

Kebanyakan pemilik ternakan asasi dan pembiak baka teragak-agak untuk membuat penampilan awam. Mereka kekal di belakang tabir dan hanya menjual jantan kepada mereka yang mempunyai kenel anjing Formosa dan menghadiri pertunjukan anjing tempatan. Pembiak baka paling terkenal dan berprofil tinggi ialah Ming Nan Chen. Seperti ramai yang lahir pada tahun 1950-an, Chen memiliki seekor anjing Formosa semasa kecil. Pada tahun 1980-an, beliau memulakan perniagaan yang didedikasikan untuk menghasilkan anjing Formosa baka tulen yang hampir dengan yang dalam ingatan zaman kanak-kanak beliau, bermula dengan seekor anak anjing tunggal yang dibeli dengan harga NT$30,000 (kira-kira US$910.00) daripada seorang lelaki orang asli.[24]

Walau bagaimanapun, sesetengah pihak berhujah bahawa kredit mesti diberikan kepada para pembiak baka tersebut, kerana merekalah yang menjaga ketulenan susurgalur. Selepas dua atau tiga dekad pembiakbakaan, pelatihan, penambahbaikan, dan penulenan, orang kini tidak dapat membezakan sepenuhnya antara baka peribumi dengan baka baharu. Selanjutnya, ini juga disebabkan oleh keutamaan subjektif daripada para pembiak baka dan kepercayaan mereka tentang rupa yang patut dimiliki oleh anjing Formosa berdarah tulen, bilamana mereka menghasilkan trend "darah tulen" berbeza. Ramai mendakwa bahawa anjing gunung Formosa mereka berdarah tulen. Pembiak baka sedemikian juga menggunakan "jenis baru" anjing gunung Formosa kepada FCI untuk mengembangkan "piawaian", yang mungkin sangat berbeza daripada rupa asalnya. Pada tahun 2015 FCI membuktikan "piawaian" bagi anjing gunung Formosa (anjing Taiwan).[22]

Para pembiak baka juga mewujudkan konflik dalam perdebatan untuk masa hadapan anjing gunung Formosa sama ada untuk mengekalkan ketulenannya atau untuk mengubah suainya melalui penghibridannya menjadi jenis baharu. Untuk para pembiak baka yang menyokong ketulenan, mereka percaya bahawa tidak ada keperluan untuk penambahbaikan baka melalui penghibridan. Walau bagaimanapun, para pembiak baka yang menyokong pengubahsuaian percaya bahawa, oleh sebab anjing gunung Formosa secara tidak sengaja telah dibiakbakakan secara bersilang selama berabad-abad dan tiada kemungkinan untuk mengenal pasti dan mengekalkan ketulenannya, maka "jenis baru" anjing gunung Formosa dengan penambahbaikan perlu diusahakan. Kedua-dua sudut pandangan berbeza ini masih menjadi perdebatan berterusan dan kekal sebagai kontroversi.[1]

Dalam kebudayaan popular

Anjing Taiwan telah diundi sebagai maskot rasmi Liga Besbol Profesional China pada tahun 2019.[25][26]

Pada 29 Januari 2023, Google mengeluarkan permainan mini di halaman utamanya melalui Google Doodle yang melibatkan pemain yang perlu mengawal seekor anjing Taiwan untuk membuat teh buih untuk pelanggannya.[27] Permainan ini adalah untuk meraikan minuman ikonik Taiwan dan pengaruh budayanya sejak penciptaannya pada tahun 1980-an.[28]

Lihat juga

Catatan

Rujukan

Bacaan lanjut

Pautan luar

Kategori berkenaan Anjing Taiwan di Wikimedia Commons