Black Dog Bone

Kumpulan Pop Singapura

Black Dog Bone (juga dikenali sebagai BDB) ialah sebuah kumpulan pop Singapura, yang ditubuhkan pada 1973.[1][2] Kumpulan ini banyak mengiringi artis-artis Cina dari Singapura, Malaysia, Hong Kong juga Taiwan. Mereka menjadi terkenal oleh masyarakat Melayu setelah hanya menerbitkan album pada tahun 1977.[3] Lagu yang menjadi hit ketika itu ialah "Bila Rindu", "Releks", "Joget Hati Jujur" dan "Jangan Lukakan Hati-Ku" sehingga dapat memikat hati dan menarik peminat serata Asia seperti di Singapura, Brunei Darussalam, Malaysia, Taiwan malah di Belanda.

Black Dog Bone
Juga dikenali sebagai
  • BDB
  • The Black Dog Bone
  • Black Dog
Berasal dariSingapura
Genre
Tahun aktif1973–kini
Syarikat rakaman
Ahli
Bekas ahliMasron Ali (meninggal dunia)

Sejarah

Black Dog Bone (BDB) ditubuhkan pada 1973 sebagai duo yang terdiri daripada Hamid Ahmad dan Izzar Masrom, yang bercita-cita tinggi untuk membuat rakaman piring hitam. Nama mereka diilhamkan oleh kumpulan heavy blues British, Black Cat Bones. Hamid mencadangkan supaya nama mereka ditukar dari "cat" (kucing) kepada "dog" (anjing).[4] Pada tahun 1975, mereka berdua merekrut empat ahli baru - Jatt, Masron, James dan Michael bagi melengkapkan BDB sebagai sebuah kugiran. Di awal penglibatan, kumpulan ini menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu, Inggeris, India dan Cina klasik di Hotel Apollo.[5]

Sewaktu mengiringi persembahan penyanyi Taiwan di Restoran Jumbo, mereka bertemu dan menerima dorongan dan bimbingan daripada pengurus mereka ketika itu, Sonny Goh. Di bawah bimbingan Goh, Black Dog Bone mula muncul di hotel-hotel terkemuka dalam tahun 1975. Mereka mendapat peluang beraksi di Hotel Hyatt, seterusnya diundang untuk menjayakan persembahan di Penang Merlin, Pulau Pinang selama beberapa tempoh.[5] Setahun kemudian, iaitu pada 1976, mereka menandatangani kontrak rakaman bersama syarikat rakaman bebas, Tony Wong Co. Pte. Ltd dan muncul bersama album pertama mereka, Sindir-Sindir Sayang pada 1977. Kebanyakan lirik lagu dalam album ini ditulis oleh Haron Abdul Majid.[6] Dalam tahun yang sama, kumpulan ini mengadakan konsert pertama mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur.[7]

Pada tahun 1978, mereka menandatangani kontrak bersama label rakaman antarabangsa, EMI[8] dan muncul dengan album kedua di bawah EMI, Si Gadis Ayu.[9] Kumpulan ini kemudian berangkat ke Belanda untuk bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam di sana selama lima bulan. Sepanjang tempoh ini, mereka berpeluang mempelajari cara merakamkan suara termasuk kaedah mengawal tinggi dan rendah suara. Mereka turut berkenalan dengan beberapa penyanyi dari pelbagai negara, yang mengajar mereka serba sedikit cara menyanyi di pentas di kelab malam mahupun rakaman piring hitam.[10] Album ketiga mereka, Khayalan dikeluarkan pada hujung tahun yang sama. Lagu yang bertajuk sama dikeluarkan sebagai single utama dan merupakan versi Bahasa Melayu daripada lagu berbahasa Inggeris bertajuk "Fantasy" nyanyian asal kumpulan pop Amerika Syarikat, Earth, Wind & Fire.

Pada tahun 1979, Black Dog Bone telah mengadakan konsert mereka yang diadakan pada 7 Januari di Panggung Negara Singapura. Konsert itu diadakan bagi mempromosikan album ketiga mereka, Khayalan.[11][12] Kemudian, pada 29 Jun, mereka berlepas ke Taiwan bagi memenuhi tawaran menyanyi di sebuah hotel selama 2 bulan.[13] Mereka merupakan antara artis-artis yang membuat persembahan di Funky Festival 79 anjuran Le Mann's Fashion. Berlangsung pada 3 November, antara artis yang membuat persembahan ialah Sweet Charity.[14] Populariti mereka mula melonjak naik apabila mereka telah menjadi juara Penyanyi Pilihan Minggu Ini (PPMI) kelolaan Radio Televisyen Singapura (RTS) selama 11 minggu berturut-turut menerusi lagu "Aku Mengerti".[15] Salah seorang ahli kumpulan itu James Chai meninggalkan kumpulan itu atas sebab peribadi pada awal 1980, tempatnya kemudian digantikan oleh Sazali Mohd yang merupakan bekas ahli kumpulan Glass Onion.[16] Pada tahun yang sama juga, BDB muncul dengan dua album serentak, iaitu Diganggu Kenangan dan Bahagia dan Derita.[17]

Pada April 1981, mereka mendapat undangan untuk mengadakan jelajah di seluruh Malaysia bersama-sama dengan kumpulan The Queens, Sakura dan beberapa artis lain.[18] Pada Oktober, kumpulan ini muncul dalam rancangan televisyen yang dikendalikan oleh mereka sendiri unuk siaran di Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) selepas lebih setahun tidak muncul dengan sebarang rakaman bersama SBC.[19] Kemudian mereka muncul dengan album ketujuh, Diskorama yang bergenre disko pada November tahun itu.[5] Dalam tahun yang sama, gitaris dan ketua kumpulan, Izzar Masrom mengumumkan telah meninggalkan BDB untuk meneruskan kerjaya muzik secara solo sekaligus bergiat aktif sebagai penggubah lagu untuk piring hitam.[20] Pada awal 1982, kumpulan ini telah dipelawa untuk membintangi filem Pertentangan arahan Salleh Ghani setelah menerima tawaran daripada penerbit filem itu, Sham Tun Salleh.[21] Pada Mei tahun yang sama, vokalis BDB, Jatt pula mengundurkan dirinya dari kumpulan itu. Beliau dilaporkan berkata pengundurannya dari kumpulan itu "bukan kerana ada krisis dengan BDB" sambil menyifatkan "ingin bebas" dan "tidak mahu terikat dengan mana-mana kumpulan".[22] Ahli-ahli kumpulan BDB kemudian memutuskan untuk menghentikan sementara aktiviti muzik mereka susulan pengunduran Izzar dan Jatt dari kumpulan itu.

Kumpulan ini telah mengambil seorang ahli baru, Sulaiman bagi menggantikan Hadi yang menghadiri Perkhidmatan Negara.[23] Pada tahun 1986, barisan 6 ahli asal Black Dog Bone bersatu semula untuk merakamkan rakaman terbaru mereka di bawah LIFE Records. Album kelapan mereka, Kembali Lagi telah dilancarkan.[24][25][26] Pada tahun 1995, album kompilasi pertama kumpulan ini telah dikeluarkan dengan tajuk Balada Cinta.[27] Dua tahun kemudian, mereka kembali aktif dalam industri muzik dengan membuat kemunculan khas dalam sebuah rancangan khas Hari Raya di televisyen Singapura.[28]

Pada tahun 2003, setelah 22 tahun membawa haluan,[29] BDB kembali aktif dalam industri muzik dengan melancarkan album Reunion. Album ini memuatkan 12 lagu lama kumpulan ini yang dirakamkan semula serta dua lagu baru iaitu "Bagai Kelkatu" dan "Nyalakanlah (Obor Seni Kita)".[30] "BDB ditubuhkan semula kerana adanya banyak permintaan daripada para peminat kami. Ramai peminat yang mahu melihat kami aktif bermain muzik seperti dulu. Sebenarnya kami telah merancang untuk bergabung semula dalam BDB sejak lima tahun lalu. Selepas melalui pelbagai rintangan, akhirnya semua enam orang bekas anggota dapat disatukan semula," vokalis dan pemain dram, Jatt dalam temubual bersama Utusan Malaysia.[31] Kemudian, pada 4 dan 11 Januari 2004, Black Dog Bone membuat persembahan sebagai pembukaan siri Sunday Nite Live di Planet Hollywood pada jam 10.30 malam selama 45 minit.[32][33] Pada tahun 2005, mereka melancarkan album bertajuk Andai.[34]

4 tahun kemudian, Black Dog Bone mengadakan persembahan mereka di Istana Budaya selama 3 hari 3 malam dari 8 hingga 10 Mei 2009. Pada konsert tersebut, mereka mempersembahkan 26 buah lagu terpilih bersama-sama dengan Jay Jay dan Rahim Othman serta diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).[35][36][37][38]

Pemain trumpet kumpulan ini, Masron meninggal dunia pada 21 Mac 2015 akibat radang paru-paru pada usia 71 tahun.[39][40][41] Bersempena meraikan ulang tahun penubuhan kumpulan ini yang ke-45, BDB telah mengadakan konsert khas yang berlangsung pada 6 November 2018 di The Grand Ballroom, Orchid Country Club, dianjurkan oleh LILIN dan disokong oleh Siti Events. Kali terakhir BDB membuat persembahan ialah pada Januari 2015 di Esplanade. Kumpulan ini turut merancang untuk mengadakan konsert menjelajahi bandar-bandar seluruh Malaysia.[42]

Ahli kumpulan

Ahli terkini

Bekas ahli

  • Masron Ali - trumpet, horn, trombon, penyanyi (meninggal dunia)
  • wan azhar- main drum

Diskografi

Album studio

  • Sindir-Sindir Sayang (1977) (Tony Wong Co. Pte Ltd.)
  • Si Gadis Ayu (1978) (EMI)
  • Khayalan (1978) (EMI)
  • Dulu dan Sekarang (1979) (EMI)
  • Di-ganggu Kenangan (1980) (EMI)
  • Bahagia dan Derita (1980) (EMI)
  • Diskorama (1981) (EMI)
  • Kembali Lagi (1986) (Life Records)
  • Andai (2005) (Suria Records)

Album kompilasi

  • The Best of Black Dog Bone (1993)
  • Balada Cinta (1995)
  • Reunion (2003) (Suria Records)

Lagu dan single

  • "Khayalan"
  • "Si Gadis Ayu"
  • "Cahaya Aidilfitri"
  • "Zai"
  • "Lupakan"
  • "Diganggu Kenangan"
  • "Nani Adikku Sayang"
  • "Nasi Goreng"
  • "Joget Hati Jujur"
  • "Joget Bujang Di Rantau"
  • "Malam Kenangan"
  • "Geram"
  • "Rilek"
  • "Bahagia dan Derita"
  • "Bila Rindu"
  • "Hatiku Luka Lagi"
  • "Anekaragam"[43]
  • "Bagai Kelkatu"
  • "Nyalakankah (Obor Seni Kita)"

Konsert dan jelajah

  • Konsert Black Dog Bone di Stadium Negara (1977)[7]
  • Black Dog Bone Live di Istana Budaya (2009)[7]
  • Konsert Ulang Tahun ke-45 BDB (2018)

Rujukan

Pautan luar