Istinggar

Istinggar (Jawi: ايستيڠڬر, ejaan lama استڠڬر‎) ialah sejenis senjata api berkancing sumbu yang dibangun dan ditukangkan pelbagai kelompok etnik dari kepulauan Nusantara. Senjata api ini muncul hasil dari pengaruh penakluk Portugis terhadap persenjataan lokal, setelah penaklukan kesultanan Melaka pada tahun 1511.[1]:380, 388-389 Sebelum jenis senjata ini, di Nusantara sudah ada senjata api awal berlaras panjang yang disebut bedil, atau Arquebus Jawa sebagaimana disebut orang China. Sebilangan besar spesimen di semenanjung Melayu sebenarnya berasal dari Indonesia, dihasilkan di tanah Minangkabau di Sumatera Barat. Orang-orang di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu mengimport senjata api ini kerana digunakan dalam peperangan mereka secara meluas.[2]:57[3]:2–3

Tampilan mekanisme pencucuh (snap matchlock) dan detail istinggar. Spesimen ini kemungkinan dibuat di Padang, Indonesia, atau oleh orang Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia.

Etimologi

Nama istinggar meminjam kata bahasa bahasa Portugis espingarda yang bererti arquebus atau senjata api. Istilah ini kemudian disesuaikan sebutannya menjadi estingarda, akhirnya kepada setinggar atau istinggar.[4]:193[2]:53[5]:64

Perkataan ini adakala mempunyai banyak variasi ejaan mengikut sebutan tempatan, seperti satinggar, satenggar, istenggara, astengger, altanggar, astinggal, ispinggar, dan tinggar.[6][7][8][9][10][11]:209[12]

Sejarah

Sebuah satinggar, panjang 151 cm. Kemungkinan besar dari Sumatera Tengah.

Pendahulu senjata api, meriam galah (bedil tombak), dicatat digunakan oleh Jawa pada tahun 1413.[13][14]:245 Namun ilmu membuat senjata api sebenar di kepulauan nusantara muncul selepas pertengahan abad ke-15. Ia dibawa oleh negara-negara Islam di Asia Barat, kemungkinan besar oleh orang Arab. Tahun pengenalan yang tepat tidak diketahui, tetapi ia dapat disimpulkan dengan selamat tidak lebih awal daripada tahun 1460.[15]:23 Sebelum kedatangan bangsa Portugis di Asia Tenggara, orang-orang Melayu sudah mempunyai senjata api awal, iaitu arquebus Jawa.[16] Senjata api ini memiliki laras yang sangat panjang (hingga 2.2 m), dan semasa penaklukan Portugis atas Malaka (1511), terbukti mampu menembus lambung kapal ke sisi lain.[17] Namun mekanisme pencucuh dan larasnya masih sangat kasar.[16][18]:53

Orang-orang Portugis di Goa secara bebas menghasilkan senjata api sendiri. Mulai tahun 1513, tradisi pembuatan senjata Jerman-Bohemia digabungkan dengan tradisi pembuatan senjata Turki.[19]:39–41 Ini menghasilkan tradisi matchlock Indo-Portugis. Pengrajin India memodifikasi desain dengan memperkenalkan hulu bedil yang sangat pendek, hampir seperti pistol, yang menempel di pipi, bukan bahu, apabila membidik. Mereka juga mengurangi kaliber dan membuat senjata ini lebih ringan dan lebih seimbang. Ini sangat disukai orang Portugis yang melakukan banyak pertempuran di atas kapal dan di perahu sungai, dan menghargai senjata yang lebih kecil.[19]:41[20]

Di rantau Selat Melaka

Mekanisme snap matchlock Jawa, diperbuat daripada loyang tuang.

Afonso de Albuquerque membandingkan pengasas senjata api dan meriam Melaka sebagai berada pada tahap yang sama dengan Jerman. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah etnik pengasas senjata api di Melaka itu.[21]:128[22]:221[23]:4  Duarte Barbosa menyatakan bahawa pembuat arquebus Melaka adalah orang Jawa.[24]:69 Orang Jawa juga membuat meriam mereka sendiri di Melaka.[25] Anthony Reid berhujah bahawa orang Jawa mengendalikan banyak kerja produktif di Melaka sebelum 1511 dan pada abad ke-17 di Pattani.[24]:69

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah menjelaskan beberapa fakta tentang keadaan senjata serbuk mesiu di Melaka sebelum kejatuhannya pada tahun 1511:[26]:97-98

  1. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa bedil, meriam, dan serbuk mesiu diperbuat di negeri-negeri Melayu.
  2. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa bedil pernah digunakan oleh Kesultanan Melaka sebelum serangan Portugis, walaupun dari sumber Melayu.
  3. Berdasarkan laporan jumlah meriam yang banyak ditemui dan ditangkap oleh Portugis, ia termasuk dalam kategori artileri separa (meriam kecil), jenis inilah yang lebih banyak digunakan oleh orang Melayu.
Seorang pria dengan istinggar digambarkan pada wayang beber, di Yogyakarta, Indonesia.

Terdapat 2 mekanisme kunci berbeza yang digunakan dalam senapang Indo-Portugis. Yang satu memiliki pegas utama berdaun tunggal dari prototaip senjata Lusitanian, yang dapat ditemukan di Sri Lanka, semenanjung Melayu, Sumatera, dan Vietnam, dan yang lain mempunyai pegas utama berbentuk V, dapat ditemukan di Jawa, Bali, China, Jepang, dan Korea.[19]:103-104[27] Mekanisme pencucuh istinggar biasanya dibuat dari loyang.[28]:99 Orang Melayu menggunakan penutup buluh di laras arquebus matchlock mereka dan mengikatnya dengan rotan, agar kering dalam cuaca basah.[28]:100[29]:53 Istinggar biasanya lebih panjang daripada senapang Jepun. Ketiadaan saluran untuk pelantak (ramrod) menunjukkan bahawa mereka digunakan berehat di dinding atau digunakan dari pagar kapal seperti lela atau rentaka. Dalam kes ini, pelantak tidak memerlukan petak.[30] Orang Melayu juga membuat paluan kecil untuk menggerakkan peluru senapang ke dalam laras.[28]:99-100

Sebuah arquebus Jepun (panjang 135 cm) dan sebuah istinggar Bali (panjang 190.5 cm).

Orang Minangkabau di pedalaman Sumatera terkenal kerana pembuatan senjata berasas ubat bedil. Rekod sezaman oleh João de Barros (1496–1570) menunjukkan bahawa sebelum kedatangan orang Eropah, orang Sumatera tidak menggunakan senjata api.[23]:3 Besi dan keluli dihasilkan di bengkel tukang besi mereka, tetapi pada abad ke-19 mereka menjadi lebih bergantung kepada orang Eropah.[31]:347 Arquebus matchlock orang Minangkabau disebut "Istenggara Menangkabowe" (atau istinggar Minangkabau, atau hanya satingga).[11]:209[5]:64[32]:277 Pembinaannya cukup untuk memenuhi keperluan tempatan, orang Minangkabau juga mengeksport senjata api mereka ke kawasan lain, seperti ke Aceh, Melaka dan Kesultanan Siak.[31]:347[33] Larasnya dibuat dengan menggulung sebatang besi rata berdimensi proporsional secara berpilin mengelilingi batang bulat, dan memukulnya hingga bahagian-bahagian tadi bersatu, dan seni penggerudian mungkin tidak diketahui oleh mereka.[31]:347-348 Pembinaan ini terus hingga abad ke-19, ketika mekanisme matchlock sudah ketinggalan zaman.[2]:54[33] Sebuah manuskrip bernama Ilmu Bedil merupakan pedoman tentang istinggar jenis ini. Orang Minangkabau juga menghasilkan senjata api lain, iaitu terakul (pistol dragoon).[5]:61 Orang Batak menggunakan senapang matchlock dengan kunci yang terbuat dari tembaga, dan dianggap oleh Marsden sebagai penembak ahli. Bagaimanapun senapang Batak dibekalkan oleh pedagang Minangkabau.[31]:377-378

Di Sulawesi, Borneo, Filipina, dan Indonesia Timur

Orang Makassar dari Kerajaan Gowa, yang mengekalkan hubungan baik dengan Portugis sejak tahun 1528,[34]:372 mendapat manfaat yang besar daripada bantuan Portugis dalam membina kekuatan ketenteraannya. Pemelukan ajaran Islam pada awal tahun 1600-an mendorong kepada suatu perang menentang kuasa suku Bugis berjiran dianggap "kafir".[35]:431 Orang Makassar sudah membina senapang lantak, mungkin dari espingarda Portugis, sekitar akhir abad ke-16 atau awal abad ke-17. Pada abad ke-18, jiran mereka (Bugis) menghasilkan senapang dengan lubang laras lurus dan kerja kemas denda yang menarik kekaguman Eropah.[35]:384 Askar-askar Bugis dan Makassar sering berpakaian waju rante (zirah rantai) dan bersenapang lantak yang dihasilkan sendiri selama bertahun-tahun peperangan lalu memperoleh reputasi baik atas keganasan dan keberanian mereka.[35]:384 Antara tahun 1603–1606, pasukan Kesatuan Iberia menyerang Ternate dua kali, dan melaporkan bahawa musket dan arquebus digunakan oleh orang "Moros" (yakni orang Moor, atau orang muslim).[36] Nicolas Gervaise mencatatkan bahawa di Makassar "Tidak ada orang di Hindia Timur yang lebih lincah menunggang kuda, menarik busur, menembak fuzil (musket), atau membidik meriam (daripada orang Makassar)".[37]:70

Senjata ini akhirnya menyebar ke wilayah-wilayah Muslim di kepulauan Filipina, di mana ia dikenali sebagai "astinggal". Kamus Tagalog San Buenaventura 1613 mendefinisikan "astingal" sebagai "arquebus, jenis yang biasa mereka gunakan pada zaman dahulu dalam perang mereka dan yang berasal dari Borneo". Ini nampaknya menjadi rujukan pertama mereka di Luzon utara.[38]:177 Walaupun begitu, orang Sepanyol tidak pernah bertemu senjata ini di Luzon, tidak seperti di Mindanao.[39] Pada tahun 1609, orang Sepanyol melaporkan bahawa di Zambales banyak penduduk asli menangani arquebus dan musket dengan mahir, kerana mereka telah melihat orang Sepanyol menggunakan senjata mereka.[36]

Di Jawa, Bali, dan Lombok

Detail mekanisme matchlock dari sebuah senapang sundut (arquebus) Indonesia, mungkin dari Bali, diukir dengan aksara Jawa, di mana tatah emas pada larasnya memiliki corak kunci Cina, dudukan perak dari karakter India Selatan. Mekanisme pencucuh dalam bentuk monster aneh tradisi Melayu atau Burma.

Penduduk Hindu Bali dan Lombok yang tersisa-sisa dari pengaruh Majapahit,[40] terkenal kerana pembinaan senapang pencucuh sumbu mereka. Pada tahun 1800-an Alfred Wallace melihat dua senjata buatan mereka, dengan panjang 6 dan 7 kaki (1.8 dan 2.1 m), dengan lubang kaliber yang proporsional besarnya. Hulu kayunya dibina dengan baik, dilanjutkan ke hujung laras depan. Larasnya dipulas dan memiliki penamat, dengan perhiasan perak dan emas.[20]:98 Untuk membuat larasnya yang panjang, penduduk bumiputera menggunakan potongan besi 18 inci (46 cm) yang awalnya dilubangi dengan lubang kecil, kemudian dikimpal bersama pada batang besi lurus. Seluruh laras kemudian digerudi dengan gerudi yang saiznya secara beransur-ansur meningkat, dan dalam masa tiga hari penggerudian selesai.[41]:170

Bagi senjata api yang menggunakan mekanisme flintlock, penduduk kepulauan Nusantara bergantung pada kekuatan Barat, karena tidak ada tukang besi tempatan yang dapat menghasilkan komponen rumit seperti itu.[42]:cxli[20]:98[43]:42 dan 50 Senjata api flintlock ini adalah senjata yang sangat berbeza dan dikenali dengan nama lain, iaitu senapan atau senapang, yang berasal dari perkataan Belanda snappaan.[15]:22 Kawasan pembuatan senjata Nusantara boleh membina senjata ini, laras dan bahagian kayu dibuat secara tempatan, tetapi mekanisme itu diimport dari pedagang Eropah.[43]:42 dan 50[20]:98[5]:65 Orang Jawa adalah yang paling awal untuk memodenkan: Selepas VOC mula menggantikan senjata api matchlock ke flintlock pada tahun 1680-an, orang Jawa sudah meminta mereka pada tahun 1690-an. Senapang flintlock mulai muncul di gudang senjata Jawa pada awal 1700 masihi.[18]:55-56

Galeri

Lihat juga


Rujukan