Kesatuan Melayu Muda


Kesatuan Melayu Muda (KMM) (Jawi: كساتوان ملايو مودا, atau Bahasa Inggeris:Young Malays Union) ditubuhkan pada 1938 di Kuala Lumpur, ibu negara Negeri-negeri Melayu Bersekutu oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) bagi melindungi hak-hak orang Melayu dan menentang penjajahan British.

Kesatuan Melayu Muda
Young Malays Union
كساتوان ملايو مودا
KMM
SingkatanKMM
PemimpinIbrahim Yaakob (pengasas dan pemimpin)
Diasaskan1938
Dibubarkan1945
Didahului olehMalay Youth League [1]
Digantikan olehParti Kebangsaan Melayu Malaya [2]
AkhbarWarta Malaya (Singapura)
IdeologiNasionalisme Marhaenisme
Kedudukan politikHaluan kiri
Penggabungan serantauParti Nasional Indonesia
WarnaMerah, putih
SloganMerdeka!
Lagu partiIndonesia Raya
Politik Malaya
Parti politik
Pilihan raya

KMM merupakan pertubuhan politik bersifat kebangsaan yang pertama di British Malaya. Pertubuhan ini berhasrat untuk menggulingkan pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu dengan tindakan keras dan menyatukan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia di bawah panji Indonesia Raya.[3] Perjuangan kaum nasionalis melayu kiri ini amat dikhawatiri dapat mengganggu kepentingan kepentingan pihak British apabila Tanah Malaya merdeka di kemudian hari.

Nama asal KMM ialah Malay Youth League kerana hendak meniru Turki yang meneladani Barat. Atas usul Abdul Samad Ahmad, nama ditukar kepada kepada Kesatuan Melayu Muda, mencontohi 'Turki Muda' yang terkenal di kalangan orang Melayu saat itu.[4]

Sejarah Awal Penubuhan

Penubuhan KMM berkait rapat dengan keadaan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim,Perak pada tahun 1930-an. Semangat anti-British dipanaskan melalui syarahan dan penulisan di maktab tersebut. Cikgu Ibrahim Yaakob sendiri merupakan seorang bekas guru pelatih maktab itu. Antara bekas pelajar MPSI yang lain yang bergiat dalam KMM ialah Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Mohd Isa Mahmud.

Selepas penubuhan pusat KMM di Kuala Lumpur, ahli-ahli KMM yang ramainya terdiri daripada guru-guru graduan MPSI mula menyebarkan sayap KMM ke pelusuk Tanah Melayu. Kemudiannya, KMM dan beberapa pertubuhan Melayu yang lain telah mengaturkan satu kongress Melayu di Kuala Lumpur pada Ogos, 1939. Kongress kedua pula telah diadakan di Singapura pada Disember 1940. Kongres seterusnya sepatutnya diadakan di Ipoh pada tahun 1941. Akan tetapi terhalang apabila Perang Dunia II meletus dan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun.

Ahli-ahli Pengasas KMM

Name [5]JawatanPendidikanPekerjaanNegeri Asal
Ibrahim YaakubPresidenSekolah MelayuGuru kemudian wartawanPahang
Mustapha HussainNaib-PresidenSekolah Melayu dan InggerisPensyarahPerak
Hassan MananSetiausaha ISekolah MelayuGuruSelangor
Othman Mohd NoorSetiausaha IISekolah Melayu dan InggerisJurutaipKuala Lumpur
Idris HakimBendahariSekolah Melayu dan InggerisKeraniPerak
Ishak MuhammadAhli Jawatankuasa PusatSekolah Melayu dan InggerisMajistret ke Guru ke WartawanPahang
Abdul Karim RashidAhli Jawatankuasa PusatSekolah MelayuGuruSelangor
Bahar AbikAhli Jawatankuasa PusatSekolah MelayuPegawai bawahanKuala Lumpur
Onan SirajAhli Jawatankuasa PusatSekolah Melayu dan InggerisPekerja rencamPerak
Sulung ChikAhli Jawatankuasa PusatSekolah Melayu dan InggerisPegawai SubordinatPahang
Abdul Samad AhmadAhli Jawatankuasa PusatSekolah MelayuWartawanSelangor
Abdullah KamilAhli Jawatankuasa PusatSekolah MelayuWartawanKuala Lumpur
Mohammad SalehuddinAhli Jawatankuasa PusatSekolah MelayuWartawanKuala Lumpur

Membeli Warta Malaya

Sewaktu Perang Dunia II semakin menghampiri Tanah Melayu,pemuda-pemuda KMM telah menyemarakan semangat anti-British. Pada 1941, Konsul Jeneral Jepun di Singapura telah membantu KMM membeli akhbar Melayu di Singapura yang dipanggil Warta Malaya dengan memberikan kemudahan kewangan. Pada tahun 1941, pihak British telah mula mengesan pengaruh Jepun di dalam KMM. British telah memerhati KMM dengan dekat dan pada akhir tahun 1941, pucuk kepimpinan KMM termasuk Ibrahim Yaakob dipenjarakan. Perjuangan KMM menjadi lemah apabila ramai pemimpin mereka ditangkap. Kelemahan mereka semakin ketara apabila Jepun mula menduduki Tanah Melayu.

Jurubahasa tentera Jepun

Semasa tentera Jepun menyerang Tanah Melayu, pemuda-pemuda KMM telah membantu kemaraan tentera-tentera Jepun ke Tanah Melayu sepanjang tahun 1941-1942 sebagai penunjuk jalan dan juru bahasa. [6] Ibrahim dilatih selama enam bulan dan sebelum Jun 1944 dia dilantik sebagai Komandan Giyugun dengan pangkat Leftenan Kolonel. Dengan bantuan tentera Jepun pasukan Giyugun telah ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Sumatera.

Kesatuan Melayu Muda mempunyai hubungan yang akrab dengan Jepun. Pada Januari 1942, KMM telah meminta kemerdekaan Tanah Melayu dengan rasminya daripada Jepun. Ini membuatkan Kesatuan Melayu Muda sebagai badan politik kebangsaan Tanah Melayu yang pertama yang berbuat demikian. Walaupun begitu, Jepun menolak permintaan tersebut.

Ibrahim ke Jakarta

Ibrahim Yaakob menghantar tiga wakilnya ke Jakarta untuk berunding dengan Sukarno. Di Jakarta, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) membicarakan batas sempadan negara Indonesia iaitu termasuk bekas Hindia Belanda, atau bekas Hindia Belanda ditambah dengan Malaya, New Guinea, Borneo Utara dan Timor Timur Portugis. Ataukah bekas Hindia Belanda tolak New Guinea. Prof. Mohammad Yamin menganjurkan alternatif kedua, yakni Indonesia Raya. Sukarno setuju dan pada pemungutan suara 39 daripada 62 anggota Badan tersebut memilih Indonesia Raya.

Pertemuan Taiping 1945

Pada 13 Ogos 1945, Ibrahim Yaakob telah bertemu dengan delegasi Ir Sukarno, Drs Mohammad Hatta, Drs Burhanuddin al-Helmi dan Mejar Jeneral Umezu di bandar Taiping, Perak. Sukarno dan Hatta singgah di Lapangan Terbang Taiping dalam perjalanan pulang dari Saigon, Vietnam ke Indonesia.[7] Mereka menyatakan bahwa rakyat di Tanah Melayu ingin bersatu dalam negara Indonesia. Ibrahim Yaakob lahir di Temerloh,Pahang pada 1911 dan beliau berketurunan Bugis dan mengkagumi karisma Sukarno. Ibrahim Yaakob menegaskan kepada Sukarno bahawa orang- orang Melayu bertekad untuk menjadi orang Indonesia yang merdeka.

Indonesia Raya tidak menjadi kenyataan kerana Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba pada 15 Ogos 1945. Ibrahim diarahkan membubarkan Giyugun. Pada 19 Ogos Ibrahim, isterinya, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan terbang ke Jakarta dengan pesawat tentera Jepun. Sukarno mengaskan gagasan memasukkan Malaya tidak mudah kerana terpaksa berjuang menentang dua kuasa besar iaitu Belanda dan British.

Sukarno menyarankan Ibrahim dan rakan rakan-rakan berjuang di pulau Jawa untuk mencapai 'Indonesia Raya'. Sehingga 1973 barulah Ibrahim kembali ke Malaysia kerana sebelum itu kerajaan Malaysia melarang beliau kembali.

Pertemuan dengan Tunku Abdul Rahman 1955

Pada November 1955, Ibrahim Yaakob bertemu dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman yang menemui Presiden Sukarno di Jakarta. Tunku mahu Malaya merdeka dalam Komanwel British. Sedangkan Ibrahim mahu Malaya merdeka dalam kerangka 'Indonesia Raya'

Ibrahim menjadi ahli parlimen Indonesia

Dengan sokongan Sukarno, Ibrahim dilantik sebagai ahli Parlimen Indonesia dengan nama 'Iskandar Kamel'. Apabila terjadi peristiwa lubang buaya 1965, Ibrahim / Iskandar Kamel mengundurkan diri menjadi ahli parlimen. Kemudian beliau merintis membentuk 'Bank Pertiwi' dan menjadi pengarahnya.

Ibrahim Yaakob meninggal dunia pada 8 Mac 1979 dan disemadikan di Kalibata, Jakarta - tanda bukti beliau seorang patriot.

Rujukan