Lewis Hamilton

Sir Lewis Carl Davidson Hamilton,[1] MBE (lahir 7 Januari 1985) ialah seorang pemandu kereta lumba Formula Satu dari United Kingdom, yang kini memandu untuk pasukan Mercedes-AMG. Kali pertama Lewis merangkul gelaran Juara Dunia Formula Satu pada musim 2008.

Sir

Lewis Hamilton

MBE HonFREng
Hamilton di Grand Prix São Paulo 2022.
Kelahiran
Lewis Carl Davidson Hamilton[1]

(1985-01-07) 7 Januari 1985 (umur 39)[2]
Stevenage, Hertfordshire, England, United Kingdom
PekerjaanPemandu
KeluargaNicolas Hamilton (abang sedara)
Kerjaya Kejuaraan Dunia Formula Satu
KewarganegaraanUnited Kingdom British
Pasukan 2024Mercedes[3]
Nombor kereta44[note 1]
Entri332 (332 permulaan)
Kejuaraan7 (2008, 2014, 2015, 2017, 2018, 2019, 2020)
Kemenangan103
Podium197
Mata kerjaya4.639,5
Petak pertama104
Pusingan terpantas65
Perlumbaan pertamaGrand Prix Australia 2007
Kemenangan pertamaGrand Prix Kanada 2007
Kemenangan terakhirGrand Prix Arab Saudi 2021
Perlumbaan terakhirGrand Prix Abu Dhabi 2023
Kedudukan 2023Ke-3 (234 mata)
Tandatangan
Laman weblewishamilton.com

Setakat tahun 2023, Lewis Hamilton telah memenangi rekod bersama tujuh gelaran Kejohanan Pemandu Dunia (diikat dengan Michael Schumacher), dan memegang rekod untuk kemenangan terbanyak (103), petak pertama (104), dan penamat podium (197), antara yang lain.

Hamilton dilahirkan di Stevenage, Hertfordshire.[2] Pada bulan Disember 1985, pada usia sepuluh tahun, beliau berjumpa dengan ketua pasukan McLaren, Ron Dennis, pada majlis Anugerah Autosport dan memberitahunya, "Saya ingin berlumba untuk kamu satu hari ... saya mahu berlumba bersama McLaren." Kurang dari tiga tahun kemudian, McLaren dan Mercedes-Benz menandatangani Hamilton untuk menyertai Program Sokongan Pemandu Muda mereka. Selepas memenangi kejuaraan British Formula Renault, Formula Three Euroseries, dan GP2 Series, beliau memandu untuk McLaren pada tahun 2007.

Hamilton sering dilabel sebagai "pemandu kulit hitam yang pertama dalam Formula Satu",[2] walaupun Willy T. Ribbs pernah menguji sebuah kereta F1 pada tahun 1986.[6] Beliau juga merupakan pemandu warisan kulit hitam yang pertama untuk memenangi sebuah perlumbaan utama di Indianapolis Motor Speedway dalam mana-mana kelas.

Pada musim pertamanya dalam Formula Satu, Hamilton menetapkan banyak rekod dan mendapat tempat kedua dalam Kejuaraan Dunia pada tahun 2007, hanya satu mata di belakang Kimi Räikkönen. Hamilton memenangi kejuaraan tersebut pada musim berikutnya.[7]

Kerjaya Formula Satu

McLaren (2007-2012)

2007

Hamilton memenangi perlumbaan pertamanya di Grand Prix Kanada 2007.
Hamilton mendapat petak pertama dan memenangi Grand Prix Amerika Syarikat 2007.
Hamilton mendapat tempat ketiga di Grand Prix British 2007.
Hamilton di Grand Prix Belgium 2007.

Sebelum musim ini bermula, ia telah diumumkan bahawa Hamilton akan menjadi rakan sepasukan kepada Juara Dunia bertahan, Fernando Alonso, yang telah menyertai McLaren selepas meninggalkan Renault. Pada penampilan sulungnya di Grand Prix Australia, beliau mendapat tempat ketiga, dan menjadi pemandu ketiga belas untuk menamatkan perlumbaan di podium pada penampilan sulung mereka dalam F1 (tidak termasuk mereka yang bertanding dalam Kejuaraan Dunia pertama).[8] Di Bahrain dan Barcelona, Hamilton mendapat tempat kedua, di belakang Felipe Massa, dan Hamilton mendahului kejuaraan pemandu selepas perlumbaan ini.[9] Ini bermakna bahawa Hamilton telah memecahkan rekod Bruce McLaren sebagai pemandu termuda untuk mendahului kejuaraan pemandu dunia.[10]

Hamilton mendapat tempat kedua, di belakang Alonso di Monaco, dan selepas itu beliau merasakan yang beliau telah dihalang daripada berlumba dengan rakan pasukannya. Hamilton mendapat petak pertama dan memenangi perlumbaan pertamanya dalam F1 di Grand Prix Kanada di Montreal.[11] Seminggu kemudian, Hamilton memenangi Grand Prix Amerika Syarikat, dan menjadi pemandu Britain yang pertama sejak John Watson pada tahun 1983 untuk memenangi sebuah perlumbaan F1 di Amerika Syarikat,[12] dan hanya merupakan orang kedua, selepas Jacques Villeneuve, untuk memenangi lebih daripada satu perlumbaan pada tahun pertama mereka dalam Formula Satu.

Setelah mendapat tempat ketiga di Magny-Cours di belakang pemandu Ferrari, Kimi Räikkönen dan Felipe Massa, Hamilton kekal sebagai pendahulu dalam Kejuaraan Pemandu dengan kelebihan 14 mata.[13] Pada perlumbaan tuan rumah Hamilton di Silverstone, beliau mendapat tempat ketiga.[14] Setelah mendapat podium ini, beliau menyamai rekod dari tahun 1963 kepunyaan Jim Clark, dengan mendapat 9 podium berturut-turut untuk seorang pemandu British.

Pada pusingan kelayakan untuk Grand Prix Eropah, Hamilton terbabas di selekoh Schumacher selepas mengalami masalah dengan nat roda yang disebabkan oleh pistol udara yang digunakan pada kereta. Beliau telah dibawa ke pusat perubatan di litar, setelah diusung dan dipakaikan topeng oksigen, tetapi masih sedar.[15] Beliau tidak menamatkan pusingan kelayakan, dan masa yang telah ditetapkan olehnya telah diatasi oleh kesemua pelumba pada pusingan kelayakan bahagian ketiga, oleh itu beliau mendapat tempat kesepuluh.[16] Selepas pemeriksaan perubatan terakhir yang dilakukan pada pagi Ahad, Hamilton dibenarkan berlumba.[17] Dalam perlumbaan yang dilanda hujan lebat, Hamilton terbabas dan terperangkap di batu kerikil, dan menyebabkan perlumbaan dihentikan buat sementara waktu, tetapi enjinnya terus berjalan dan keretanya diangkat semula menggunakan kren. Beliau kembali ke litar dan dapat menyertai semula perlumbaan selepas rehat. Beliau akhirnya mendapat tempat kesembilan, dan ia merupakan kali pertama di mana beliau gagal mendapat podium dan mata.[18] Hamilton menjadi satu-satunya pelumba di mana keretanya diletakkan semula di litar dengan menggunakan kren, dan ini menyebabkan FIA mengharamkan penggunaan bantuan mekanikal untuk meletakkan semula kereta di litar.[19]

Hamilton memenangi Grand Prix Hungary setelah bermula dari petak pertama, dalam sesi kelayakan yang dilanda kontroversi. Alonso telah menetapkan masa terpantas, tetapi telah diturunkan lima-petak, dan memulakan perlumbaan di tempat keenam kerana menghalang Hamilton di lorong pit.[20] Selepas perlumbaan, Hamilton mengisytiharkan bahawa beliau telah memulihkan hubunganya dengan Alonso.[21] Di Grand Prix Turki, tayar kereta Hamilton mengalami pancit, dan beliau mendapat tempat kelima dalam perlumbaan.[22]

Alonso menewaskan Hamilton di Itali dan Grand Prix Belgium, dan meninggalkan Hamilton dengan kelebihan dua mata sahaja dalam kejuaraan. Bagaimanapun, beliau meningkatkan kelebihan dua mata tersebut kepada 12 mata selepas memenangi Grand Prix Jepun dalam keadaan hujan lebat, selepas Alonso terbabas. Berikutan perlumbaan tersebut, Hamilton telah disiasat oleh steward perlumbaan kerana penglibatannya dalam kejadian di belakang kereta keselamatan, yang menyaksikan kedua-dua Sebastian Vettel dan Mark Webber berlanggar semasa berada di belakang Hamilton. Walau bagaimanapun, tiada tindakan dikenakan terhadap Hamilton untuk Grand Prix China.[23]

Walaupun mendapatkan petak pertama di China, keadaan bagaimanapun berubah pada hari perlumbaan. McLaren membiarkan Hamilton menggunakan satu set tayar untuk jangka masa yang lama, walaupun diberikan nasihat daripada Bridgestone, dan menyebabkan beliau terperangkap di batu kerikil ketika memasuki pit. Hamilton memasuki perlumbaan terakhir dengan kelebihan empat dan tujuh mata di hadapan Alonso dan Räikkönen masing-masing.[24]

Di Grand Prix Brazil, Hamilton gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan untuk memenangi kejuaraan, dengan mendapat tempat ketujuh. Pada pusingan pertama, Hamilton dipintas oleh beberapa pelumba dan kemudiannya berada di tempat kelapan. Hamilton kemudiannya berada tempat ketujuh, dan ia adalah cukup baginya untuk memenangi kejuaraan tahun tersebut sebelum Massa bertukar tempat dengan Räikkönen, untuk membenarkan Räikkönen memenangi kejuaraan tersebut.[25][26][27] Hamilton menjadi naib-juara Kejuaraan Pemandu Dunia Formula Satu yang termuda, iaitu pada umur 22 tahun dan 288 hari. Sebelum Hamilton, rekod ini dipegang oleh Kimi Räikkönen pada umur 23 tahun dan 360 hari. Pada tahun 2009, rekod ini dipecahkan oleh Sebastian Vettel, pada umur 22 tahun dan 122 hari apabila beliau menamatkan musim sebagai naib-juara pada musim tersebut.

Pada 21 Oktober 2007, ia telah mengumumkan bahawa FIA sedang menyiasat pasukan BMW Sauber dan Williams atas sebab ketaknalaran bahan api. Pemandu BMW mendapat tempat kelima dan keenam, dan jika mereka dikecualikan, Hamilton akan dinaikkan ke tempat kelima dan akan memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia 2007 dengan kelebihan satu mata di hadapan Räikkönen. Akhirnya, tiada penalti diberikan kepada mana-mana pasukan, walaupun McLaren secara rasmi merayu ke atas keputusan ini.[28] Hamilton kemudiannya memberitahu BBC bahawa beliau tidak mahu memenangi gelaran F1 melalui pengecualian pemandu lain.[29]

Ketegangan dalam pasukan
Hamilton di atas podium selepas memenangi Grand Prix Amerika Syarikat 2007. Beliau didampingi oleh rakan sepasukan Fernando Alonso (kiri) dan Felipe Massa (kanan).

Hubungan Hamilton dengan ketua pasukan McLaren, Ron Dennis, bermula pada tahun 1995,[30] dan petunjuk pertama yang Hamilton tidak berpuas hati dengan McLaren berlaku selepas beliau mendapat tempat kedua di Monaco pada tahun 2007. Selepas komen yang diberikan oleh Hamilton selepas perlumbaan, yang mencadangkan beliau telah memainkan peranan sokongan, FIA telah memulakan siasatan untuk menentukan sama ada McLaren melanggar peraturan dalam perintah pasukan.[31] McLaren menafikan yang mereka memihak kepada juara dunia dua kali, Fernando Alonso, dan FIA kemudiannya membuktikan kewajaran pasukan, dengan menyatakan: "McLaren dapat melaksanakan strategi pasukan optimum kerana mereka mempunyai kelebihan besar ke atas semua kereta lain. Mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh dianggap sebagai campur tangan dengan keputusan perlumbaan".[31]

Ketegangan dalam pasukan muncul semula di Grand Prix Hungary 2007. Semasa sesi kelayakan bahagian ketiga untuk perlumbaan, Hamilton dilengahkan di pit oleh Alonso dan ini menyebabkan Hamilton gagal menetapkan masa pusingan terakhirnya sebelum sesi tersebut berakhir. McLaren menegaskan bahawa Hamilton telah mengingkari arahan awal untuk membenarkan Alonso memintasnya pada pusingan kelayakan, kerana takut kehilangan kedudukannya sendiri.[32] Alonso diturunkan ke tempat keenam pada petak permulaan, dan Hamilton (pada asalnya layak di tempat kedua) dinaikkan ke tempat pertama, manakala mata kejuaraan pengeluar McLaren ditolak. Hamilton berkata beliau berpendapat bahawa penalti Alonso adalah "agak ringan" dan hanya menyesal atas kehilangan mata pengeluar.[33] Hamilton dilaporkan telah menyumpah Dennis di radio pasukan berikutan kejadian itu.[34][35]

Berikutan siasatan steward untuk kejadian di Grand Prix Jepun 2007, Alonso menyatakan: "Saya tidak berfikir tentang kejuaraan ini lagi, keputusan telah pun dibuat di luar litar". Taklimat pemandu tidak mempunyai sebarang tujuan. Anda pergi ke sana untuk mendengar apa yang Charlie Whiting dan pegawai-pegawai lain bercakap. Dua puluh satu pemandu, Charlie dan pegawai-pegawai lain mempunyai pendapat, dan ia seperti bercakap dengan dinding".[36]

Persaingan antara Hamilton dan rakan sepasukan, Alonso, membawa kepada spekulasi bahawa salah satu daripada mereka akan meninggalkan McLaren pada akhir musim 2007[37][38][39] dan Alonso dan McLaren menamatkan kontrak mereka dengan persetujuan bersama pada 2 November 2007.[40]

2008

Hamilton memenangi perlumbaan pembuka tirai musim 2008 di Melbourne.

Pada 14 Disember 2007, ia telah disahkan bahawa Heikki Kovalainen yang memandu untuk Renault pada tahun 2007 akan memandu kereta kedua untuk McLaren-Mercedes untuk musim 2008, bersama Hamilton.[41] Pada bulan Januari 2008, Hamilton menandatangani kontrak lima-tahun bersama McLaren-Mercedes sehingga akhir musim 2012.[42]

Hamilton memenangi perlumbaan pembuka tirai musim 2008, di Grand Prix Australia, selepas memulakan perlumbaan dari petak pertama.[43] Di Malaysia, beliau mendapat tempat kelima selepas bermula di tempat kesembilan, setelah diberikan penalti kerana menghalang Nick Heidfeld pada pusingan kelayakan.[44][45] Beliau mendapat podium di Sepanyol selepas mendapat tempat ketiga.[46] Hamilton mendapat tempat kedua di Turki,[47] dan memenangi Grand Prix Monaco. Hamilton mendahului kejuaraan selepas memenangi perlumbaan ini.[48] Di Montreal, Hamilton merempuh ke belakang Räikkönen di lorong pit, dan kedua-dua mereka terpaksa bersara dan Hamilton telah diberikan penalti 10-petak kedudukan untuk perlumbaan seterusnya di Perancis.[49][50] Walaupun melakukan kesilapan pada pusingan kelayakan, yang menyaksikan beliau di tempat keempat, Hamilton memenangi Grand Prix British dalam keadaan hujan. Prestasi beliau telah dinyatakan sebagai salah satu yang terbaik setakat ini.[51] Hamilton sendiri berkata dalam persidangan akhbar selepas perlumbaan bahawa ia adalah kemenangan yang paling sukar dan paling bermakna baginya.[52] Pada perlumbaan seterusnya di Hockenheim, Hamilton menang walaupun pasukan melakukan kesilapan taktikal.[53]

Hamilton diberikan penalti di Grand Prix Belgium 2008 kerana memintas Kimi Räikkönen setelah memotong selekoh sebelumnya. Steward perlumbaan berkata beliau mendapat lebihan yang tidak adil, dan penalti tersebut menyebabkan beliau jatuh dari tempat pertama ke tempat ketiga.

Hamilton memenangi Grand Prix Belgium, bagaimanapun beliau kemudiannya dikatakan telah mendapat kelebihan yang tidak adil dengan memotong selekoh apabila beliau menggunakan jalan di sebelah kiri untuk mengelakkan dirinya daripada berlanggar dengan Kimi Räikkönen.[54] McLaren berkata telemetri mereka menunjukkan Hamilton telah memperlahankan keretanya untuk membiarkan Räikkönen memintasnya[55] tetapi Hamilton telah diberikan penalti masa 25 saat, sekali gus menjatuhkan beliau ke tempat ketiga. Dengan ini, pesaing utama Hamilton untuk gelaran, Massa, diberikan kemenangan. Kelebihan Hamilton dalam kejuaraan pemandu telah dirapatkan kepada dua mata, dan rayuan yang telah dibuat oleh McLaren kepada Majlis Sukan Permotoran Sedunia FIA telah ditolak atas alasan kes tersebut tidak boleh diterima.[56]

Di Grand Prix Hamilton, Hamilton mendapat tempat ketujuh. Keputusan ini mengurangkan kelebihan Hamilton dalam kejuaraan kepada satu mata.[57] Hamilton mendapat tempat ketiga pada perlumbaan seterusnya di Singapura, manakala Massa gagal mendapat sebarang mata, dan Hamilton berada tujuh mata di hadapan Massa selepas perlumbaan ini.[58] Di Fuji, Hamilton diberikan penalti pandu-lalu kerana memaksa pemandu lain ke kawasan luar litar apabila beliau membuat kesilapan ini pada pusingan pertama. Sebelum sempat menjalani hukumnya, beliau dilanggar oleh Massa selepas pemandu Ferrari tersebut melakukan kesilapan dengan berlanggar dengan Hamilton. Massa kemudiannya diberikan penalti pandu-lalu atas kejadian tersebut. Hamilton akhirnya mendapat ke-12, bagaimanapun Massa mendapat tempat ketujuh selepas diberi satu mata tambahan selepas penalti diberikan kepada pemandu Toro Rosso, Sébastien Bourdais.[59] Ini bermakna dengan baki dua perlumbaan, Hamilton mendahului kejuaraan Dunia dengan lima mata di hadapan Massa. Di Grand Prix China, Hamilton menang di hadapan Felipe Massa dan Kimi Räikkönen, dan mempunyai kelebihan 7 mata dalam Kejuaraan Dunia ke perlumbaan penutup tirai musim ini. Selepas perlumbaan, Hamilton berkata, "Bagi kesemua hujung minggu, Tuhan berada di pihak kami seperti biasa, dan pasukan melakukan kerja yang luar biasa dalam menyediakan kereta, yang telah menjadi sebuah impian untuk dipandu."[60]

Hamilton dan pasukannya meraikan kemenangan kejuaraannya.

Di Grand Prix Brazil, Hamilton perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kelima jika Massa memenangi perlumbaan tersebut untuk memenangi Kejuaraan Dunia. Hamilton menjadi Juara Dunia Formula Satu yang paling muda selepas beliau merampas kejuaraan tersebut di selekoh yang terakhir. Pada selekoh terakhir, Hamilton memintas pemandu Toyota, Timo Glock, untuk tempat kelima selepas Glock bergelut dengan tayar cuaca keringnya. Hamilton memenangi kejuaraan dengan kelebihan satu mata, manakala Massa memenangi perlumbaan tersebut.[61][62] Ini bermakna bahawa Hamilton memenangi Kejuaraan Dunia Pemandu Formula Satu 2008, dan menjadi pemandu yang termuda untuk memenangi gelaran tersebut. Dengan ini, beliau menjadi pemandu kulit hitam pertama yang pertama untuk memenangi kejuaraan tersebut.[63] Beliau juga merupakan pemandu pertama British yang pertama untuk memenangi Kejuaraan Dunia sejak Damon Hill, yang menang pada tahun 1996.[64]

Penderaan perkauman

Pada 4 Februari 2008, Hamilton telah didera secara lisan pada ujian pra-musim di Circuit de Catalunya di Catalonia oleh beberapa penonton Sepanyol yang memakai cat muka berwarna hitam dan rambut palsu, serta baju yang mengandungi perkataan "keluarga Hamilton [sic]".[65] Hamilton menjadi amat tidak popular di Sepanyol kerana persaingan dengan pelumba Sepanyol dan bekas rakan sepasukannya, Fernando Alonso. FIA telah memberi amaran kepada pihak berkuasa Sepanyol tentang pengulangan tingkah laku tersebut.[66] Dalam reaksi terhadap tingkah laku ini, FIA mengumumkan pada 13 Februari 2008 bahawa mereka akan melancarkan kempen Race Against Racism (Menentang Isu Perkauman).[67]

Tidak lama sebelum Grand Prix Brazil 2008, sebuah laman web yang dimiliki oleh cawangan Sepanyol yang berpusat di New York, iaitu agensi pengiklanan TBWA dan dinamakan "pinchalaruedadeHamilton" (pancitkan tayar Hamilton) telah dipaparkan dalam media British. Laman web ini mengandungi imej animasi Interlagos yang membolehkan pengguna untuk meletakkan paku di litar supaya kereta Hamilton akan memandu di atasnya. Beribu-ribu komen yang ditinggalkan sejak tahun 2007, termasuk beberapa penghinaan kaum.[68] Bekas rakan sepasukan, Fernando Alonso, mengutuk penyokong yang bersifat perkauman.[69]

2009

Hamilton memandu unuk McLaren di Grand Prix Malaysia 2009.

Hamilton memulakan musim 2009 di Australia dari tempat ke-18 selepas McLaren mengantikan kotak gear keretanya selepas pusingan kelayakan.[70] Hamilton mendapat manfaat daripada sebuah kemalangan yang berlaku di antara pemandu Red Bull, Vettel, dan pemandu BMW, Kubica, untuk berganjak ke tempat keempat pada saat akhir perlumbaan. Beliau kemudiannya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas Jarno Trulli telah dihukum kerana memintas Hamilton di bawah keadaan kereta keselamatan. Semasa pendengaran steward selepas perlumbaan, Hamilton dan pegawai McLaren memberitahu kepada steward bahawa mereka tidak sengaja membenarkan Trulli memotong Hamilton, namun perhubungan komunikasi radio McLaren tidak mengatakan demikian.[71] Hamilton kemudiannya disingkirkan daripada perlumbaan tersebut kerana memberikan "bukti yang mengelirukan" semasa pendengaran steward.[72] Beliau kemudiannya memohon maaf kepada pengarah perlumbaan FIA, Charlie Whiting, kerana berbohong kepada steward.[73]

Hamilton mendapat beberapa mata di Malaysia, China dan Bahrain. Nasib Hamilton berubah di Hungaroring, iaitu pada perlumbaan kesepuluh musim ini di mana beliau menang, 11.529 saat di hadapan Räikkönen untuk memenangi perlumbaan kesepuluh dalam kerjayanya, dan yang pertama bagi sebuah kereta yang dilengkapi oleh sistem KERS.[74] Hamilton meneruskan prestasi ini di Valencia selepas beliau mendapat tempat kedua pada perlumbaan tersebut.[75] Di Grand Prix Singapura, Hamilton memenangi perlumbaan keduanya pada musim ini.[76] Beliau mendapat tempat ketiga di Jepun dan Brazil. Ketika mendahului perlumbaan di Abu Dhabi, beliau mengalami masalah brek belakang pada pusingan ke-20 dan terpaksa bersara. Ia merupakan kali pertama bahawa Hamilton bersara disebabkan oleh masalah teknikal dalam Formula Satu.[perlu rujukan]

2010

Hamilton memandu untuk McLaren di Grand Prix Malaysia 2010, di mana beliau mendapat tempat keenam, selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-20.

Untuk musim ini, Hamilton memandu bersama Jenson Button, selepas Heikki Kovalainen menyertai Lotus Racing.[77]

Hamilton mendapat tempat ketiga di Bahrain.[78] Di Australia, Hamilton mendapat tempat keenam, selepas berlanggar dengan Mark Webber.[79] Di Malaysia, strategi tayar cuaca hujan yang salah pada pusingan kelayakan menyebabkan beliau bermula di tempat ke-20. Namun begitu, Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Hamilton memenangi perlumbaan keduanya berturut-turut di Kanada., di hadapan rakan sepasukan, Jenson Button.

Hamilton mendapat tempat kedua di China, di belakang Jenson Button. Ini merupakan keputusan 1-2 yang pertama bagi McLaren sejak Grand Prix Itali 2007. Hamilton terlibat dalam sebuah insiden di lorong pit dengan pemandu Red Bull, Sebastian Vettel. Mereka berdua menerima teguran daripada steward perlumbaan. Di Monaco, Hamilton mendapat tempat kelima. Di Grand Prix Turki, Hamilton memenangi perlumbaan pertamanya pada musim ini, dengan Button mendapat tempat kedua. Hamilton bermula di petak pertama Grand Prix Kanada. Selepas menetapkan masa pusingan kelayakannya, Hamilton menerima arahan daripada pasukannya untuk memberhentikan keretanya di litar disebabkan keretanya tidak mempunyai bahan api yang secukupnya untuk diberikan kepada FIA sebagai sampel. Hamilton kemudiannya menerima teguran, manakala pasukannya menerima denda $10,000.[80] Namun begitu, Hamilton memenangi perlumbaan tersebut dan mendahului Kejuaraan Pemandu Dunia, dan sekaligus mendapat keputusan 1-2 McLaren yang ketiga pada musim ini. Di Valencia, Hamilton mendapat tempat kedua, meskipun menerima penalti pandu-lalu.[81]

Pada perlumbaan tuan rumahnya di Silverstone, beliau Hamilton mendapat tempat kedua dan kemudiannya mendapat tempat keempat di Grand Prix Jerman. Di Spa-Francorchamps, Hamilton memenangi perlumbaan ketiganya pada musim ini. Di Grand Prix Jepun, Hamilton mendapat tempat kelima. Di Korea Selatan, Hamilton mendapat tempat kedua, manakala di Brazil, beliau mendapat tempat keempat. Pada perlumbaan penutup tirai di Abu Dhabi, Hamilton mendapat tempat kedua, di belakang Vettel, yang memecahkan rekod Hamilton sebagai Juara Dunia Formula Satu yang paling muda.

2011

Hamilton pada pusingan kelayakan di Grand Prix Malaysia

Hamilton memulakan musim ini dengan mendapat tempat kedua pada pusingan kelayakan dan perlumbaan di Grand Prix Australia.[82] Di Grand Prix Malaysia, beliau bermula di tempat kedua, namun menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.[83] Namun, Hamilton menerima penalti masa 20 saat selepas perlumbaan kerana menghalang pemandu lain dengan berbahaya, dan menyebabkan beliau jatuh ke tempat kelapan.[84] Hamilton memenangi perlumbaan pertamanya pada musim ini di China.[85] Beliau kemudiannya mendapat tempat keempat di Turki,[86] dan kedua di Sepanyol.[87]

Hamilton bersara di Grand Prix Kanada selepas berlanggar dengan rakan sepasukan, Button

Pada pusingan kelayakan di Monaco, beliau mendapat tempat kesepuluh selepas bendera merah dikeluarkan pada sesi kelayakan bahagian ketiga sebelum beliau sempat menetapkan masa yang kompetitif akibat kemalangan dashyat Sergio Pérez. Pada perlumbaan tersebut, Hamilton menerima penalti pandu-lalu pit selepas berlanggar dengan Massa. Kemudiannya, Alguersuari terhempas ke belakang kereta Hamilton, dan menyebabkan sayap belakangnya patah; serta bendera merah dikeluarkan selepas Petrov mengalami kemalangan pada masa yang sama, dan ia membolehkan mekanik McLaren membaiki kereta Hamilton. Selepas perlumbaan dimulakan semula, beliau berlanggar dengan Maldonado, dan menyebabkan Hamilton diberikan penalti masa 20 saat, namun ia tidak menjejaskan keputusannya.[88]

Hamilton memenangi perlumbaan ketiganya pada musim ini di Grand Prix Abu Dhabi

Di Grand Prix Kanada, Hamilton berlanggar dengan Webber pada selekoh pertama sebelum menyertai perlumbaan semula di belakang Button. Selepas beberapa pusingan kemudian, Hamilton cuba untuk mengambil kesempatan ke atas kesilapan yang dilakukan oleh Button. Namun, ketika Hamilton cuba memintas Button, mereka berdua berlanggar dan menyebabkan Hamilton bersara.[89] Di Valencia dan Silverstone, Hamilton mendapat tempat keempat.[90][91] Di Grand Prix Jerman, Hamilton memenangi perlumbaan keduanya pada musim ini, dan menepis cabaran daripada Webber dan Alonso.[92] Di Hungary dan Itali, Hamilton sekali lagi mendapat tempat keempat.[93][94]

Di Grand Prix Singapura, Hamilton berlanggar dengan Felipe Massa, dan menyebabkan Hamilton memerlukan sayap depan yang baru dan dikenakan penalti pandu lalu pit.[95] Massa menuduh Hamilton dengan mengatakan, "dia tidak berupaya untuk menggunakan otaknya," semasa temu duga selepas perlumbaan. Semasa mereka berdua ditemu bual, Massa memegang bahu Hamilton dan berkata, "Kamu beraksi dengan baik, tahniah", dan Hamilton menyuruh pelumba Brazil itu untuk meninggalkannya bersendirian.[96] Sebelum Grand Prix Jepun, Hamilton menegaskan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesilapan pada musim ini.[97] Semasa berlumba, tayar kereta Hamilton pancit, sebelum berlanggar dengan Massa sekali lagi; dan walaupun Ferrari mahukan Hamilton dihukum, Hamilton hanya diberikan teguran dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.[98] Hamilton kemudiannya memberitahu Massa untuk "menjadi matang".[99]

Di Korea, Hamilton mendapat petak pertama, dan menamatkan penguasaan Red Bull, yang mendapat 16 petak pertama berturut-turut pada musim ini.[100] Beliau mendahului perlumbaan hanya sehingga ke selekoh keempat pada pusingan pertama, di mana Juara Dunia, Sebastian Vettel memintasnya dan memenangi perlumbaan, dan Hamilton mendapat tempat kedua.[101] Di India, Hamilton mencatatkan masa kedua terpantas pada pusingan kelayakan, tetapi diberikan penalti tiga-petak kedudukan, selepas melanggar peraturan bendera kuning pada sesi latihan bebas pada hari Jumaat.[102][103] Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas terlibat dalam satu lagi insiden dengan Massa, yang menyebabkan pemandu Brazil tersebut mendapat penalti dan Hamilton terpaksa menggantikan sayap depan.[104] Di Abu Dhabi, Hamilton bermula di tempat kedua dan memenangi perlumbaan tersebut.[105] Di Brazil, Hamilton dan Massa menamatkan pertelingkahan mereka, selepas beliau bersara daripada perlumbaan dan mendapat tempat kelima dalam kejuaraan pemandu tahun tersebut.[106][107]

2012

Hamilton mendapat petak pertama di Grand Prix Malaysia 2012, namun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Hamilton kekal bersama McLaren bagi musim 2012.[108] Hamilton mendapat petak pertama di Grand Prix Australia, namun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas dipintas oleh Button pada awal perlumbaan, dan oleh Vettel selepas memasuki pit sebelum kereta keselamatan berada di litar.[109] Hamilton sekali lagi mendapat petak pertama di Grand Prix Malaysia, namun beliau telah dipintas oleh Fernando Alonso dan Sergio Pérez, lalu mendapat tempat ketiga. Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ketiga berturut-turut di Grand Prix China, dengan Nico Rosberg dan Button mendapat tempat pertama dan kedua masing-masing. Hamilton bermula di tempat kedua di Grand Prix Bahrain, tetapi beliau hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelapan selepas perhentian pitnya tidak berjalan dengan lancar. Hamilton sekali lagi mendapat petak pertama di Grand Prix Sepanyol, namun bermula di tempat terakhir selepas beliau tidak menggunakan jumlah bahan api yang secukupnya untuk kembali ke pit selepas pusingan kelayakan tersebut.[110] Beliau kemudiannya menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kelapan, di hadapan Button yang bermula di tempat kesepuluh.

Hamilton memenangi perlumbaan pertamanya pada musim ini di Grand Prix Kanada. Hamilton memenangi Grand Prix tersebut sebanyak tiga kali. Beliau memenangi Grand Prix ini selepas memintas Fernando Alonso pada saat-saat akhir perlumbaan.[111][112]

Hamilton di Grand Prix Amerika Syarikat 2012.

Hamilton memenangi perlumbaan keduanya pada musim ini Grand Prix Hungary pada 29 Julai.[113] Hamilton terpaksa bersara di Grand Prix Belgium selepas dilanggar oleh Romain Grosjean di selekoh pertama. Ini menyebabkan Grosjean diberikan digantung satu perlumbaan kerana menyebabkan kemalangan tersebut. Hamilton melantun kembali di Grand Prix Itali setelah mendapat petak pertama dan memenangi perlumbaan tersebut.[114] Hamilton mendapat petak pertama sekali lagi di Grand Prix Singapura, namun mengalami masalah kotak gear ketika mendahului perlumbaan. Beliau juga bersara di Grand Prix Abu Dhabi ketika mendahului perlumbaan, sebelum menang di Grand Prix Amerika Syarikat di Austin.[115] Hamilton menamatkan musim ini dengan mendapat satu lagi petak pertama di Grand Prix Brazil, namun bersara selepas dilanggar oleh Nico Hülkenberg ketika mendahului perlumbaan.

Mercedes (2013–)

Hamilton memandu untuk Mercedes di Grand Prix Malaysia 2013.

Pada 28 September 2012, ia telah diumumkan bahawa Hamilton akan meninggalkan McLaren selepas musim 2012 berakhir untuk menyertai pasukan Mercedes untuk musim 2013 dan seterusnya, dan akan menjadi rakan sepasukan Nico Rosberg selepas menandatangani kontrak tiga tahun bersama pasukan tersebut.[116][117]

Pada perlumbaan pertamanya untuk Mercedes, di Grand Prix Australia, Hamilton mendapat tempat ketiga pada pusingan kelayakan dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Hamilton mendapat tempat ketiga di Grand Prix Malaysia, dan mendapat podium pertamanya untuk pasukan baharunya itu, namun Nico Rosberg dihalang daripada memintas Hamilton atas arahan pasukan. Pada perlumbaan berikutnya di Grand Prix China, Hamilton mendapat petak pertamanya yang sulung untuk Mercedes, namun sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Di Monaco, selepas dikalahkan oleh rakan sepasukan, Rosberg, pada pusingan kelayakan buat tiga kali berturut-turut, Hamilton mengaku yang beliau bergelut dengan keretanya ketika membrek.[118]

Rekod perlumbaan

Ringkasan kerjaya

MusimSiriPasukanPerlumbaanKemenanganP/PertamaP/TerpantasPodiumMataKedudukan
2001Formula Renault 2000 UK Winter SeriesManor Motorsport40000?Ke-5
2002Formula Renault 2000 UKManor Motorsport133357274Ke-3
Formula Renault 2000 Eurocup4112392Ke-5
2003Formula Renault 2.0 UKManor Motorsport151011913419Pertama
British Formula Three200000NC
Formula Renault 2000 Masters2000124Ke-12
Formula Renault 2000 Germany2000025Ke-27
Korea Super Prix10100N/ANC
Macau Grand Prix10000N/ANC
2004Formula 3 Euro SeriesManor Motorsport20112569Ke-5
Bahrain Superprix11001N/APertama
Macau Grand Prix10000N/AKe-14
Masters of Formula 310000N/AKe-14
2005Formula 3 Euro SeriesASM Formule 32015131017172Pertama
Masters of Formula 311111N/APertama
2006GP2 SeriesART Grand Prix2151714114Pertama
2007Formula SatuVodafone McLaren Mercedes1746212109Ke-2
2008Formula SatuVodafone McLaren Mercedes185711098Pertama
2009Formula SatuVodafone McLaren Mercedes17240549Ke-5
2010Formula SatuVodafone McLaren Mercedes193159240Ke-4
2011Formula SatuVodafone McLaren Mercedes193136227Ke-5


2012Formula SatuVodafone McLaren Mercedes204617190Ke-4
2013Formula SatuMercedes AMG Petronas F1 Team121515141*Ke-3*

* Musim sedang dijalankan.

Keputusan lengkap GP2 Series

(kunci)

Tebal - Petak pertama
Condong - P.Terpantas

TahunKemasukan123456789101112131415161718192021DCMata
2006ART Grand PrixVAL
FEA

2
VAL
SPR

6
SMR
FEA

DSQ
SMR
SPR

10
EUR
FEA

1
EUR
SPR

1
ESP
FEA

2
ESP
SPR

4
MON
FEA

1
GBR
FEA

1
GBR
SPR

1
FRA
FEA

19
FRA
SPR

5
GER
FEA

2
GER
SPR

3
HUN
FEA

10
HUN
SPR

2
TUR
FEA

2
TUR
SPR

2
ITA
FEA

3
ITA
SPR

2
Pertama114

Keputusan lengkap Formula Satu

(kunci)

Tebal - Petak pertama
Condong - Pusingan terpantas

TahunPasukanCasisEnjin1234567891011121314151617181920WDCMata
2007Vodafone
McLaren Mercedes
McLaren MP4-22Mercedes FO 108T 2.4 V8AUS
3
MAL
2
BHR
2
ESP
2
MON
2
CAN
1
USA
1
FRA
3
GBR
3
EUR
9
HUN
1
TUR
5
ITA
2
BEL
4
JPN
1
CHN
Ret
BRA
7
Ke-2109
2008Vodafone
McLaren Mercedes
McLaren MP4-23Mercedes FO 108V 2.4 V8AUS
1
MAL
5
BHR
13
ESP
3
TUR
2
MON
1
CAN
Ret
FRA
10
GBR
1
GER
1
HUN
5
EUR
2
BEL
3
ITA
7
SIN
3
JPN
12
CHN
1
BRA
5
Pertama98
2009Vodafone
McLaren Mercedes
McLaren MP4-24Mercedes FO 108W 2.4 V8AUS
DSQ
MAL
7
CHN
6
BHR
4
ESP
9
MON
12
TUR
13
GBR
16
GER
18
HUN
1
EUR
2
BEL
Ret
ITA
12
SIN
1
JPN
3
BRA
3
ABU
Ret
Ke-549
2010Vodafone McLaren MercedesMcLaren MP4-25Mercedes FO 108X 2.4 V8BHR
3
AUS
6
MAL
6
CHN
2
ESP
14
MON
5
TUR
1
CAN
1
EUR
2
GBR
2
GER
4
HUN
Ret
BEL
1
ITA
Ret
SIN
Ret
JPN
5
KOR
2
BRA
4
ABU
2
Ke-4240
2011Vodafone McLaren MercedesMcLaren MP4-26Mercedes FO 108Y 2.4 V8AUS
2
MAL
8
CHN
1
TUR
4
ESP
2
MON
6
CAN
Ret
EUR
4
GBR
4
GER
1
HUN
4
BEL
Ret
ITA
4
SIN
5
JPN
5
KOR
2
IND
7
ABU
1
BRA
Ret
Ke-5227
2012Vodafone McLaren MercedesMcLaren MP4-27Mercedes FO 108Y 2.4 V8AUS
3
MAL
3
CHN
3
BHR
8
ESP
8
MON
5
CAN
1
EUR
19
GBR
8
GER
Ret
HUN
1
BEL
Ret
ITA
1
SIN
Ret
JPN
5
KOR
10
IND
4
ABU
Ret
USA
1
BRA
Ret
Ke-4190
2013Mercedes AMG Petronas F1 TeamMercedes F1 W04Mercedes FO 108Z 2.4 V8AUS
5
MAL
3
CHN
3
BHR
5
ESP
12
MON
4
CAN
3
GBR
4
GER
5
HUN
1
BEL
3
ITA
9
SIN
JPN
KOR
IND
ABU
USA
BRA
Ke-3*141*

Tidak menamatkan perlumbaan, namun diklasifikasikan kerana melengkapkan lebih daripada 90% jarak perlumbaan.
Separuh mata diberikan kerana melengkapkan 75% jarak perlumbaan.
* Musim sedang dijalankan.

Rekod Formula Satu

Hamilton memegang rekod Formula Satu yang berikut:

RekodDicapai
Podium berturut-turut yang terbanyak pada musim pertama9 keputusan podium: GP Australia 2007GP British 2007[119]
Pemandu termuda untuk mendahului Kejuaraan Dunia22 tahun, 4 bulan, 6 hari di GP Sepanyol 2007[120]
Kemenangan terbanyak pada musim pertama4 kemenangan (rekod yang dikongsi bersama Jacques Villeneuve pada tahun 1996)[121]
Petak pertama terbanyak pada musim pertama6 petak pertama[122]
Mata terbanyak pada musim pertama109[123]

Nota kaki

Rujukan

Bacaan lanjutan

Pautan luar