Majlis angkat sumpah Joe Biden

Majlis angkat sumpah Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat ke-46 sebelum tengah hari (EST) menandakan bermulanya penggal empat tahun Joe Biden sebagai presiden dan Kamala Harris sebagai naib presiden. Majlis secara umum diadakan pada hari Rabu, 20 Januari 2021 di West Front Bangunan Kapitol Amerika Syarikat di Washington, D.C. Majlis ini menjadi majlis angkat sumpah presiden kali ke-59. Biden mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden pada hari itu dan Harris mengangkat sumpah jawatan sebagai naib presiden.

Majlis angkat sumpah presiden
Joe Biden
Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46
TarikhJanuari 20, 2021; 3 tahun yang lalu (2021-01-20)
LokasiKapitol Amerika Syarikat,
Washington, D.C.
Dianjurkan olehJawatankuasa Kongres Bersama Majlis Angkat Sumpah, Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah
HadirinJoseph Robinette Biden Jr.
Presiden Amerika Syarikat ke-46
— Mengambil alih

John Glover Roberts Jr.
Ketua Hakim Amerika Syarikat
— Mengetuai sumpah jawatan

Kamala Devi Harris
Naib Presiden Amerika Syarikat ke-49
— Mengambil alih

Sonia Sotomayor
Hakim Bersekutu Mahkamah Agung Amerika Syarikat
— Mengetuai sumpah jawatan

2017
2025 →

Majlis ini diadakan di tengah-tengah krisis politik, kesihatan awam, ekonomi, dan keselamatan negara yang luar biasa, termasuk pandemik COVID-19 yang berterusan. Ini juga termasuk cubaan bekas Presiden Donald Trump membatalkan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020 yang akhirnya membawa kepada serangan bangunan Kapitol dan pendakwaan kedua Trump. Sambutan telah dikurangkan pada majlis ini bagi mencegah penularan COVID-19 dan mengurangkan potensi berlakunya keganasan berhampiran bangunan Kapitol.[1][2] Jumlah penonton yang hadir adalah terhad; ahli-ahli Kongres hadir dengan seorang tetamu pilihan mereka.[3] Langkah-langkah kesihatan awam seperti pemakaian mandatori pelitup muka, ujian saringan, pemeriksaan suhu dan penjarakan sosial telah diamalkan untuk melindungi keselamatan penonton.[4]

‘’Amerika Bersatu’’ dan ‘’Demokrasi Penentu Kita: Membentuk Kesatuan yang Lebih Sempurna’’—rujukan kepada Perlembagaan Amerika Syarikat—menjadi tema majlis angkat sumpah ini.[5]

Konteks

Majlis angkat sumpah ini menandakan kemuncak rasmi peralihan kuasa presiden Joe Biden yang bermula ketika beliau memenangi pilihan raya presiden pada 3 November 2020 dan menjadi presiden terpilih empat hari kemudian pada 7 November 2020.[6] Kemenangan Biden dan calon gandingannya, Kamala Harris disahkan oleh Kolej Elektoral pada 14 Disember 2020 dan 7 Januari 2021.[7] Selaras dengan Perkara I, Bahagian 6 Perlembagaan Amerika Syarikat, Harris melepaskan jawatannya sebagai Senator yang berkuat kuasa pada 18 Januari 2021.[8] Trump berulang kali mempertikaikan kesahihan keputusan pilihan raya tetapi komited terhadap peralihan kuasa secara teratur dua bulan selepas kalah.[9]

Selepas Biden mengangkat sumpah, beliau menjadi presiden tertua pada usia 78 tahun dan 61 hari, lebih tua dari presiden Ronald Reagan yang meninggalkan pejabat pada usia 77 tahun, 349 hari. Biden juga menjadi presiden pertama dari negeri Delaware dan dari Greater Philadelphia. Beliau juga merupakan presiden Katolik kedua selepas John F. Kennedy dan bekas naib presiden kelima belas menjadi presiden.[10][11] Harris menjadi wanita pertama yang memegang jawatan kedua tertinggi negara. Beliau menjadi naib presiden pertama berketurunan Afrika Amerika dan Amerika Asia.[12]

Penganjur

Jawatankuasa Kongres Bersama

Majlis angkat sumpah Presiden terpilih Biden dan Naib Presiden terpilih Harris telah dirancang oleh Jawatankuasa Bersama Majlis Angkat Sumpah, sebuah jawatankuasa melibatkan dua parti politik utama A.S. yang terdiri daripada Senator Roy Blunt (sebagai pengerusi), Mitch McConnell dan Amy Klobuchar. Wakil Dewan Perwakilan ialah Speaker Nancy Pelosi, Steny Hoyer dan Kevin McCarthy.[13][5] Jawatankuasa ini diselia oleh Jawatankuasa Senat A.S. mengenai Peraturan dan Pentadbiran.[5]

Pada 8 Disember 2020, anggota-anggota jawatankuasa dari parti Republikan mengundi untuk menentang resolusi yang akan mengiktiraf Biden sebagai presiden terpilih dan Harris sebagai naib presiden terpilih.[14] Selepas kemenangan Biden disahkan oleh Kolej Elektoral, Blunt dan beberapa senator Republikan yang lain akhirnya mengakui beliau sebagai presiden terpilih. Beliau menyatakan bahawa beliau akan memudahkan komunikasi Biden dengan jawatankuasa majlis sebagai persiapan pada majlis angkat sumpah.[15]

Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden

Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden 2021 telah menganjurkan beberapa acara lain berkaitan majlis angkat sumpah atas arahan Presiden terpilih dan Naib Presiden terpilih Amerika Syarikat. Jawatankuasa itu diketuai oleh Jim Clyburn, Eric Garcetti, Cedric Richmond, Lisa Blunt Rochester dan Gretchen Whitmer (pengerusi bersama), Tony Allen (ketua pegawai eksekutif), Maju Varghese (pengarah eksekutif), Yvanna Cancela dan Erin Wilson (timbalan pengarah eksekutif), David A.Kessler (ketua penasihat perubatan) serta Adrienne Elrod (pengarah bakat dan hal ehwal luar).[16] Jawatankuasa ini mengambil Stephanie Cutter, Ricky Kirshner dan Glenn Weiss yang menganjurkan Konvensyen Nasional Parti Demokratik 2020 secara maya.[17]

Tema dan pengaturcaraan

Jawatankuasa Bersama Majlis Angkat Sumpah telah memilih tema "Demokrasi Penentu Kita: Membentuk Kesatuan yang Lebih Sempurna" untuk menekankan majlis angkat sumpah sebagai "ciri pentadbiran dan demokrasi Amerika". Tema itu juga menekankan peralihan kuasa secara damai.[5]

Allen, ketua pegawai eksekutif jawatankuasa majlis, menyatakan bahawa majlis angkat sumpah "kelihatan berbeza di tengah-tengah pandemik" tetapi mengekalkan tradisi sambil melibatkan rakyat Amerika dengan cara yang selamat.[16] Ini termasuk beberapa konsert dan acara maya dihoskan oleh selebriti terkenal yang menampilkan persembahan muzik dan ucapan secara langsung yang memakan masa lima hari bermula hari Sabtu, 16 Januari 2021 sehinggalah hari majlis angkat sumpah.[18] Tema majlis bagi jawatankuasa ini ialah "Amerika Bersatu". Saluran rasmi YouTube jawatankuasa ini dan media sosial lain menampilkan kandungan eksklusif majlis.[19]

Perancangan

Pentas majlis di Kapitol Amerika Syarikat

Pada 3 September 2020, Lembaga Polis Kapitol mengumumkan bahawa akses orang ramai ke West Front bangunan Kapitol Amerika Syarikat akan dihadkan dari 7 September 2020 hingga 28 Februari 2021 untuk "melancarkan pembinaan pentas dan infrastruktur yang selamat dan terjamin”.[20] Pembinaan bermula pada 29 September 2020.[21] "Upacara memukul paku", sebuah tradisi yang menandakan permulaan pembinaan rasmi pentas majlis tidak diadakan kerana kematian dan upacara pengebumian negara Ruth Bader Ginsburg, hakim bersekutu mahkamah agung.[22] Pentas ini boleh menampung 1,600 penonton. Walau bagaimanapun, hanya sedikit penonton dibenarkan untuk majlis ini kerana sekatan kehadiran yang dikuat kuasakan untuk mencegah penularan COVID-19.[4] Pentas untuk 1,000 orang lagi seperti koir muzik dan tetamu tidak digunakan pada kapasiti penuh untuk majlis angkat sumpah ini.[5]

Kos

Berbanding dengan majlis angkat sumpah yang lalu, pengurangan drastik jumlah orang ramai pada majlis angkat sumpah Biden dijangka mengurangkan kos.[23] Biasanya, majlis angkat sumpah presiden menelan perbelanjaan kira-kira $100 juta dolar A.S. Pada September 2020, sebelum melaksanakan sekatan kehadiran, kos dianggarkan melebihi $44.9 juta dolar.[24] Walau bagaimanapun, serangan bangunan Kapitol dua minggu sebelum hari majlis angkat sumpah pada 6 Januari, bersama-sama dengan ancaman di seluruh negara, dengan ketara meningkatkan keperluan untuk keselamatan.[25] John Sandweg, bekas pegawai Jabatan Keselamatan Tanah Air, berkata bahawa Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat mungkin mempunyai lebihan dana kerana perbelanjaan yang lebih rendah daripada biasa semasa musim kempen presiden 2020 apabila konvensyen pencalonan presiden kebanyakannya diadakan secara maya dan perjalanan calon presiden dikurangkan akibat pandemik COVID-19.

Keselamatan dan usaha membendung keganasan

Para perusuh

Majlis angkat sumpah sejak George W. Bush pada tahun 2001 telah ditetapkan sebagai Acara Keselamatan Khas Kebangsaan (NSSE).[26] Walau bagaimanapun, serangan Kapitol Amerika Syarikat bersama-sama dengan ancaman rusuhan politik di seluruh negara pada hari majlis angkat sumpah dan hari-hari sebelumnya telah meningkatkan keperluan keselamatan yang lebih ketat.[27] Serangan ini lalu menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan majlis angkat sumpah Biden. Pada 8 Januari, Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (USSS), yang akan memberikan keselamatan tambahan, mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa upacara majlis itu akan selamat.[28] Persiapan keselamatan untuk majlis angkat sumpah 2021 bermula selepas majlis sebelum ini pada tahun 2017.[28]

Setelah serangan Kapitol, pagar sepanjang tujuh kaki dipasang di sekitar perkarangan Kapitol untuk mengelakkan gangguan semasa majlis angkat sumpah.[29] Sebagai tambahan, puluhan ribu Pengawal Kebangsaan bersenjata dari hampir setiap negeri A.S. akan dikerahkan untuk mengawal markas Kapitol. Ia merupakan tahap keselamatan yang begitu ketat sejak serangan 11 September 2001.[30][31][32] Pada 11 Januari 2021, Trump meluluskan permintaan untuk pengisytiharan darurat di Washington, D.C., yang membenarkan bantuan persekutuan melalui FEMA untuk membantu mengawal majlis angkat sumpah.[33] Ribuan tentera tiba seminggu sebelum majlis angkat sumpah dan menginap di Pusat Pelawat Kapitol.[32][34] Beberapa pihak menyeru[35] agar majlis angkat sumpah diadakan secara tertutup, Biden menyatakan beliau "tidak takut" mengangkat sumpah secara terbuka seperti yang dirancang, sambil yakin dengan keselamatan Kapitol.[36]

Acara pramajlis

Komuniti di seluruh Amerika Syarikat telah menyalakan lampu bangunan dan membunyikan loceng gereja pada jam 5:30 petang ET menjelang hari angkat sumpah sebagai tanda "solidariti dan peringatan" bagi mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19.[37] Majlis peringatan di Lincoln Memorial Reflecting Pool telah diadakan serentak di mana Biden dan Harris hadir bersama pasangan masing-masing.[37]

Biden pada awalnya merancang untuk ke Washington, D.C. dengan menaiki kereta api penumpang yang beliau lakukan secara rutin harian ketika beliau masih seorang Senator—mendapat nama panggilan "Amtrak Joe"—pada hari Majlis Angkat Sumpah.[38] Namun, rancangan itu dibatalkan demi keselamatan dirinya.

Biden, sebagai naib presiden terpilih pada tahun 2009 menyertai Presiden terpilih ketika itu, Barack Obama dalam perjalanan kereta api sulung yang sama semasa majlis angkat sumpah pertama mereka. Pada 20 Januari 2017, selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai naib presiden, Biden berlepas dari Washington, D.C. menggunakan kereta api Amtrak Acela untuk ke Wilmington, Delaware.[39]

Acara majlis

Komunikasi presiden

Peralihan kuasa termasuklah peralihan akaun Twitter rasmi pentadbiran, @POTUS dan @VP. Ahli pentadbiran Biden juga mengambil alih pemilikan sejumlah akaun institusi, termasuk @WhiteHouse, @FLOTUS untuk Wanita Pertama Jill Biden, @SecondGentleman untuk Lelaki Kedua Doug Emhoff, dan @PressSec untuk Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki.[40] Laman web cawangan eksekutif baru telah dicipta; laman web pentadbiran sebelumnya disimpan di Arkib Negara.[41]

Kehadiran dan langkah kesihatan awam COVID-19

Sebilangan besar sambutan tradisional dilakukan secara maya yang menyerupai Konvensyen Nasional Demokrat 2020.[42] Majlis angkat sumpah diadakan di bahagian depan barat bangunan Kapitol Amerika Syarikat. Kawasan tersebut telah menjadi tempat majlis angkat sumpah sejak Ronald Reagan pada tahun 1981.[43] Walaupun anggota Kongres, pada tahun-tahun sebelumnya, akan menerima 200,000 tiket untuk diedarkan di kalangan pengundi, namun pada kali ini, setiap anggota hanya diberikan satu tiket tetamu,[44] dengan ditemani pasangan masing-masing. Hanya sekitar 3,000 orang dibenarkan masuk ke kawasan perimeter yang selamat,[45] dan jumlah kehadiran majlis dikurangkan lebih dari 1,000 orang.[46] Setiap tetamu duduk di pentas majlis dan juga di depan pentas.[44]

Keputusan untuk menghadkan kehadiran dibuat oleh Jawatankuasa Bersama Majlis Angkat Sumpah berdasarkan perbincangan bersama pakar kesihatan awam.[43] Menurut seorang sejarawan, Jim Bendat, langkah pencegahan dan keselamatan COVID-19 yang diamalkan untuk majlis angkat sumpah Biden akan menjadikannya majlis terkecil sejak majlis angkat sumpah Franklin D. Roosevelt pada tahun 1945 ketika majlis tersebut diadakan di Rumah Putih kerana kesihatan Roosevelt yang uzur dan perang dunia yang sedang berlangsung.[47]

Naib Presiden Mike Pence, yang meninggalkan pejabat, telah hadir pada majlis tersebut namun Presiden Donald Trump enggan menghadiri.[48][49] Bekas presiden Bill Clinton, George W. Bush dan Barack Obama, bersama dengan isteri masing-masing Hillary Clinton, Laura Bush dan Michelle Obama turut hadir. Manakala Presiden Jimmy Carter dan isteri Rosalynn Carter tidak dapat hadir memandangkan usia mereka dan tidak dapat melakukan perjalanan ke Washington.[50] Bekas naib presiden Walter Mondale, Al Gore, dan Dick Cheney tidak hadir; namun, Dan Quayle hadir.[51][52] Buat pertama kalinya lebih dari dua dekad, bukan semua Hakim Bersekutu Mahkamah Agung hadir. Hakim Clarence Thomas, Stephen Breyer dan Samuel Alito, ahli Mahkamah yang berusia, memilih untuk tidak hadir memandangkan risiko kesihatan COVID-19, sementara enam hakim bersekutu yang lain hadir.[53] Tetamu yang lain termasuklah ahli keluarga Biden dan Harris,[44] calon kabinet Biden,[44] beberapa duta besar ke Amerika Syarikat,[54][55] dan beberapa orang kenamaan lain.[56] Buat kali pertama, seorang wakil Taiwan di Amerika Syarikat telah dijemput.[57]

Ayat sumpah jawatan

Harris mengangkat sumpah jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat dipimpin Hakim Bersekutu A.S. Sonia Sotomayor.
Biden mengangkat sumpah jawatan Presiden Amerika Syarikat dipimpin oleh Hakim John Roberts

Hakim Bersekutu Sonia Sotomayor mengetuai sumpah jawatan untuk Harris pada jam 11:40 pagi. Sotomayor menjadi wanita pertama yang mengetuai sumpah jawatan dua kali selepas mengetuainya untuk Biden pada tahun 2013. Berikut ialah ayat sumpah jawatan yang dibaca Harris:

Saya, Kamala Devi Harris, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menyokong dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat terhadap semua musuh, asing dan domestik; bahawa saya akan memikul iman yang benar dan kesetiaan yang sama; bahawa saya mengambil kewajipan ini dengan bebas, tanpa sebarang penolakan secara mental atau tujuan untuk mengelak; dan bahawa saya akan melaksanakan tugas-tugas jawatan yang akan saya pegang ini dengan sebaik-baiknya dan setia. Oleh itu, bantu saya, ya Tuhan.

Ketua Hakim John Roberts kemudiannya mengetuai sumpah jawatan untuk Biden pada jam 11:47 pagi, baki 13 minit sebelum pentadbiran Trump tamat secara rasmi. Berikut ialah ayat sumpah jawatan yang dibaca Biden, seperti diperuntukkan Perlembagaan:

Saya, Joseph Robinette Biden Jr, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan melaksanakan tugas jawatan Presiden Amerika Syarikat dengan setia, dan dengan sebaik mungkin, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat. Oleh itu, bantu saya, ya Tuhan.

Setelah selesai mengangkat sumpah, Kumpulan Pancarangam Tentera A.S. (Pershing's Own) memainkan lagu rasmi presiden iaitu Hail to the Chief, tetapi 21 das tembakan meriam tidak dilepaskan. Ini menyebabkan kelewatan beberapa minit sebelum Biden menyampaikan ucapan pertamanya sebagai presiden. 21 das tembakan meriam untuk Presiden Biden kemudiannya dilepaskan pada upacara meletakkan karangan bunga di Perkuburan Negara Arlington.

Beg hitam nuklear presiden, yang dapat membenarkan serangan nuklear bila-bila masa, diberikan secara rahsia kepada pembantu tentera pentadbiran baru semasa upacara. Namun, ketiadaan Trump tidak mengubah penyahaktifan automatik akses nuklear beliau dan Pence serta pengaktifan Biden dan Harris.

Ucapan pertama

Masalah mendengarkan ? Sila lihat bantuan media.

Panjangnya ucapan pertama Biden sebagai presiden adalah 2,514 patah perkataan dan Presiden Biden mengambil masa 21 minit untuk menyampaikannya bermula jam 11:52 pagi hingga jam 12:13 tengah hari. Ucapan Presiden Biden dianggap meletakkan visinya untuk menyatukan negara yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19, ekonomi, perubahan iklim, polarisasi politik dan ketidakadilan kaum.[58] Biden mengarang ucapannya dengan bantuan penulis skrip Vinay Reddy, penasihat kanan Mike Donilon, bakal Setiausaha Negara Antony Blinken dan ketua staf Ron Klain.[59] Ucapannya digambarkan sebagai "bantahan langsung" memandangkan Biden memanggil semua rakyat untuk menghentikan "perang tidak bersaudara" mengenai politik, demografi dan ideologi budaya Amerika.[60] Dalam ucapan itu, Biden mengulangi janji kempennya bahawa "berjuang untuk pihak yang tidak menyokong saya, sama seperti mereka yang menyokong saya".[61][62] Dengan fokus pada perjuangan warga Amerika, Biden menyatakan simpati, tetapi menekankan bahawa ketidakpercayaan dan pertempuran antara satu sama lain tidak akan memulihkan keadaan mereka.[63] Beliau memetik Perang Saudara, Kemelesetan Besar, perang dunia dan serangan 11 September 2001 sebagai pengajaran.[63][61]

Amerika telah diuji dan kita menjadi lebih kuat dengan ujian itu. Kita akan memperbaiki hubungan kita dan terlibat dengan dunia sekali lagi. Bukan untuk menghadapi cabaran semalam, tetapi hari ini dan esok. Kita akan memimpin bukan hanya melalui teladan kekuatan kita tetapi melalui kekuatan teladan kita. Kita akan menjadi rakan kongsi yang kuat dan dipercayai untuk keamanan, kemajuan, dan keselamatan.

— Joe Biden
Biden menyampaikan ucapannya

Biden menyuarakan penentangannya terhadap maklumat tidak betul dan ahli politik yang berusaha mendapatkan keuntungan dari "senjata mereka"–rujukan pasif kepada Trump yang sering membuat pernyataan palsu atau mengelirukan ketika menjadi presiden.[60] Beliau secara jelas menolak ketuanan kulit putih dan nativisme. Biden memanggil ianya sebagai "realiti hodoh" dalam kehidupan orang Amerika. Beliau berikrar untuk mengalahkannya seperti yang dinyatakan dalam Pengisytiharan Kemerdekaan AS—bahawa semua manusia diciptakan sama.[60][61][64] Biden berjanji bahawa Amerika Syarikat akan "menjalin hubungan dengan dunia sekali lagi"; "perbaiki pakatan kita"; dan bertindak sebagai "rakan yang dipercayai untuk keamanan dan keselamatan".[65] Keputusannya, misalnya, untuk mengembalikan penyertaan Amerika dalam Perjanjian Paris melalui perintah eksekutif, di mana Trump sebelum ini menarik diri, menandakan komitmennya terhadap dasar global mengenai perubahan iklim.[66]

Biden juga membincangkan kepentingan sejarah kenaikan Harris ke jawatan naib presiden, menceritakan pergerakan untuk hak sivil dan hak suara wanita yang membenarkan orang Afrika dan wanita Afrika untuk berpolitik. Beliau menganggap majlis ini sebagai "kemenangan" untuk demokrasi, menegaskan peralihan kuasa secara aman tepat dua minggu setelah serangan ganas di bangunan Kapitol.[62][61] Menjelang akhir ucapannya, Biden meminta semua penonton untuk bertafakur sejenak bagi memperingati rakyat yang maut akibat COVID-19.[63] Memetik Gene Scheer,[67] beliau meminta rakyat untuk mempertimbangkan warisan mereka dalam menjawab "seruan sejarah" untuk melindungi "demokrasi, harapan, kebenaran, dan keadilan", "kebebasan aman", dan menjadikan Amerika sebagai "mercu tanda kepada dunia", menegaskan bahawa generasi akan datang akan menilai mereka atas tindakan mereka.[63] Sebagai penutup ucapannya, Biden berjanji kepada rakyat Amerika bahawa beliau akan menjadi presiden untuk semua dan mentadbir secara eksklusif demi kepentingan mereka.[63]

Selepas ucapan Biden, beberapa persembahan diadakan termasuk nyanyian lagu "Amazing Grace" oleh Garth Brooks, bacaan puisi oleh Amanda Gorman dan bacaan doa oleh Silvester Beaman.

Selepas majlis: "Amerika Bersatu"

Biden, Harris, dan pasangan mengambil bahagian pemeriksaan kawalan kehormatan

Selepas majlis angkat sumpah, Biden, Harris, dan pasangan mereka mengambil bahagian dalam pemeriksaan kawalan kehormatan di hadapan bangunan Kapitol Amerika Syarikat yang menampilkan anggota Tentera Amerika Syarikat. Mengikut tradisi, sebelum pemeriksaan kawalan kehormatan, presiden baharu akan membawa pendahulunya dan isteri ke helikopter, Marine One, di mana mereka akan berangkat dari Washington, D.C.[68] Namun, keputusan Trump untuk tidak menghadiri majlis angkat sumpah Biden dan bertegas mahu berangkat sebelum majlis itu bermula. Makan tengah hari bersama Kongres, tradisi yang disaksikan sejak tahun 1897, dibatalkan kerana faktor keselamatan.[69] Namun, Biden dan Harris diberikan beberapa hadiah dan cenderamata. Antaranya adalah lukisan Landscape with Rainbow oleh Robert S. Duncanson, dua pasu kristal karya Peter O'Rourke, dua bendera yang dikibarkan semasa Biden dan Harris mengangkat sumpah. Mereka turut menerima hadiah gambar ketika mereka mengangkat sumpah jawatan.[70]

Kemudian pada sebelah petang, Biden mengambil bahagian dalam upacara menandatangani pengisytiharan dan senarai calonnya untuk jawatan Kabinet dan sub-Kabinet.[71] Pada sebelah petang, Harris mengetuai angkat sumpah dua senator iaitu Jon Ossoff dan Raphael Warnock yang masing-masing memenangi pilihan raya Senat Georgia 5 Januari yang lalu. Beliau turut mengetuai angkat sumpah senator Alex Padilla, yang dilantik oleh Gabenor California Gavin Newsom untuk mengisi jawatan Harris yang kosong.[72]

Upacara meletakkan karangan bunga di Perkuburan Arlington

Biden dan Harris meletakkan karangan bunga di kubur tentera yang tidak diketahui di Perkuburan Negara Arlington

Selepas memeriksa kawalan kehormatan, Biden dan Harris, bersama dengan bekas presiden Clinton, Bush dan Obama serta pasangan masing-masing, menyertai upacara meletakkan karangan bunga di kubur tentera yang tidak diketahui di Perkuburan Negara Arlington.[73] Sejarawan presiden Timothy Naftali menyatakan bahawa upacara tersebut amat signifikan memandangkan upacara ini tidak diadakan sejak tahun 1921, hampir 100 tahun dahulu.[74] Naftali juga menyatakan bahawa rancangan Biden dan bekas presiden untuk memberi penghormatan kepada tentera yang tidak diketahui yang terkorban dalam perang memberi isyarat "pesanan visual perpaduan, pada masa kegelisahan dan penderitaan di negara itu".[74]

Tunjuk perasaan dan demonstrasi

Beberapa siri protes dan protes balas berkaitan keputusan pilihan raya presiden 2020 bermula pada Disember 2020.[75]

Selepas serangan ganas ke atas Kongres pada 6 Januari, Datuk Bandar D.C., Muriel Bowser meminta Jabatan Keselamatan Tanah Air membatalkan permit demonstrasi dan menolak permohonan demonstrasi semasa majlis angkat sumpah[76] tetapi Jabatan Keselamatan Tanah Air menolak untuk berbuat demikian.[76] Walaupun National Mall ditutup kepada orang ramai semasa majlis angkat sumpah, Perkhidmatan Taman Negara menetapkan dua kawasan—bahagian Taman John Marshall dan Memorial Tentera Laut—untuk protes.[77] Polis Taman A.S. membuat ketentuan bahawa "memandangkan peristiwa-insiden baru-baru ini, dan dengan penilaian ancaman semasa yang ada, setiap kawasan taman ini hanya akan dibuka untuk maksimum 100 orang setiap lokasi".[77] Mereka yang memasuki kawasan yang ditetapkan akan disaring melalui magnetometer.[76] Kumpulan sayap kiri ANSWER Coalition dan DC Action Lab telah diberikan permit, dan kedua-duanya bersetuju untuk demonstrasi berperingkat dalam had kehadiran ini.[76] Beberapa permohonan untuk permit Pindaan Pertama telah diproses oleh Perkhidmatan Taman Negara untuk demonstrasi pada hari majlis angkat sumpah, termasuk yang difailkan oleh kumpulan pro-Trump—Roar for Trump dan Women for a Great America.[78]

Penonton

Hampir 40 juta orang menonton ucapan Biden di stesen televisyen rangkaian berita dan siaran utama.[79] Lebih 21 juta orang pula menonton rancangan khas waktu perdana Menyambut Amerika.[79] Pada tahun 2017, kombinasi 38.3 juta orang menonton ucapan Trump di stesen rangkaian yang sama[79] menurut data Nielsen.[80] Stesen rangkaian CNN memperoleh jumlah tontonan tertinggi.[81] Berikut ialah data-data jumlah tontonan di setiap stesen rangkaian utama.[82]

Petunjuk
Stesen rangkaian
Stesen penyiaran

Jumlah penonton
11:45 AM hingga 12:15 PM EST
RangkaianPenonton
CNN9,994,000
ABC7,655,000
NBC6,885,000
MSNBC6,528,000
CBS6,068,000
FNC2,742,000
UNI1,500,000

Jumlah penonton
11:00 AM hingga 4:00 PM EST
RangkaianPenonton
CNN7,737,000
ABC5,370,000
MSNBC5,326,000
NBC4,714,000
CBS4,133,000
FNC2,166,000
UNI1,300,000

Jumlah penonton (waktu perdana)
8:30 hingga 10:00 PM EST
RangkaianPenonton
CNN6,677,000
MSNBC4,413,000
NBC3,863,000
ABC3,658,000
FNC3,207,000
CBS3,044,000

Reaksi antarabangsa

Biden dan Harris menerima banyak ucapan tahniah daripada pemimpin dunia, termasuk para Perdana Menteri Malaysia, Australia, Belgium, British, Kanada, Denmark, Finland, Greece, Iceland, India, Ireland, Israel, Itali, Jepun, New Zealand, Norway, Pakistani, Portugal, Sepanyol dan Sweden iaitu Muhyiddin Yassin, Scott Morrison, Alexander De Croo, Boris Johnson, Justin Trudeau, Mette Frederiksen, Sanna Marin, Kyriakos Mitsotakis, Katrín Jakobsdóttir, Narendra Modi, Micheál Martin, Benjamin Netanyahu, Giuseppe Conte, Yoshihide Suga, Jacinda Ardern, Erna Solberg, Imran Khan, António Costa, Pedro Sanchez dan Stefan Löfven.

Beberapa pemimpin lain termasuk presiden-presiden China, Rusia, Ethiopia, Jerman, Perancis, Brazil, Filipina, Mexico dan Korea Selatan iaitu Xi Jinping, Vladimir Putin, Sahle-Work Zewde, Frank-Walter Steinmeier, Emmanuel Macron, Jair Bolsonaro, Rodrigo Duterte, Andrés Manuel López Obrador dan Moon Jae-in; presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg dan Paus Francis.[83][84]

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menyatakan bahawa kerajaan China berharap Biden akan mengembalikan semula hubungan dua hala.[83] Presiden Iran, Hassan Rouhani menganggap Trump seorang yang "zalim" dan menggesa Biden untuk kembali ke perjanjian nuklear Iran, di mana Trump sebelum ini membawa Amerika Syarikat keluar.[84] Hamas menganggap Trump "sumber dan penaja terbesar ketidakadilan, keganasan dan ekstremisme di dunia". Hamsa juga menyeru Biden untuk "mengundurkan dasar perjalanan yang salah dan tidak adil terhadap mereka".[84]

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar