Songkok

Songkok (Jawi: سوڠكوق)[1][2] atau peci ([pé.ci], Jawi: ڤيچي;[3] juga diberi nama kopiah di Indonesia) merupakan sejenis topi tradisional bagi orang Melayu dihasilkan daripada kain kapas, flanel atau baldu.[1] Ia boleh dipakai sebagai pelengkap kepada baju Melayu mahupun pakaian sut Barat yang dipakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu. Songkok ini popular bagi masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia dan selatan Thailand. Songkok menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri acara-acara rasmi seperti majlis perkahwinan, upacara keagamaan (terutamanya solat Jumaat) dan sambutan keraian Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Contoh pemakaian songkok dalam
kalangan negarawan rantau Nusantara

Sejarah

Kopiah (kupiah) dicatat digunakan pasukan khas Majapahit (Bhayangkara), tercatat dalam Hikayat Banjar, ditulis pada atau tidak lama selepas 1663.[4]:181[5]:204[6] Kopiah dicatatkan dalam kamus perbendaharaan kata bahasa Itali-Melayu buatan Antonio Pigafetta tahun 1521 (terbitan 1524) sebagai cophia.[7]:132[8]:235 Kupiah tercatat dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain, teks asal ditulis sebelum 1600 Masihi:[9]:39

Maka tatkala memeliharakan disuruhnya anaknya memakai perhiasan seperti pakaian laki-laki dan dikenakan kepada kepalanya kupiah ros yang keemasan.

Dalam kesusteraan Melayu, songkok telah disebut dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina (1840) "...berbaju putih bersongkok merah....". [10]

Penggunaan moden

Brunei

Polis Diraja Brunei dan Tentera Darat Diraja Brunei ada bersongkok dalam situasi khusus.[11]

Indonesia

Pada dahulunya, pemakaian songkok (atau "peci") sering dikaitkan dengan amalan keagamaan umat Islam, namun para pemikir dan revolusioner Hindia Timur Belanda (duluan kepada Indonesia) seperti Soekarno, Mohammad Hatta, and Agus Salim mula menggunapakai ia dalam penampilan mereka mendokong nasionalisme Indonesia yang sekular. Penjawatan Soekarno sebagai Presiden Indonesia yang pertama merasmikan pemakaian songkok dalam persalinan rasmi "Kepala Negara" republik Indonesia yang baharu ditubuhkan sehingga sekarang.[12]

Pasukan Pengibar Bendera Pusaka yang bertanggungjawab dalam acara Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ada menerapkan sarung peci dalam kelengkapan mereka, ada dua jenis bereka bentuk berbeza untuk jantina pemakai - peci dipakai kaum wanita tampak melenkung di belakang.

Masyarakat suku Betawi di pulau Jawa turut mempunyai sarung kepala tradisi sendiri mirip songkok di mana ia lebih berwarna merah gelap.

Malaysia

Budak-budak Melayu memakai songkok ketika bermain

Songkok dimasukkan dalam kelengkapan askar-askar Rejimen Askar Melayu DiRaja dalam Tentera Darat Malaysia sejak penubuhan ia pada zaman British.[11] Ia turut dilazimkan dalam Polis Diraja negara tersebut pada upacara-upacara tertentu.[11]

Dewan-Dewan peringkat Undangan Negeri dan peringkat Rakyat Malaysia mewajibkan pemakaian songkok sebagai sebahagian daripada peraturan penampilan semasa bersidang;[13] pengabaian peraturan ini boleh dikenakan hukuman sesuai - pada 19 Jun 2008 misalnya Gwee Tong Hiang dari Bentayan dihalau dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor kerana tidak mematuhi kod pakaian rasmi yang turut berangkumi bersongkok.[14]

Rujukan