Swastika

Swastika (Sanskrit: स्वस्तिक svástika) atau banji adalah sebuah palang sama sisi dengan lengan bengkok serenjang menghadap sama ada ke arah kanan (卐) atau terbalik menghadap arah kiri (卍). Ia masih digunakan secara meluas dalam agama-agama Timur/Dharmik seperti Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme.[1][2][3]

Swastika dalam kegunaan agama Hindu.

Bukti arkeologi mendapati swastika berasal dari zaman Neolitik dan pertama kali ditemui di Tamadun Lembah Indus di anak benua India. Simbol ini juga terdapat pada hari ini yang digunakan dalam budaya moden India, kadang-kadang sebagai motif geometri dan kadang-kadang sebagai simbol keagamaan.

Peristilahan

Istilah swastika dari bahasa Sanskrit ini terbitan kata स्वस्ति swasti menggabungkan सु su "baik, bagus" dan अस्ति – asti "ialah".[4]

Nama banji (Jawi: بنجي) pula menyerap dari ungkapan bahasa Cina yang turut ditulis sebagai 卍字 (Cina Tradisional: 萬字, Cina Ringkas: 万字, pinyin: wànzì, "aksara puluh ribu") melalui bahasa Jawa (Hanacaraka: ꦧꦤ꧀​ꦗꦶ banji).

Perlambangan

Di Timur

Dalam agama Hindu, dua bentuk palang ini memberikan maksud berlainan: swastika yang merenjang ke kanan melambangkan matahari dan dewanya[5] manakala sauwastika yang menghadap ke kiri melambangkan malam serta dewi Kali jelmaan Durga.[5] Bentuk ini turut berkaitan dengan perlambangan karma dan peredaran.[1][2]

Ajaran Buddha mengaitkan bentuk ini dengan telapak kaki milik pengasas ia, Siddharta Gautama.[5][6][7]

Di Barat

Swastika digunakan sebagai lambang Parti Nazi.

Meskipun seketika dulu biasa digunakan di seluruh dunia, simbol ini dicemari dalam kalangan orang Barat berikutan penggunaannya oleh Parti Nazi di Jerman tahun 1920 semasa Republik Weimar.[8] Terutamanya di Jerman, simbol ini dilarang jika digunakan sebagai simbol Nazisme (penggunaan tanda oleh kumpulan-kumpulan keagamaan yang dibenarkan). Banyak ekstremis politik moden dan kumpulan neo-nazi seperti Afrikaner Weerstandsbeweging, Parti Nasionalis Sosial Syria dan Kesatuan Bangsa Rusia menggunakan simbol bergaya swastika atau simbol yang serupa dengannya. Hari ini, lambang ini juga digunakan oleh kumpulan skinhead yang berfahaman benci kaum tetapi khususnya skinhead yang berada di negara-negara Eropah. Sebilangan mereka memahami kehendak swastika itu sendiri.

Kegunaan dalam seni

Di India

Bentuk ini sering digubah dalam hiasan berwarna atau lampu pelita yang dipersembahkan menyambut Deepavali; malah corak ini sering ditunjukkan sekeliling rumah untuk tujuan sama.[9]

Di alam Nusantara

Pengaruh Hindu-Buddha berkaitan lambang banji ini turut diturunkan dalam seni alam Nusantara diperkenalkan orang Cina ke Jawa.[10] Ia ada dalam hiasan halaman salinan naskhah Al-Quran, terutamanya naskhah yang dikerjakan di Jawa Barat.[11] Ia sering muncul dinampakkan pada kekisi dan ukiran kayu rumah dan bangunan Melayu.

Corak banji juga ada ditemukan pada batik dikaitkan dengan bunga teratai melambangkan Brahma, Vishnu dan Buddha melambangkan kemakmuran, keabadian, dan keteraturan dalam kehidupan.[10][12][13]

Rujukan