Antibiotik

Antibiotik (daripada perkataan bahasa Yunani Kuno αντιβιοτικά, antiviotika, "menentang hidupan") merupakan sejenis sebatian kimia yang digunakan untuk melawan jangkitan mikroorganisma seperti kuman atau bakteria.

Antibiotik boleh diperolehi daripada sumber biologi seperti kulat dan mikroorganisma. Dengan kemajuan dalam kimia organik, antibiotik kini juga boleh dihasilkan melalui sintesis kimia. Ubat antiobiotik bertindak dengan membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan. Contoh ubat antibiotik ialah penisilin dan streptomisin.

Pengunaan

Antibiotik digunakan untuk merawat atau mencegah bukan sahaja jangkitan bakteria,[1] tetapi kadangkalanya juga jangkitan protozoa.

Antibiotik boleh diberikan sebagai langkah penjagaan (profilaktik) terhad kepada populasi yang berisiko seperti individu yang mempunyai sistem imun lemah (terutamanya dalam kes penghidapan HIV bagi mencegah pneumonia), mereka yang mengambil ubat imunosupresif, pesakit kanser dan mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan.[1]

Semua ubat antiobiotik mesti dimakan sehingga habis. Ini adalah untuk memastikan semua mikroorganisma yang menyebabkan penyakit yang telah dibunuh untuk mengelakkan terdapatnya mikroorganisma yang akan rintang atau kebal kepada antibiotik tersebut.

Pemakaian

Rawatan antibiotik dilakukan melalui beberapa kaedah pemakaian. Antibiotik biasanya diambil dengan mulut dalam bentuk ubat. Dalam kes-kes yang lebih parah pula seperti jangkitan sistemik yang berlarutan, antibiotik boleh diberikan secara terapi dalam vena atau melalui suntikan.[2][3]

Di kawasan jangkitan yang mudah dicapai, antibiotik diberikan secara topikal dalam bentuk titisan mata ke konjunktiva untuk penyakit konjunktivitis atau titisan telinga untuk jangkitan telinga dan kes-kes otitis externa yang mendadak. Penggunaan secara topikal juga merupakan pilihan rawatan untuk penyakit kulit tertentu seperti jerawat and selulitis.[4] Kaedah pemakaian antibiotik sebegini pada luka pembedahan tertentu juga dilaporkan mengurangkan risiko jangkitan yang diperolehi daripada lokasi pembedahan.[5]

Kesan sampingan

Antibiotik diperiksa untuk sebarang kesan sampingan negatif sebelum ia boleh digunakan, di mana ia biasanya selamat dan boleh diterima pesakit. Walau bagaimanapun, ada pula sesetengah antibiotik yang telah dikaitkan dengan kesan sampingan yang meluas daripada yang bertahap sederhana hinggalah ke tahap sangat parah bergantung kepada jenis antibiotik yang digunakan, mikroba sasaran dan keadaan pesakit yang menerima antibiotik ini.[6][7] Kesan-kesan ini barangkalinya boleh mencerminkan sifat farmakologi atau toksikologi antibiotik tersebut atau boleh melibatkan kehipersensitifan atau tindak balas badan persakit terhadap alahan.[8]

Kerintangan

Masalah kewujudan bakteria yang dapat merintang keberkesanan antibiotik kini menjadi perkara yang lazim. Kemunculan bakteria-bakteria perintang berlaku akibat proses evolusi yang berlaku dalam terapi antibiotik. Hal ini membawa kepada kemunculan strain dan spesies rintang antibiotik (superbug) yang membawa kepada perkembangan penyakit-penyakit yang semakin sukar dirawat. Punca lazim kerintangan antibiotik ialah penyalahgunaan antibiotik seperti penggunaan sendiri antibiotik tanpa nasihat pihak bertauliah.[9]

Rujukan

Bacaan lanjut

Pautan luar