Farmasi

Farmasi (Jawi: فرماسي) atau apotek (Jawi: اڤوتيك)[1] merupakan kemudahan kesihatan yang melibatkan bidang penyediaan, peramuan, penstabilan, pengawetan dan pengagihan ubat-ubatan serta membekal maklumat kandungan dan penggunaannya.[2] Seorang ahli farmasi juga bertugas menjamin penggunaan ubat-ubatan dengan selamat.[3]

Simbol farmasi antarabangsa

Peranan ahli farmasi yang lebih tradisional membabitkan penyediaan dan agihan ubat-ubatan kepada pesakit mengikut prespkripsi doktornya. Namun, peranan ini telah berkembang kepada perkhidmatan klinikal, kajian semula ubatan dan pemberian maklumat tentang ubat.

Etimologi

Perkataan "farmasi" dicatatkan paling awal dalam Kitab Vortaro (1932) bererti "pekerdjahan membikin obat-obatan",[4] ia serapan Belanda pharmacie (ejaan moden: farmacie) pinjaman lanjut Perancis: pharmacie turunan Latin: pharmacia "perubatan" serapan Yunani φάρμακον pharmakon "dadah" atau "racun"[5] "Apotek" yang lebih digunakan di kawasan-kawasan tuturan Melayu dalam Indonesia serapan Belanda[1] apotheek bererti "roemah obat" atau "kedai ubat" (winkel voor geneesmiddelen) pinjaman Latin: apothēca "gudang".[6]

Bidang

Farmasi pula dibahagikan kepada tiga bidang, iaitu:

  • Farmaseutik, iaitu kajian tentang penghasilan ubat daripada bahan kimia (entiti kimia baru [1])[7]
  • Farmakognosi, iaitu kajian tentang penghasilan ubat daripada sumber semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan[8][9]
    • Kimia perubatan, iaitu kajian tentang penentuan, sintesis dan perkembangan entiti kimia baru untuk dijadikan ubat[10]
  • Pengamalan farmasi, iaitu kerja seorang ahli farmasi

Sejarah

Di Timur

Seorang penjual ubatan di dataran ramai di Tianjin, China zaman dahulu. (Ukiran oleh Thomas Allom dan Peter Lightfoot)

Ilmu berubat Cina dipercayai telah diperkenalkan Shennong yang mengarang kitab ubat Shénnóng Běncǎo Jīng (Cina ringkas: 神农本草经Cina tradisional: 神農本草經; "Kitab Shennong") menyentuh manfaat hasil tani dan ramuan hutan dikutip dari petua lisan masyarakat Cina semasa zaman kerajaan Han sekitar 206 SM ke 220 M.[11][12][13]

Di Yunani

Pedanios Dioskorides mengarang kitab pancajilid De materia medica (sekitar 60 dan 78 M) yang merangkumi lebih 600 jenis tumbuhan berubat; ia tidak sahaja membentuk asas kitab-kitab ubatan masyarakat Eropah pada Zaman Pertengahan malah penemuan lanjut manfaat tumbuhan berubat ini diteruskan para ilmuwan Zaman Kegemilangan Islam selepas diterjemahkan di Baghdad zaman Abbasiyah.[14]:21–22[15][16]

Pelanjutan kajian di dunia Islam

Kedai ubat khusus muncul di Baghdad pada tahun 754 M.[17] Kanun Perubatan dikarang Ibnu Sina sendirinya menyenaraikan sebanyak 800 bahan tumbuhan, galian dan haiwan yang diterangkan sifat dan manfaatnya, cara pembubuhan berdasarkan jenis penyakit hendak dirawat serta gantian yang boleh digunakan.[18]:223

Pembaharuan di Eropah

Gambaran dalaman sebuah farmasi dikerjakan pembuat dan penjual ubatan ukiran Henry Heath, 1885.

Maharaja Frederick II menitahkan pemisahan bidang perawatan dan pembuatan ubat pada 1240.[19] Balai Ubat Diraja Kota dan Kerajaan Balansiyah (El Real Colegio de Boticarios de la Ciudad y Reino de Valencia) diasaskan tahun 1441 sebagai badan seumpamanya yang tertua masih berdiri di dunia serta yang pertama merincikan ubatan dikembangkan dengan tatanan masih digunakan sehingga hari ini.[20]

Rujukan

Pautan luar

🔥 Top keywords: Khunsa (siri TV)Wanita SyurgaLelaki ItuLaman UtamaTakdir Itu Milik AkuKelawarKhas:CariAngeline TanDe FamPeribahasa MelayuSenarai peribahasa (A–M)Joseph KurupSheriffTelaga BarhutGayatri Su-Lin PillaiSarimah IbrahimBadarawuhi Di Desa PenariShahrulezad MohameddinYasmin AhmadMelitha SidabutarNabi Muhammad SAWPasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 MalaysiaZul AriffinAzira ShafinazPenjodoh bilangan bahasa MelayuInna lillahi wa inna ilaihi raji'unSophia AlbarakbahSiti Khadijah HalimSharisa HarisMandi wajibFarah AhmadProjek: High CouncilCik ManggisKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup MalaysiaPerempuan Itu (drama)Yang di-Pertuan AgongMalaysiaPolis Diraja MalaysiaAisha Retno