Bahasa Latin
Bahasa Latin (lingua Latina atau Latinum) ialah bahasa kuno yang mula dikembangkan dalam kalangan bangsa Latin di wilayah Latium (merangkumi wilayah Lazio kini) di tengah Semenanjung Itali[1] dan mula-mula dipertuturkan pada zaman Rom Kuno.
Bahasa Latin | |
---|---|
lingua Latina | |
Asli kepada | Wilayah Latium, Rom Kuno |
Pupus | Latin Lewat diperkembangkan ke dalam pelbagai bahasa Romawi pada abad ke-9 |
Indo-Eropah
| |
Status rasmi | |
Bahasa rasmi di | Kota Vatican Digunakan untuk tujuan rasmi, tetapi tidak dituturkan dalam pertuturan harian |
Kod bahasa | |
ISO 639-1 | laa |
ISO 639-2 | lat |
ISO 639-3 | lat |
Bahasa ini dituturkan di banyak kawasan taklukan setempat Empayar Rom sejak abad pertama SM mula menyimpang dari bentuk yang dibakukan dalam persuratan banyak penulis dan ilmuwan Rumawi; bahasa seharian ini mula dibezakan sebagai bahasa "kebanyakan" (sermo plebeius atau sermo vulgaris) daripada bahasa yang "klasik".[2] Penuturan bahasa cakapan ini serata kawasan Rumawi mencirikan unsur setempat yang lama-kelamaan membentuk bahasa-bahasa Romawi pada abad ke-6 hingga 9;[3] bahasa Itali yang berasaskan dialek Toscana serta dialek Logudoro bahasa Sardinia paling dekat dan memelihara ciri bahasa Latin induk.[4]
Ia kini jarang sekali digunakan dalam zaman moden kecuali sebagai bahasa sebahagian pegawai rasmi di Kota Vatican, negara terkecil di dunia diperintah Takhta Suci juga selaku ketua Gereja Katolik, malah upacara tertentu diamalkan badan gereja ini seperti Ritus Rom turut dibaca dalam bahasa Latin. Pengaruh kerajaan Romawi yang kuat pada zaman dahulu meninggalkan kesan bahasa Latin yang mendalam pada bahasa moden Eropah seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis, Oleh sebab inilah bahasa Latin ini juga diajarkan di banyak tahap pendidikan dasar, menengah, dan tinggi dunia Barat:[5][6] bahasa Latin ada dalam 2.3% seluruh sekolah rendah negara United Kingdom[7] manakala lebih 500,000 orang pelajar di Jerman memilih belajar ini juga.[8]
Sejarah
Bahasa Latin adalah bahasa Italik yang berasal dari Latium, sebuah daerah di Itali sekeliling kota Rom. Bahasa ini menjadi penting kerana munculnya kerajaan Rom di mana bahasa Latin telah dinobatkan sebagai bahasa rasminya. Pada puncak kejayaan kerajaan ini, bahasa Latin dituturkan sejauh pulau Britain di barat laut sampai Palestin di hujung tenggara Eropah.
Setelah runtuhnya kerajaan Rom, sekitar akhir abad ke 5, bahasa Latin tidak turut runtuh malah terus berkembang dengan pesatnya. Bahasa ini dipakai sebagai bahasa lingua franca, bahasa liturgis gereja dan bahasa ilmu pengetahuan, bahkan juga di daerah-daerah yang tidak pernah ditaklukkan kerajaan Romawi.
Peninggalan
Bahasa-bahasa Romawi
Bahasa Latin Umum yang dituturkan oleh antara lain bala tentara Rom menjadi bahasa pengantar di seluruh daerah kerajaan. Di beberapa tempat, bahasa ini bahkan menggantikan bahasa setempat. Bahasa-bahasa turunan dari bahasa Latin ini disebut "bahasa Romawi", tetapi bahasa Latin sendiri bukanlah bahasa Roman. Bahasa Latin termasuk rumpun bahasa Itali.
Pengaruh dalam bahasa Melayu
Dalam konteks sejarah bahasa Melayu, unsur bahasa Latin mula diserap dalam beberapa fasa:
- fasa pertama - melalui bahasa Arab di mana para penuturnya bertembung dengan tamadun Romawi seawal abad pertama dan kedua Masihi menerapkan kosakatanya dalam lahjah-lahjah serumpun lagi-lagi dari orang Nabati yang kemudiannya terpelihara dalam persuratan Arab termasuk pembukuan ayat-ayat al-Quran:[9]
bahasa Latin | bahasa Arab | bahasa Melayu |
---|---|---|
Caesar | قَيصَر qayṣar | kaisar |
follis "kantung wang" | فُلس fuls mufrad فُلُوس fulūs jamak | fulus |
sigillum "mohor" | سِجِلّ sijill | sijil |
- fasa kedua - melalui bahasa Portugis turunan Romawi dibawakan penjajah Empayar Portugis di banyak tempat Nusantara seperti Melaka[10]
- fasa ketiga - melalui bahasa Belanda digunakan jajahan Melaka (sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824) dan Hindia Timur (selepas 1824) serta melalui bahasa Inggeris di Negeri-Negeri Selat.[10]
- fasa keempat - lebih tertumpu di Indonesia yang mana anak-anak golongan elit diajarkan bahasa Latin secara terus dalam sistem sekolah gymnasium diperkenalkan penjajah Belanda lalu menerapkan pengetahuan mereka dalam perancangan bahasa baku mereka: contohnya penggunaan universitas dan fakultas berbanding universiti dan fakulti (serapan Inggeris university dan faculty) diterima negara bekas jajahan British seperti Malaysia.[11]
Ciri-ciri
Kasus
Kasus merupakan ciri utama bahasa Latin dan dalam bahasa ini, terdapatnya enam kasus:
- kasus ablatif
- kasus akusatif
- kasus datif
- kasus genetif
- kasus nominatif
- kasus vokatif
Selain itu, terdapat juga kasus lokatif dalam beberapa kekecualian.
Abjad
Bahasa Latin ditulis dengan abjad Latin yang menjadi bentuk tulisan yang paling banyak dipakai di dunia. Lihat Abjad Latin untuk keterangan lebih lanjut.
Lihat juga
Rujukan
- Sumber
- Clark, Victor Selden (1900). Studies in the Latin of the Middle Ages and the Renaissance. Lancaster: The New Era Printing Company.
- Herman, József (2000). Vulgar Latin. Diterjemahkan oleh Wright, Roger. University Park, PA: Pennsylvania State University Press. ISBN 978-0-271-02000-6.