Hotel

Hotel (disebut [ho.tél], Jawi: هوتيل) atau sebuah rumah rehat merupakan sebuah institusi yang menawarkan tempat penginapan berbayar untuk para pelancong tidur apabila mereka tidak berada di rumah, biasanya untuk jangka pendek. Penginapan ini terdiri dari bilik berkelengkapan perabot asas termasuk katil, almari, meja kecil dan singki; namun kemudahan lain dan terkini seperti televisyen, bilik mandi en-suite dan penghawa dingin turut ditawarkan.

Llao llao Hotel, Argentina
Hotel First World, Genting Highlands

Selain itu, kebanyakan hotel turut mempunyai telefon, jam loceng dan sambungan Internet; selain kemudahan untuk membuat minuman panas dalam bilik. Hotel yang lebih besar mungkin mempunyai kemudahan tambahan seperti restoran, kolam mandi atau taman kanak-kanak, dan menyediakan perkhidmatan persidangan dan majlis sosial. Ini berbeza dengan hostel, yang biasanya lebih murah. Tempat tidur hostel juga boleh jadi berbentuk seperti asrama dan bilik biasanya dikongsi. Motel pula ialah hotel terutamanya bagi pemandu motokar - di mana bilik motel itu pintunya biasanya menghadap tempat letak kereta. Di Jepun, hotel kapsul menyediakan ruang bilik yang minimum dan kemudahan yang dikongsi.[1][2]

Jenis penginapan ini ada wujud sejak zaman pertengahan di Eropah berkesinambungan dari zaman Rom purba di mana adanya rumah-rumah inapan khas yang menyediakan kemudahan inapan dan makanan untuk para perantau atau penziarah[3] serta bekalan pengangkutan seperti haiwan atau kenderaan tunggangan.

Etimologi

Perkataan hotel menyerap kata bahasa Perancis hôtel (ejaan lama: hostel) yang pada awalnya bermaksud "rumah kediaman" (maison où l'on habite) sebelum dilanjutkan takrifannya kepada "rumah berperabot sebagai penginapan atau asrama berbayar" (maison meublée servant de logement payant et d'auberge);[4] perkataan ini sepunca dengan perkataan hospital dan hos ("pengacara", dari hôte "tuan rumah") dari akar bahasa Latin sama iaitu hospitalis terbitan perkataan hospes "tetamu".[4][5]

Lihat juga

  • Senarai hotel

Industri dan kerjaya

  • Pekerja rencam
  • Kerani meja depan, sejenis kerani
  • Pengurus awam
  • Industri keraian
  • Pelancongan

Jenis kediaman manusia

Rujukan

Pautan luar