Nanometer

Nanometer (simbol: nm) ialah unit ukuran panjang dalam sistem metrik yang bersamaan dengan satu per satu bilion daripada semeter. Namanya diterbitkan daripada campuran imbuhan awalan SI nano- (daripada Yunani Purba νάνος, nanos, "kerdil") dengan nama unit induk meter (daripada Yunani μέτρον, metron, "unit ukuran"). Ia boleh ditulis sebagai 1 × 10-9 m dalam tatatanda saintifik, 1 E-9 m dalam tatatanda kejuruteraan, atau secara ringkasnya 1 m / 1,000,000,000.

1 nanometer =
Unit SI
1×10−9 m1×10−3 μm
Unit AS / Unit imperial
3.2808×10^−9 kaki39.370×10^−9 in

Kegunaan

Nanometer biasanya digunakan untuk menyatakan dimensi pada skala atom: diameter atom helium, misalnya, ialah kira-kira 0.1 nm, dan diameter ribosom ialah kira-kira 20 nm. Nanometer juga biasanya digunakan untuk menyatakan panjang gelombang sinaran elektromagnet berdekatan dengan bahagian boleh nampak spektrum: cahaya tampak mempunyai panjang gelombang di antara 400 hingga 800 nm. Unit angstrom, yang bersamaan dengan 0.1 nanometer, pernah digunakan untuk tujuan-tujuan ini.

Sejarah

Nanometer pernah dikenali dengan nama milimikrometer – atau, lebih lazim lagi, milimikron untuk kependekan – kerana ia adalah 1/1000 daripada satu mikron (mikrometer), dan biasanya dinyatakan dengan simbol atau (lebih jarang lagi) µµ.[1][2][3] Pada tahun 1960, Biro Piawaian Kebangsaan telah menggunakan imbuhan awalan "nano-" bagi "satu per sebilion".[4] Nanometer biasanya dikaitkan dengan bidang nanoteknologi. Sejak akhir 80-an, ia juga telah digunakan untuk menerangkan generasi-generasi teknologi pengeluaran dalam industri semikonduktor.

Rujukan