Pengglasieran Kuaterner

Tempoh glasier sepanjang epok Pleistosen

Pengglasieran Kuaterner, juga dikenali sebagai pengglasieran Pleistosen, merupakan satu tempoh masa yang terkandungnya tempoh glasier dan tempoh antara glasier yang berselang-seli antara satu sama lain sepanjang tempoh Kuaterner yang bermula pada 2.58 jtd (juta tahun dahulu) dan berterusan sehingga ke hari ini.[1][2][3] Walaupun ramai ahli geologi menyatakan bahawa keseluruhan tempoh yang sehingga ke masa kini ini masih merupakan "zaman air batu", namun dalam budaya popular istilah ini biasanya merujuk kepada tempoh glasier terakhir, atau zaman Pleistosen secara amnya.[4] Memandangkan Bumi masih mempunyai lembar ais kutub, ahli geologi menganggap pengglasieran Kuaterner sedang berterusan, walaupun kini berada pada tempoh antara glasier.

Tahap pengglasieran maksimum (hitam) di Hemisfera Utara semasa Pleistosen. Pembentukan lembar ais berketebalan 3 hingga 4 km (1.9 hingga 2.5 bt) menyamai penurunan paras laut global kira-kira 120 m (390 ka).

Semasa berlakunya pengglasieran Kuaterner, lembar ais mula terbentuk serta mengembang semasa tempoh glasier dan mengecut semasa tempoh antara glasier. Sejak penghujung tempoh glasier terakhir, hanya lembar ais di benua Antartika dan pulau Greenland yang masih wujud, manakala lembar ais lain yang terbentuk semasa tempoh glasier seperti Lembar Ais Laurentida telah cair sepenuhnya.

Kesan utama pengglasieran Kuaterner ialah hakisan tanah serta pemendapan bahan di kawasan daratan benua, pengubahsuaian sistem aliran sungai, pembentukan berjuta-juta tasik yang termasuk pembentukan tasik pluvial yang jauh dari pinggiran air batu, perubahan pada paras laut, pelarasan isostatik kerak bumi, banjir, dan tiupan angin yang berubah-ubah. Lembar ais melalui peningkatan albedo (yakni nisbah tenaga sinaran suria yang dipantulkan dari Bumi kembali ke angkasa) menjana mekanisme maklum balas yang menyejukkan lagi iklim Bumi secara ketara. Kesan ini telah mengubah landskap persekitaran daratan dan lautan serta komuniti biologi.

Lama sebelum berlakunya pengglasieran Kuaterner, air batu daratan telah bentuk dan hilang pada sekurang-kurangnya empat zaman air batu yang berlainan. Pengglasieran Kuaterner boleh dianggap sebagai sebahagian daripada Zaman Air Batu Senozoik Akhir yang bermula sejak 33.9 jtd dan masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Rujukan

Pautan luar

Takrifan kamus pengglasieran di Wikikamus

Punca