Alkohol

kumpulan sebatian kimia

Dalam kimia, satu alkohol adalah mana-mana sebatian organik dengan satu hidroksil kumpulan (-OH) terikat kepada atom karbon, yang mana sebaliknya juga terikat kepada hidrogen dan/atau atom karbon lain. Formula am untuk alkohol asiklik adalah CnH2n+1OH.

Penamaan

Asal perkataan "alkohol"

Perkataan "alkohol" berasal daripada kata Arab: الكُحْل‎, rumi: al-kuḥl "celak"[1] (ditambahkan sekali pemula alif lam), yakni sejenis serbuk yang digunakan untuk tujuan sedemikian.[2] Perkataan alkohol mula-mula ditakrifkan sebagai serbuk yang terhasil melalui pemejalwapan galian stibnit untuk membentuk antimoni trisulfida, Sb2S3, yang disifatkan sebagai "pati" (spirit) galian itu. Bahan ini digunakan sebagai antiseptik, celak mata dan kosmetik. Makna perkataan alkohol diluaskan kepada hasil-hasil penyulingan secara am, dan disempitkan kepada etanol apabila perkataan spirit menjadi sinonim dengan minuman keras.[3]

Tatanama sebatian

Berdasarkan tatanama piawai IUPAC, dalam penamaan sebatian alkohol ringkas, akhiran -a (-e dalam bahasa Inggeris) bagi nama suatu alkana digantikan dengan akhiran -ol, misalnya, etanol daripada nama alkana, etana. Apabila perlu, kedudukan kumpulan hidroksil dijelaskan dengan nombor di antara nama alkana dengan akhiran -ol, seperti propan-1-ol bagi CH3CH2CH2OH dan propan-2-ol bagi CH3CH(OH)CH.[4]

Sekiranya terdapat kumpulan berfungsi yang lebih utama, awalan hidroksi- (hydroxy- dalam bahasa Inggeris) digunakan, sebagai contoh, 1-hidroksi-2-propanon, CH3C(O)CH2OH.[5]

Sifat fizikal

Kumpulan hidroksil menjadikan alkohol bersifat kutub dengan membentuk ikatan hidrogen antara satu sama lain mahpun dengan sebatian lain. Ikatan sebegini juga menjadikan takat didih alkohol lebih tinggi daripada hidrokarbon dan eter lain yang setara: etanol misalnya mempunyai takat didih sebanyak 78.29 °C jika dibandingkan dengan 69°C daripada heksana dan 34.6 °C untuk dietil eter.

Tindak balas

Pengestaran

Alkohol dan asid karboksilik bertindak balas dalam suatu reaksi iaitu pengesteran Fischer (Fischer esterification). Tindak balas ini biasanya memerlukan bahan pemangkin seperti asid sulfurik pekat, seperti dalam persaman kimia di bawah:

R-OH + R'-CO2H → R'-CO2R + H2O

Pengoksidaan

Alkohol primer (R-CH2OH) boleh dioksidakan kepada aldehid (R-CHO) atau asid karboksilik (R-CO2H). Alkohol sekunder (R1R2CH-OH) melalui proses yang sama dan terhasil menjadi keton (R1R2C=O) sebagai produk akhir. Alkohol tertier (R1R2R3C-OH) pula kuat menangkis proses ini lalu tidak terjejas sekalipun.

Kegunaan

Jumlah pengambilan alkohol mengikut negara (15 tahun ke atas), per kapita, dalam liter etanol tulen[6]

Alkohol memiliki pelbagai kegunaan sepanjang sejarah. Bagi monoalkohol ringkas, ini merupakan senarai alkohol perindustrian penting:[7]

  • metanol, lazimnya bagi penghasilan formaldehid dan sebagai bahan tambahan bahan api
  • etanol, lazimnya dalam minuman keras, bahan api dan pelarut
  • 1-propanol, 1-butanol dan isobutil alkohol sebagai pelarut dan pelopor pelarut lanjutan
  • alkohol C6 – C11 sebagai pemplastik seperti dalam polivinil klorida (PVC)
  • alkohol berlemak (C12 – C18) sebagai pelopor detergen

Metanol ialah alkohol perindustrian paling lazim dengan kadar penghasilan sebanyak 12 juta tan setahun setakat 1980. Kapasiti penghasilan gabungan semua alkohol lain adalah lebih kurang sama, dengan taburan agak sekata.[7]

Rujukan

Pautan luar

  • Kategori berkenaan Alkohol di Wikimedia Commons