Haqiem Rusli

Penyanyi dan pelakon lelaki Malaysia

Ridzuan Haqiem Rusli (Jawi: رضوان حكيم رسلي; lahir 16 Jun 1998) merupakan seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan pelakon lelaki Malaysia.[2][3][4] Haqiem memulakan langkah dalam dunia hiburan setelah menjadi naib juara pertandingan nyanyian kanak-kanak Idola Kecil musim pertama. Pada tahun 2016, beliau melancarkan album studio pertamanya, Segalanya.[5][6]

Haqiem Rusli
Nama lahirRidzuan Haqiem bin Rusli
Kelahiran (1998-06-16) 16 Jun 1998 (umur 25)
Hulu Langat, Selangor, Malaysia
GenreBalada, pop, R&B, slow rock,
PekerjaanPenyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, penerbit rakaman
InstrumenVokal
Tahun aktif2008–kini
Syarikat rakaman
FMC Music
Pengkarya berkait
Didi Astillah, Aman RA, Azzam Sham, Aziz Harun, Alif Abdullah, The BeeSings
PasanganWan Anis Sofea Wan Zamzuri (k. 2021)[1]

Kehidupan awal

Haqiem dilahirkan dan dibesarkan di Hulu Langat, Selangor. Beliau merupakan anak kepada pasangan Rusli Abdul Manaf dan Nazrah Ahmad Nordin serta anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Adik bongsunya, Zali Rusli turut berkecimpung dalam bidang muzik.[7]

Kerjaya

Haqiem Rusli mula bertapak dalam industri muzik tanah air ketika berusia 10 tahun apabila beliau menyertai sebuah pertandingan nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil musim pertama di TV9 pada tahun 2008 dan berjaya menjadi naib juara.[8]

Beliau meneruskan perjalanan seninya dengan menganggotai kumpulan The Beesings, yang memulakan kerjaya pada tahun 2012 dan pada asalnya terdiri daripada lima orang ahli iaitu Haqiem sendiri, Azzam Sham, Fimie Don, Didi Astillah dan Aida Ross.[9]

Kemudian pada 2014, Haqiem menyertai pertandingan nyanyian Idola Kecil Ultra (TV9) yang merupakan rancangan nyanyian yang menggabungkan bekas juara dan peserta pilihan Idola Kecil dari musim pertama hingga musim keenam untuk kembali berentap di satu pentas. Namun, Haqiem tidak berjaya mara ke peringkat akhir.

Pada penghujung tahun yang sama beliau menyertai sebuah lagi pertandingan nyanyian lain yang menampilkan kumpulan remaja di TV9 Pop Krew, rancangan realiti yang mempersembahkan bakat remaja-remaja versatil yang boleh menyanyi dan menari. Haqiem menganggotai kumpulan Novemboys yang menjadi anak didik penyanyi Tomok dan berjaya menjuarai pertandingan itu.[10]

Haqiem menyertai program nyanyian realiti TV3, Mentor Milenia 2016 dengan menggunakan nama pentas Haq. Beliau mengikuti ujibakat mentor Black dan berjaya disenaraikan sebagai antara peserta terbaik selain Qody dan Wanie yang bakal dipilih menjadi protege Black. Semasa persembahan penentuan, Haqiem menyanyikan lagu "Bukan Dia Tapi Aku" nyanyian asal Judika, namun tidak berjaya dipilih sebagai protege Black pada persembahan itu.[11][12][13]

Walau bagaimanapun pada 2016, Haqiem telah menandatangani kontrak untuk bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music (Fantasia Music City). Setelah dua tahun menjadi artis di bawah label rakaman itu, beliau berjaya mengeluarkan beberapa buah single hit antaranya "Segalanya", "Tergantung Sepi" dan "Jatuh Bangun" (duet bersama Aman RA).[14]

Haqiem berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) menerusi dua buah lagu iaitu "Segalanya" dan "Tergantung Sepi", namun hanya lagu "Tergantung Sepi" yang berjaya mara ke peringkat akhir dan tuah menyebelahi Haqiem apabila lagu ciptaan Ibnu dan Gouffran itu berjaya memenangi tempat ketiga. Album pertamanya, Segalanya dikeluarkan pada April 2018 memuatkan 8 lagu termasuk sebuah lagu berbahasa Inggeris, "Qiemillio".

Selain itu, Haqiem turut menyertai program Fantastik 4 Hot FM, sebuah program realiti nyanyian ‘on-air’ dan digital yang dianjurkan sepenuhnya oleh Hot FM. Haqiem berjaya menjadi juara pada minggu pertama dan keempat, namun tidak berjaya menjadi juara keseluruhan.[15]

Beliau juga turut diberi kepercayaan oleh Astro Ria untuk menyanyikan lagu tema Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang bertajuk "Meletop", kolaborasi bersama Aziz Harun dan Alif.

Haqiem sekali lagi berjaya membawa dua buah lagu ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 iaitu "Selamat Tinggal Sayang" dan "Jatuh Bangun" kolaborasi bersama Aman RA. Namun sama seperti tahun yang lalu, hanya sebuah lagu sahaja iaitu "Jatuh Bangun" yang berjaya ke peringkat akhir.

Sejak terlibat dalam industri muzik, Haqiem bukan sahaja mencipta lagu untuk dirinya sendiri malah beliau turut menghasilkan lagu untuk penyanyi popular lain seperti Sufi Rashid, Tajul Ariff dan Usop. Usaha beliau membuahkan hasil apabila bakatnya telah diiktiraf oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) dengan memenangi Anugerah Komposer Muda Berpotensi 2019. Haqiem juga turut mendapat anugerah khas daripada Astro dalam kategori Komposer Meningkat Naik di Konsert Throwbaek 2019.[16][17][18][19]

Haqiem berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) melalui lagu "Lembah Kesepian", dan lagunya berjaya memenangi Anugerah Pilihan Peminat Setel yang dipilih melalui undian dalam aplikasi Setel, bermula 30 Januari 2020.[20][21][22]

Pada November 2020, Haqiem bekerjasama dengan Naim Daniel dan Hael Husaini menerusi lagu bertajuk "Lara".[23]

Pada 13 November, beliau telah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33.[24][25] Beliau turut memenangi Penyanyi Lelaki Popular[26] dan Lagu Paling Boom Popular menerusi "Lembah Kesepian" di anugerah sama.[27]

Di Anugerah MeleTOP Era 2020 yang berlangsung pada 20 Disember, Haqiem bersama Siti Nordiana meraih kemenangan besar.[28]

Kehidupan peribadi

Haqiem mendedahkan dalam satu temubual pada Julai 2018 bahawa beliau disahkan menghidap moderate depression (kemurungan sederhana) oleh pakar psikiatri di sebuah hospital swasta pada 6 Julai.[29]

Haqiem menunaikan hasrat ibunya, Nazrah Ahmad Nordin untuk membeli kereta Proton X70 yang dianggarkan bernilai RM122,800. Menurutnya, hasrat itu telah diluahkan oleh ibunya sejak awal 2020. Beliau berkata kepada Harian Metro: "...sekarang baru ada rezeki untuk kami beli. Saya dan ibu, berkongsi wang membelinya bersama-sama".[30]

Pada Oktober 2020, beliau telah membeli kereta Mercedes-Benz GLC200 yang bernilai RM200,000. Beliau turut memilih tahun kelahirannya, 1998 sebagai nombor pendaftaran keretanya.[31]

Beliau juga memiliki sebuah restoran yang beroperasi di Setapak.[32]

Beliau disahkan negatif COVID-19 selepas melakukan ujian calitan pada Januari 2021.[33][34]

Pada 19 November 2021, Haqiem sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea Wan Zamzuri dengan dua kali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya, pada jam 3.40 petang. Pasangan iini dinikahkan oleh jurunikah yang juga Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Ustaz Zamzuri Ruslan dengan mas kahwin RM300 serta wang hantaran bernilai RM100,000. Majlis perkahwinan mereka dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekat.[1]

Diskografi

Album

TajukButiran album
Segalanya

Single

TajukMenampilkanTahun
"Janji Puteri"2010
"Rindu Pulang"Wada2012
"Luar Biasa"The BeeSings
"Pentas Dunia"
"Hero Bola"Didi Astillah2013
"Fall"Novemboys2014
"Cuba Lagi"2015
"Segalanya"2016
"Tergantung Sepi"2017
"Lebaran Terindah"Artis FMC Music
"Jatuh Bangun"Aman RA
"Meletop"Aziz Harun dan Alif Abdullah2018
"Qiemilio"
"Perjalanan"
"Sayang"
"Girang Syawal Tiba"Artis FMC Music
"Selamat Tinggal Sayang"
"What Can I Do For You?"2019
"Lembah Kesepian"
"Bangkit"2020
"Adlina Marie"
"Mimpi"
"Hitam Saksi Putih"2021
"Aku, Hati dan Perasaan"2022
"Sekolahku Sejahtera"Kementerian Pendidikan Malaysia
"Di Alam Fana Cintamu"Afieq Shazwan
"Di Sebalik Rahsia"2023
"Sangkar Derita"2024

Diskografi penerbitan

Haqiem Rusli memperluaskan bakatnya dalam bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik melalui lagu ciptaan pertamanya bersama dengan Ippo Hafiz dan Irfan Haris, "Pesan", yang juga dinyanyikan oleh Irfan. Selain mencipta lagu dan lirik secara solo, Haqiem juga turut bekerjasama dengan komposer berbakat seperti Ibnu & Gouffran.

Lagu ciptaan
TajukPenyanyiTahun
"Pesan"Irfan Haris2017
"Tersiksa"Putera Band
"Aku Sendiri"Sufi Rashid
"Sahabat"Adly Sofwan
"Jatuh Bangun"Dirinya sendiri bersama Aman RA
"Cinta dan Rindu"Ary Klangit2018
"Selamat Tinggal Sayang"Dirinya sendiri
"Qiemilio"
"Sayang"
"Perjalanan"
"Aku Yang Bersalah"Usop
"Kenangan"Zack Zakwan2019
"What Can I Do For You?"Dirinya sendiri
"Ibu"Tajul Ariff
"Lembah Kesepian"Dirinya sendiri
"Luka dan Bahagia"Jang Han-byul
"Bangkit"Dirinya sendiri2020
"Adlina Marie"
"Mimpi"
"Sejarah Cintaku"Usop2021

Filemografi

Drama

TahunTajukWatakSaluran TVCatatan
2020Kebaya Kasut KanvasQueTV3Drama pertama

Telefilem

TahunTajukWatakSaluran TV
2013Roket KertasDirinya sendiriAstro Ceria
2018Tergantung RinduIrfanAstro Citra

Televisyen

TahunTajukSebagaiSaluran TVCatatan
2021Idola Kecil Di RumahJuriTV3

Anugerah dan pencalonan

TahunAnugerahKategoriPenerima/Karya tercalonKeputusan
2016Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016Artis Baru Lelaki PopularDirinya sendiriTercalon
2017Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017Penyanyi Lelaki PopularTercalon
Anugerah Juara Lagu ke-32Terbuka"Tergantung Sepi"Menang
2018ERA Digital Muzik Awards 2018Lagu Paling Viral"Selamat Tinggal Sayang"Menang
Penyanyi Kolaborasi Terbaik"Jatuh Bangun" (bersama Aman RA)Menang
Temubual Terbaik Carta ERAMenang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2018Penyanyi Lelaki PopularDirinya sendiriTercalon
Artis Sensasi PopularMenang
Lagu Paling Boom"Selamat Tinggal Sayang"Menang
Anugerah Juara Lagu ke-33Terbuka"Jatuh Bangun"Tercalon
Anugerah Planet Muzik 2018Kolaborasi Terbaik (Lagu)"Aku Sendiri" (bersama Sufi Rashid)Tercalon
Lagu Paling Popular APM"Tergantung Sepi"Menang
Anugerah MeleTOP Era 2018Lagu MeleTOP"Tergantung Sepi"Tercalon
Penyanyi MeleTOPDirinya sendiriTercalon
2019Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019Lagu Pilihan"Jatuh Bangun" (bersama Aman RA)Menang
Anugerah MACP 2019Komposer Muda BerpotensiDirinya sendiriMenang
Anugerah Juara Lagu ke-34Terbuka"Lembah Kesepian"Tercalon
Konsert Throwbaek 2019Komposer Meningkat NaikDirinya sendiriMenang
Anugerah MeleTOP Era 2019Lagu MeleTOP"Tergantung Sepi"Tercalon
"Jatuh Bangun" (bersama Aman RA)Menang
Penyanyi MeleTOPDirinya sendiriTercalon
2020Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2020Penyanyi Lelaki Popular MalaysiaMenang
Lagu Paling Boom Popular"Lembah Kesepian"Menang
Bintang Paling PopularDirinya sendiriMenang
Anugerah MeleTOP Era 2020Lagu MeleTOP"Lembah Kesepian"Menang
Penyanyi MeleTOPDirinya sendiriMenang
Top Top Lelaki MeleTOPMenang
2021Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34Penyanyi Lelaki PopularDirinya sendiriMenang
2022Anugerah Juara Lagu ke-36Tempat Ketiga"Mimpi"Menang
2023Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35Penyanyi Lelaki PopularDirinya sendiriTercalon

Rujukan

Pautan luar