Manga
Manga (disebut [man.ga]; Jepun: 漫画 manga)[1] ialah karya cerita turutan bergambar termasuk komik dan novel grafik yang dihasilkan di Jepun. Cerita-cerita ini mencakupi pelbagai genre antaranya aksi, pengembaraan, komedi, detektif, drama, sejarah, seram ghaib, misteri, romantis, sains dan fantasi, erotika, sukan, serta debaran; karya-karya ini menjadi bacaan pilihan semua lapisan umum masyarakat Jepun.[2][3] Seni ini muncul pada lewat abad ke-19[4] berdasarkan tradisi-tradisi seni yang ada diwujudkan dalam Jepun sejak berkurun-kurun.[5]
Cerita dalam sesebuah manga dikaryakan seorang pengilustrasi dan/atau penulis (mangaka) yang dibantu beberapa kakitangan dalam sebuah studio kecil serta sering berhubung dengan editor kreatif dari sesebuah syarikat penerbit komersial.[6] Karya ini biasanya dicetak secara hitam putih[7] secara bersiri dalam suatu majalah himpunan bersama karya-karya lain; majalah-majalah ini memuatkan satu bab setiap karya yang berkesinambungan dalam isu berikutnya. Kesemua bab-bab ini dihimpunkan dalam suatu jilid terbitan semula khas (tankōbon) mahupun dibukukan.[8] Jika siri manga yang dikaryakan ini menjadi cukup popular, karya tersebut boleh diberi peluang diadaptasi kepada medium lain sama ada dalam bentuk animasi (baik dalam format siri televisyen atau filem[9]) mahupun dijadikan suatu filem aksi langsung[9] baik setelah ceritanya tamat mahupun ketika cerita asalnya masih berlanjutam.[10]
Karya-karya ini sangat masyhur dengan khalayak peminat cukup signifikan di seluruh dunia[11] sehingga sering diterjemahkan ke dalam banyak bahasa.[12] Sejak tahun 1950-an, manga telah menjadi sebahagian utama industri penerbitan Jepun.[13] Pada tahun 1995, pasaran manga di Jepun bernilai ¥586.4 bilion (kira-kira US$6 – 7 bilion),[14] dengan jualan tahunan sekitar 1.9 bilion untuk manga dan majalah di Jepun (setara dengan 15 edisi seorang).[15] Pada tahun 2008, pasaran manga di Amerika Syarikat dan Kanada mencecah nilai setinggi $175 juta. Pasaran manga di Perancis pula mencecah angka 38% dalam pasaran komik negara tersebut (sekitar sepuluh kali lipat dari angka untuk Amerika Syarikat).[16] dengan nilai sekitar €460 juta ($640 juta) pada tahun 2005.[17] Di Eropah dan Timur Tengah, pasaran manga bernilai sekitar $250 juta pada tahun 2012.[18]
Peristilahan
Perkataan bahasa Jepun mengungkapkan media ini terdiri dari gabungan 漫 man (hiragana: まん ) "aneh" dan 画 ga (hiragana: が ) "gambar";[19] kata ini juga sepunca dengan kata-kata manhwa dan mànhuà untuk seni komik disampaikan masing-masing dalam bahasa-bahasa Korea dan Mandarin.[20]
Kata ini pertama kali digunakan secara umum pada akhir abad ke-18[21] dengan diterbitkannya karya terkait seperti buku gambar Shiji no yukikai (1798) karya Santō Kyōden,[22][23] dan pada abad ke-19 dengan munculnya Manga hyakujo (1814) karya Aikawa Minwa dan kumpulan buku terkenal bertajuk Hokusai Manga (1814–1834)[24] yang diisi berbagai-bagai macam gambar dari buku lakaran milik Hokusai, pencetak ukiyo-e terkenal.[25] Rakuten Kitazawa (1876–1955) orang pertama yang menggunakan kata "manga" dalam penungkapan moden yang diteruskan pada hari ini.[26]
Masyarakat di Jepun memahamkan "manga" sebagai sebarang jua jenis komik, kartun dan animasi secara umum termasuk komik-komik Barat; namun pengungkapan ini disempitkan makna di luar negara ini merujuk kepada "komik Jepun" sejajar dengan penggunaan "anime" di dalam dan di luar Jepun.[27]
Sejarah
Manga, jika diterjemah secra harfiah, bererti "gambar rambang". Perkataan ini julung kali dipakai secara umum pada akhir abad ke-18 apabila keluarnya karya-karya seperti "Mankaku zuihitsu" oleh Suzuki Kankei (1771) dan Santo Kyoden buku bergambar "Shiji no yukikai" oleh Santo Kyoden (1798), dan juga pada awal abad ke-19 dengan karya-karya seperti "Manga hyakujo" oleh Aikawa Minwa (1814) dan Hokusai manga masyhur yang mengandungi beraneka lukisan daripada buku sketsa artis ukiyo-e terkenal bernama Hokusai.[28] Namun begitu, giga (harrafiahnya "gambar lucu"), terutamanya Chōjū Jinbutsu Giga (Jepun: 鳥獣人物戯画,, harafiahnya "gambar lucu haiwan dan manusia"), yang dilukis pada abad ke-12 oleh pelbagai pelukis, banyak mengandungi sifat-sifat manga seperti penekanan pada cerita dan garis-garis yang ringkas dan penuh kesenian.
Manga moden berkembang daripada campuran buku bercetak blok kayu dan gambar dengan gerakan seni yang asing. Apabila Amerika Syarikat mula berdagang dengan Jepun, Jepun sedang memasuki satu zaman pemodenan pesat yang diiringi globalisasi. Maka, rakyat negara Jepun mengimport artis asing untuk mengajar murid-murid Jepun benda-benda seperti garis, rupa dan warna iaitu elemen-elemen yang tidak pernah ditrkan dalam ukiyo-e kerana idea di sebalik gambar biasanya dianggap lebih penting[perlu rujukan]. Manga pada zaman itu dikenali sebagai Ponchi-e (Punch-picture) dan, seperti majalah British Punch yang selaras dengannya, kebanyakannya menggambarkan jenaka dan sindiran politik dalam format pendek, bergambar satu atau empat.
Ketika lewat zaman Meiji hingga sebelum Perang Dunia Kedua, antara mangaka terkenal termasuklah Rakuten Kitazawa dan Ippei Okamoto. Rakuten Kitazawa pernah berlatih di bawah ajaran Frank A. Nankivell, seorang artis Australia, dan bekerjasama dengan Jiji Shimpo setelah diperkenalkan kepadanya oleh Yukichi Fukuzawa. Selepas itu, Rakuten menerbit karya-karya masyhur seperti Tagosaku to Mokubē no Tōkyō-Kenbutsu (Jepun: 田吾作と杢兵衛の東京見物,, "Tagosaku dan Mokube Melawat Sekitar Tokyo") (1902) dan Haikara Kidorō no Sippai (Jepun: 灰殻木戸郎の失敗,, "Kegagalan Kidoro Haikara") (1902). Ippei Okamoto ialah pengasas Nippon Mangakai, persatuan kartunis paling sulung di Jepun. Karya manga manbunnya, seperti Hito no Isshō (Jepun: 人の一生,, "Hidup satu orang") (1921), menjadi pengaruh utama terhadap mangaka zaman sekarang dan menjadi prototaip bagi manga fiksyen pada zaman seterusnya.[29]
Format manga
Manga dibaca bermula dari kanan ke kiri.Kini ada manga versi Korea yang dipanggil Manhwa. Ia dibaca dari kiri ke kanan.
Pengaruh antarabangsa
Di Amerika Utara
Manga terbukti menjadi industri yang pesat membangun di Amerika, mencapai nilai pasaran sejumlah $180 juta pada 2005.[30] Tambahan pula, sebagai bukti kukuh pengaruhnya, sekurang-kurangnya 40 akhbar bersindiket telah menambah manga pada sudut komik mereka.[30] Manga juga menimbulkan minat kaum wanita untuk membaca komik. Di Amerika Syarikat, di mana pembacaan komik didominasi lelaki, perempuan merangkumi 60% daripada bilangan pembaca manga.[30]
Manga juga telah mempengaruhi gaya pelukisan komik yang ditampilkan oleh muka-muka baru dalam arena penghasilan karya komik di Amerika.
Di Malaysia
Manga telah wujud di Malaysia sejak zaman Doraemon. Sekarang, terdapat beberapa penerbit yang dipertanggungjawabkan untuk menerbit komik yang diterjemah ke Bahasa Melayu atau Cina, seperti Tora Aman dan Comics House. Manga juga diterbit dalam majalah seperti Kreko dan Arena.
Manga dalam bahasa Inggeris juga didapati tetapi terhad kepada kedai-kedai buku tertentu sahaja Contohnya manga Case Closed/Detektif Conan.
Dewasa ini, kehadiran manga didapati mempengaruhi karya-karya komik tempatan seperti yang terdapat dalam majalah Gempak, Starz dan Kreko.
Jenis manga
- Josei (atau redikomi): wanita
- Kodomo: kanak-kanak
- Seinen: lelaki dewasa
- Shōjo: gadis muda/remaja
- Shōnen: lelaki muda/remaja
- Battling companion: Teman perjuangan (tidak rasmi)
- Alternatif
- Gekiga: gambar dramatis
- La nouvelle manga: gerakan seni Pernacis-Belgium/Jepun
- Semi-alternatif: gaya individualistik penerbitan popular
- Manga OEL: manga bahasa Inggeris asli
- Dōjinshi: Fan-art (Karya peminat) atau manga terbitan sendiri
- Magical girl (mahō shōjo): gadis sihir
- Robot/Mecha: robot gergasi
- Moe (juga mahō kanojo atau teman wanita sihir)
- Shōjo-ai atau Yuri: asmara lesbian
- Shōnen-ai atau Yaoi: asmara gay
- Hentai: lucah
Siri manga yang terkenal di Malaysia
Untuk membaca manga, anda boleh membeli Majalah Komik Kreko atau Arena yang dijual di pasaran dengan harga yang berpatutan (terdapat pelbagai judul manga popular. Sama dengan Shonen Jump).
Lihat juga
Rujukan
- Sumber utama
- Bouquillard, Jocelyn; Marquet, Christophe (1 June 2007). Hokusai: First Manga Master. New York: Abrams. ISBN 978-0-8109-9341-9.
- Isao, Shimizu (2001). "Red Comic Books: The Origins of Modern Japanese Manga". Dalam Lent, John A. (penyunting). Illustrating Asia: Comics, Humor Magazines, and Picture Books. Honolulu, Hawaii: University of Hawai'i Press. ISBN 978-0-8248-2471-6.
- Kern, Adam (2006). Manga from the Floating World: Comicbook Culture and the Kibyōshi of Edo Japan. Cambridge: Harvard University Press. ISBN 978-0-674-02266-9.
- Kern, Adam (2007). "Symposium: Kibyoshi: The World's First Comicbook?". International Journal of Comic Art (9): 1–486.
- Kinsella, Sharon (2000). Adult Manga: Culture and Power in Contemporary Japanese Society. Honolulu, Hawaii: University of Hawai'i Press. ISBN 978-0-8248-2318-4.
- Kittelson, Mary Lynn (1998). The Soul of Popular Culture: Looking at Contemporary Heroes, Myths, and Monsters. Chicago: Open Court. ISBN 978-0-8126-9363-8.
- Lee, William (2000). "From Sazae-san to Crayon Shin-Chan". Dalam Craig, Timothy J. (penyunting). Japan Pop!: Inside the World of Japanese Popular Culture. Armonk, New York: M.E. Sharpe. ISBN 978-0-7656-0561-0.
- Lent, John A. (2001). Illustrating Asia: Comics, Humor Magazines, and Picture Books. Honolulu, Hawaii: University of Hawaii Press. ISBN 978-0-8248-2471-6.
- Prohl, Inken; Nelson, John K (2012). Handbook of Contemporary Japanese Religions. BRILL. m/s. 596. ISBN 978-90-04-23435-2.
- Schodt, Frederik L. (1996). Dreamland Japan: Writings on Modern Manga. Berkeley, California: Stone Bridge Press. ISBN 978-1-880656-23-5.
- Wong, Wendy Siuyi (2006). "Globalizing manga: From Japan to Hong Kong and beyond". Mechademia: an Annual Forum for Anime, Manga, and the Fan Arts. m/s. 23–45.