Buku elektronik

penerbitan buku dalam bentuk digital

Buku elektronik atau buku-e/e-buku (bahasa Inggeris: electronic book, juga e-book) ialah sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data digital seakan buku yang mengandungi pelbagai maklumat dalam bentuk teks, gambar atau kedua-duanya. Terbitan sebegini boleh dibaca menggunakan pembaca elektronik yang khusus namun sebarang komputer dengan paparan atau skrin leper[1] yang boleh dilihat seperti komputer riba, komputer tablet dan telefon bijak juga boleh digunakan.

Pembacaan suatu buku eletronik dalam suatu alat pembaca khusus.

Latar belakang

Terdapat beberapa tokoh yang dilihat berperanan penting dalam pembangunan terbitan buku elektronik ini:

  • 1949 - Ángela Ruiz Robles, seorang guru dari León, Sepanyol, mempatenkan Enciclopedia Mecánica ("Ensiklopedia Mekanikal") yang dijanakan udara termampat yang memaparkan teks kandungan dalam spol atau kumparan bersertakan rakaman audio, kanta pembesar, kalkulator dan lampu membaca.[2] Satu purbarupanya disimpan di Muzium Sains dan Teknologi Negara di La Coruna, Sepanyol.[3]
  • 1971 - Michael S. Hart, seorang penulis di Universiti Illinois, melakukan kerja menukarkan dokumen-dokumen kepada bentuk teks biasa supaya senang dimuat turun berikutan selesainya projek menaip semula Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat di komputernya. Projek Gutenberg dilancarkan sebagai hasil daripada usaha ini dengan bertujuan menyalin teks secara elektronik.[4]

Pengunaan buku elektronik semakin digemari terutamanya di Amerika Syarikat dengan meluasnya kemudahan Internet kepada orang ramai pada tahun 1990-an.

Pengenalan teknologi ini di Nusantara pula bermula secara meluas dengan sebuah penerbit Malaysia, [5] pada Oktober 2010 yang menjual e-buku dalam format EPUB dan MOBI yang boleh disokong dalam peranti Amazon Kindle, Apple iBooks dan Kobo. Buku elektronik interaktif Bahasa Melayu pertama syarkat tersebut, Hingga Akhir Hayat,[6] mula dijual di Apple Appstore pada Mei tahun berikutnya. Teknologi ini kemudiannya semakin dikenali di arus perdana apabila Kumpulan MPH memperkenalkan perkhidmatan penerbitan digital dan kedai e-buku mereka [7] pada Disember 2011.

Penerbitan

Buku biasanya akan diterbitkan dalam format cetakan dahulu barulah format elektronik akan dihasilkan jika disetujui pengarang. Namun, perkara sebaliknya juga boleh berlaku kadangkalanya di mana buku elektronik diterbitkan semula dalam bentuk cetakan jika adanya permintaan dari para pembaca. Terdapat banyak organisasi atau individu yang menulis atau mengalihkan sumber cetakan mereka kepada e-buku untuk memudahkan pembaca dan pemasaran secara terus di Internet.

Terbitan elektronik ini dihasilkan daripada cetakan (atau salinan keras) sedia ada melalui pengimbasan dokumen yang penuh teliti dan tidak merosakkan cetakan asal. Fail imaji yang terhasil daripada pengimbasan ini akan ditukarkan kepada format teks sama ada melalui suatu perisian pengecaman aksara optik[8] ataupun melalui penaipan semula teks kandungan cetakan asal.

Format

Buku elektronik mempunyai pelbagai jenis format di mana ada daripadanya hanya dapat dibuka menggunakan alatan pembaca berjenama tertentu:

Pembaca elektronikFormat benaman
Amazon.com Kindle dan Fire[9]AZW, AZW3, KF8, non-DRM MOBI, PDF, PRC, TXT
Barnes & Noble Nook dan Nook Tablet[10]EPUB, PDF
iPad Apple[11]EPUB, IBA (Multitouch books made via iBooks Author), PDF
Sony Reader[9]EPUB, PDF, TXT, RTF, DOC, BBeB
Kobo eReader dan Kobo Arc[12][13]EPUB, PDF, TXT, RTF, HTML, CBR (untuk buku komik), CBZ (buku komik)
PocketBook Reader dan PocketBook Touch[14][15]EPUB DRM, EPUB, PDF DRM, PDF, FB2, FB2.ZIP, TXT, DJVU, HTM, HTML, DOC, DOCX, RTF, CHM, TCR, PRC (MOBI)

Aspek kepenggunaan

Kelebihan

E-buku mempunyai banyak kelebihan yang memberikan kemudahan kepada pembaca-pembaca untuk membawa ke merata tempat e-buku ini tanpa beban yang berat. Komponen ia yang terdiri daripada data elektronik semata-mata mengurangkan saiz dan berat e-buku menjadi jauh lebih ringan berbanding buku cetakan yang ada di pasaran. Sekiranya satu e-buku mempunyai saiz 10 MB, kira-kira 100 e-buku boleh disimpan dalam satu CD. Teks dalam e-buku juga boleh dicari dengan mudah, atau dirujuk silang menggunakan hyperlink. Ini menjadikan format e-buku yang menarik untuk kamus, buku rujukan dan sesetengah buku teks.

Kelemahan

Fail buku elektronik memerlukan perkakasan tambahan agar kandungannya dapat dibaca langsung, terutamanya peranti pemaparan elektronik serta bekalan elektrik yang mungkin memakan kos mahal. Tambahan lagi, kebanyakan e-buku memerlukan aturcara paparan khas yang mungkin tidak tersedia secara mudah atau serasi dengan peranti komputer kini. Kebergantungan e-buku kepada perkakasan lain untuk dibaca mendedahkan ia kepada risiko terjejas disebabkan kegagalan perkakasan perkakasan atau perisian, seperti kegagalan cakera keras atau serangan virus. Teknik pengurusan hak digital boleh digunakan bagi mengehadkan kepenggunaan buku oleh si pemilik sehingga tidak mungkin mengalih hak e-buku kepada orang lain tidak sepertimana buku fizikal boleh dikongsikan dengan sesiapapun. Sesetengahnya pula menghubungi pelayan asal bagi menjejak pembaca dan tabiat membaca, atau menghadkan pecetakan.

Peranti e-buku masih menawarkan pengalaman membaca yang kurang berbanding buku fizikal; resolusi skrin dan kontras antara teks dengan latar belakang paparan cenderung lebih rendah berbanding kertas terutamanya jika digunakan dalam persekitaran disinari cahaya terik matahari. Kebanyakan pembaca juga lebih gemari tekstur kertas disentuh yang dianggap lebih memudahkan berbanding skrin komputer.

Dari sudut pandangan penerbit, e-buku boleh digodam atau dileraikan tanpa kebenaran penerbit atau pengarang dengan mudahnyal; hal ini menyebabkan dokumen yang tidak dilindungi berisiko disalin sejumlah salinan sempurna tanpa had.

Buku Interaktif

Selain buku elektronik, terdapat juga buku interaktif. Buku interaktif ialah buku yang mana para pembacanya boleh berinteraktif dengan buku tersebut, seperti buku tersebut boleh berbunyi serta bertanyakan soalan.

Antara contoh buku interaktif di Malaysia ialah buku My First Book dan buku My Islamic Book dari MommyHana. Kedua-dua buku ini boleh didapati dari https://www.mommyhana.com/

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar

Rencana berkaitan
Laman kandungan maklumat