Lembu

Lembut, sapi atau jawi merupakan sejenis mamalia ungulat yang umum sekali dan diternak sebagai haiwan bela jinak. Ia merupakan anggota moden yang utama dalam subkeluarga Bovinae, dan spesies yang mempunyai bilangan paling banyak dalam genus Bos, dan biasanya dikelaskan sebagai spesis Taurus.

Lembu
Dibelajinakkan
Pengelasan saintifik e
Domain:Eukaryota
Alam:Animalia
Filum:Chordata
Kelas:Mammalia
Keluarga:Bovidae
Genus:Bos
Spesies:
B. taurus
Nama binomial
Bos taurus
Linnaeus, 1758
Taburan lembu
Sinonim
  • Bos primigenius
  • Bos indicus

Lembu dipelihara sebagai binatang ternakan untuk mendapatkan daging, susu dan hasil tenusu, dan sebagai kenderaan (lembu kasi untuk menarik kereta, bajak dan alat-alat sebagainya). Produk lembu yang lain termasuklah kulit dan tahi untuk baja asli atau bahan api. Di sesetengah negara seperti India, lembu membawa erti keagamaan yang penting.

Sekitar 10,500 tahun dahulu, lembu dibela jinak daripada sekurang-kurangnya 80 progenitor di Turki tenggara.[1] Menurut anggaran 2011, terdapat 1.4 bilion ekor lembu di dunia.[2] Pada tahun 2009, genom lembu menjadi antara genom haiwan ternakan pertama yang telah dipetakan sepenuhnya.[3] Lembu dianggap harta kekayaan yang terlama, maka mencuri lembu dikira satu bentuk kecurian yang terawal.

Nama-nama

Perkataan lembu (Jawi: لمبو) asalnya dipakai di selatan Semenanjung Tanah Melayu kepada jenis haiwan ini yang besar dan putih ditunggang Sang Sapurba.[4]:46-47

Perkataan sapi (Jawi: ساڤي) dipinjamkan daripada kata bahasa Jawa ꦱꦥꦶ dan digunakan di Sumatera kepada lembu-lembu yang diimport, manakala lembu-lembu asli dalam pulau itu diberi nama jawi (Jawi: جاوي‎).[4]:386-387

Peristilahan

Lembu yang diternak atau dipelihara terutamanya untuk memperoleh susunya dipanggil lembu perahan atau lembu tenusu, sementara yang diternak untuk dimakan pula dipanggil lembu daging.

Lembu yang dibuang tanduknya dipanggil lembu dogol, manakala lembu jantan yang dibuang alat pembiakannya dipanggil lembu kasi.

Lembu pawah merupakan istilah yang diguna pakai bagi lembu yang dibahagikan hasil pemeliharaannya antara tuan punya dan orang yang mengusahakannya.[5]

Taksonomi

Lembu baka Braunvieh betina yang dipakaikan loceng.
Żubroń, kacukan wisent dan lembu.

Pada mulanya lembu dikenal pasti dengan tiga spesies: Bos taurus, iaitu lembu Eropah atau "taurina" (termasuk jenis-jenis seumpama dari Afrika dan Asia); Bos indicus, iaitu sapi (zebu); dan Bos primigenius, iaitu aurochs yang telah pupus. Aurochs merupakan leluhur kepada lembu sapi dan taurina. Kini, ketiga-tiganya dikelaskan semula sebagai satu spesies iaitu Bos taurus dengan tiga subspesies: Bos taurus primigenius, Bos taurus indicus, and Bos taurus taurus.[6][7]

Merumitkan lagi keadaan ialah kemampuan lembu untuk berkacuk dengan spesies lain yang bertalian rapat. Dengan ini wujudlah lembu baka kacukan bukan sahaja antara taurina dan sapi (seperti lembu sanga, Bos taurus africanus), bahkan juga dengan ahli-ahli yang lain di bawah genus Bos, iaitu yak (dzo atau yattle[8]), banteng, dan seladang. Kacukan seperti baka beefalo boleh pula terjadi antara lembu taurina dan mana-mana spesies bison, menyebabkan sesetengah penulis menganggap kacukan tersebut tergolong di bawah Bos.[9] Sesetengah jenis tidak jelas asal-usul kacukannya – contohnya, ujian genetik terhadap baka Dwarf Lulu, satu-satunya lembu taurina di Nepal, mmendapati campuran taurina, sapi dan yak.[10] Bagaimanapun, lembu tidak boleh dikacukkan dengan bovin yang lebih jauh pertalian seperti kerbau atau kerbau Afrika.

Aurochs pernah bertaburan di seluruh Eropah, Afrika Utara, dan sebahagian besar Asia. Lambat-laun taburannya terhad kepada Eropah, dan individu terakhir yang dikenalpasti telah mati di Mazovia, Poland, pada 1627.[11] Penternak telah cuba menghasilkan semula lembu yang seiras aurochs dengan mengkacukkan jenis lembu ternakan tradisional, maka jadilah baka lembu Heck.

Ciri-ciri

Anatomi

Penternakan tenusu dan pemerahan susu lembu pada asalnya dilakukan dengan tangan, tetapi kini rata-rata diambil alih oleh mesin.

Lembu merupakan haiwan ungulat berkaki empat dengan telapuk berbelah. Kebanyakan baka lembu mempunyai tanduk yang pelbagai saiz. Pemilihan genetik yang teliti telah menyebabkkan lembu dogol (tanpa tanduk) menjadi norma.

Model anatomi lembu

Sistem penghadaman

Lembu ialah ruminan, ertinya sistem penghadaman amat dikhususkan untuk membolehkan pengambilan tumbuhan yang sukar dicerna sebagai makanan. Lembu mempunyai satu perut dengan empat bahagian, iaitu rumen (bahagian paling besar), retikulum (bahagian paling kecil), omasum, dan abomasum.

Kadang-kadang lembu termakan objek-objek logam yang terkumpul dalam retikulum, dan pengumpulan objek logam menyebabkan penyakit perkakasan. Fungsi utama omasum ialah menyerap semula air dan zat daripada makanan yang tercerna. Abomasum pula ibarat perut manusia dan oleh itu digelar "perut sebenar".

Seperti kebanyakan ruminan lain, lembu meluahkan dan mengunyah semula makanan yang dimamah dalam mulut. Ketika lembu makan, makanan ditelan tanpa dikunyah dan masuk ke dalam rumen untuk disimpan sehingga lembu menjumpai tempat senyap untuk meneruskan penghadaman. Makanan diluahkan sesuap sekali kembali ke mulut di mana makanan yang kini menjadi mamahan dikunyah oleh gigi geraham, menghancurkan bahan vegetasi kepada cebisan kecil. Kemudian mamahan ditelan dan dicerna sekali lagi oleh mikroorganisma khas di dalam rumen. Mikroorganisma ini menguraikan selulosa dan karbohidrat lain menjadi asid lemak meruap yang digunakan oleh lembu sebagai bahan api metabolisme. Mikroorganisma dalam rumen juga mensintesiskan asid amino daripada sumber bernitrogen bukan protein seperti urea dan ammonia. Mikroorganisma ini membiak di dalam rumen. Kemudian sel-sel ini dicernakan separuh-separuh di dalam usus kecil, membolehkan lembu mendapat sumber protein berkualiti tinggi. Ciri-ciri ini membolehkan lembu hidup di atas rumput dan vegetasi lasak yang seumpamanya.

Gestasi dan saiz

Tempoh gestasi lembu kira-kira sembilan bulan. Saiz anak lembu baru lahir berbagai-bagai mengikut baka, tetapi biasanya mempunyai berat antara 25 hingga 45 kg (55 hingga 99 lb). Saiz dan berat lembu dewasa juga berbeza antara baka dan jantina. Lembu kasi umumnya disembelih sebelum mencapai 750 kg (1,650 lb). Stok pembiakbakaan mungkin dibenarkan jangka hayat yang lebih lama, kadang-kadang sepanjang 25 tahun. Lembu tertua dalam rekod, Big Bertha, mati pada usia 48 tahun pada 1993.

Pembiakan

Sistem pembiakan lembu betina.
Buah zakar lembu kasi.

Ladang ternak sering menggunakan permanian beradas, teknik pembiakan dibantu perubatan yang terdiri daripada pemendapan semen beradas dalam salur genital betina.[12] Ia digunakan dalam kes-kes yang mana spermatozoa sukar mencapai tiub Fallopio ataupun sekadar atas kehendak empunya lembu. Ia terdiri daripada pemindahan spermatozoa yang dikumpul dan diproses terdahulu ke dalam rongga uterus, dengan pemilihan spermatozoa yang lebih normal dan giat dari segi morfologi.

Ambing lembu mengandungi dua pasang kelenjar mama (atau puting), maka ada empat "suku".[13] Yang hadapan dipanggil fore quarters (sukuan depan) dan yang belakang pula rear quarters (sukuan belakang).[14]

Lembu jantan mula subur pada kira-kira umur tujuh bulan. Kesuburannya berkait rapat dengan saiz testikelnya, dan satu ujian kesuburan yang mudah ialah mengukur lilitan skrotum: lembu jantan muda lebih berkemungkinan subur apabila skrotum mencapai ukuran 28 sentimeter (11 in); skrotum lembu jantan dewasa sepenuhnya pula 40 sentimeter (16 in).[15][16]

Lembu jantan mempunyai zakar yang fibroelastik. Dengan jumlah tisu erektil yang kecil, zakar membesar sedikit selepas ereksi. Zakarnya agak tegar apabila tidak tegak, tetapi lebih tegar selepas ereksi. Sembulan tidak banyak dipengaruhi oleh ereksi, tetapi lebih daripada pengenduran otot penyentut zakar (penis retractor muscle) dan penegakan fleksur sigmoid.[17][18][19]

Pengovuman teraruh boleh dimanipulasi untuk menghasilkan manfaat penternakan, contohnya, untuk menyegerakkan pengovuman lembu untuk memanfaatkan penternakan tenusu.

Berat

Rekod dunia lembu jantan terberat ialah 1,740 kg (3,840 lb), seekor lembu baka Chianina bernama Donetto, apabila dipamerkan di pertunjukkan Arezzo pada 1955.[20] Lembu kasi paling berat pula ‘Old Ben’, seekor Shorthorn/Hereford berumur 8 tahun yang berberat 2,140 kg (4,720 lb) pada 1910.[21]

Berat lembu dewasa berbagai-bagai mengikut baka. Yang kecil-kecil seperti baka Dexter dan Jersey antara 272 hingga 454 kg (600 hingga 1,000 lb). Baka Kebenuaan besar-besar seperti Charolais, Marchigiana, Belgian Blue dan Chianina, berjulat antara 635 hingga 1,134 kg (1,400 hingga 2,500 lb). Baka-baka British seperti Hereford, Angus, dan Shorthorn, mencapai kematangan antara 454 hingga 907 kg (1,000 hingga 2,000 lb), kadangkala lebih tinggi, khususnya pada Angus dan Hereford.[22]

Sukar mengitlakkan atau memuratakan berat semua lembu kerana lain baka lainlah purata beratnya. Bagaimanapun, menurut sesetengah sumber, purata berat semua lembu ialah 753 kg (1,660 lb). Lembu kasi peringkat penamatan di fidlot puratanya 640 kg (1,410 lb); lembu betina sekitar 725 kg (1,600 lb), dan lembu jantan pula 1,090 kg (2,400 lb).[23]

Di Amerika Syarikat, purata berat lembu daging meningkat mendadak, terutamanya sejak 1970-an, memerlukan pembinaan tempat penyembelihan baru yang mampu menampung karkas yang lebih besar. Kilang-kilang pembungkusan baharu pada 1980-an menggambarkan peningkatan besar dalam berat lembu.[24] Sebelum 1790 purata berat bersih lembu daging hanya 160 kg (350 lb); dan semenjak itu naik mendadak.[25][26]

Pancaindera

Lembu menggunakan kelima-lima deria yang diketahui. Ini dapat membantu untuk mengkaji corak kelakuan kompleks, contohnya ketika meragut. Lembu makan pelbagai jenis tumbuhan, tetapi jika diberi peluang, menunjukkan mereka gemar makan klover (70%) daripada rumput (30%). Kecenderungan ini mempunyai corak diurnal yang mengutamakan klover pada waktu pagi, kemudian pengambilan rumput meningkat pada waktu petang.[27]

Penglihatan

Lembu mengunakkan deria penglihatan untuk mendapatkan 50% maklumat secara visual. [28]

Lembu sebagai haiwan mangsa mempunyai mata yang terletak di sisi kepala untuk mengesan musuh. Oleh itu medan penglihatannya selebar 330° tetapi penglihatan binokular (dan stereopsisnya) terhad kepada 30° hingga 50° berbanding manusia dengan 140°.[29][30] Ini bermakna terdapat titik buta betul-betul di belakang lembu. Penglihatan lembu tajam (1/20)[29] tetapi lemah akomodasi visual berbanding manusia.[28]

Lembu mempunyai dua jenis reseptor warna dalam sel kon retina. Oleh itu, lembu bersifat dikromatik, seperti kebanyakkan mamalia darat bukan primat.[31][32] Setiap kon ada dua ke tiga rod dalam fovea centralis tetapi lima ke enam rod berdekatan papila optik.[30] Lembu boleh membezakan warna kuning, jingga dan merah jauh lebih baik daripada warna biru, kelabu dan hijau. Anak lembu dapat membezakan panjang gelombang diantara panjang (merah) dan pendek (biru), tetapi mempunyai kebolehan terhad untuk membezakan antara yang pendek dan sederhana. Ia juga cepat mendekati pengendali haiwan bawah cahaya merah.[33][29]

Salah satu salah sangka umum mengenai lembu jantan adalah ia dimarahkan oleh warna merah. Dalam sukan lawan lembu, lembu jantan dirangsang untuk menyerang pergerakan kain dan kain merah memudahkan penonton untuk melihatnya.[34]

Rasa

Deria rasa lembu cukup kompleks untuk membezakan empat rasa utama (manis, masin, pahit dan masam). Ia mempunyai kira-kira 20,000 tunas rasa. Kekuatan deria rasa bergantung pada keperluan makanan semasa individu. Lembu menghindari makanan pahit (mungkin beracun) dan gemar makanan manis (nilai kalori tinggi) dan masin (imbangan elektrolit). Kepekaan lembu kepada makanan masam dapat menjaga pH rumen yang optimum.[28]

Apabila berada di kawasan dengan tumbuhan rendah natrium, lembu akan mencari garam dengan deria rasa dan hidu. Untuk membantu pencarian, reseptor bau dan rasanya berupaya untuk mengesan jumlah garam natrium yang sedikit. Hal ini kerana kepekaan lembu terhadap garam bertambah kerana gendala biokimia berkembang dengan pengurangan garam natrium.[35][36]

Pendengaran

Julat pendengaran lembu diantara 23 Hz hingga 35 kHz. Frekuensi kepekaan terbaik ialah 8 kHz dan nilai ambang terendahnya −21 db (re 20 μN/m−2), iaitu pendengaran lembu lebih tajam daripada kuda (nilai ambang terendah 7 db).[37] Purata nilai ambang ketajaman penyetempatan bunyi (sound localization acuity) ialah 30°. Ertinya, lembu kurang mampu menyetempatkan bunyi berbanding kambing (18°), anjing (8°) dan manusia (0.8°).[38] Oleh sebab mempunyai medan penglihatan fovea yang luas meliputi hampir seluruh garis ufuk, lembu mungkin tidak memerlukan maklumat lokus yang jitu daripada sistem pendengaran untuk menghalakan penglihatan ke arah punca bunyi.

Vokalisasi adalah kaedah komunikasi yang penting bagi lembu yang boleh memberikan maklumat mengenai umur, jantina, darjah penguasaan dan status pembiakan lembu yang berbunyi. Anak lembu dapat mengecam ibunya dengan mendengar suara dengan teliti, malah kelakuan vokal mungkin memainkan peranan dengan menandakan estrus betina dan daya saing jantan.[39]

Hidu

Hubungan sosial antara lembu menggunakan pancaindera.

Lembu mempunyai banyak kelenjar bau di seluruh badan termasuk kelenjar di celah telapuk (interdigital), bawah lubang mata (infraorbital), lipatan paha (inguinal) dan sebum, menunjukkan bahawa bau barangkali memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial lembu. Lembu mempunyai dua sistem bau, iaitu sistem bau primer yang menggunakan bulba olfaktori, dan sistem bau sekunder dengan organ vomeronasal.[40] Sistem bau kedua digunakan dalam tindak balas flehmen. Ada bukti bahawa apabila lembu tertekan, lembu lain boleh mengesannya kerana ini disampaikan oleh bahan-bahan penanda dalam urin.[41] Bau tahi anjing mengaruhkan perubahan kelakuan sebelum lembu makan, manakala bau urin daripada lembu yang lain, sama ada tertekan atau tidak, tidak meninggalkan kesan.[42]

Dalam makmal, lembu boleh dilatih untuk mengecam individu sama spesies hanya dengan menghidu.[40]

Kesimpulannya, lembu menggunakan deria hidu untuk "meluaskan" maklumat yang dikesan oleh deria lain. Tetapi dalam hal kelakuan sosial dan pembiakan, Deria bau adalah sumber maklumat utama.[28]

Sentuhan

Lembu mempunyai deria sentuh yang tertumpu pada mekanoreseptor, termoreseptor dan nosiseptor pada kulit dan mancung. Semua ini akan digunakan apabila lembu menjelajahi persekitarannya.[28]

Magnetoresepsi

Terdapat bukti yang bercanggah mengenai magnetorecepsi pada lembu. Satu kajian melaporkan bahawa lembu yang rehat dan meragut cenderung menjajarkan paksi badan ke dalam arah Utara-Selatan geomagnetik.[43] Dalam kajian susulan, lembu yang terdedah kepada pelbagai medan magnet, contohnya betul-betul di bawah atau dalam lingkungan kabel elektrik akan mengikut arah aliran pelbagai arah magnet menunjukkan corak jajaran yang tersendiri.[44] Tetapi pada tahun 2011, sekumpulan penyelidik Czech gagal untuk meniru hasil kajian lampau menggunakan gambar-gambar Google Earth.[45]

Kelakuan

Dalam keadaan semula jadi, anak lembu tinggal bersama ibu sehingga bercerai susu sehingga umur 8 ke 11 bulan. Anak lembu akan rapat dengan ibunya untuk beberapa bulan pertama.[46] Lembu dikategorikan sebagai haiwan jenis "penyembunyi", tetapi dalam persekitaran beradas, kandang yang beranak kecil, ibu dan anak akan menjalin jarak dekat untuk tiga kelahiran yang pertama. Ibu kali pertama menunjukkan kelakuan keibuan abnormal yang lebih tinggi.[47]

Video anak lembu menyusu

Anak lembu daging yang dibela di kawasan lapang akan menyusu purata 5.0 kali setiap 24 jam dengan purata tempoh 46 minit digunakan untuk menyusu. Aktiviti menyusu mempunyai ritma harian dengan kemuncak antara 05:00–07:00, 10:00–13:00 dan 17:00–21:00.[48]

Kajian terhadap cerai susu semula jadi pada sapi (Bos indicus) menunjukkan bahawa betina menceraikan anak dalam tempoh dua minggu, tetapi selepas itu ia terus menujukkan hubungan erat bersama anak dan mengutamakan anak sendiri sebagai teman mengemas bulu dan meragut selama 4–5 tahun sekurang-kurangnya.[49]

Penguasaan dan kepimpinan

Satu kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh empat tahun, terdapat hubungan penguasaan yang kukuh dalam sekawan lembu tanah tinggi separa liar. Sedikit sahaja konflik agresif yang ketara dan kebanyakkan pertelingkahan selesai secara agonis (kompetitif tetapi tidak agresif) yang langsung tidak melibatkan sentuhan fizikal sesama lawan (cth. menggugat dan berundur secara spontan). Kelakuan agonis sedemikian mengurangkan risiko kecederaan. Status penguasaan bergantung pada umur dan jantina. Lembu tua menguasai yang muda, dan jantan menguasai betina. Jantan muda mencapai tahap penguasaan terhadap betina dewasa pada umur sekitar dua tahun.[50]

Seperti mana kebanyakan hierarki penguasaan haiwan, perilaku agresif berkenaan penguasaan tidaklah sejajar dengan tingkat darjat, tetapi lebih berkait rapat dengan jarak darjat antara individu.[50]

Penguasaan dipelihara dengan beberapa cara. Lembu sering berlaga olok-olok untuk menguji kekuatan satu sama lain secara tidak agresif. Lazimnya ahli bawahan menjilat ahli yang lebih berkuasa. Memanjat-manjat adalah kelakuan main-main yang ditunjukkan oleh anak lembu kedua-dua jantina, jantan dewasa dan kadang-kadang betina dalam estrus,[51] tetapi ini bukan kelakuan berkenaan penguasaan yang terdapat pada spesies lain.[50]

Tanduk lembu merupakan "isyarat jujur" yang digunakan dalam pemilihan pasangan mengawan. Lebih-lebih lagi, lembu bertanduk cuba menjauhkan diri daripada satu sama lain dan kurang berinteraksi fizikal daripada lembu tanpa tanduk. Ini membawa kepada hubungan sosial yang lebih stabil.[52]

Pada anak lembu, kekerapan kelakuan agonis berkurangan apabila peruntukan ruang bertambah, tetapi ini tidak berlaku untuk perubahan dalam saiz kumpulan. Bagaimanapun pada lembu dewasa, bilangan pertemuan agonis bertambah apabila saiz kumpulan bertambah.[53]

Kelakuan meragut

Apabila meragut, lembu mempelbagaikan beberapa aspek gigitannya, iaitu pergerakan lidah dan rahang, mengikut ciri-ciri tumbuhan yang dimakan. Keluasan gigitan berkurangan dengan kepadatan tumbuhan tetapi bertambah dengan ketinggian. Keluasan gigitan ditentukan oleh cakupan lidah; dalam satu kajian yang memerhatikan lembu kasi 750-kilogram (1,650 lb), keluasan gigitan mencapai kira-kira 170 cm2 (30 in2). Kedalaman gigitan meningkat dengan ketinggian tumbuhan. Dengan menyesuaikan kelakuan, lembu mendapat gigitan yang lebih berat di padang rumput yang tinggi dan jarang berbanding padang rumput sama jisim/keluasan yang pendek dan padat.[54] Lembu menyesuaikan aspek-aspek lain kelakuan meragutnya selaras dengan makanan yang ada; halaju mencari makan berkurangan dan kadar pengambilan meningkat di kawasan-kawasan yang kaya dengan bekalan makanan yang sedap.[55]

Lembu mengelak daripada meragut kawasan yang dicemari oleh tinja lembu lain dan daripada binatang lain seperti biri-biri.[56]

Pembelajinakan dan penternakan

Lembu memainkan peranan unik dalam sejarah manusia, dibela jinak semenjak seawal zaman Neolitik awal.

Data arkeozoologi dan genetik menunjukkan bahawa lembu mula-mula dibela jinak daripada aurochs liar (Bos primigenius) kira-kira 10,500 tahun dahulu. Terdapat dua kawasan utama pembelajinakan: satu di kawasan kini Turki yang menurunkan rumpun taurina, dan satu lagi di kawasan kini Pakistan yang menurunkan rumpun indisina (sapi).[57] Variasi mitokondria DNA moden menunjukkan bahawa salasilah taurina mungkin timbul daripada sekurang-kurangnya 80 ekor aurochs yang dijinakkan kawasan hulu Mesopotamia berdekatan kampung Çayönü Tepesi di tenggara Turki dan Dja'de el-Mughara di utara Iraq.[58]

Biarpun lembu Eropah rata-ratanya keturunan taurina, aliran gen daripada lembu Afrika (keturunan sekerat indisina) menyumbangkan komponen genom yang banyak kepada baka-baka lembu Eropah selatan dan keturunannya di Dunia Baru.[57] Kajian terhadap 134 baka menunjukkan bahawa lembu taurina moden berasal dari Afrika, Asia, Amerika Utara dan Selatan, Australia dan Eropah.[59] Ada penyelidik yang berhujah bahawa lembu taurina Afrika diturunkan dari pembelajinakan berasingan yang ketiga daripada aurochs Afrika Utara.[57]

Sebagai wang

Seawal 9000 SM biji-bijian dan lembu digunakan sebagai duit atau bahan barter (ditemuinya sisa biji-bijian pertama, dianggap bukti amalan pra-pertanian seawal 17,000 SM).[60][61][62] Juga terdapat bukti bahawa haiwan lain seperti unta dan kambing mungkin dijadikan mata wang di sesetengah kawasan dunia.[63] Salah satu kelebihan lembu sebagai mata wang adalah membolehkan penjual menetapkan harga. Misalnya, dua ekor ayam ditukar untuk seekor lembu kerana lembu dikira lebih berharga daripada ayam.[61]

Penternakan moden

Lembu Hereford ini sedang diperiksa untuk sengkenit; lembu sering dikurung dalam pasung untuk tujuan perubatan.
Lembu muda ini dipakaikan anting-anting hidung untuk mencegah penyusuan, biasanya untuk membantu proses cerai susu.

Lembu sering diternak dengan dibenarkan meragut rumput di padang luas secara berkawanan. Menternak lembu sebegini membolehkan penggunaan tanah yang mungkin tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Interaksi paling umum dengan lembu melibatkan memberi makan, membersihkan dan menyusu setiap hari. Banyak amalan penternakan rutin melibatkan pemasangan tanda telinga, membuang tanduk, mengangkut, operasi perubatan, pemvaksinan dan penjagaan telapuk, di samping latihan untuk pameran tani. Juga terdapat perbezaan budaya dalam penternakan lembu. Contohnya, kaum Fulani menternak lembu berasaskan teknik kelakuan, sedangkan di Eropah lembu dikawal secara fizikal seperti pagar.[64] Penternak menggunakan penternakan lembu untuk mengurangkan keterdedahan jangkitan M. bovis secara pembiakbakaan terpilih serta menjaga kesihatan kawanan untuk mencecah penyakit serentak.[65]

Lembu diternak untuk daging, susu dan kulit. Sedikit pula digunakan untuk "ragutan pemuliharaan", sekadar untuk menjaga tanah rumput untuk hidupan liar – contohnya di Epping Forest, England. Lembu sering digunakan untuk tempat-tempat paling liar bagi ternakan. Bergantung pada baka, lembu boleh hidup pada rumput bukit, kawasan semak, rawa, mur dan separa gurun. Lembu moden lebih komersil daripada baka lama, tetapi kurang kegunaan kerana lebih terkhusus. Ata sebab inilah ramai penternak kecilan menggemari baka lama seperti baka tenusu di Jersey. Di Portugal, Sepanyol, Perancis selatan dan sesetengah negara Amerika Latin, lembu digunakan dalam sukan lawan lembu; Jallikattu di India merupakan sukan menjinakkan lembu yang jauh bezanya dengan laga lembu Eropah, di mana manusia tidak bersenjata dan lembu tidak dibunuh. Kebanyakan negara lain mengharamkan sukan laga lembu. Kegiatan lain seperti menunggang lembu terdapat dalam acara rodeo, khususnya di Amerika Utara. Kegiatan lompat lembu, sebuah ritual utama dalam kebudayaan Minoa Zaman Gangsa, masih diamalkan di barat daya Perancis. Pada zaman moden, lembu juga menyertai pertandingan tani yang melibatkan lembu hidup mahupun karkas lembu di acara hoof and hook (gantung telapuk).

Dari segi pengambilan makanan manusia, pengambilan lembu kurang efisien berbanding biji-bijian mahupun sayur-sayuran berkenaan penggunaan tanah, maka lembu meragut menggunakan lebih banyak tanah daripada penanaman bijian.[66] Sungguhpun demikian, lembu dan jenis-jenis haiwan bela jinak yang lain kadang-kadang boleh digunakan untuk menggunakan sumber tumbuhan di tempat-tempat yang sukar diusahakan bentuk pertanian lain.

Peningkatan jumlah penternakan meningkat di sebabkan pertambahan populasi manusia,[67]peningkatan kuasa beli rakyat dan peningkatan pengetahuan tentang pengambilan nutrisi makanan ternakan

Tidur

Purata tempoh tidur lembu ternakan kira-kira 4 jam sehari.[68] Lembu ada stay apparatus (mekanisme mengunci sendi ketika berdiri),[69] tetapi tidak tidur berdiri,[70] sebaliknya duduk untuk tidur nyenyak.[71] Lembu tidur tidak boleh diterbalikkan dengan ditolak oleh manusia.[72]

Ekonomi

Lembu Holstein merupakan baka tenusu terulung yang diternak untuk pengeluaran susu berjumlah tinggi

Lembu disembelih untuk daging, baik yang dewasa mahupun anak. Bahagian lembu yang lain juga dijadikan makanan, iaitu darah, hati, buah pinggang, jantung, ekor dan sebagainya. Lembu juga menghasilkan susu, malah lembu tenusu diternak khas untuk menghasilkan kuantiti susu yang banyak untuk diproses dan dijual bagi kegunaan manusia.

Pengeluaran susu yang telah diolah menjadi keju, mentega, yogurt dan hasil tenusu yang lain, setanding dengan pengeluaran daging serta membekalkan sebahagian penting bekalan makanan bagi kebanyakan penduduk dunia. Kulit lembu digunakan untuk membuat pakaian, kasut dan kerusi panjang. Lembu masih digunakan meluas sebagai binatang kenderaan di kebanyakan negara membangun seperti India. Lembu juga digunakan dalam sukan seperti rodeo dan laga lembu.

Daging

Lembu Kedah-Kelantan, baka lembu pedaging pilihan penternak Malaysia.

Lembu kini merupakan asas kepada industri multinasional dunia. Perdagangan antarabangsa daging lembu mencatatkan sebanyak 9.4 juta tan metrik daging lembu yang dieksport pada tahun 2016, majoritinya oleh empat buah negara yang mengeksport lebih satu juta tan metrik setiap satu, iaitu Brazil, India, Australia dan Amerika Syarikat.[73] Kira-kira separuh daripada pengeluaran daging seluruh dunia berasal daripada lembu.[74]

Di Malaysia, baka-baka daging yang menjadi pilihan ialah baka Kedah-Kelantan (KK), Local Indian Dairy, Brahmin, Hereford (baka tulen mahupun kacukan dengan KK), Kacukan Komersial Australia, Droughtmaster, dan Mafriwal (kacukan Friesian-Sahiwal).

Susu

Susu lembu dahulunya diperah dengan tangan, tetapi kini rata-ratanya digantikan dengan mesin.

Baka-baka tertentu, misalnya Holstein-Friesian, digunakan untuk menghasilkan susu,[75][76] yang boleh diproses kepada hasil tenusu seperti susu, keju atau yogurt. Lembu tenusu biasanya dibela di ladang khusus tenusu yang direka untuk pengeluaran susu. Lembu biasanya diperah dua kali sehari, dan susunya diproses di tempat penyimpanan bahan tenusu, sama ada di ladang sendiri atau kilang untuk mengkomersialkan hasil tenusu.[77] Lembu tenusu yang hendak terus mengeluarkan susu mesti melahirkan seekor anak setahun. Anak lembu jantan biasanya disembelih muda untuk dagingnya.[78] Lembu akan terus menghasilkan susu sehingga tiga minggu sebelum kelahiran.[76] Penternakan tenusu menjadi semakin intensif untuk meningkatkan daya pengeluaran. Holstein-Friesian merupakan baka tenusu yang paling laris di Eropah dan Amerika Syarikat, dibiakbakakan secara terpilih untuk menghasilkan keluaran susu tertinggi dalam segala baka lembu. Purata pengeluaran susu di UK adalah 22 liter sehari.[75][76]

Di Malaysia pula, antara baka tenusu yang umum ialah Mafriwal, Girlando dan kacukan Friesian. Mafriwal dijadikan pilihan utama kerana mempunyai tahap kesuburan yang baik, senang diurus dan tahan cuaca panas dan kelembapan tinggi.[79]

Kulit

Rata-ratanya lembu diternak bukan untuk kulit semata-mata. Biasanya kulit adalah produk sampingan daripada pengeluaran daging. Kulit lembu digunakan untuk membuat pelbagai produk termasuk kasut. Pada 2012, India merupakan pengeluar terbesar kulit lembu.[80]

Lembu jalang

Lembu jalang (feral) merupakan "lembu yang tidak dijinakkan".[81] Kewujudan populasi lembu jalang telah dikenalpasti di negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Colombia, Argentina, Sepanyol, Perancis serta pulau-pulau termasuk New Guinea, Hawaii, Galapagos, Juan Fernández, Hispaniola (Republik Dominica dan Haiti), Tristan da Cunha dan Île Amsterdam,[82] dua buah pulau Kuchinoshima[83] dan Pulau Kazura yang berdekatan Pulau Naru di Jepun.[84][85] Lembu Chillingham juga ada kalanya dikira baka jalang.[86] Lembu liar Aleut terdapat di Kepulauan Aleut.[87] "Lembu Kinmen" yang khusus terdapat di Pulau Kinmen, Taiwan kebanyakkannya dibelajinakkan manakala segelintir populasinya dipercayai hidup liar kerana dilepaskan tanpa sengaja.[88]

Antara contoh-contoh lain termasuk populasi di Hong Kong (di Shing Mun Country Park,[89] sekitar Daerah Sai Kung[90] dan Pulau Lantau[91] dan Grass Island[92]), dan lembu separa jalang di Yangmingshan, Taiwan.[93]

Agama, tradisi dan budaya rakyat

Tradisi Islam

Dalam kitab Al-Quran sering disebut tentang lembu. Surah terpanjang dalam Al-Quran berjudul Al-Baqarah ("Lembu Betina"). Daripada 286 ayat dalam surah al-Baqarah, terdapat tujuh ayat yang menyebut tentang lembu (Al-Baqarah 67–73).[94][95] Tajuk surah ini dipetik dari petikan di mana Nabi Musa a.s. memerintahkan umatnya untuk mengorbankan seekor lembu betina untuk menghidupkan kembali seseorang yang dibunuh oleh orang yang tidak dikenali.[96]

Tradisi Hindu

Lembu adalah haiwan suci dan terhormat dalam agama Hindu. Pada zaman Vedik, lembu melambangkan kemewahan [97]:130 dan seringkali disembelih. Pada zaman kemudiannya barulah lembu telah disucikan. Menurut Mahabharata lembu harus dilayan dengan sama hormatnya seperti ibu sendiri.[98] Pada pertengahan alaf pertama, penggunaan daging lembu mula tidak disenangi oleh perundangan.[97]:144 Walaupun tiada dewa-dewi berupa lembu mahupun kuil memuja lembu,[97]:146 namun lembu banyak terdapat pada catatan Veda dan Purana. Dewa Krishna dibesarkan dalam keluarga penternak lembu, maka diberi timangan Govinda (pelindung lembu). Di samping itu, Shiva diceritakan menunggang lembu jantan bernama Nandi.

Susu dan hasil tenusu banyak digunakan dalam ritual Vedik.[97]:130 Pada zaman pasca-Vedik, hasil lembu – susu, dadih, minyak sapi, bahkan juga tahi dan kencing lembu (gomutra), ataupun kelima-limanya sekali (pancagavya) – mula memainkan peranan penting dalam penyucian dan penebusan dosa.[97]:130–1

Menyanjung lembu menjadi lambang identiti masyrakat Hindu,[97]:20 terutamanya sejak akhir abad ke-19. Penyembelihan lembu diharamkan di sesetengah kawasan di India. Restoran McDonald's di India tidak menyajikan burger lembu. Di negara Maharaja Ranjit Singh awal abad ke-19, membunuh lembu boleh dikenakan hukuman mati.[99]

Tradisi lain

  • Lembu adalah salah satu daripada 12 ahli zodiak Cina.
  • Buruj Taurus melambangkan lembu jantan.
  • Kaum Fulani di Afrika Barat merupakan penternak lembu nomadik terbesar.
  • Puak Maasai di Afrika timur mempunyai kepercayaan lama bahawa dewa Engai mengurniakan kepada mereka hak mutlak ke atas semua lembu di Bumi.[100]

Populasi

Pada 2013, FAO menganggarkan jumlah lembu sedunia sebanyak 1.47 bilion:[101] Asia 495 juta; Amerika Selatan 348 juta; Afrika 305 juta; Eropah 122 juta; Amerika Utara 102 juta; Amerika Tengah 46 juta; Oseania 42 juta; dan Caribbean 9 juta.

Rujukan

Pautan luar