Daging lembu

Daging lembu (Jawi: داݢيڠ لمبو; Bahasa Inggeris: beef) ialah jaringan otot yang diperoleh daripada lembu yang biasa dan umum digunakan untuk keperluan makanan. Di setiap kawasan, penggunaan daging ini berbeza-beza bergantung kepada cara pemotongannya. Sebagai contoh, daging batang pinang, daging rusuk dan T-Bone sangat umum digunakan di Eropah dan di Amerika Syarikat sebagai bahan stik sehingga bahagian ini banyak diperdagangkan. Tetapi, di negara Asia lain, daging ini banyak digunakan untuk makanan berempah dan bersantan seperti sup tulang dan rendang.

Potongan daging lembu sistem Amerika Syarikat

Selain itu, terdapat beberapa bahagian daging lembu lain seperti lidah, hati, perut dan punggung hanya digunakan di negara tertentu sebagai bahan makanan.

Sejarah

Daging lembu dimakan oleh manusia semenjak zaman prasejarah, seperti yang dibuktikan oleh lakaran aktiviti memburu aurochs pada lukisan gua seperti yang terdapat di Lascaux. Manusia menjinakkan dan menternak lembu untuk memperoleh sumber daging, susu, dan kulit yang mudah.[1] Lembu telah dijinakkan sekurang-kurangnya dua kali sepanjang sejarah evolusi. Peristiwa penjinakan pertama berlaku kira-kira 10,500 tahun dahulu dengan evolusi Bos taurus, sementara peristiwa kedua pula berlaku sekitar 7,000 tahun dahulu dengan evolusi Bos indicus di Lembah Indus. Mungkin terdapat satu lagi peristiwa penjinakan sekitar 8,500 tahun dahulu menerusi spesies ketiga Bos africanus yang mungkin menjelma di Afrika. [2]Kebanyakan lembu berasal dari Dunia Lama (benua Eurasia dan Afrika) kecuali kacukan bison yang berasal dari benua Amerika. Contohnya, Wagyū dari Jepun, Ankole-Watusi dari Mesir, dan Zebu dari India.[3]

Tidak pasti bila manusia mula memasak daging lembu. Lembu digunakan secara meluas di serata Dunia Lama untuk pengangkutan, pemerolehan susu mahupun makanan untuk manusia. Sejajar dengan pemodenan kaedah penternakan, sesetengah baka dibiakkan khas untuk meningkatkan hasil daging, maka timbullah lembu baka Chianina dan Charolais, ataupun untuk menambah baik tekstur daging, maka timbullah baka Murray Grey, Angus, dan Wagyū. Sesetengah baka dipilih untuk penghasilan susu dan daging sekaligus, misalnya Brown Swiss (Braunvieh).

Khasiat dan kesihatan

Daging (Lembu) Kisar 15% lemak, dipanggang
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga1,047 kJ (250 kcal)
Karbohidrat0 g
- Kanji0 g
- Serabut diet0 g
Lemak15 g
- tepu5.887 g
- monotaktepu6.662 g
- politaktepu0.485 g
Protein26 g
Air58 g
Tiamina (vit. B1)0.046 mg (4%)
Riboflavin (vit. B2)0.176 mg (15%)
Niasin (vit. B3)5.378 mg (36%)
Vitamin B60.383 mg (29%)
Folat (vit. B9)9 μg (2%)
Vitamin B122.64 μg (110%)
Kolina82.4 mg (17%)
Vitamin D7 IU (1%)
Vitamin E0.45 mg (3%)
Vitamin K1.2 μg (1%)
Kalsium18 mg (2%)
Besi2.6 mg (20%)
Magnesium21 mg (6%)
Mangan0.012 mg (1%)
Fosforus198 mg (28%)
Kalium318 mg (7%)
Natrium72 mg (5%)
Zink6.31 mg (66%)
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.
Sumber: USDA Nutrient Database

Daging lembu merupakan sumber protein lengkap dan juga sumber yang kaya dengan niasin, vitamin B12, zat besi dan zink.[4] Daging merah merupakan sumber karnitina yang paling utama, dan seperti mana-mana daging yang lain (ikan, kambing dsb.), ia merupakan sumber kreatina. Kreatina ini ditukar menjadi kreatinina sewaktu dimasak.[5]

Masalah kesihatan

Kanser

Pengambilan daging proses merah secara berlebihan dikenal pasti menaikkan risiko kanser usus dan lain-lain penyakit kanser.[6][7][8]

Penyakit jantung

Harvard School of Public Health mengesyorkan agar pengguna makan daging merah secara hemat kerana ia mengandungi banyak lemak tepu.[9] Akan tetapi, satu lagi kaji selidik dari Harvard School of Public Health yang disiarkan dalam jurnal Circulation mendapati bahawa pengambilan daging proses, tetapi bukan daging merah, dikaitkan dengan peningkatan insiden penyakit jantung koronari dan diabetes mellitus."[10]

Dapatan ini boleh dikira mengesahkan suatu metaanalisis terdahulu mengenai kesan lemak tepu terhadap kesihatan dalam The American Journal of Clinical Nutrition yang menyatakan bahawa tidak terdapat bukti kukuh untuk menyimpulkan bahawa lemak tepu dalam pemakanan dikaitkan dengan meningkatnya risiko penyakit jantung koronari atau penyakit kardiovaskular. Perlunya lebih data untuk menjelaskan sama ada risiko penyakit kardiovaskular lebih berkemungkinan dipengaruhi oleh nutrien-nutrien tertentu yang digunakan sebagai pengganti lemak tepu."[11]

Dioksin

Segelintir lembu ternakan meraguti padang rumput yang dibajakan dengan enap cemar kumbahan. Mungkin terdapat bahan-bahan dioksin ternaik dalam daging-daging lembu berkenaan[12]

Penyakit

Pada 1984, penggunaan mil daging dan tulang dalam pakan lembu menyebabkan rebakan pertama bovine spongiform encephalopathy (BSE atau "penyakit lembu gila") di dunia di United Kingdom.[13] Sejak itu berlakunya wabak-wabak sedemikian yang melanda ternakan lembu seluruh dunia.

Peraturan Kesatuan Eropah (EU) No 999/2001 telah menggariskan pengharaman mutlak ke atas penggunaan produk berasaskan mamalia sebagai bahan suapan untuk lembu.[14] Akan tetapi, pada tahun 2010, EU menerusi agensi Lembaga Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) mengusulkan pelan tindakan untuk menarik semula larangan secara beransur-ansur.[15] Pada tahun 2013, disiarkan satu pindaan untuk Annex IV 999/2001 yang membenarkan penggunaan sesetengah produk susu, ikan, telur, dan haiwan yang disuap dengan tumbuhan.[16]

Pengeluaran dunia

Restoran daging lembu di Johor, Malaysia.

Berikut adalah lima negara pengeluar daging lembu dan kerbau terbesar di dunia (dalam tan metrik, 2016).[17]

TanggaNegara2016% Dunia
1Brazil1,850,00019.60%
2India1,850,00019.60%
3Australia1,385,00014.67%
4Amerika Syarikat1,120,00011.87%
5New Zealand580,0006.14%

Rujukan

Pautan luar