Bendera Malaysia; (Jawi: بنديرا مليسياcode: ms is deprecated ) atau nama rasminya Jalur Gemilang (Jawi: جالور ݢميلڠcode: ms is deprecated ),[1] mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah yang melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada bandingnya terhadap negara ini, di sebelah atas bermula dari jalur putih kedua bersilang sehingga jalur putih yang terakhir melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan dan ianya menjadi simbol untuk 14 jalur pada Jalur Gemilang.
Bahagian segi empat (atau kanton) yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri menegak dari atas hingga ke bawah jalur merah yang kelima itu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia; kanton tersebut mengandungi anak bulan yang melambangkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan (seperti yang telah tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia).[2] Bintang pecah 14 itu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu.
Empat warna ini yang melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia, dan kemuliaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.[3]
Sejarah
Sejarah awal bendera di Malaysia
Rekod terawal secara terperinci mengenai bendera di dalam budaya Melayu adalah di dalam Sulalatus Salatin (atau Sejarah Melayu) nukilan Tun Sri Lanang yang merupakan BendaharaJohor pada masa itu. Dalam karya tersebut Tun Sri lanang telah menjelaskan secara terperinci tentang penggunaan panji-panji di Kesultanan Johor. Menurutnya, Sultan Johor menggunakan panji berwarna putih bagi melambangkan kesucian dan kekudusan; bakal raja juga menggunakan panji putih namun berbingkaikan warna diraja iaitu warna kuning; Bendahara menggunakan panji-panji berwarna hijau; Temenggong menggunakan panji berwarna hitam; manakala Laksamana menggunakan panji berwarna merah. Dinyatakan juga bahawa jikalau Bendahara, Temenggong atau Laksamana merupakan seorang kerabat diraja, maka bendera-bendera yang mereka pakai akan berbingkaikan warna diraja.[4]
Penggunaan bendera di dalam budaya Melayu tidaklah asing. Seawal era Kesultanan Melayu Melaka lagi, terdapat rekod-rekod mengenai penggunaan panji-paji berwarna merah dan lambang bulan sabit oleh kerajaan tersebut.[3] Malah, sejak seawal zaman Kerajaan Majapahit lagi sudah terdapat bendera yang digunakan iaitu bendera Sang Saka Getih-Getah Samudera atau Sang Saka Gula Kelapa.[5][6]
Pada abad ke-17, hampir kesemua kerajaan Melayu menggunakan bendera berwarna putih bagi bendera negeri mereka. Walau bagaimanapun, apabila pihak penjajah British datang ke Tanah Melayu, mereka telah menasihati semua kerajaan-kerajaan Melayu untuk mengubah bendera mereka kepada bendera yang boleh dibezakan antara negeri-negeri lain. Kesemua negeri-negeri tersebut mengikuti nasihat British itu, kecuali Terengganu yang mengekalkan bendera putih itu sehingga tahun 1925.[7]
Apabila British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, persekutuan tersebut telah menggunakan satu bendera yang mempunyai empat jalur melintang berwarna putih, merah, kuning dan hitam, dengan satu bujur putih di bahagian tengah bendera yang mengandungi seekor harimau. Bendera tersebut turut diguna pakai bagi Malayan Union namun telah digantikan apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu
Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.
Bagi tujuan itu, satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan telah ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.[8]
Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pertama.
Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) kedua.
Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ketiga.
Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut.[9] Keputusan akhir pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail[10] telah disiarkan pada 29 November 1949 di mana ia menunjukkan majoriti pengundi telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor.
Reka bentuk ini menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru berwarna merah. Reka bentuk ini adalah kacukan antara bendera Johor iaitu negeri asal Mohamed dan bendera Kerajaan Majapahit.[6]Walau bagaimanapun, rekaan ini perlu diubah suai beberapa kali terdahulu.
Salah seorang ahli jawatankuasa tersebut, Dato' Onn bin Jaafar telah ke Johor untuk bertemu dengan Mohamed bagi membincangkan pengubahsuaian tersebut. Pertama ialah bintang pecah lima pada kanton bendera, yang mana Dato' Onn telah mencadangkan agar diubah kepada bintang pecah sebelas. Hal ini memandangkan Tanah Melayu sedang aktif menentang pengganas komunis di serata negara, dan bintang pecah lima adalah mirip simbol yang digunakan pihak komunis pada ketika itu. Kedua, perubahan terhadap warna jalur dan warna kanton telah dicadangkan, agar ditukar antara kedua-duanya, maka kantonnya berwarna biru dan jalurnya berwarna merah dan putih. Perubahan ketiga adalah hasil titah cadangan Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda mencadangkan agar warna putih bulan dan bintang itu diubah kepada warna kuning iaitu warna diraja.
Setelah Mohamed bersetuju dengan pengubahsuaian tersebut dan mengemukakan reka bentuk terpinda, reka bentuk tersebut telah diteliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"Bahawa pada pendapat Majlis ini Bendera Persekutuan Tanah Melayu hendaklah seperti berikut:- Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, jalur paling atas berwarna merah, mempunyai suku biru dengan bulan sabit dan sebelas bintang berbucu dalam warna kuning bertindih. Saiz standard bendera ialah enam kaki kali tiga kaki."
Reka bentuk bendera terubah suai itu juga mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.
Pembentukan Malaysia
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan bahawa reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan pecahan bintang. Tiga jalur dan pecahan tambahan (14 kesemuanya) bagi menunjukkan 3 buah negeri baharu dalam Persekutuan Malaysia.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 tersebut melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
Versi sepanduk (pemidang)
Selama ini, terdapat berbagai-bagai cara Bendera Malaysia digantung secara menegak, sama ada dengan pengubahsuaian terhadap bendera, mahupun dengan menggantung bendera pada kepalanya dengan ekor bendera berada di bawah. Memandangkan bahawa Bendera Malaysia mempunyai maksud yang dalam dan berkait rapat dengan institusi diraja serta agama Islam,[1] sesetengah cara bendera tersebut digantung adalah kurang sesuai dari segi implikasinya. Oleh yang demikian, pada tahun 1990 kerajaan Malaysia telah menetapkan satu reka bentuk piawai bagi bendera versi banner atau pemidang. Reka bentuk tersebut telah ditetapkan melalui Surat Pekeliling Bil.1 Tahun 1990,[11] dan adalah seperti berikut:
Kain rentang hendaklah membujur dari atas ke bawah dan mempunyai dua bahagian iaitu:
Bahagian Atas
Mengandungi bulan dan bintang berwarna kuning yang menghala ke atas berlatar belakangkan warna biru.
Bahagian Bawah
Mengandungi 14 jalur merah putih membujur dari atas ke bawah. Bentuk ekor di bawahnya adalah berukuran 1/8 daripada panjang banner
Warna yang digunakan hendaklah warna-warna yang sama dengan Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning.
Ukuran biasa bagi kain rentang Jalur Gemilang ialah 12 kaki panjang dan 3 kaki lebar pada nisbah 4:1 (2X8).
Nama Jalur Gemilang
Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.
Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika sebuah mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Maksud terperinci nama Jalur Gemilang adalah seperti yang berikut:
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
Kaitan sejarah dengan bendera lain
Bendera Johor
Bendera Malaysia juga dimaklumkan mempunyai kaitan dengan Bendera Johor berikutan Mohammed Hamzah yang merupakan pemenang dan pereka Bendera Malaysia tersebut adalah anak watan negeriJohor. Bendera Johor telah digunapakai sejak penubuhan Kesultanan Johor Moden dan direka sepenuhnya oleh Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1871.
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris
Bendera rekaan ketiga terubahsuai ini telah terinspirasi penuh daripada bendera rasmi Syarikat Hindia Timur Inggeris, ini boleh dibuktikan dengan sebahagian besar elemen utamanya yang disusun pada lunas yang sama khususnya pada jalur merah putih dan kotak berwarna biru disisi sebelah kiri atas bendera [12][13].
Apabila bendera rekaan baru itu telah diteliti pada setiap bahagian kemasan reka bentuknya, setiap satunya membawa definisi yang signifikan seperti berikut:[14]
merah, putih dan biru – membawa maksud Malaysia (sebagai sebuah negara baru yang hendak ditubuhkan) telah mempunyai perikatan wangsa diantara Negara-negara Komanwel.
lambang bulan sabit dan bintang pecah – membawa signifikan agama Islam sebagai agama Persekutuan, warna kuning sebagai simbol kedaulatan Raja-raja Melayu. Bintang pecah sebelas pula membawa maksud "perpaduan dan kerjasama" diantara kesemua negeri-negeri anggota dalam Persekutuan. Lambang bulan sabit dan bintang pecah menjadi asas perbezaan ketara berbanding bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris yang menggunakan lambang salib dalam benderanya.
Bendera Majapahit
Jejalur merah putih diperkirakan telah diadaptasi dari bendera Majapahit iaitu Sang Saka Getih-Getah Samudra atau Sang Saka Gula Kelapa.[6] Terdapat rekod sejarah yang menunjukkan kerajaan besar Majapahit pernah mendiami sebahagian besar kepulauan Nusantara sejak ia didirikan pada tahun 1293 Masihi.[5]
Undang-undang terkait
Bendera Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963; sebarang perbuatan yang menghina bendera seperti kibaran bendera terbalik boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.[15][16]
Lirik lagu untuk Jalur Gemilang
Lagu khas yang ditujukan kepada Jalur Gemilang dibuat untuk memperingati dan membanggakan bendera Malaysia disamping memperingati identiti bendera serta menyeru untuk dikibarkan bendera tersebut beserta kemegahan.
Benderaku
Sebelum bendera Malaysia diberikan nama "Jalur Gemilang", lagu telah dibuat khas untuk bendera Malaysia tanpa menggunakan sebarang rujukan nama khas tetapi terus merujuk kepada "Bendera Malaysia" atau "Benderaku". Selepas bendera Malaysia telah diberi nama, perkataan di setiap awal perenggan yang mempunyai perkataan "Bendera Malaysia" atau "Benderaku" telah ditukar kepada "Jalur Gemilang". Walau bagaimanapun, keadaan tidak sesuai memungkinkan orang menyanyikan versi lama di samping menyanyikan lagu baru "Jalur Gemilang".
Benderaku yang gagah perkasa Merah putih kuning biru warnanya Berkibar megah penuh bercahaya Pusaka kita rakyat MalaysiaBendera Malaysia oh bendera ku Ku pertahankan sepenuh raga ku Dikaulah lambang negara berpadu Di bawah naungan Duli TuankuBerkibar terus oh bendera ku Kau kan ku junjung sepanjang waktu Harumlah nama negara yang tercinta Padamu tempat taat dan setiaBendera Malaysia bendera kita Kemegahan rakyat kita semua Berkibar berkibar di ruang angkasa Dirgahayu bendera tercinta.
Ciptaan dan senikata: Tony Fonseka
Jalur Gemilang
Ketika "Jalur Gemilang" dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama yang bermula melancarkan dirasmikan pada tarikh 9 Ogos2003.
Merahmu bara semangat waja Putihmu bersih budi pekerti Kuning berdaulat payung negara Biru perpaduan kami semua
Puncak dunia telah kau tawan Lautan luas telah kau redah Membawa semangat jiwa Merdeka Semangat jaya kami warganya
Empat belas melintang jalurnya Semua negeri dalam Malaysia Satu suara satu semangat Itu sumpah warga berdaulat
Jalur Gemilang dibawah naunganmu Jalur Gemilang kami semua bersatu Perpaduan ketaatan Amalan murni rakyat Malaysia
Jalur Gemilang megah kami terasa Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan Merah, putih, biru, kuning Jalur semangat kami semua
Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah Jalur Gemilang