Rodium adalah sejenis unsur kimia dengan simbol Rh dan nombor atom 45. Unsur logam daripada bijih platinum ini digunakan untuk membuat aloi, barang kemas, dan mangkin bagi aloi platinum. Rodium ialah salah satu logam-logam berharga yang paling mahal, dengan harga mencecah AS$740.00 per auns Troy (31.1 gram) setakat November 2015.[3]
Rodium ditemui oleh William Hyde Wollaston pada tahun 1803 melalui uji kaji terhadap sebuah bijih platinum sejurus selepas penemuan paladium.[4][5] Nama unsur ini, "rodium" diambil daripada perkataan Yunani, rhodon (ῥόδον, mawar) kerana garam rodium memberi warna merah mawar apabila dalam larutan.[6]
Rodium hanya memiliki satu isotop alami, yakni 103Rh yang bersifat stabil. Secara keseluruhannya, terdapat 34 isotop rodium dengan jisim atom berjulat 89 ke 122, dengan 101Rh ialah radioisotop rodium paling stabil dengan separuh hayat selama 3.3 tahun.
Perlombongan rodium adalah rumit kerana tidak banyak mineral semula jadi rodium dan bijih rodium biasanya tercampur dengan logam-logam seperti perak, platinum dan paladium. Rodium pada kebanyakannya dilombong daripada bijih-bijih platinum.
Logam rodium biasanya diguna pakai sebagai mangkin dalam pelbagai situasi, umumnya dalam penukar bermangkin, di mana hidrokarbon, karbon monoksida dan nitrogen oksida dari ekzos kenderaan ditukarkan kepada gas-gas tidak berbahaya sebelum dilepaskan terhadap persekitaran. Rodium banyak dipilih berbanding logam-logam kumpulan paltinum lain sebagai mangkain bagi tindak balas penukaran nitrogen oksida kepada gas oksigen dan nitrogen.[9]