Franco Baresi

pemain bola sepak Itali

Franchino Baresi (sebutan bahasa Itali: [ˈfraŋko baˈreːzi; -eːsi]; lahir 8 Mei 1960) merupakan seorang bekas pemain dan pengurus bola sepak Itali. Sepanjang kariernya selama 20 tahun bersama Milan, beliau sering beraksi sebagai sweeper atau bek tengah dengan menjadi kapten pasukan kelab itu buat selama 15 musim. Beliau dianggap sebagai salah satu pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman dan menghuni tempat ke-19 dalam senarai 100 pemain terhebat pada abad ke-20 yang dikeluarkan oleh majalah World Soccer.[2] Bersama Milan, beliau telah menjuarai tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah, enam kejuaraan Serie A, empat trofi Supercoppa Italiana, dua gelaran Piala Super Eropah dan dua trofi Piala Antara Benua.

Franco Baresi
Baresi pada 2012
Maklumat peribadi
Nama penuhFranchino Baresi[1]
Tarikh lahir (1960-05-08) 8 Mei 1960 (umur 63)
Tempat lahirTravagliato, Itali
Ketinggian1.76 m (5 ka 9 in)
Posisi permainanPertahanan
Kerjaya remaja
1972–1977Milan
Kerjaya Senior*
TahunPasukanKmcln(Gol)
1977–1997Milan532(16)
Pasukan kebangsaan
1982–1994Itali81(1)
Pasukan diurus
2002–2006Milan Primavera
2006–2008Milan Primavera (Berretti)
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik

Bersama pasukan kebangsaan Itali, beliau merupakan anggota skuad Itali yang merangkul trofi Piala Dunia 1982. Beliau juga beraksi dalam saingan Piala Dunia 1990, di mana beliau disenaraikan ke dalam Pasukan Terbaik Kejohanan selepas membantu Itali menduduki tempat ketiga kejohanan. Dalam kejohanan Piala Dunia 1994 pula, beliau dijadikan sebagai kapten pasukan Itali dan menjadi tonggak penting pasukan untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan walaupun beliau gagal menyumpurnakan tendangan penalti dalam aksi penentuan penalti yang berakhir dengan kemenangan Brazil. Baresi juga mewakili Itali dalam Kejohanan Eropah pada edisi 1980 dan 1988 serta kejohanan Olimpik 1984, yang mana setiap kejohanan disertainya itu menyaksikan Itali layak ke peringkat separuh akhir.

Abang beliau yang juga bekas pemain bola sepak iaitu Giuseppe Baresi. Selepas menyertai pasukan senior Milan sebagai pemain muda, Franco Baresi pada awalnya digelar "Piscinin", daripada dialek Milan yang bermaksud "yang kecil". Selepas mempamerkan pencapaian dan kemahirannya, beliau kemudiannya dikenali sebagai "Kaiser Franz", untuk merujuk kepada pemain sweeper, Franz Beckenbauer.[3] Pada tahun 1999, beliau telah diundi sebagai Pemain Terbaik Milan Abad Ini. Selepas mengakhiri musim terakhirnya bersama Milan pada tahun 1997, pihak kelab mengisytiharkan nombor jersi 6 beliau sebagai nombor penghargaan dan tidak digunakan lagi.[4] Beliau telah disenaraikan oleh Pelé sebagai salah satu 125 Pemain Bola Sepak Terhebat dalam majlis anugerah ulang tahun FIFA selama seabad pada tahun 2004.[5] Baresi juga dimasukkan ke dalam Dewan Kemahsyuran Bola Sepak Itali pada tahun 2013.

Kerjaya kelab

Seorang produk dari akademi Milan, Baresi menghabiskan kariernya yang bertahan selama 20 tahun bersama Milan. Beliau melakukan penampilan sulungnya di Serie A semasa berusia 17 tahun pada 23 April 1978.[6][7] Pada mulanya, beliau ditolak oleh pasukan belia Internazionale, yang sebaliknya memilih abangnya, Giuseppe. Lalu, pasukan belia Milan mendapatkan Franco Baresi. Kedua-dua adik beradik itu masing-masing mengetuai pasukan mereka. Gambar mereka berdua menjadi ikon derby della Madonnina sepanjang era 1980-an.[8]

Baresi bersama Milan pada 1979.

Pada musim berikutnya, beliau menjadi anggota kesebelasan utama pasukan dengan beraksi sebagai sweeper dan bek tengah. Musim itu menyaksikan Milan merangkul kejuaraan liga kesepuluh di kala beliau beraksi sebaris dengan pemain-pemain seperti Fabio Capello dan Gianni Rivera.[9]

Kejayaan ini diikuti oleh zaman kegelapan dalam sejarah Milan apabila Milan tersingkir ke Serie B sebanyak dua kali pada awal 1980-an. Milan tersingkir ke divisyen kedua pada tahun 1980 apabila terlibat dalam skandal pengaturan perlawanan. Milan tersingkir ke Serie B buat kali kedua pula pada musim 1981–82 apabila mereka menghuni tangga ketiga tercorot liga selepas mereka baharu melakukan kemunculan semula di Serie A. Walaupun beliau sebahagian daripada skuad Itali yang beraksi di kejohanan Euro 1980 dan menjuarai Piala Dunia 1982, Baresi tetap untuk kekal bersama Milan dengan merangkul kejuaraan Serie B buat kali kedua semasa musim 1982-83 lalu membawa Milan kembali semula ke Serie A. Setelah Aldo Maldera dan Fulvio Collovati meninggalkan kelab pada tahun 1982, Baresi telah dilantik sebagai kapten pasukan Milan pada usia 22 tahun. Beliau seterusnya mengekalkan kedudukannya tersebut sehinggakan beliau menjadi simbol dan pemimpin pasukan. Semasa tempoh kemerosotan ini, Baresi berjaya meraih trofi Piala Mitropa pada 1982 dan melangkah ke perlawanan akhir Coppa Italia pada musim 1984–85 meskipun pasukannya gagal untuk melebarkan dominasi di Serie A.[3][4]

Pada penghujung 1980-an dan memasuki awal 1990-an, Baresi menjadi jantung barisan pertahanan pasukan bersama-sama dengan Paolo Maldini, Alessandro Costacurta, Mauro Tassotti dan kemudiannya Christian Panucci di bawah kendalian pengurus Arrigo Sacchi dan Fabio Capello. Barisan pertahanan ini dianggap sebagai salah satu barisan terhebat pada sepanjang zaman.[10][11][12] Apabila trio serangan dari Belanda yang terdiri daripada Marco van Basten, Ruud Gullit dan Frank Rijkaard tiba di Milan pada lewat 1980-an, Milan memulakan bibit-bibit kegemilangan di peringkat domestik dan antarabangsa, antara tempoh 1987 dan 1996 yang merupakan punca kejayaan kelab. Pada masa itu, Milan dibarisi bintang-bintang terkemuka Itali dan antarabangsa seperti Roberto Donadoni, Carlo Ancelotti, Marco van Basten, Ruud Gullit, Frank Rijkaard dan kemudiannya Demetrio Albertini, Dejan Savićević, Zvonimir Boban, Marcel Desailly, George Weah, Jean-Pierre Papin, Brian Laudrup dan Roberto Baggio. Di bawah kendalian Sacchi, Milan menjuarai Serie A pada musim 1987–88 manakala Baresi membantu Milan untuk hanya dibolosi sebanyak 14 jaringan sahaja. Gelaran ini disusuli oleh kejayaan Supercoppa Italiana pada 1988 serta kejayaan Piala Eropah secara dua musim berturut-turut pada 1988–89 dan 1989–90;[13] Dalam aksi final Piala Eropah 1990, Baresi selaku kapten pasukan memainkan peranan penting di barisan pertahanan untuk membantu Milan mempertahankan status juara bertahan serta memastikan gawang tidak dibolosi pasukan lawan dengan menyaksikan kemenangan 1-0 ke atas Benfica.[14] Baresi juga menduduki naib juara selepas rakan sepasukannya, van Basten untuk anugerah Ballon d'Or pada 1989 dengan menewaskan rakan sepasukannya yang lain Frank Rijkaard. Beliau juga dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Serie A pada musim 1989–90. Milan turut melangkah ke perlawanan akhir Coppa Italia pada musim 1989–90.[15][16]

Baresi seterusnya merangkul empat lagi kejuaraan Serie A di bawah bimbingan pengurus Fabio Capello termasuklah tiga kejayaan berturut-turut pada musim 1991–92, 1992–93 dan 1993–94. Baresi membantu Milan untuk menjadi pasukan kebal daripada menghadapi sebarang kekalahan dalam saingan liga pada musim 1991–92 sekali gus Milan mencatatkan 58 perlawanan tanpa sebarang tewas. Milan juga menghasilkan rekod jaringan sebanyak 74 gol pada musim itu. Pada musim 1993–94, Baresi membantu Milan untuk hanya dibolosi sebanyak 15 jaringan di Serie A. Selain itu, Baresi juga merangkul tiga gelaran Supercoppa Italiana berturut-turut di bawah pengurusan Capello pada tahun 1992, 1993 dan 1994. Milan juga melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah secara tiga musim berturut-turut pada musim 1992–93, 1993–94 dan 1994–95, dengan tewas kepada Marseille pada edisi 1992–93 dan Ajax pada 1994–95. Baresi merangkul kejayaan Piala Eropah/Liga Juara-Juara ketiga dalam kariernya pada tahun 1994 dengan menundukkan "Pasukan Impian" Barcelona yang diterajui oleh Johan Cruyff 4–0. Baresi juga berjaya menjuarai Piala Super Eropah 1994 walaupun Milan menghadapi kekalahan dalam Piala Antara Benua 1994, Piala Super Eropah 1993 dan Piala Antara Benua 1993. Di bawah kendalian Capello, Milan berjaya merampas semula kejuaraan Serie A ketika musim 1995–96, kejayaan liga keenam buat Baresi.[17][18]

Baresi bersara pada penghujung musim 1996–97 pada usia 37 tahun. Sepanjang 20 musimnya bersama Milan, beliau telah meraih enam gelaran Serie A, tiga trofi Piala Eropah/Liga Juara-Juara Eropah (secara jumlahnya lima final disertainya), dua Piala Antara Benua (empat final keseluruhannya), empat trofi Piala Super Eropah (lima final keseluruhannya), empat Supercoppa Italiana (lima final keseluruhannya), dua gelaran Serie B dan satu Piala Mitropa.[19] Beliau menjaringkan 31 gol untuk Milan, di mana 21 daripadanya merupakan sepakan penalti. Walaupun seorang pemain pertahanan, beliau merupakan penjaring terbanyak bagi kejohanan Coppa Italia pada musim 1989–90. Beliau menjarinkan gol terakhirnya untuk Milan pada 27 Ogos 199 dalam aksi menewaskan Padova 2-1. Dalam mengenang jasa dan sumbangannya, Milan telah membersarakan jersi nombor 6 miliknya yang disarung oleh Baresi pada sepanjang kariernya.[20] Lilitan kapten pasukan yang dipakainya selama 15 musim telah diserahkan kepada Paolo Maldini sebagai penggantinya. Milan mengadakan perlawanan sambutan untuk meraikan penghargaannya yang dilangsungkan pada 28 Oktober 1997 di San Siro sambil menampilkan ramai bintang bola sepak terkemuka.[21][22]

Kerjaya antarabangsa

Pada usia 20 tahun, semasa beliau mewakili pasukan bawah-21 Itali, Baresi telah disenaraikan ke dalam skuad Itali yang akan menghadapi kejohanan Euro 1980 (bersama abangnya, Giuseppe) yang dikendalikan oleh pengurus Enzo Bearzot. Kejohanan itu diadakan di tanah airnya dan menyaksikan Itali menduduki tempat keempat kejohanan. Walau bagaimanapun, tidak seperti abangnya, Franco tidak diberi peluang untuk melakukan sebarang kemunculan sepanjang kejohanan. Kejohanan Euro 1980 merupakan satu-satunya kejohanan yang menampilkan dua adik-beradik mewakili pasukan Itali dalam sesuatu kejohanan besar. Pada usia beliau yang mencecah 22 tahun, Baresi telah dimasukkan ke dalam skuad Itali yang bertandang ke kejohanan Piala Dunia 1982.[23] Pasukan Azzurri merangkul trofi Piala Dunia ketiga mereka selepas mengecewakan Jerman Barat dalam aksi final. Namun, Baresi sekali lagi tidak dipilih untuk beraksi sepanjang kejohanan berlangsung.[24] Baresi juga sebahagian daripada skuad Itali yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 1984. Itali menduduki tempat keempat dalam kejohanan itu selepas tewas kepada Brazil pada peringkat separuh akhir dan tewas kepada Yugoslavia pada aksi penentuan pingat gangsa. Baresi juga menempa nama sebagai penjaring gol Itali dalam kejohanan itu pada aksi peringkat kumpulan menentang Amerika Syarikat.

Baresi melakukan penampilan sulungnya untuk skuad senior dalam aksi kelayakan Euro 1984 menentang Romania pada 14 Disember 1982 yang berakhir dengan keputusan terikat seri tanpa jaringan.[25] Walau bagaimanapun, Itali akhirnya gagal untuk mara ke kejohanan akhir.[26][27]

Baresi tidak tersenarai ke dalam skuad Piala Dunia 1986 oleh jurulatih Enzo Bearzot, yang melihat beliau lebih kepada pemain tengah berbanding pemain pertahanan (walaupun abangnya Giuseppe dipilih kerana peranannya sebagai pemain pertahanan menjelang Piala Dunia, turut sama ialah Roberto Tricella).[28] Beliau kembali ke pangkuan skuad utama semasa kejohanan Euro 1988 dengan beraksi sebagai sweeper. Itali berjaya mara ke peringkat separuh akhir yang berada di bawah kendalian Azeglio Vicini. Baresi juga beraksi sebagai tonggak utama pasukan dan tampil adlam setiap perlawanan. Beliau melakukan penampilan sulungnya di Piala Dunia pada edisi 1990 yang diadakan di tanah airnya. Beliau beraksi dalam setiap perlawanan Itali di kejohanan itu di posisi pertahanan tengah sebelum Itali menamatkan kejohanan di tempat ketiga selepas disingkirkan oleh juara bertahan, Argentina pada peringkat separuh akhir menerusi penentuan penalti.[29] Baresi membantu barisan pertahanan Itali untuk memastikan lima perlawanan tidak dibolosi secara berturut-turut serta hanya dibolosi dua jaringan sahaja. Seterusnya, pasukan Itali kekal tidak mengalami kekalahan dengan menghasilkan rekod Piala Dunia selama 518 minit. Prestasinya yang cemerlang sepanjang kejohanan itu telah membolehkannya menempah tempat ke dalam anugerah Pasukan Terbaik Kejohanan.[30]

Selepas menggantikan Giuseppe Bergomi sebagai kapten pasukan untuk kejohanan Piala Dunia 1994 di bawah kendalian bekas pengurusnya di Milan iaitu Arrigo Sacchi, Baresi mengalami kecederaan pada meniskus dalam aksi kedua peringkat kumpulan menentang Norway. Perkembangan ini memaksa beliau untuk terlepas sebahagian besar aksi kejohanan.[31] Beliau kembali menyertai skuad 25 hari kemudian dalam aksi final. Dengan membantu Itali memastikan gawang pasukan tidak dibolosi menentang Brazil, beliau mempamerkan aksi cemerlang dalam permainan secara defensif walaupun tiada kelibat rakan sepasukannya di Milan seperti Alessandro Costacurta dan Mauro Tassotti. Selepas permainan terikat seri tanpa jaringan pada masa tambahan, Baresi seterusnya gagal untuk menyempurnakan tendangan penaltinya sambil menghadapi kekejangan otot dan keletihan. Selepas tendangan penalti gagal disudahkan oleh Daniele Massaro dan Roberto Baggio, Itali tewas kepada Brazil melalui penentuan penalti.[32]

Berikutan kekalahan dalam saingan Piala Dunia, Baresi melakukan satu kemunculan lagi untuk Itali dalam aksi kelayakan Euro 1996 menentang Slovenia pada 7 September 1994 yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. Baresi akhirnya bersara daripada pentas antarabangsa pada usia 34 tahun dengan menyerahkan lilitan kapten pasukan kepada rakan sepasukannya di Milan, Paolo Maldini. Baresi telah melakukan 81 penampilan bersama Itali dengan menjaringkan satu gol dalam aksi persahabatan menewaskan Kesatuan Soviet. Beliau juga merupakan salah seorang daripada tujuh pemain yang pernah meraih pingat emas, perak dan gangsa di kejohanan Piala Dunia sepanjang karier antarabangsanya.[33][34]

Kerjaya jurulatih

Pada 1 Jun 2002, Baresi secara rasminya dilantik sebagai pengarah bola sepak di kelab Fulham tetapi pertikaian yang berlaku antara Baresi dengan jurulatih Fulham pada masa itu, Jean Tigana telah memaksanya untuk meletakkan jawatan pada bulan Ogos.[35]

Beliau dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan bawah-20 Primavera Milan. Pada tahun 2006, beliau telah dipindahkan oleh pihak kelab untuk mengendalikan skuad bawah-19 Berretti, apabila bekas rakan sepasukannya, Filippo Galli menggantikan beliau untuk melatih skuad Primavera. Baresi akhirnya bersara daripada menjadi jurulatih dan digantikan oleh Roberto Bertuzzo.

Kehidupan peribadi

Franco Baresi merupakan adik kepada pemain legenda Inter, Giuseppe Baresi. Sebagai pemain muda, kedua-dua pemain ini mencuba nasib di Inter, tetapi bakat Franco telah ditolak lalu beliau dibawa masuk ke Milan. Disebabkan beliau merupakan pemain yang lebih muda, maka Franco pada mulanya dikenali sebagai "Baresi 2".[36] Walau bagaimanapun, oleh sebab kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Franco dan peningkatan popularitinya sepanjang kariernya, Giuseppe kemudiannya terpaksa dikenali sebagai "Baresi lain", walaupun dia juga meraih kejayaan dan pencapaian yang berharga.[37]

Statistik kerjaya

Kelab

KelabMusimLigaPialaEropahLainJumlah
KmnclnGolKmnclnGolKmnclnGolKmnclnGolKmnclnGol
Milan1977–78102030
1978–79300406[a]0400
1979–80280601[b]0350
1980–813104100351
1981–82182403[c]2254
1982–8330492396
1983–8421392305
1984–85260100360
1985–86200403[a]03[d]0300
1986–8729263355
1987–88271603[a]0361
1988–89332828[b]01[e]0504
1989–90301748[b]01[f]0465
1990–91310105[b][g]01[f]0380
1991–9233061391
1992–93290708[b]01[e]0450
1993–943100011[b][g]02[e][f]0440
1994–952800013[b][g]02[e][f]0430
1995–96301307[a]0401
1996–97260102[b]01[e]0301
Jumlah kerjaya53216971575015271933

Antarabangsa

Pasukan kebangsaan Itali[38]
TahunKmnclnGol
198210
198330
198450
198500
198630
198750
1988111
1989100
1990110
199190
199270
199370
199490
Jumlah811

Gol antarabangsa

#TarikhLokasiPasukan lawanSkorKeputusanKejohanan
1
20 Februari 1988Bari, Itali  Kesatuan Soviet
1–0
4–1
Persahabatan

Pencapaian

Kelab

Milan[39][40]

Antarabangsa

Itali[41]

Individl

  • Ballon d'Or: 1989 (naib juara)[42]
  • Penjaring terbanyak Coppa Italia: 1989–90[43]
  • Guerin d'Oro (Pemain Terbaik Serie A): 1989–90[44]
  • Bintang Pasukan Pilihan Piala Dunia FIFA: 1990[45]
  • Premio Nazionale Carriera Esemplare "Gaetano Scirea": 1994[46]
  • World Soccer The Greatest Players of the 20th century #19[47]
  • Pemain Terbaik A.C. Milan Abad Ini: 1999[48]
  • Pemain Terbaik AIC Serie A Abad Ini: 2000[49]
  • FIFA 100: 2004[50]
  • UEFA Golden Jubilee Poll: #Ke-17[51]
  • Dewan Kemahsyuran A.C. Milan[6]
  • FICTS Hall of Fame and Excellence Guirlande d'Honneur
  • Golden Foot: 2012 (kategori "Football Legend")[52]
  • Dewan Kemahsyuran Bola Sepak Itali: 2013[53]
  • Ballon d'Or Dream Team (Perak): 2020[54]

Darjah

Darjah Bakti Republik Itali (30 September 1991).[55]

Catatan

Pautan luar

Kedudukan sukan
Didahului oleh
Fulvio Collovati
Kapten Milan
1982–1997
Diikuti oleh:
Paolo Maldini